Anda di halaman 1dari 7

UCAPAN PERASMIAN

SMK DESA CEMPAKA TAHUN 2019


KHAMIS - 2 MEI 2019

Terima kasih saudara/saudari Pengacara Majlis.

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.
Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Negaraku Malaysia.

Yang Mulia Tengku Adnan Bin Raja Daud,


Pengetua SMK Desa Cempaka

Yang Berbahagia En Zainuddin Bin Hamat ,


Yang Dipertua PIBG SMK Desa Cempaka,

Yang Dihormati,

Barisan Penolong Kanan, Barisan Guru Kanan Mata Pelajaran,


Barisan Guru Cemerlang,Guru-guru, Barisan Ahli Jawatan Kuasa PIBG
SMK Desa Cempaka.

Yang Diraikan Para Penerima Anugerah, Para Ibu Bapa, dan Para
Murid Sekalian.

1. Saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah


kurnia-Nya dapat saya bersama dengan tuan-tuan dan puan-puan pada hari
yang penuh bermakna ini dalam Majlis Anugerah Sinar Terbilang SMK Desa
Cempaka bagi tahun 2019. Sebelum meneruskan ucapan, terlebih dahulu
saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak sekolah kerana
telah sudi menjemput saya ke majlis ini dan seterusnya menyampaikan sijil
kecemerlangan kepada para penerima anugerah.

Yang Berbahgia tuan-tuan, puan-puan serta hadirin sekalian,


2. Majlis pada hari ini merupakan satu penjelmaan kesepaduan akrab yang
terjalin antara guru, pelajar, dan ibu bapa demi merealisasikan aspirasi dan
impian para pelajar untuk mencipta kecemerlangan.Oleh itu, janganlah dilihat
majlis ini sebagai suatu upacara dan keraian semata-mata. Acara pada pagi
ini merupakan sesuatu yang lebih daripada itu iaitu merupakan suatu simbolik
yang memaknakan kejayaan semua pihak, iaitu individu atau entiti yang
terlibat secara langsung atau tidak langsung, dengan disedari atau tanpa
disedari di sebalik jejak tapak kecemerlangan yang telah dirintis oleh mereka.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada
seluruh warga SMK Desa Cempaka iaitu barisan pentadbir, guru-guru, para
pelajar dan staf atas sokongan dan usaha yang ditunjukkan dalam
mencemerlangkan murid sama ada dalam bidang akademik, kokurikulum
serta kemenjadian pelajar . Sebagai sebuah sekolah harian biasa, usaha
untuk mengangkasakan SMK Desa Cempaka sebagai sebuah sekolah
ternama sudah tentu menjadi salah satu misi utama pada tahun 2019 ini
maka hala tuju yang jelas perlu diberikan kepada seluruh warga SMK Desa
Cempaka bagi menjayakan misi sekolah. Saya kira cabaran terbesar seluruh
sekolah harian biasa adalah untuk mencapai satu tahap kecemerlangan yang
membanggakan juga mengekalkannya maka seharusnya semua warga SMK
Desa Cempaka dapat bersama-sama dengan para pentadbir bagi
memastikan sekolah ini dapat terus berusaha untuk mencipta keajaiban, dan
cuba sedaya upaya untuk mengekalkan prestasi yang sedia ada sama ada
dalam pencapaian akademik, iaitu SPM, PT3 di samping kecemerlangan
kokurikulum dan sahsiah yang sewajarnya seiring.
3. Memetik kata-kata ahli falsafah Yunani, “Orang yang hidup hanya dengan
harapan dan menunggu tanpa usaha dan fikir, akan mati kelaparan”. Oleh
itu, kepada para pelajar yang menjadi generasi pewaris kepimpinan dan
peneraju pembangunan negara, anda perlulah mempunyai jiwa besar dengan
lingkungan perspektif yang luas dan akal budi yang waras untuk membuat
sebarang pertimbangan hala tuju kehidupan diri, bangsa dan negara. Ramai
yang menganggap bahawa kepujian akademik sama ada dalam bentuk
ijazah atau diploma dan sebagainya menjadikan seseorang graduan itu orang
yang berpengetahuan. Tanggapan seumpama ini bukanlah tepat sepenuhnya
malahan perkara ini akan menjadikan seseorang itu jumud dan beku,
seterusnya akan menjadi culas dan kerdil untuk mentransformasikan dirinya
ke arah yang lebih baik.Dalam hal ini, anak-anak pelajar sekalian haruslah
bijak membuat perancangan dan hala tuju mengenai laluan akademik dan
kerjaya pada masa akan datang. Insya-Allah, dengan kebijaksanaan dalam
membuat pilihan ketika ini akan melakarkan masa hadapan yang unggul.
Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan selepas ini, anak-anak
mestilah bersedia untuk mencabar keupayaan sendiri dan berusaha di luar
batas kemampuan supaya cita-cita yang diimpikan dapat dipacu sebaik
mungkin oleh azam dan iltizam yang terbaik, ibarat kata orang tua-tua,
hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, dan yang bulat takkan datang
bergolek, yang pipih takkan datang melayang.

4. Oleh itu, visi dan misi anak-anak sekalian perlulah mula difokuskan untuk
melihat lebih jauh daripada skop SPM, STPM, diploma atau Matrikulasi.
Insan yang berjiwa besar sudah mampu melihat siapa dirinya dan tempat dia
berada 10 tahun akan datang. Menyambung pengajian ke peringkat Sarjana
dan Doktor Falsafah, memegang gelaran profesional atau menjawat jawatan
penting dalam bidang kerjaya atau menjadi usahawan berjaya. Itulah
bayangan yang perlu dijelmakan pada layar minda anda kini. Namun perlu
diingat bahawa kejayaan akademik semata-mata tidak menjamin
kesejahteraan dalam kehidupan ini. Pencapaian akademik ini perlu disulami
dan diisi juga dengan nilai moral, adab tertib, insaniah dan kerohanian.

Hadirin-hadirat yang dikasihi,


5. Dunia pendidikan hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran. Salah
satu cabaran yang perlu digalas oleh semua pendidik adalah untuk berfikir
dan bertindak bagi mengekalkan dan meningkatkan pencapaian berdasarkan
tahap keberhasilan yang ditetapkan. Kejayaan pengurusan sekolah
mendepani cabaran ini sesungguhnya menjadi ukuran kepada kecekapan
dan keberkesanan mereka dalam mentadbir dan mengurus sekolah. Inilah
masa yang sesuai untuk kita mempraktikkan kreativiti dan inovasi dalam
menjalankan tugas dan tanggungjawab.Saya percaya, kita pasti dapat
mengharungi segala cabaran yang bakal mendatang dengan adanya
semangat dedikasi, sifat tanggungjawab dan profesionalisme dalam kalangan
pendidik.

6. Mengungkap kembali penghujung tahun 2012, bermulalah


transformasi pendidikan yang mengorak langkah untuk meningkatkan kualiti
pendidikan supaya bertaraf dunia dalam kelompok 1/3 terbaik di dunia
melalui pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013
hingga 2025. Pelan ini akan melalui 3 gelombang, 5 aspirasi sistem, 6
aspirasi murid, 9 bidang keutamaan, dan 11 anjakan utama. Keberhasilan
sistem ini nanti akan menilai aspirasi murid dari segi, pengetahuan,
kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan
kerohanian serta identiti nasional manakala 5 aspirasi sistem yang
dihasratkan ialah akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan.

7. Dalam hal ini, tugas yang menanti para pendidik adalah untuk menjayakan
aspirasi pendidikan dengan hasrat bagi memenuhi agenda untuk
meningkatkan mutu pendidikan negara supaya bertaraf dunia dan boleh
duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara
berpendidikan tinggi seperti China, Finland, Korea dan Singapura.
Pendidikan hari ini tidak bergantung pada menelaah buku semata-mata
tetapi sebaliknya murid perlu berfikir dalam aras yang tinggi. Kemahiran
Berfikir Aras Tinggi (KBAT) membolehkan seseorang murid berkeupayaan
untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat
penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan,
berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu. Oleh hal yang demikian,
pendidikan hari ini sangat menekankan KBAT, PISA (Programme for
International Student Assessment) dan TIMSS (Trends in International
Mathematics and Science Study) yang tujuannya bagi mencapai standard
antarabangsa. Sudah tentu, dengan transformasi pendidikan hari ini akan
melahirkan generasi pewaris negara yang memiliki ciri-ciri yang unik,
cemerlang secara tekal dan berkeupayaan bersaing di peringkat
antarabangsa.

8. Seiring dengan transformasi pendidikan era baharu ini seperti mana yang
digariskan dalam PPPM, semua sekolah di Malaysia perlu bersiap siaga
mengorak langkah sederap untuk mendahului perubahan ini. Cabaran dan
persaingan dalam dunia pendidikan hari ini dilihat sebagai suatu yang positif.
Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah. Sekiranya kita alpa seketika
dengan kedudukan dalam zon selesa, kita khuatir kesan dan tempiasnya
akan mengenai generasi kita. Namun begitu, sebagai sebuah sekolah di
bawah naungan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) , semua warganya
perlulah merealisasikan visi dan misi KPM iaitu untuk melahirkan insan
cemerlang yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek. Hal ini bagi
mengekalkan peranan institusi sekolah di Malaysia sebagai wadah terbaik
dalam menjana insan yang mempunyai kecemerlangan ilmu, kemapanan
sahsiah, kesejagatan kepemimpinan dan kejituan patriotisme bagi melahirkan
ahli sains, teknokrat dan profesional yang dapat memenuhi aspirasi negara.

Sidang hadirin yang dihormati,

9. Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada tuan


pengetua dan barisan pentadbir kerana telah melakukan pelbagai inisiatif
pada tahun 2019 bagi membentuk kecemerlangan sekolah. Perubahan ini
bertujuan memberikan ruang pendidikan yang berkualiti kepada para murid.
Secara tidak langsung, perkara ini ialah langkah untuk melahirkan murid yang
memahami prestasi dan cabaran semasa dan yang dapat menghadapi
cabaran global pada masa akan datang dengan suksesnya. Di samping itu
juga, tumpuan kepada teknologi pengajaran terkini dan bersesuaian juga
menjadi nadi dalam amalan pendidikan kini walaupun di sekolah-sekolah
harian biasa yang mementingkan pembudayaan pengajaran dan
pembelajaran kelas abad 21 atau lebih dikenali sebagai “future classroom.”
Guru juga perlu mempunyai kemahiran tinggi dalam literasi multimedia (ICT)
selain bidang mata pelajaran yang diajar. Pendekatan yang dicadangkan
adalah berbentuk pembelajaran berpusatkan murid, pembelajaran
berpusatkan hasil/pendapatan (outcome based), pembelajaran berasaskan
penyelidikan, penggunaan kaedah kolaborasi dan pembelajaran merentasi
kurikulum. Maka, dengan ini kita berhasrat untuk menghasilkan output modal
insan iaitu warganegara yang berbakat luar biasa global atau Extraordinary
Global Citizen.

Hadirin-hadirat sekalian,

10. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah
kepada para ibu bapa yang telah berjaya membesarkan, mendidik dan
membimbing anak tuan-tuan sebagai insan cemerlang yang pastinya menjadi
kebanggaan seisi keluarga. Begitu juga kepada para guru, warga pendidik
yang saya kira menjadi tulang belakang yang cukup kuat dan hebat kepada
kejayaan anak-anak ini. Oleh itu sebagai tanda kasih sayang, penghargaan
dan terima kasih kepada guru-guru sekalian dan ibu bapa, saya meminta
semua penerima anugerah dan hadirin sekalian untuk memberikan tepukan
yang gemuruh buat mereka.

11. Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga SMK
Desa Cempaka kerana telah berjaya mengadakan majlis ini dengan penuh
istiadat dan tertib. Saya juga mendoakan semua warga SMK Desa Cempaka
diberikan kesihatan yang baik untuk menjalani ibadah puasa yang akan
mendatang dalam masa terdekat ini. Marilah kita bersama-sama
memanjatkan doa ,mudah-mudahan akan terus dilimpahkan rahmat
perlindungan dan naungan Tuhan kepada kita agar kita dapat terus iltizam
dengan usaha murni ini. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya
menyampaikan dua rangkap pantun :
Pohon sirih pohon selasih
Tumbuh merimbun di hujung laman
Kalungan budi junjungan kasih
Kekal cemerlang sepanjang zaman

Pada waktu pagi berlagu nazam


Girangnya rasa si anak dara
Warga SMK Desa Cempaka teruskanlah azam
Binalah bangsa bangunkan negara

Akhir sekali, dengan penuh sukacitanya, dengan lafaz yang mulia, lafaz
Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Anugerah Sinar Terbilang
dan perasmian Ihya Ramadan bagi SMK Desa Cempaka Tahun 2019.
Sekian, wabillahtaufikwalhidayah wassalamualaikum w.b.t.

Anda mungkin juga menyukai