Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN PENGETUA SEMPENA MAJLIS WATIKAH PERLANTIKAN

PENGAWAS SEKOLAH 2020


Terima kasih anakanda pengacara majlis.Bismillahirrahmanirrahim, Alhamdulillahi
Rabbil Alamin Wassolatu Wassolamu Ala Ashrafil Anbiyar Iwar Mursolin Waala Alihi
Wasobihi Ajmain
Yang Dihormati Encik Yusanizan bin Shafei, Penolong Kanan Pentadbiran,
Yang Dihormati, Tuan Haji Saharom bin Palil, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Yang Dihormati, Ustaz Mohamad Zaki bin Othman, Penolong Kanan Kokurikulum,
barisan guru kanan matapelajaran, guru-guru, barisan pengawas sekolah, serta
murid-murid yang dikasihi sekalian.
Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.
Hadirin warga BASIS sekalian, Terlebih dahulu izinkan bonda memanjatkan rasa
kesyukuran kehadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan inayahNya dapat kita
bersama-sama pada hari ini sempena Majlis Watikah Perlantikan Pengawas Sekolah
bagi tahun 2020.
Di sini bonda ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi
tahniah kepada semua pengawas sekolah atas perlantikan mereka pada hari ini.
Bonda yakin mereka yang dilantik pada hari ini telah melalui satu proses pemilihan
yang rapi agar mereka yang terpilih memiliki ciri-ciri kepimpinan untuk membimbing
rakan-rakan di sekolah serta dapat membantu guru-guru melaksanakan tugas dan
tanggungjawab mereka dalam memberi pendidikan yang berkualiti melalui aspek
disiplin dan sahsiah.
Hanya pendidikan yang berkualiti sahaja dapat melahirkan warga sekolah yang
efisien dan menjadi modal insan yang produktif. Sesungguhnya barisan pengawas
sekolah yang dilantik harus berasa bertuah dengan perlantikan ini. Bonda memohon
kepada mereka semua agar berasa syukur kepada Allah s.w.t dan sentiasa
mengingatiNya semasa memikul tugas dan tanggungjawab itu nanti. Sehubungan
itu, pada hari yang bersejarah ini, mereka patut diraikan.
Anak-anak sekalian.
Apakah peranan pengawas? Pengawas adalah pemimpin kecil yang dipilih untuk
menjalankan tugas dan tanggungjawab membantu guru dan pentadbir sekolah agar
dapat mewujudkan satu persekitaran sekolah yang kemas dan teratur.
Persekitaran yang dimaksudkan adalah menentukan suasana yang damai, situasi
yang terkawal dan menumpukan kepada fungsi utama sebuah sekolah, iaitu
melahirkan murid-murid yang berpotensi menjadi pemimpin negara masa hadapan
dan tunggak pembangunan negara dalam apa jua bidang yang anak-anak sekalian
minati.
Bonda berharap barisan pengawas sekolah yang dilantik pada hari ini dapat
menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah, jujur, ikhlas
dan bertanggungjawab. Pada masa yang sama, bonda berharap mereka tidak
mengabaikan pelajaran akademik mereka sendiri di dalam bilik darjah.
Mungkin kita tertanya-tanya apakah ekspektasi guru-guru dan murid-muid terhadap
seorang pengawas? Pengawas sepatutnya menjadi contoh dan teladan yang baik
kepada semua murid yang lain. Keperibadian seorang pengawas harus memiliki
sifat-sifat terpuji seorang khalifah kecil bersifat mulia, berketrampilan yang kemas
dan bijak mengurus masa untuk diri sendiri dan tanggungjawab sekolah.
Bonda juga mahukan pengawas sekolah sentiasa bersifat insaf dan bermuhasabah
diri semasa melaksanakan tugas seorang pengawas. Jadilah seorang pengawas
yang disegani.
Bagi murid-murid lain pula, bonda ingin berpesan agar sentiasa memberi kerjasama
kepada semua pengawas sekolah yang dilantik. Bonda juga ingin menasihati murid-
murid agar mematuhi dan menghayati peraturan sekolah supaya guru-guru dan
pentadbir sekolah dapat menumpukan kepada usaha dalam membangunkan
infrastruktur dan fasiliti sekolah serta pembangunan akademik bagi menentukan
kecemerlangan dan kegemilangan sekolah dapat dipertingkatkan. Murid-murid perlu
menghormati pengawas. Jauhi sikap-sikap negatif seperti perbuatan merosakkan
fasiliti sekolah, perbuatan membuli dan bergaduh serta tidak menghormati guru-guru
dan kawan-kawan sekolah.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama berdoa agar SM Sains Banting sentiasa
cemerlang, gemilang dan terbilang dalam aktiviti akademik dan kokurikulum dan
menjadi sekolah contoh dalam pelbagai aspek Bonda juga berdoa agar murid-murid
sekelian mendapat kejayaan dalam menghadapi pelbagai urusan persekolahan.
Hayatilah selalu slogan Inspiring Excellence , Leading Others. Dengan lafaz yang
mulia, Bismillahirrahmanirrahim, bonda merasmikan Majlis Penyerahan Watikah
Pelantikan Pengawas tahun 2020/ 2021. Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai