Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN PERASMIAN MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN PEMIMPIN MURID

SRAB BATU PAHAT 2023/2024

Terima kasih kepada pengacara majlis. Assalamuaalaikum dan Salam Sejahtera.

Yang berusaha,
Encik Faizal Bin Yunos
Guru Besar SRAB Batu Pahat

Yang dihormati
Puan Zainah Binti Mohamed Ibrahim
Guru Penolong Kanan Pentadbiran

Puan Rafiah Binti Afandi


Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid

Encik Mohd Azahari Bin Diman


Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum,

Semua guru SRAB Batu Pahat


Dan yang dikasihi, murid-murid Sekolah Rendah Agama Bersepadu Batu Pahat sekalian.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan beribu kesyukuran kepada Allah kerana dengan limpah inayah-Nya,
maka kita semua dapat berkumpul meraikan majlis nan berbahagia pada pagi ini. Tidak lupa juga saya
mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah ini yang sudi mengundang saya bagi merasmikan majlis
pada pagi ini.

Murid-murid yang dikasihi sekalian, di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-
tinggi tahniah kepada semua pemimpin murid yang dipilih dan dilantik pada hari ini. Saya yakin murid-
murid yang dilantik pada hari ini telah melalui satu proses pemilihan yang rapi agar mereka yang terpilih
memiliki ciri-ciri kepemimpinan untuk membimbing rakan-rakan mereka di sekolah serta dapat membantu
guru- guru melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka di samping memberi pendidikan yang
berkualiti. Hanya dengan pendidikan yang berkualiti sahaja dapat melahirkan warganegara yang efisen
dan menjadi modal insan negara yang produktif. Sesungguhnya pemimpin - pemimpin yang dilantik harus
berasa bertuah dengan perlantikan ini. Saya memohon kepada mereka agar berasa syukur kepada Allah dan
sentiasa mengingatiNya semasa memikul tugas dan tanggungjawab itu nanti. Sehubungan itu, pada hari
yang bersejarah ini mereka patut diraikan.

Pemimpin murid berperanan sebagai pemimpin kecil yang dipilih untuk menjalankan tugas dan
tanggungjawab, membantu guru dan pentadbir sekolah agar dapat mewujudkan satu persekitaran sekolah
yang kemas dan teratur. Persekitaran yang dimaksudkan adalah untuk menentukan suasana yang damai,
situasi yang terkawal dan menumpukan kepada fungsi utama sebuah sekolah iaitu untuk melahirkan murid-
murid yang berpotensi menjadi pemimpin negara masa hadapan dan tunggak pembangunan negara dalam
apa jua bidang yang mereka minati. Saya juga berharap pemimpin yang dilantik pada hari ini dapat
menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah, jujur, ikhlas dan bertanggungjawab.
Bagi murid-murid lain pula, saya ingin berpesan agar sentiasa memberi kerjasama kepada semua pemimpin
sekolah yang dilantik. Saya ingin menasihati murid-murid agar mematuhi dan menghayati peraturan sekolah
supaya guru-guru dan pentadbir sekolah dapat menumpukan kepada usaha dalam membangunkan
infrastruktur dan fasiliti sekolah serta pembangunan akademik bagi menentukan kecemerlangan dan
kegemilangan sekolah dapat dipertingkatkan. Jauhi sikap-sikap negatif seperti perbuatan merosakkan
kemudahan sekolah, perbuatan membuli dan bergaduh serta tidak menghormati guru-guru dan kawan-
kawan sekolah. Fahami dan hayati konsep ABC, “Anak Baik lagi Cerdik” yang telah dianjurkan oleh pihak
kementerian pendidikan bagi mentransformasikan murid-murid menjadi murid yang hebat, berdaya saing
dan juga penuh dengan akhlak dan berintegriti tinggi dalam kehidupan seharian mereka.

Saya juga ingin menasihatkan semua murid agar mengutamakan pelajaran di sekolah. Hanya dengan
memiliki pengetahuan dan kelulusan yang tinggi sahaja dapat menjamin kehidupan kita pada masa hadapan.
Ianya sungguh penting dalam kehidupan. Ilmu pengetahuan dapat mengubah taraf hidup sesebuah keluarga,
pengetahuan dapat memenuhi apa yang kita cita-citakan, pengetahuan dapat membezakan yang baik
dengan buruk. Untuk memperolehi pengetahuan, murid-murid harus belajar bersungguh-sungguh,
berdisiplin ketika belajar kerana disiplin asas kejayaan, sentiasa berusaha tanpa mengenal putus asa.

Pada kesempatan ini, saya berdoa agar sekolah ini sentiasa mendapat kerahmatan dan diberi perlindungan
agar sentiasa berupaya melahirkan insan-insan yang menjadi kebanggaan negara dan dijauhi dari segala
bencana atau musibah. Saya berharap guru-guru dan pentadbir sekolah akan melipat gandakan usaha mereka
dalam membentuk dan memberi pelajaran kepada semua murid sekolah ini. Saya juga berdoa agar murid-
murid sekolah ini sentiasa beroleh kejayaan di dalam pelajaran dan peperiksaan yang mereka bakal hadapi.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama berdoa agar sekolah ini sentiasa cemerlang, gemilang dan terbilang
dalam aktiviti akademik dan ko- kurikulum dan menjadi sekolah contoh di daerah ini.

Dengan lafaz selawat dan salam, Allahuma Solli Ala Saidina Muhammad Wa Ala Ali Muhammad, saya
merasmikan majlis pelantikan pemimpin murid Sekolah Rendah Agama Bersepadu Batu Pahat bagi sesi
akademik 2023 / 2024.

Anda mungkin juga menyukai