Anda di halaman 1dari 3

Selamat sejahtera dan selamat datang saya ucapkan kepada tetamu kehormat,

para jemputan dan ibu bapa ke Majlis Anugerah Cemerlang SMK Raja Perempuan
Kelsom 2015. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua murid yang mendapat
anugerah cemerlang, juga kepada Tuan Pengetua, para guru dan ibu bapa yang telah
bertungkus lumus berusaha demi kejayaan anak-anak kita. Terlebih dahulu izinkan saya
mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang mengungkapkan kata-kata dan
menyusun bicara pada hari yang penuh bersejarah ini. Sebaris kata P.Ramlee, tiada
kata secantik bahasa, tiada gambar secantik lukisan, untuk dicurahkan perasaan.
Syukur, setelah mengharungi segala rintangan dan cabaran, akhirnya kejayaan
dapat dicapai oleh anak-anak kita yang cemerlang pada hari ini. Hari ini merupakan hari
yang bersejarah kerana ibu bapa menyaksikan kejayaan anak-anak dalam bidang
akademik. Segala kejayaan ini tidak akan terlakar tanpa komitmen dan kesungguhan
para guru dalam melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi, dengan
penuh rasa tanggungjawab untuk berbakti kepada pertiwi. Tuan-tuan dan puan-puan
merupakan ibu bapa dan penjaga yang berdedikasi dalam memastikan kebajikan dan
potensi diri anak-anak menjadi agenda utama tuan-tuan dan puan-puan. Terima kasih
saya ucapkan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk meraih kejayaan yang
lebih besar pada masa akan datang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Agenda pendidikan negara untuk mencapai taraf dan kualiti tinggi setanding
negara maju tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian oleh kerajaan. Peranan ibu
bapa dalam membantu pembelajaran anak tidak dapat dinafikan. Menurut Olsen &

Fuller (2008) apabila ibu bapa terlibat sama, sekolah akan mendapat manfaat seperti,
keyakinan guru meningkat, pencapaian murid meningkat, ibu bapa merasakan mereka
sebahagian dari sekolah dan lebih menyokong program sekolah, kes disiplin dalam
kalangan murid berkurangan dan hubungan menjadi lebih baik antara pentadbir, guru
dan ibu bapa. Dengan kata lain, ibu bapa perlu mengikis tanggapan murid menjadi
tanggungjawab sekolah sahaja kerana sekolah perlu dilihat sebagai tempat
persefahaman dan muafakat.
Sepanjang lima tahun menuntut ilmu di sekolah ini, saya telah menjadi saksi
kepada segala usaha dan komitmen yang begitu jitu yang telah ditunjukkan oleh pihak
sekolah dalam meningkatkan prestasi dan kualiti sekolah. Hal ini adalah bagi mencapai
visi dan misi sekolah ini yang selaras dengan matlamat negara kita dalam
menghasilkan generasi yang berjaya. Pelbagai jenis aktiviti-aktiviti telah dilakukan di
sekolah ini. Sebagai contohnya, Kem Kecemerlanagn bagi pelajar yang bakal
menduduki PT3, SPM dan STPM, Kelas Tambahan Terancang, pengenalan Buku
Komunikasi oleh Pengetua dan Kemahiran Belajar-I-Think telah dilakukan bagi
meningkatkan prestatsi murid-murid di dalam pelajaran mereka. Bukan itu sahaja,
pelbagai aktiviti juga telah dilakukan bagi memupuk minat belajar di kalangan muridmurid di sekolah ini. Anataranya ialah, Program Bacaan NILAM pada setiap hari Khamis
dan juga Pertandingan Buku Kegemaran Saya. Selain daripada itu, sekolah ini juga
telah melakukan banyak usaha dalam meningkatkan taraf kokurikulum dalam kalangan
pelajar di sekolah ini. Sebagai contohnya, Karnival 1 Murid 1 Sukan, Merentas Desa
dan juga kejohanan hari sukan yang telah mencungkil bakat-bakat pelajar di dalam
bidang sukan. Bagi pengetahuan hadirin sekalian, SMK Raja Perempuan Kelsom telah

menjuarai Kejohanan MSSD yang telah diadakan baru-baru ini. Selain daripada itu,
saya juga amat berbangga kerana pihak sekolah juga mengambil berat akan kesihatan
warga-warganya. Pelbagai aktiviti seperti Ceramah Penyakit TB, Ceramah Kanser
Serviks HPV, Rawatan Pergigian dan juga Taklimat Penyakit Kencing Manis telah
diadakan bagi memastikan para pelajar di sekolah ini mengambil berat akan kesihatan
mereka.
Ingin saya ungkapkan betapa syukurnya dan bertuahnya kerana berpeluang
menerima didikan di SMK Raja Perempuan Kelsom ini. Para gurunya amat berdedikasi
dan komited dalam menjalankan tanggungjawab. Para guru juga sanggup berkorban
masa dan tenaga demi kejayaan anak-anak didikannya. Istilah jemu dan keluhan tidak
pernah menerpa ke cuping telinga kami. Oleh itu, saya menyeru rakan-rakan dan adikadik sekalian untuk menghargai jasa dan pengorbanan guru. Usahlahlah dihimpunkan
segala kesumat di dada walau sekelumit sekali pun.
Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas kepada seluruh warga pendidik
dan pelajar yang telah bekerja keras untuk memastikan kejayaan dan kecemerlangan
SMK Raja Perempuan Kelsom. Kepada ibu bapa murid dan AJK PIBG yang telah
menyumbang dan memberi sokongan secara langsung mahu pun secara tidak
langsung diucapkan ribuan terima kasih.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai