Anda di halaman 1dari 4

TEKS UCAPAN YDP PIBG

PN. ZUWITA BINTI KAMARUZAMAN

SEMPENA MAJLIS HARI ANUGERAH CEMERLANG TAHUN 2019 DAN


HARI ANUGERAH KOKURIKULUM TAHUN 2020

SMK BANDAR UTAMA DAMANSARA (3)


Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Yang Berusaha Pn. Ros binti Lizan, Pengetua Cemerlang SMK Bandar Utama Damansara (3),
Yang Berusaha barisan guru penolong kanan, guru-guru kanan mata pelajaran, guru-guru,
jawatankuasa pengelola majlis, para penerima anugerah dan ibu bapa sekalian.

Beras kunyit saya taburi,


Air mawar direnjis wangi,
Berkembang kasih menabur budi,
Undangan tuan amat disanjungi.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah yang
menjemput saya untuk merasmikan Majlis Hari Anugerah Cemerlang Tahun 2019 dan Hari
Anugerah Kokurikulum Tahun 2020 pada hari ini. Saya mewakili PIBG SMKBUD (3) ingin
mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah kerana telah berjaya menganjurkan majlis khas
untuk meraikan kejayaan murid-murid sama ada dalam bidang akademik mahupun bukan
akademik. Walaupun majlis ini diadakan dalam norma baharu akibat pandemik Covid-19 yang
melanda negara kita sekarang, saya percaya murid-murid yang diraikan ini masih merasai
kegembiraan dalam majlis yang penuh bermakna ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan
kepada murid-murid yang menunjukkan kepintaran dan sahsiah yang cemerlang. Tahniah dan
terima kasih juga kepada guru-guru yang berjaya memartabatkan profesion perguruan
sehingga mampu melahirkan modal insan yang berkualiti baik dari segi akademik dan bukan
akademik.

Para hadirin yang saya muliakan sekalian,

Alhamdulillah, setelah mengharungi segala rintangan dan cabaran, akhirnya kejayaan


dapat dicapai oleh anak-anak kita yang cemerlang pada hari ini. Hari ini merupakan hari yang
bersejarah kerana ibu bapa dapat menyaksikan kejayaan anak-anak dalam bidang akademik,
kokurikulum dan sahsiah. Semua kejayaan ini tidak akan terlakar tanpa komitmen dan
kesungguhan para guru dalam melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan rasa
tanggungjawab untuk berbakti kepada anak bangsa. Tuan-tuan dan puan-puan merupakan ibu
bapa dan penjaga yang berdedikasi dalam memastikan kebajikan dan potensi diri anak-anak
menjadi agenda utama tuan-tuan dan puan-puan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin
untuk meraih kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang dan kekal menjadi milik kita
warga SMKBUD (3) yang amat kita sayangi ini.

Saya percaya sambutan Majlis Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Anugerah
Kokurikulum pada hari ini adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan
memotivasikan murid-murid agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam
semua bidang. Diharapkan semoga program seumpama ini dapat berterusan pada masa-
masa akan datang bukan sahaja untuk murid yang cemerlang tetapi juga yang kurang
cemerlang tetapi ada peningkatan atau kemajuan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Agenda pendidikan negara untuk mencapai taraf dan kualiti tinggi setanding negara
maju tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian oleh kerajaan. Peranan ibu bapa dalam
membantu pembelajaran anak-anak tidak dapat dinafikan. Dengan kata lain, ibu bapa perlu
mengikis tanggapan murid menjadi tanggungjawab pihak sekolah sahaja kerana sekolah perlu
dilihat sebagai tempat persefahaman dan muafakat. Dorongan dan semangat yang dipupuk
oleh ibu bapa akan melahirkan anak-anak yang bersedia untuk bekerjasama dengan para
guru dan pihak sekolah. Justeru, bimbingan para guru akan melengkapkan persediaan
seseorang murid bagi mencapai kecemerlangan dalam meneroka liku-liku hidup yang penuh
cabaran ini. Malahan, pada saya yang paling utama kejayaan adalah terletak pada diri murid
itu sendiri agar sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin
mengecapi kecemerlangan.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada
semua murid yang akan menerima hadiah atas pencapaian mereka dan diharapkan
pencapaian kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan
itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Benar, kita telah
mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna kita boleh selesa berpeluk tubuh
mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya
pada masa hadapan. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang
menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk
melangkaui sempadan kecemerlangan.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Cendekiawan ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit
hempedu. Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan murid-murid sebagai peneroka
ilmu dan bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan
keperluan abad ke-21. Seperti yang kita semua sedia maklum, murid-murid merupakan tiang
negara dan bakal pemimpin negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Jadi, pencapaian mereka dari segi akademik sahaja tidak memadai. Malahan pembangunan
dan perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian juga adalah perlu diberi perhatian
yang sama berat.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah dan
syabas kepada seluruh warga SMKBUD (3) kerana berjaya menganjurkan Majlis Hari
Anugerah Cemerlang dan Hari Anugerah Kokurikulum pada hari ini. Semoga kecemerlangan
menjadi milik SMKBUD (3) saban tahun.

Digerak oleh iltizam mencapai kecemerlangan, saya dengan lafaz Bismillahhir-


rahmannirahim MERASMIKAN, Majlis Hari Anugerah Cemerlang Tahun 2019 dan Hari
Anugerah Kokurikulum Tahun 2020.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai