Anda di halaman 1dari 3

Teks Ucapan YDP PIBG

 Mesyuarat Agung PIBG kali ke- 22

Terima kasih Pengacara Majlis, 

Yang Berusaha Tuan Zabidi Bin Nasan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa dari
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Yang Berusaha Puan Rohani Bt
Saad, Guru Besar SK Taman Ria, Yang berbahagia Muhammad Nahar bin Ahmad Fathil, Naib
Yang Dipertua PIBG, Ahli–ahli Jawatankuasa PIBG Guru-guru dan para ibu bapa yang saya
hormati sekalian. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya dapat
kita bersama-sama berkumpul dalam majlis yang mulia ini sempena Mesyuarat Agung PIBG SK
Taman Ria kali ke-22 ini. Pertama sekali, saya merakam ribuan terima kasih kepada Tuan
Zabidi kerana sudi hadir dalam majlis kita pada hari ini, walaupun berada dalam kesibukan
tugasan beliau. Kami berasa berbesar hati dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima
kasih dan penghargaan atas sokongan dan prihatin pihak tuan terhadap kami. Bagi pihak PIBG
sekolah, kita sedar bahawa Pendidikan banyak perubahan dari masa ke semasa. Saya juga
mengucapkan syabas dan terima kasih atas kehadiran tuan/puan, para ibu bapa yang
menggambarkan kesungguhan dan komitmen kita dalam meningkatkan kecemerlangan anak-
anak kita pada masa hadapan. 

Para hadirin sekalian,

Masa terus berlalu, tanpa kita sedar tahun ini, sekolah ini telah mencecah usia 22 tahun.
Walaupun begitu, banyak kecemerlangan dan kejayaan pihak sekolah telah cipta sama ada
dalam bidang akademik, ko akademik mahupun dalam bidang kokurikulum. Kejayaan dan
kecemerlangan ini menggambarkan kejayaan usaha guru-guru di sekolah ini yang tidak pernah
berasa putus asa dalam mendidik anak-anak kita. Kejayaan ini juga menggambarkan usaha
dan doa kita serta kerjasama yang terjalin kukuh antara guru dan ibu bapa selama ini diberkati
oleh Allah swt. Dalam usaha kita untuk menjana kecemerlangan ini, pihak PIBG menyokong
segala usaha pihak sekolah mengadakan pelbagai aktiviti samada dalam bidang akademik,
sukan, kebudayaan mahupun keagamaan untuk menjana minda, intelektual dan fizikal anak-
anak untuk bersaing ke peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Pihak
PIBG juga banyak memberi sumbangan dalam bentuk kewangan untuk pelbagai aktiviti
kurikulum dan kokurikulum sekolah supaya program yang dijalankan Berjaya dengan baik.
Hadirin hadirat yang dimuliakan, 

Sumbangan wang PIBG yang diberikan banyak membantu menjayakan aktiviti yang dijalankan
kepada murid-murid di sekolah. Begitu juga, saya ingin menyeru kepada semua yang hadir
hari ini agar kita sama-sama memberi sumbangan atau tuan-puan juga boleh berusaha
berganding bahu Bersama dalam meningkatkan kecemerlangan jasmani, emosi, rohani dan
intelek murid-murid di SK Taman Ria ini. Keikhlasan dan kerjasama kita semua untuk melihat
anak-anak kita dan sekolah ini akan menempa kejayaan bukan sahaja di dunia malahan di
akhirat kelak.

Ibu bapa sekalian patut sedar dewasa ini pelbagai masalah gejala sosial semakin menular
dalam kalangan anak-anak muda kita. Tanpa benteng kerohanian yang utuh, tidak mustahil
anak-anak kita juga turut tergelincir dalam menongkah arus negatif ini. Pelbagai gaya dan
pelbagai aksi sudah kita tontoni di dalam televisyen mahupun dalam saluran media sosial.
Mampukah kita berdepan dengan masalah ini jika anak-anak kita sebahagian daripadanya?
Saya juga menyeru kepada para ibu bapa agar mengambil kesempatan dan juga ruang,
malahan jangan sesekali melepaskan peluang sekiranya dihubungi oleh pihak sekolah untuk
hadir ke sekolah bagi berbincang permasalahan anak-anak tuan-puan. Tutur kata dan tingkah
laku anak-anak tuan-puan mungkin tidak sama semasa di rumah dan juga di sekolah, jadi
amatlah wajar sekali seandainya kita memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak
sekolah yang ternyata berusaha keras malah tulus ikhlas mahu membentuk anak-anak tuan-
puan menjadi insan yang terbilang dari segi akademik juga sahsiah.
Kecemerlangan sesebuah sekolah bukan sahaja bergantung kepada hebatnya guru-guru
mengajar, pakarnya pihak pentadbir mengurus sekolah, malahan perlu seiringan dengan
kecemerlangan murid dari aspek akademik, akhlak dan sahsiah yang hebat serta komitmen
padu para ibu bapa dan komuniti setempat.

Kita tidak boleh lepas tangan menyerahkan bulat-bulat urusan mendidik anak-anak kita kepada
pihak sekolah semata-mata. Amat molek kiranya kita boleh duduk berbincang tanpa ada rasa
sangsi antara kita. Jika pihak sekolah mengambil tahu segala tindak-tanduk anak-anak tuan-
puan dari sekecil-kecil laku umpama tidak menyiapkan kerja sekolah, membawa kepada
masalah ponteng kelas atau ponteng sekolah kepada sebesar-besar masalah, umpama gejala
vandalisme atau merosakkan harta benda sekolah, pergaduhan sesama mereka malahan juga
kes buli, itu menggambarkan kecaknaan guru-guru dan pihak sekolah terhadap anak-anak kita.
Sewajarnya lah kita memberi kerjasama kepada guru-guru ini dan juga pihak sekolah. Kita juga
harus mengelakkan sikap menunding jari sesama kita, tetapi patut mengambil jalan tengah
penyelesaian secara bersama untuk kebaikan kita bersama juga.
Hadirin dan hadirat sekalian,

 Sempena dengan mesyuarat PIBG kali ini, marilah kita menggunakan pendekatan
musyawarah jika timbul sebarang masalah atau salah faham sesama kita. Kita jadikan diri kita,
guru-guru dan masyarakat setempat sebagai satu komuniti yang saling lengkap-melengkapi.
Masalah disiplin dan tingkah laku anak-anak perlu kita tanganinya bersama. Masalah ponteng
sekolah yakni tidak hadir ke sekolah mesti diambil tindakan segera. Jangan kita biarkan anak-
anak kita tidak hadir tanpa sebab yang munasabah. Saya merasakan para guru akan merasa
bangga jika kita sebagai ibu bapa sentiasa mengambil berat dengan disiplin anak-anak kita di
sekolah. Kita harus sedar, kecemerlangan seseorang pelajar ini amat bergantung kepada
pendisiplinan mereka dalam menuntut ilmu. Mereka mesti disiplin dengan peraturan agama
Islam. Mereka juga mesti berdisiplin dengan peraturan sekolah. Untuk ini, kita perlu
mendampingi dan selalu bertanya khabar dengan guru tentang anak-anak kita. Jangan ambil
tindakan melulu berdasarkan maklumat daripada anak-anak kita semata.-mata. Mungkin sikap
mereka di rumah tidak sama dengan sikap mereka ketika di sekolah.

Akhir kata, sebelum saya menutup ucapan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih
kepada semua pihak terutama kepada guru-guru dan ibu bapa atas kerjasama padu demi
melihat kejayaan anak-anak murid semua. Saya tinggalkan tuan-puan dengan serangkap
pantun buat renungan semua, semoga menjadi panduan dalam kita berusaha mendidik anak-
anak kita menuju kecemerlangan akademik dan sahsiah.

Sampan kotak hilir mudik,


Dayung patah galah sebatang;
Ikhtiar tidak datang menggolek,
Akal tidak datang melayang .

 Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai