Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN PERSARAAN CIKGU ABDUL SAMAD

(mewakili guru-guru SMK Sultanah Asma)

Terima kasih Tuan/Puan Pengerusi Majlis,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Yang Diraikan Yang BerbahagiaTuan Haji Abdul Samad bin Abdul Aziz, Penolong Kanan Kokurikulum
SMK Sultanah Asma.

Yang Berusaha, Puan Farehah binti Husin Pengetua SMK Sultanah Asma.

Yang Berusaha, Tuan Haji Abu Seman bin Sareh Md Isa YDP PIBG SMK Sultanah Asma.

Yang Dihormati, Puan Maslelanoorida binti Mansur, Penolong Kanan Pentadbiran dan Akademik SMK
Sultanah Asma.,

Puan Rozita binti Abd Aziz, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SMK Sultanah Asma,

Barisan Guru Kanan

Ahli Jawatankuasa PIBG SMK Sultanah Asma dan para waris SASBAND

Serta Guru-guru SMK Sultanah Asma

Alhamdulilah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Yang Maha Esa, Allah SWT kerana
dengan limpah rahmatNya dapat kita bersama-sama pada pagi yang berbahagia ini untuk meraikan
majlis persaraan Penolong Kanan Kokurikulum yang kita kasihi Yang Diraikan Tuan Haji Abdul Samad
bin Abdul Aziz.
Semoga majlis yang bermakna ini akan menjadi memori di hati kita warga SMK Sultanah Asma.

Hadirin yang dimuliakan,

Terlebih dahulu, saya mewakili warga sekolah ini terutama para pendidik, merakamkan rasa
terharu dan sudah pasti untaian kata-kata yang akan saya lontarkan nanti akan meruntun jiwa kita
semua kerana perpisahan ini. Suasana seakan redup seketika dan keindahannya tiba-tiba terasa
suram apabila insan yang kita raikan pada hari ini bakal berlalu meninggalkan sekolah ini. Walaupun
hati masih lara dan seolah-olah tidak mengizinkan, tetapi kami semua reda dengan persaraan Yang
Berbahagia Tuan Haji Abdul Samad. Persaraan ini merupakan detik paling bahagia untuk Yang
Berbahagia Tuan Haji Abdul Samad setelah berjuang pahit, manis dalam dunia pendidikan.

Hadirian yang dirahmati,

Kami percaya, walaupun amat berat dan menyedihkan dan bukan sedikit air mata yang akan
tumpah tetapi perpisahan sebenarnya mengajar kita erti keikhlasan dan kedewasaan dalam
kehidupan. Justeru, kita pasti akan mengenang kembali saat-saat ketika bersama dan tetap akan
menjadi satu memoir yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Begitu juga halnya dengan
keberadaan kita bersama-sama dalam mencanai permata di SMK Sultanah Asma menjadi permata
yang berharga buat negara tercinta, semua ini sudah pasti akan terhimpun menjadi sejarah dan terukir
jitu dalam sanubari semua Warga SMK Sultanah Asma.

Hadirin yang dikasihi,

Hari ini, kita semua akan merasa terharu kerana persaraan Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul
Samad yang kita sanjungi dan cintai. Beliau bukan sahaja penolong kanan kokurikulum tetapi salah
seorang tonggak membawa nama SMK Sultanah Asma di persada antarabangsa. Insan yang kita
raikan pada hari ini telah menabur jasa dan khidmat bakti di sekolah ini selama 23 tahun. Kadang kala
akibat kesibukan dengan tugas seharian dan pelbagai komitmen yang kita tempuhi, menyebabkan kita
tidak terasa dan tidak terperasan begitu pantasnya juga tempoh perkhidmatan Yang Berbahagia Tuan
Haji Abdul Samad sebagai penolong kanan kokurikulum telah berakhir. Sesungguhnya berat mata
memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah yang kita rasai sekarang ini. Berat sungguh bagi
kami semua untuk melepaskan Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul Samad.

Harum sungguh bunga Melati,


Kembang setangkai waktu pagi,
Hancur sungguh rasa di hati,
Sedang berkasih ditinggal pergi.

Anak ikan berlima-lima


Mati ditimpa punggur berdaun
Kasihnya tuan kami terima
Sebagai hutang seribu tahun

Hadirin yang dimuliakan,

Peribadi yang ceria, tenang dan penuh pengertian menjadi sanjungan. Itulah Frasa yang tepat
bagi mengambarkan keperibadian Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul Samad. Beliau telah berkhidmat
sebagai guru di SMK Sultanah Asma bermula tahun 1999 sebagai guru muzik. Perwatakan Yang
Berbahagia Tuan Haji Abdul Samad sentiasa memahami, ramah dan sentiasa meraikan sesiapa
sahaja mengingatkan saya pada untaian kata-kata ”to handle yourself, use your head, to handle
others, use your heart (Untuk mengawal diri kita gunakanlah kebijaksanaan minda kita, manakala
untuk mengawal orang lain gunakanlah kebijaksanaan menawan hati mereka) Perwatakan dan
karisma inilah yang menyebabkan Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul Samad sentiasa menjadi
tumpuan dan sentiasa di hati semua Warga SMK Sultanah Asma.

Hadirin yang dikasihi,

Sepanjang tempoh perkhidmatan Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul Samad di sekolah ini,
beliau telah menyumbang banyak jasa terhadap kemajuan, perkembangan dan pembangunan
sekolah,sama ada dari segi akademik, kokurikulum, keceriaan dan pembinaan modal insan. Yang
berbahagia Tuan Haji Abdul Samad seorang yang mementingkan pendidikan dan sentiasa memikirkan
hala tuju sekolah ini. Dengan berbekalkan ilmu dan pengalaman yang ada beliau tidak lokek dengan
ilmu pengetahuan, malah segala pendapat dan pandangan guru-guru lain sentiasa akan diperhalusi
dan diterima dengan hati yang terbuka.
Hadirin yang dirahmati,

Sekolah ini amat bertuah atas kepimpianan beliau. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang
tak kata. Selama menerajui bidang kokurikul sekolah ini beliau bolehlah saya simpulkan sebagai tokoh
yang sangat berwibawa dalam kepimpinan. Walaupun beliau akan bersara tetapi ketokohan,
kecemerlangan dan dedikasi beliau telah memberi suntikan semangat kepada pendidik lain dalam
meneruskan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Beliau juga sangat mesra dan mengambil berat
akan kebajikan para pelajar. Sikap dedikasi, berpegang teguh kepada prinsip dan tugas menjadikan
beliau seorang idola kepada kami semua.

Burung kedidi di sambar helang


Bawa naik ke pohon tinggi
Budi tuan mana nak hilang
Sudah mesra dalam hati

Untuk yang terakhir kalinya, sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, izinkan saya
membacakan sebuah gurindam yang saya petik daripada Gurindam 12 Fasal kelima Karya Raja Ali
Haji yang mengambarkan keperibadian beliau. Nasihat Tuan Haji akan sentiasa tersemat dalam hati-
hati kami seperti gurindam ini.

Jika hendak mengenal orang berbangsa


Lihatlah kepada budi dan bahasa

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia


Sangat memelihara yang sia-sia

Jika hendak mengenal orang mulia


Lihatlah kepada kelakuan dia

Jika hendak mengenal orang berilmu


Bertanya dan belajar tiadalah jemu

Jika hendak mengenal orang yang berakal


Di dalam dunia mengambil bekal

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai


Lihatlah pada ketika bercampur dengan orang ramai

Selamat Bersara Tuan Haji Abdul Samad Daripada Kami semua Warga SMK Sultanah Asma

Sekian terima kasih

Wabilhitaufik Walhidayah Wasalamualikum Warah Matullah Hiwa Barakatuh.

Anda mungkin juga menyukai