Anda di halaman 1dari 2

Terima kasih Tuan/Puan Pengerusi Majlis,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Yang Berusaha, Puan Wan Norma binti Wan Chik, Pengetua SMK Desa Serdang.

Teristimewa insan yang diraikan, Puan Kamariah binti Che Ngah, Mantan PK Akademik dan Pentadbiran,

Yang Berusaha, Puan Siti Baizura binti Zainuddin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SMK Desa Serdang,

Yang Berusaha, Puan Nor Azariah binti Azahari , Penolong Kanan Kokurikulum, SMK Desa Serdang,

Yang Berusaha, Puan Rosmah binti Umar, PK Petang, SMK Desa Serdang,

Barisan Guru-guru Kanan Mata pelajaran, serta rakan-rakan guru yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah ,seiring kita menadah tangan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat rabbul izzah, tuhan
yang maha esa kerana dengan limpah izinnya dapat kita berkumpul di dalam dewan ini bagi
menjayakan satu majlis yang bakal menjadi ingatan dalam sanubari hati tuan puan. Setinggi-tinggi
kesyukuran dirafakkan kepada Yang Maha Esa, Allah SWT kerana dengan limpah rahmatnya dapat kita
meraikan Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih sempena menghargai insan yang kita kasihi Yang
dihormati, Puan Kamariah binti Che Ngah yang akan pergi meninggalkan kita demi menggalas tugas
sebagai Pengetua di sekolah baharu. Semoga majlis yang bermakna ini akan menjadi memori di hati kita
semua.

Hadirin yang dimuliakan, terlebih dahulu, saya mewakili warga Kelab Guru dan Kakitangan sekolah
merakamkan rasa terharu menerima ketentuan perpisahan ini. Walaupun hati masih lara dan seolah-
olah tidak mengizinkan, tetapi kami semua reda dengan perpindahan Puan Kamariah binti Che Ngah.

Hadirian yang dirahmati, kami percaya, walaupun amat berat dan menyedihkan dan bukan sedikit air
mata yang akan tumpah tetapi perpisahan sebenarnya mengajar kita erti keikhlasan dan kedewasaan
dalam kehidupan. Justeru, kita pasti akan mengenang kembali saat-saat ketika bersama dan tetap akan
menjadi satu memori yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Begitu juga halnya dengan keberadaan
kita bersama-sama Yang dihormati, Puan Kamariah, semuanya akan terhimpun menjadi sejarah dan
terukir jitu dalam sanubari semua Warga SMK Desa Serdang.

Kini warga SMK SMK Desa Serdang kehilangan seorang pentadbir yang berwibawa dan berkarisma.
Kehilangan ini pasti akan dirasai, patah tumbuh hilang berganti, namun yang hilang akan tetap abadi
dalam memori dan yang tumbuh mengantikannnya pula diharapkan dapat meneruskan legasi
kecemerlangan SMK Desa Serdang. In shaa Allah. Hadirin yang berbahagia, Kita semua pastinya nanti
akan merindui gelak tawa dan senyuman manis Puan Kamariah selepas ini di sekolah. “Memories last
forever, never do they die, friends stay together, never say goodbye.” Semoga hubungan silaturahim ini
akan berkekalan sepanjang zaman.

Pada kesempatan ini, saya bagi pihak semua warga guru dan kakitangan SMK Desa Serdang
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang dihormati
Puan Kamariah atas sumbangan dan komitmen sepanjang tempoh perkhidmatan di sekolah ini. Kami
berdoa semoga Allah SWT akan melimpahkan rahmatnya dan peliharaannya kepada Puan, diberkati usia
yang panjang, diberikan kesihatan tubuh badan dan dipermudahkan segala urusan pada setiap masa.
Semoga Allah menganjari kebaikan atas usaha murni yang telah Puan sumbangkan. Sabda Rasululah
“Barangsiapa menunjukkan seseorang kepada kebaikan, maka dia dapat ganjaran sebagaimana ganjaran
orang orang yang melakukannya” (Riwayat Muslim)

Untuk yang terakhir kalinya, sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, izinkan saya membacakan sebuah
gurindam yang saya petik daripada Gurindam 12 Fasal Kelima karya Raja Ali Haji yang mengambarkan
keperibadian Puan. Semoga bait-bait guridam ini dapat disemai dalam hati setiap daripada kita sebagai
pedoman meniti kehidupan dan melaksanakan tanggungjawab.

Jika hendak mengenal orang berbangsa


Lihatlah kepada budi dan bahasa

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia


Sangat memeliharakan yang sia-sia

Jika hendak mengenal orang mulia


Lihatlah kepada kelakuan dia

Jika hendak mengenal orang berilmu


Bertanya dan belajar tiadalah jemu

Jika hendak mengenal orang yang berakal


Di dalam dunia mengambil bekal

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai


Lihatlah pada ketika bercampur dengan orang ramai

Selamat memulakan tugas sebagai Pengetua di sekolah yang baharu kepada Puan Kamariah. Bagi pihak
KEGAP sesi 2020 kami ingin memohon maaf jika ada tersilap dan terkurang di mana-mana jua dan
dalam apa-apa bentuk sekalipun sepanjang majlis ini berlangsung. Saya turut mengambil kesempatan di
sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam merancang dan
menjayakan majlis ini, AJK, barisan pentadbir, PIBG dan semua yang terlibat . Terima kasih jua kepada
semua ahli jawatangkuasa yang sudi berkorban masa dan bertungkus lumus dalam menjayakan majlis
ini. Kerja kerja sukarela yang tidak kelihatan itu hanya Allah jua yang membalasnya secara setimpal.
Pengorbanan rakan-rakan sekalian amat saya hargai.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai