Anda di halaman 1dari 4

TEKS UCAPAN GB MAJLIS APRESIASI 2023/2024

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh..

Terima Kasih Pengacara Majlis,

1. Yang Berusaha, Puan Aishah binti Abdullah


Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
merangkap Pemangku Guru Besar SK Parit Bulat

2. Yang Dihormati, Tuan Haji Ariffpudin Bin Abdul Latif


Penghulu Mukim Seri Menanti

3. Yang Dihormati, Encik Amin bin Rathaman


Pegawai Waran 2 Bersara
merangkap YDP PIBG SK Parit Bulat

4. Yang Dihormati, En Juwahir Bin Hj Yamin


Ketua Kampung Parit Bulat

5. Yang Dihormati, En Abd Malik Bin Hj Simen


Ketua Kampung Seri Menanti

6. Yang Dihormati, En Mansor Bin Hj Ibrahim


Ketua Kampung Parit Nawi

7. Yang Dihormati, Tuan Haji Muhammad Lasim bin Hj Amin


Imam 1 Masjid Jamek Kampung Parit Bulat.

8. Yang dihormati, barisan guru-guru Penolong Kanan SK Parit Bulat, guru-guru, AJK-
AJK PIBG, dif-dif jemputan, ibu bapa, murid-murid serta hadirin dan hadirat yang saya
muliakan sekalian.
Izinkan saya melafaz dan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana
dengan limpah kurnia dan inayahNya maka kita dapat berkumpul pada hari ini bagi
melaksanakan satu lagi agenda pendidikan yang diatur oleh pihak pengurusan sekolah.
Ucapan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola Majlis ini yang tentunya telah
berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan dengan lancar dan teratur. Kita sedar,
majlis seumpama ini amat perlu dijalankan untuk memberi makna kepada kehidupan anak-
anak yang bakal mewarisi masa depan negara.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Saban tahun, pihak sekolah tidak pernah lupa mengadakan majlis untuk meraikan
kejayaan cemerlang pelajar-pelajar dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum.
Malahan bagi saya, majlis ini diadakan khusus untuk meraikan para ibu bapa yang sentiasa
meletakkan kecemerlangan dan kejayaan anak-anak sebagai agenda pertama dalam
kehidupan mereka.
Jadi pada kesempatan ini saya bagi pihak sekolah ingin merakamkan ucapan tahniah dan
syabas bukan sahaja kepada para pelajar yang bakal menerima anugerah malahan ibu bapa
juga para guru yang menjadi nadi atau tulang belakang sehingga membuahkan kejayaan
untuk mereka.

Sesungguhnya kita harus sedar bahawa dalam usaha menuju ke puncak, banyak
laluan sukar yang perlu ditempuhi. Pepatah Melayu selalu mengingatkan kita, “Di mana
ada kemahuan, di situ ada jalan”, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, “Kalau
tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Oleh itu para hadirin sekalian,
marilah kita sama-sama berganding bahu untuk mencipta kejayaan demi kejayaan buat
anak-anak kita. Pada saya, kejayaan anak-anak tuan-tuan dan puan-puan merupakan
satu anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran buat tuan-tuan dan puan-puan sebagai
ibu bapa mereka.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada
semua penerima anugerah pada hari ini. Saya sangat berharap agar kecemerlangan yang
ditunjukkan oleh para penerima akan menjadi pemangkin untuk para pelajar
mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang akademik dan bukan akademik
pada masa hadapan. Anugerah yang diberikan pada hari ini merupakan penghargaan pihak
sekolah kepada para pelajar yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam
pembelajaran pada tahun ini. Tahap pencapaian yang ditunjukkan sudah tentu boleh
menjadi contoh serta ikutan kepada para pelajar lain untuk meningkatkan pencapaian
akademik mereka pada masa akan datang.

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Saya pasti bahawa seluruh warga dewan pada hari ini sedar, bahawa pelajar-pelajar
yang kita raikan hari ini merupakan waris yang bakal mendukung impian dan harapan
Negara. Untuk itu, saya menyeru kepada hadirin sekalian agar dapat sama-sama
berganding bahu meningkatkan kualiti hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Sihat yang
dimaksudkan bukan hanya tertumpu kepada kesihatan tubuh badan malahan kesihatan
minda supaya harapan dan impian tuan-tuan dan puan-puan akan direalisasikan sama
seperti harapan dan impian seperti mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan
Negara. Maka saya ingin menyeru kepada diri saya dan tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
marilah kita saling bergandingan bagi memastikan para penerima anugerah ini bakal
menjadi sebahagian warna-warna kegembiraan Negara pada masa hadapan dan bukan
merupakan secalit warna kehancuran atas kealpaan dan kelekaan kita. Insya’Allah.

Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua
penerima anugerah dan juga syabas kepada semua warga kerja yang bertungkus-lumus
menjayakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Parit Bulat 2023 pada
hari ini.

Ikan sembilang sepat dan kelah,

Guna bubu biasa di hujung,

Pencapaian cemerlang dapat hadiah,

Petanda ilmu sentiasa dijunjung.

Sekian sahaja ucapan saya.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.


Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai