Anda di halaman 1dari 7

Destinasi Impian (Mohd Ismail Sarbini)

Sinopsis Keseluruhan
Cerita ini bermula dengan situasi perjalanan mengayuh basikal oleh Johari, Firdaus dan
Azlina. Perjalanan mereka dari Kampung Bukit Kapar ke Pantai Morib Baru adalah untuk
menyahut cabaran datuk. Jarak perjalanan mereka sejauh 50 kilometer. Firdaus sentiasa
merungut sepanjang perjalanan kerana destinasi mereka sangat jauh dan dia berasa letih. Johari
dan Azlina memberikan dorongan semangat dan pelbagai nasihat agar perjalanan mereka
diteruskan. Tujuan Johari mengajak Firdaus dan Azlina adalah untuk mengajar mereka supaya
mereka menjadi lasak, berdikari dan berani. Firdaus berasa bangga kerana berjaya mengayuh
basikal hingga Pantai Morib Baru. Kawan-kawan Firdaus berasa bangga atas kemampuan dan
kejayaan Firdaus mengayuh basikal. Akhirnya, Firdaus insaf dan sedar serta tidak bersikap
angkuh.

Sinopsis
Bab 1
Johari, Firdaus dan Azlina mengayuh basikal dari Kampung Bukit Kapar ke Pantai Morib
Baru kerana menyahut cabaran datuk. Jarak perjalanan tersebut sejauh 50 kilometer. Firdaus
sentiasa merungut sepanjang perjalanan kerana destinasinya jauh dan berasa letih. Johari dan
Azlina memberi dorongan semangat dan pelbagai nasihat agar perjalanan mereka diteruskan.
Tanpa kerelaan diri, Firdaus terpaksa meneruskan perjalanan tersebut.
Bab 2
Firdaus terus merungut dan berasa menyesal sepanjang perjalanan. Beliau berasa letih
kerana lama mengayuh basikal. Kepanasan cahaya matahari yang begitu lama menambahkan
lagi keletihan Firdaus. Firdaus menyatakan kekesalan kerana menyertai Johari dan Azlina dan
menganggap perjalanan sebagai perjalanan gila.

Bab 3
Azlina adik kepada Firdaus sangat berani dan tabah. Walaupun sebagai seorang
perempuan, dia mempunyai semangat dan daya juang yang tinggi. Meskipun berasa letih, Azlina
tetap ingin meneruskan perjalanan kerana mengikut sepupunya Abang Johari. Johari sentiasa
memberi nasihat dan dorangan kepada Azlina sebagai pembakar semangat untuk meneruskan
perjalanan.

Bab 4
Johari mempunyai hasrat tersirat sebab Firdaus dan Azlina perlu menyertai perjalanan
berbasikal. Tujuan Johari agar dapat mengajar Firdaus dan Azlina supaya tabah dan kuat
menghadapi cabaran. Selain itu, Johari mengharap agar Firdaus dan Azlina menjadi
seorang yang lasak, berdikari dan berani.
Bab 5
Firdaus berdendam terhadap adiknya, Azlina. Johari yang memainkan peranan untuk
mengubah sikap Firdaus. Johari berjanji pada dirinya untuk menghentikan perasaan api dendam
dan benci akan Firdaus terhadap adiknya, Azlina. Johari tidak menduga bagaimana Firdaus
boleh mendendami adiknya sendiri, Azlina.
Bab 6
Firdaus mula berasa bangga kerana perjalanan mengayuh basikal telah berakhir kerana
berjaya sampai ke destinasi Pantai Morib Baru. Firdaus tidak terduga kerana dapat berkayuh
basikal sejauh 50 kilometer. Firdaus berasa bangga atas kejayaannya sampai ke Pantai Morib
Baru. Firdaus gembira kerana ketibaannya telah disambut oleh kawan-kawannya Sazali, Mokhsin,
Salim dan Mazlinda. Kawan-kawan Firdaus berasa bangga atas kemampuan dan kejayaan Firdaus
mengayuh basikal.
Bab 7
Firdaus sampai di Pantai Morib Baru dan bergembira dengan kawan-kawannya. Johari
dan Azlina sengaja membicarakan tindakan Firdaus menghabiskan masa bersama dengan rakan-
rakan. Johari dan Azlina turut gembira dan bangga kerana Firdaus akhirnya berjaya sampai ke
destinasi perjalanan, Pantai Morib Baru.
Bab 8
Azlina berbual-bual dengan Kasmadiana tentang perjalanan berbasikal di pantai.
Kasmadiana memuji ketabahan dan kemampuan Azlina berbasikal sejauh 50 kilometer. Azlina
memberitahunya bahawa dia mengikuti Abang Johari dan menyahut cabaran datuknya.
Kasmadiana memberitahu bahawa abangnya Karman bersama Johari dan Tamrin merancang
hendak mengelilingi Malaysia dengan berbasikal. Semasa perbualan, mereka didatangi oleh Sazali
dan Moksin bertanya sama ada benar kenyataan yang diberikan oleh Firdaus bahawa dia sampai
dahulu ke Pantai Morib. Azlina menafikan dan mengatakan bahawa mereka berdua telah ditipu.
Bab 9
Firdaus bermimpi semasa tidur dalam khemah. Dalam mimpi itu, Firdaus banyak
mendapat pujian daripada Mazlinda. Selain itu, dia merasa bertuah kerana dapat berjumpa
dengan kawan pujaannya Mazlinda. Moksin dan Sazali telah mengetahui kisah sebenar dan cuba
mendapat kepastian daripada Firdaus. Firdaus cuba menafikan tetapi setelah dipaksa, akhirnya
dia mengaku bahawa dia telah berbohong. Dalam mimpi itu, Firdaus telah lemas dan menjerit
meminta tolong sehingga terjaga. Firdaus menerima sindiran tajam daripada Mazlinda, Johari
dan Azlina. Mulai saat itu, Firdaus telah sedar dan insaf.
Bab 10
Johari membawa berita tentang Firdaus yang ingin pulang sendiri. Azlina terkejut dengan
tindakan abangnya dan merasa bimbang. Johari cuba menenangkan Azlina dan memberi
penjelasan bahawa Firdaus mampu, yakin dan boleh berdikari selepas pengalaman yang dilalui.
Bab 11
Firdaus membuat keputusan untuk pulang sendiri. Dia mengetahui Johari dan Azlina
telah pulang dahulu. Kesempatan itu digunakan oleh Firdaus dan rakan-rakannya untuk mandi
manda di pantai. Semasa mandi, Firdaus betul-betul lemas kerana cuba
menyelamatkan Mazlinda yang pura-pura lemas. Firdaus telah diselamatkan oleh Mazlinda
kerana dia sebenarnya pandai berenang. Peristiwa itu telah menyedarkan dan menginsafkan
Firdaus agar tidak bercakap bohong dan bersikap angkuh lagi.

Bab 12
Firdaus tersedar daripada pengsan dan mendapati Azlinadan Johari berada di sisinya. Rakan-rakan
Firdaus datang untuk menziarahinya. Akhirnya,Firdaus menerima nasihat yang diberikan oleh Johari.

Tema
Novel ini membawa tema masalah dan konflik seorang remaja yang menghadapi cabaran
dalam hidup. Firdaus seorang individu yang berada dalam keadaan dicabar dan mencabar.
Bukan mudah untuk menghadapi cabaran dan bukan semua orang suka dicabar. Firdaus seorang
anak muda yang dicabar oleh orang yang akrab dalam keluarga
Persoalan
Terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam novel ini, antaranya:
i. Jiwa remaja yang mudah memberontak
Contoh: Firdaus seorang anak muda yang cepat mengalah dan tidak tahan menerima cabaran.
Akibatnya dia selalu sahaja merungut dan memberontak apabila mengalami kesusahan.
ii. Keprihatinan dan kemurahan hati terhadap insan lain.
Contoh: Johari sentiasa membantu sepupunya apabila ditimpa kemalangan. Beliau cepat-cepat
datang memberi bantuan kepada Firdaus dan Azlina ketika jatuh dari basikal.
iii. Keberanian mengharungi rintangan
Contoh: Azlina seorang perempuan berumur 16 tahun, pelajar tingkatan 4 sanggup menerima
cabaran untuk mengayuh basikal sejauh 50 kilometer. Sebagai seorang pelajar, dia mempunyai
daya juang yang tinggi dan penyabar.
iv. Keinsafan setelah sedar dari kesilapan
Contoh: Firdaus akhirnya menyesal apabila sedar dari melakukan kesilapan. Beliau seorang yang
panas baran, pembohong dan bersifat angkuh. Selepas peristiwa lemas di pantai, dia mula sedar
dan insaf dari kesalahannya.
v. Usaha dan kerjasama menghasilkan kejayaan

Contoh: Johari, Firdaus dan Azlina berjaya mengayuh basikal dan sampai ke destinasi Pantai
Morib Baru. Mereka berjaya kerana usaha yang gigih dan bekerjasama semasa dalam perjalanan.

Contoh persoalan:
Berdasarkan novel, Destinasi Impian karya Mohd Ismail bin Sarbini terdapat beberapa
persoalan dipaparkan dalam novel ini. Antaranya, ialah jiwa remaja yang mudah memberontak.
Firdaus seorang anak muda yang cepat mengalah dan tidak tahan menerima cabaran. Akibatnya
Firdaus selalu sahaja merungut dan memberontak apabila mengalami kesusahan.
Selain itu, keberanian mengharungi rintangan juga salah satu persoalan dalam novel
ini. Azlina seorang perempuan berumur 16 tahun, pelajar tingkatan 4 sanggup menerima
cabaran untuk mengayuh basikal sejauh 50 kilometer. Sebagai seorang pelajar, dia mempunyai
daya juang yang tinggi dan penyabar.
Persoalan terakhir ialah keinsafan setelah sedar dari kesilapan. Firdaus akhirnya menyesal
apabila sedar dari melakukan kesilapan. Beliau seorang yang panas baran, pembohong dan
bersifat angkuh. Selepas peristiwa lemas di pantai, dia mula sedar dan insaf dari kesalahannya.
Watak dan Perwatakan
Firdaus (watak utama)
o Tingkah laku agak keperempuanan.- seorang yang agak lembut perwatakannya kerana hanya dia
seorang anak lelaki dalam keluarganya.
o Seorang yang gemar duduk di rumah berbanding dengan melakukan aktiviti luar - Firdaus beria-
ia mahu pulang ke rumah dan tidak mahu meneruskan rancangan mereka untuk berbasikal ke
Morib.
o Selalu dimanjakan - Dia dimanjai dan segala kemahuannya dituruti oleh ibu bapanya
memandangkan sebelum ini ibu bapa mereka mempunyai empat orang anak perempuan sebelum
memiliki Firdaus.
o Pendendam - Firdaus mendendami adiknya, Azlina. Dia langsung tidak membantu Azlina yang
tercedera.
Azlina (watak sampingan)
o Olahragawati Sekolah Menengah Kapar- Azlina yang merupakan olahragawati Sekolah Menengah
Kapar kelihatan aktif dan tidak letih meneruskan kayuhan.
o Suka mengejek Firdaus- Azlina selalu menyindir Firdaus bagi merangsang Firdaus untuk berubah
menjadi lelaki yang gagah. Azlina mengejek Firdaus kerana dia mahukan seorang abang yang
sememangnya seorang lelaki.
o Seorang yang kuat semangat- Azlina yang kelihatan cergas dan gembira walaupun mereka telah
mengayuh selama empat jam setengah.
o Suka akan cabaran- Azlina dan Firdaus menyahut cabaran datuk mereka untuk berbasikal ke
Morib.
Contoh watak utama
Berdasarkan novel, Destinasi Impian karya Mohd Ismail bin Sarbini watak utama dalam
novel ini ialah Firdaus.
Firdaus merupakan seorang yang bertingkah laku agak keperempuanan. Dia seorang yang
agak lembut perwatakannya kerana hanya dia seorang anak lelaki dalam keluarganya. Dia juga
seorang yang gemar duduk di rumah berbanding dengan melakukan aktiviti luar. Firdaus beria-
ia mahu pulang ke rumah dan tidak mahu meneruskan racangan mereka untuk berbasikal ke
Morib.
Selain itu dia seorang yang selalu dimanjakan. Firdaus dimanjai dan segala kemahuannya
dituruti oleh ibu bapanya memandangkan sebelum ini ibu bapa mereka mempunyai empat
orang anak perempuan sebelum memiliki Firdaus.
Akhirnya, dia seorang yang suka berdendam, Firdaus mendendami adiknya, Azlina.Dia
langsung tidak membantu Azlina yang tercedera.
Contoh watak sampingan / kegemaran
Berdasarkan novel, Destinasi Impian karya Mohd Ismail bin Sarbini watak sampingan/watak
kegemaran saya dalam novel ini ialah Azlina. Dia merupakan seorang atlet sukan. Azlina
merupakan olahragawati Sekolah Menengah Kapar kelihatan aktif dan tidak letih meneruskan
kayuhan. Dia seorang yang suka mengejek Firdaus, Azlina selalu menyindir Firdaus bagi
merangsang Firdaus untuk berubah menjadi lelaki yang gagah. Azlina mengejek Firdaus kerana
dia mahukan seorang abang yang sememangnya seorang lelaki. Bukan itu sahaja, dia juga
seorang yang kuat semangat. Azlina yang kelihatan cergas dan gembira walaupun mereka telah
mengayuh selama empat jam setengah. Akhirnya dia seorang yang suka akan cabaran. Azlina
dan Firdaus menyahut cabaran datuk mereka untuk berbasikal ke Morib.

Nilai
 Cinta akan bahasa kebangsaan – Azlina cinta akan bahasa kebangsaan. Dia sanggup
memberhentikan basikalnya dan mengambil gambar beberapa papan tanda yang mempunyai
kesalahan bahasa.
 Keberanian – Mazlinda berani menyelamatkan Firdaus yang kelemasan di lautan.
 Keprihatinan – Johari prihatin memberikan bantuan kepada Azlina semasa Azlina luka akibat
terjatuh dari basikalnya.
 Bertanggungjawab – Johari dan Azlina rasa bertanggungjawab untuk mengubah tingkah laku
dan pemikiran Firdaus agar menjadi lelaki yang sejati.
 Semangat setia kawan – Rakan-rakan Firdaus sanggup mendirikan khemah di Pantai Morib
bagi menyambut Firdaus yang telah berjaya menghabiskan kayuhannya.
Contoh Nilai :
Berdasarkan novel, Destinasi Impian karya Mohd Ismail bin Sarbini terdapat beberapa
nilai yang dipaparkan dalam novel ini.
Antaranya ialah nilai cinta akan bahasa kebangsaan. Azlina cinta akan bahasa
kebangsaan. Dia sanggup memberhentikan basikalnya dan mengambil gambar beberapa papan
tanda yang mempunyai kesalahan bahasa.
Seterusnya, nilai kedua ialah nilai bertanggungjawab. Johari dan Azlina rasa
bertanggungjawab untuk mengubah tingkah laku dan pemikiran Firdaus agar menjadi lelaki
yang sejati.
Nilai lain dalam movel ini ialah nilai semangat setia kawan. Rakan-rakan Firdaus sanggup
mendirikan khemah di Pantai Morib bagi menyambut Firdaus yang telah berjaya menghabiskan
kayuhannya.

Pengajaran
o Kita janganlah mempunyai perasaan hasad dengki dalam diri.
o Kita janganlah menghina sesama sendiri.
o Kita hendaklah berani menyahut cabaran.
o Kita haruslah insaf atas kesalahan yang telah kita lakukan.
o Kita janganlah berdendam terutamanya kepada adik-beradik.
o Kita janganlah bercakap bohong.
Contoh pengajaran:
Berdasarkan novel, Destinasi Impian karya Mohd Ismail bin Sarbini terdapat beberapa
pengajaran dipaparkan dalam novel ini.
Antaranya ialah kita hendaklah berani menyahut cabaran. Azlina seorang perempuan
berumur 16 tahun, pelajar tingkatan 4 sanggup menerima cabaran untuk mengayuh basikal
sejauh 50 kilometer. Sebagai seorang pelajar, dia mempunyai daya juang yang tinggi dan
penyabar.
Selain itu, kita haruslah insaf atas kesalahan yang telah kita lakukan. Firdaus akhirnya
menyesal apabila sedar dari melakukan kesilapan. Beliau seorang yang panas baran, pembohong
dan bersifat angkuh. Selepas peristiwa lemas di pantai, dia mula sedar dan insaf dari
kesalahannya.
Pengajaran lain dalam novel ini ialah kita hendaklah prihatin dan murah hati terhadap
insan lain. Johari sentiasa membantu sepupunya apabila ditimpa kemalangan. Beliau cepat-cepat
datang memberi bantuan kepada Firdaus dan Azlina ketika jatuh dari basikal.

Anda mungkin juga menyukai