Anda di halaman 1dari 2

Teks ucapan: Mensyukuri nikmat berkeluarga.

Yang berusaha tuan pengetua, Puan Chua Jock Cheng, Penolong Kanan 1, En Mahayadin Abd
Rahman, Penolong kanan Ko-kurikulum, Pn Norein bt A Bakar, Penolong Kanan HEM, Pn Chan Sweet
Ching, guru-guru kanan, rakan-rakan guru dan anak-anak pelajar yang saya sayangi.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan.

Pada pagi ini, saya ingin membuat sedikit perkongsian dengan semua warga SMK St. Michael
berkenaan mensyukuri nikmat berkeluarga. Sebelum saya menghuraikan dengan lebih lanjut, saya ingin
kongsikan dahulu definisi keluarga itu sendiri. Keluarga ialah sebuah kumpulan manusia yang
dihubungkan melalui pertalian darah, perkahwinan, atau pengambilan anak angkat dan membentuk
sebuah institusi kekeluargaan. Saya yakin, setiap dari kita di sini, mempunyai keluarga masing-masing
yang menjaga kita sejak kecil dan menjadi tempat kita berkongsi kasih dan sayang.

Hadirin yang dihormati sekalian, tidak kira kecil atau besar saiz sesuatu keluarga, ianya adalah
sebuah nikmat bagi kita untuk mempunyai sebuah keluarga. Oleh itu, kita seharusnya mensyukuri atau
menghargai nikmat memiliki sebuah keluarga. Hal ini kerana, tidak semua dari kita bernasib baik untuk
memiliki sebuah keluarga yang sempurna. Namun, dengan menghargai setiap ahli keluarga, kita sedikit
sebanyak dapat menyempurnakan keluarga kita.

Antara cara untuk menghargai setiap ahli keluarga adalah dengan melaksanakan tanggungjawab
masing-masing. Sebagai anak, kita haruslah mentaati dan mendengar cakap serta nasihat kedua ibu-bapa
kita. Setiap ahli keluarga mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing, oleh itu, kita haruslah
melaksanakannya dengan ikhlas. Selain itu, kita juga boleh membuktikan kasih sayang kita sesama ahli
keluarga melalui pengorbanan. Jika wujud perasaan sayang di dalam diri, maka kita pastilah sanggup
berkorban dan bertungkus lumus berusaha untuk mencapai sesuatu atau memberi keselesaan kepada
insan-insan yang kita sayangi.

Selain itu, perasaan hormat juga adalah salah satu cara untuk membuktikan kasih sayang. Kita
harus sentiasa peka dengan perasaan ahli keluarga yang lain, tidak bersifat ego, tidak mementingkan diri
dan tidak mengambil kesempatan terhadap ahli keluarga yang lain demi kepentingan diri sendiri. Kita juga
tidak seharusnya menyembunyikan perasaan kasih dan sayang sesama ahli keluarga. Sebaliknya kita harus
bersifat terbuka dalam menzahirkan kasih sayang kita. Sentiasa ungkapkan kasih sayang kita melalui kata-
kata dan buktikannya melalui perbuatan yang baik.

Disamping itu, kita juga boleh menunjukkan penghargaan terhadap ahli keluarga melalui sifat
memahami. Cuba fahami keadaan masing-masing supaya kita boleh bertolak ansur sesama ahli keluarga.
Elakkan bersifat mendesak, dan cuba fahami keadaan supaya suasana sentiasa tenang sesama ahli
keluarga. Pada hari-hari istimewa atau sambutan tertentu, seperti hari ulangtahun perkahwinan, hari lahir
dan sebagainya, berikan hadiah sebagai tanda penghargaan kita. Hadiah tidak semestinya besar atau
mahal, tetapi cukup untuk menzahirkan penghargaan kita kepada ahli keluarga yang tercinta.

Apabila berjauhan, jangan lupa bertanya khabar. Gunakan segala kemudahan teknologi yang kita
ada hari ini. Paling mudah, kita boleh menggunakan applikasi Whatsapp, atau boleh membuat panggilan
video menggunakan Facetime. Hal ini dapat mendekatkan kita dengan ahli keluarga yang terpaksa
berjauhan atas urusan kerja dan sebagainya. Namun begitu elakkan dari menggunakan telefon kita apabila
sedang bersembang dengan ahli keluarga terutamanya apabila sedang bercakap dengan ahli keluarga
yang lebih tua. Perkara sedemikian adalah contoh sikap yang biadab dan tidak sepatutnya dilakukan oleh
kita. Jangan kerana taksub terhadap teknologi, kita hilang adab dan nilai kekeluargaan.

Kesimpulannya, hargailah nikmat berkeluarga kerana tanpa keluarga, kita tidak akan dapat
mencapai apa yang telah kita capai hari ini. Dan sebagai warga SMK St Michael, kita juga adalah sebuah
keluarga besar yang harus sentiasa menyayangi, menghormat dan menjaga antara satu sama lain. Semoga
kasih sayang yang kita pupuk sesama kita akan memberikan balasan yang baik kepada kita semua.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai