Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN PERASMIAN

SEMPENA HARI APRESIASI KE-5 SPM DAN STPM SESI 2022/2023

 Yang Berusaha Puan Rosnah binti Othman, Pengetua SMKA (P) AlMashoor,

 Yang Berusaha, Dr. Mohd Siroj bin Abdul Lathiff, Timbalan PPD (Sektor

Perancangan) Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut.

 Yang Berusaha Barisan Guru Penolong Kanan dan Guru-guru Kanan Bidang,

 Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Apresiasi Kali Kelima SPM dan STPM 2022/2023

 Para penerima anugerah, murid-murid SPM dan STPM 2022/2023.

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur yang tidak


terhingga ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah dan izin-Nya, saya diberikan
kesempatan bersua dengan tuan-tuan, puan-puan serta murid-murid yang diraikan
dalam majlis Hari Apresiasi Ke-5 SPM dan STPM Sesi 2022/2023. Terima kasih saya
ucapkan kepada pihak sekolah, khususnya Pengetua, Puan Hajah Rosnah binti
Othman atas kesudian menjemput saya untuk hadir pada hari ini. Saya amat berbangga
dan berbesar hati kerana dapat bersama-sama tuan-tuan, puan-puan dan murid-murid
yang diraikan pada petang ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,


Pada hari ini, kita mendapati peranan pendidikan telah berubah dengan jelas
daripada fungsi tradisionalnya. Murid-murid bukan sahaja datang ke sekolah untuk
belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang
berilmu dan berakhlak mulia. Hal ini selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan
Utama Negara (NKRA), iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan
berkemampuan. Dalam konteks ini, NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar
dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti
pendidikan negara. Kita perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan
pembugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang
berterusan. Dasar dan strategi yang telah terbukti berjaya pada masa lampau, tidak
semestinya berkesan untuk masa kini dan masa hadapan.

Sasaran membawa negara mencapai standard pendidikan berkualiti di peringkat


antarabangsa perlu digalas semua pihak. Pelbagai program diperkenalkan
Kementerian Pelajaran seperti Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah sebagai
platform meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak serta
menggalakkan penglibatan komuniti dengan sekolah. Inisiatif ini seperti yang termaktub
dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, merupakan
salah satu daripada 11 anjakan strategik dan operasi menyediakan pendidikan yang
berkualiti.

Usaha menjadikan para murid sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar
pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan keperluan abad ke-
21. Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-
anak mereka di sekolah berlaku secara semula jadi. Namun, dengan perubahan zaman
dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh perlu
dilakukan oleh semua pihak supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak.
Seyogianya, ibu bapa juga perlu menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan
bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah.

Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,


Kepada para pendidik pula, orang ramai terutama ibu bapa sentiasa mengukur
pencapaian kita berdasarkan standard kualiti yang kita janjikan. Kita jangan cepat
berasa puas dengan pencapaian kita pada hari ini. Sebagai seorang pendidik, kita
mesti sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan agar perkhidmatan
pendidikan akan menjadi contoh kepada perkhidmatan yang lain. Seperti yang kita
semua sedia maklum, murid-murid merupakan tiang negara dan bakal pemimpin
negara. Jadi pengasuhan, bimbingan dan dorongan dari segi semua aspek hidup dari
peringkat awal lagi adalah amat penting. Pencapaian mereka dari segi akademik sahaja
tidak memadai. Malahan pembangunan dan perkembangan yang tinggi dalam aspek
keperibadian juga adalah perlu diberi perhatian yang sama berat.

Saya percaya sambutan Hari Apresiasi ke-5 SPM dan STPM sesi 2022/2023
yang diadakan pada hari ini adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan
memotivasikan para murid agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam
semua bidang. Diharapkan semoga program seumpama ini dapat diadakan secara
berterusan pada masa-masa akan datang untuk murid yang cemerlang dan murid yang
ada sebarang peningkatan atau kemajuan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,


Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah
kepada murid-murid yang akan menerima hadiah nanti atas pencapaian mereka dan
diharapkan pencapaian kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja.
Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya
melekakan kita. Benar, kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna
bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta
pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa hadapan. Hakikatnya, kita
sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa
meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan
kecemerlangan.

Pada kesempatan ini, saya ingin memberikan pesanan kepada murid-murid yang
berada di sini bahawa, untuk menjadi seorang murid yang cemerlang, kita haruslah
mempunyai sikap rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa. Saya percaya bahawa
semua murid yang mendapat anugerah pada hari ini merupakan murid yang rajin
berusaha dan konsisten dalam melakukan sesuatu perkara khususnya yang berkaitan
dengan pembelajaran. Murid yang cemerlang biasanya rajin mengulang kaji pelajaran
pada setiap hari dan bukannya rajin menjelang peperiksaan semata-mata atau rajin
mengikut musim. Dalam masa yang masih berbaki kurang lebih satu bulan, saya
berharap agar semua murid yang berada di hadapan saya ini dapat memanfaatkan
masa yang ada untuk membuat ulang kaji dengan sebaik mungkin.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi untuk mengucapkan
tahniah dan syabas kepada pihak sekolah SMKA (P) AlMashoor kerana berjaya
menganjurkan Hari Apresiasi ke-5 SPM dan STPM sesi 2022/2023. Dengan lafaz
Bismillahhir-rahmannirahim (Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha
Penyayang) saya MERASMIKAN, Hari Apresiasi ke-5 SPM dan STPM SMKA (P)
AlMashoor untuk sesi 2022/2023

Sekian. Wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai