Anda di halaman 1dari 7

Karangan Respons Terbuka / Umum

Admin | Karangan SPM | August, 15 2010 | 22 Comments Menu Khas ke Arah Kecemerlangan Karangan Respons Terbuka Karangan yang ditulis mesti mempunyai introduksi yang efektif dan kreatif. Malangnya, banyak calon SPM yang tidak berinisiatif/berprakarsa untuk meningkatkan kualiti penulisan karangan, khasnya pendahuluan. Rata-rata pendahuluan merupakan stereotaip, yakni tidak mengandungi atau menunjukkan ciri-ciri yang baru atau asli; biasa sahaja sebagaimana yang sering kali kedapatan. Pelajar jahil tentang jenis pendahuluan yang perlu diterapkan selaras dengan jenis karangan. Dengan erti kata lain, calon SPM gagal untuk menarik hati pemeriksa kerana kebanyakannya stereotaip sehingga membosankan pemeriksa. Ingat, seseorang pemeriksa perlu memeriksa ratusan skrip jawapan. Jadi, anda perlu menampilkan pendahuluan yang unggul, yakni menonjol dan melebihi yang lain. Yang mustahak, pendahuluan haruslah memenuhi cita rasa pemeriksa, yakni menepati skema pemarkahan, bukannya mengikut cita rasa sendiri. Dalam penulisan ini, pendahuluan jenis pendapat tokoh dipaparkan untuk dijadikan tunjuk ajar dan seterusnya meningkatkan mutu penulisan. Dalam pendahuluan jenis ini, pendapat tokoh berkaitan dengan tajuk perbincangan ditampilkan. Tokoh yang dikemukakan itu hendaklah dikenali dan dihormati. Pendapat ini ditulis dalam bentuk prosa atau dalam bentuk dialog, iaitu dalam pengikat kata. Pendapat ini tidak semestinya yang sahih. Anda boleh mereka cipta pendapat itu dan memaparkannya sebagai pendapat tokoh. Sesuatu pendahuluan perlu mempunyai 3 elemen, yakni tajuk perbincangan, huraian tajuk, dan fokus/skop perbincangan. Ketiga-tiga unsur ini hendaklah dipaparkan dalam 3 jenis ayat, yakni ayat rangsangan (AR), ayat huraian (AH), dan ayat arahan (AA). Tajuk karangan: Permainan tradisional Fokus karangan : Langkah-langkah menghidupkan permainan tradisional semula Format karangan: Tiada

TAJUK KARANGAN: BUDAYA LEPAK FOKUS KARANGAN: KESAN-KESAN NEGATIF FORMAT KARANGAN: CERAMAH / SYARAHAN KARANGAN CONTOH GRED A+ 1.0 CONTOH KATA ALU-ALUAN [Ayat Format] Selamat pagi dan salam sejahtera. Yang Mula Tuan Pengeusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, Encik Daim bin Ahmad Azizul, guru-guru, serta para pelajar yang saya hormati sekalian. [Ayat Format] Terlebih dahulu, saya ingin memanjatkan syukur kepada Tuhan kerana mempertemukan kami dalam majlis ini serta ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana memberi saya peluang untuk menyampaikan ceramah pada pagi ini. [Ayat Format] Tajuk ceramah saya pada pagi yang mula ini ialah Budaya Lepak Tidak Mendatangkan Sebarang Faedah. 2.0 CONTOH PENDAHULUAN [Ayat Rangsangan] Dewasa ini, (bukan Maracapada / Mutakhir ini) isu budaya lepak tak lekang di bibir masyarakat kita. [Ayat Huraian] Kita sering melihat golongan pelajar berpelesiran dan melepak di gedung beli-belah, di kaki lima kedai, di tepi jalan, dan sebagainya sama ada pulang dari sekolah, ponteng sekolah, selepas kegiatan kokurikulum atau selepas kelas tuisyen. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran, lebih daripada 500 orang pelajar dilaporkan membolos (=ponteng sekolah) dan melepak di pusat-pusat beli-belah saban hari. [Ayat Huraian] Senario ini bukan sahaja menyebabkan ibu bapa seperti cacing kepanasan bahkan mencemaskan pihak kerajaan kerana menjejaskan masa depan generasi muda dan negara. [Ayat Arahan] Hal ini tidak harus

dipandang enteng kerana gejala lepak mendatangkan dampak (=impak/kesan) negatif kepada remaja, masyarakat, dan negara. 3.0 CONTOH PERENGAN ISI DEDUKTIF Hadirin yang saya hormati, [Ayat Topik] Gejala lepak dalam kalangan remaja, tidak dapat dinafikan, membazirkan masa mereka. [Ayat Pengembangan: Huraian + Contoh] Mengapa tidak? Ada yang menjadi kutu embun, yakni melepak sehingga kokok ayam pertama berkumandang. Mereka langsung tidak mengacuhkan kepentingan masa; langsung tidak menghargai waktu; dan langsung tidak menghayati masa itu emas. Mereka berlagak seolah-olah tidak ada kerja rumah yang perlu dibereskan ataupun tiada ulang kaji pelajaran secara konsisten yang perlu dilakukan demi menempuh ujian bulanan ataupun ujian semester. Apabila ketinggalan dalam pelajaran, mereka menudingkan jari ke arah pihak sekolah seolah-olah pihak sekolah mengabaikan tanggungjawab. Mereka merungut bahawa sistem pelajaran kita terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga mendesak Kementerian Pelajaran memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR. [Ayat Penyimpul] Pendek kata, budaya lepak bukan sahaja membuang masa bahkan menjejaskan pelajaran remaja. 4.0 CONTOH PERENGAN ISI INDUKTIF Hadirin yang saya muliakan, [Ayat Pengembangan: Huraian + Contoh] Akhir-akhir ini, masalah sosial yang membabitkan pelajar ataupun remaja kian berleluasa dalam mayarakat kita. Kes-kes pembuangan bayi, pencabulan maruah anak gadis, pergaulan bebas, perlakuan samseng, dan sebagainya sering dipaparkan dalam media cetak mahupun media elektronik dewasa ini. Kata orang tua-tua, Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang. Bagi saya, masalah sosial yang kian menjadi-jadi ini berkait rapat dengan gejala lepak kerana kemelut sosial berpokok pangkal daripada pengaruh rakan sebaya yang berkelakuan liar dan bobrok akhlak. Kata-kata seorang pakar motivasi yang tersohor, Dato Dr. Fadzilah Kamsah, masih segar dalam minda saya. Katanya, jika kita berjinak-jinak dengan si penjual minyak wangi, maka harumlah badan kita; jika kita berjinak-jinak dengan si tukang besi, maka percikan api akan mengena badan kita. Kata-kata beliau itu memang berpijak di bumi nyata. Gejala mat rempit ataupun samseng jalanan memang bertitik tolak daripada pergaulan secara beramai-ramai. Mereka bukan sahaja terbabit dalam perlumbaan haram bahkan terjermurus dalam kemungkaran, seperti penagihan dadah, perjudian, dan pelacuran. [Ayat Topik] Dengan erti kata lain, gejala lepak menjadi pokok pangkal masalah sosial yang serius di negara kita. 5.0 CONTOH PERENGAN ISI DEDUKTIF-INDUKTIF Hadirin yang saya muliakan, [Ayat Topik] Selain kemelut sosial, gejala lepak mencemari imej negara di mata dunia. [Ayat Pengembangan: Huraian + Contoh] Melepak secara beramai-ramai di tempat tumpuan orang ramai, seperti di kompleks beli-belah, bukan sahaja memberikan suatu pandangan yang negatif bahkan mencolok mata orang yang memandang. Para pelancong asing, misalnya, akan beranggapan bahawa generasi muda kita seperti sampah masyarakat dan tidak bertamadun. Hal ini demikian kerana gelagat remaja yang melepak, merokok, menghidu gam, berpelesiran, bergelandangan, berfoya-foya, mengganggu ketenteraman awam, mengadang laluan, bermain gitar, menconteng, melaku musnah dan sebagainya dalam khalayak ramai sudah pasti akan mencemari imej negara kita. Dalam usaha mereaslisaikan Wawasan 2020 dan Konsep 1Malaysia, generasi muda kita berkelakuan kurang ajar ataupun biadab. Implikasinya, sektor pelancongan kita sudah tentu menerima tempiasnya. Ingat, alaf ini zaman siber! Apa-apa yang dirakamkan dengan alat perakam video, kamera digital

ataupun telefon bimbit dapat dimuat naik dalam alam siber sama ada melalui Youtube ataupun melalui Facebook. [Ayat Topik] Dengan kata-kata lain, bukan sekadar imej negara akan tercemar bahkan industri pelancongan akan terjejas gara-gara budaya lepak. 6.0 CONTOH PERENGAN INTIHA Hadirin yang saya kasihi, [Ayat Kesimpulan] Sebelum saya menutup tirai, saya ingin menegaskan bahawa gejala lepak menggelapkan hari muka generasi muda, mengganggu gugat keharmonian masyarakat, dan menghancurkan kemakmuran negara. [Ayat Cadangan] Selaku remaja yang berhemah, kita sewajarya mengetahui tanggungjawab kita kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa serta negara. Manfaatkanlah masa yang terluang dengan aktiviti-aktiviti yang sihat seperti membaca, beriadah, berekreasi dan melancong, beribadat, beramal dan bukannya dengan aktiviti-aktiviti yang mengundang musibah, terutamanya lepak, ponteng sekolah, menghidu gam, dan sebagainya. Janganlah menjadi hamba kepada hawa nafsu kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa. Dan, usalah terhantuk baru tengadah! Jadilah generasi yang berhemah, berwawasan, berpelajaran, bertanggungjawab, dan berpatriotik. [Ayat Harapan] Dengan ini, akan lahirlah modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta pelapis pemimpin negara yang berwibawa dan berterampilan sekali gus kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju di persada antarabangsa. [Ayat Format] Sekian, terima kasih. Ditulis dan disumbangkan oleh Cikgu Merezukhi bin Azizul Rahman Hak Cipta Terpelihara www.karanganspm.com Jika hendak memetik karangan ini untuk tujuan P&P, sila nyatakan sumbernya. TAJUK KARANGAN: PONTENG SEKOLAH FOKUS KARANGAN: PUNCA/FAKTOR/PENYEBAB FORMAT KARANGAN: PERBINCANGAN/PENDAPAT KARANGAN CONTOH GRED A+ 1.0 PENDAHULUAN [Ayat Rangsangan] Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pelajaran, kes ponteng sekolah tercatat bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain. [Ayat Huraian] Menurut beliau, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya kepada pelbagai pihak mengenai pokok pangkal fenomena ini. Siapakah yang harus bertanggungjawab dalam hal ini? Apakah kepincangan sistem pendidikan kita? Adakah pihak ibu bapa lepas tangan dalam soal pendidikan? Atau, adakah gejala ini berpangkal daripada pengaruh rakan sebaya? Gejala ini dipandang berat kerana perlakuan tersebut memungkinkan seseorang pelajar hilang sifat bertanggungjawab, akan ketinggalan dalam pelajaran, dan yang paling dikhuatiri mereka akan melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan sosial yang negatif. [Ayat Arahan] Persoalannya, apakah penentu-penentu perdana yang menyumbang kepada gejala ponteng sekolah atau bolos yang kian meruncing dalam kalangan pelajar kita ini? 2.0 ISI-ISI PENTING Faktor 1: Senario persekitaran rumah tangga yang tidak kondusif [Ayat Topik] Antara penyumbang utama kepada gejala ponteng sekolah ialah senario persekitaran rumah tangga yang tidak kondusif. [Ayat Huraian] Rumah tangga yang porakperanda ataupun institusi keluarga yang retak gara-gara perceraian ataupun tiadanya

persefahaman antara ibu dengan bapa menyebabkan pelajaran anak terabai. Oleh sebab konflik dan tekanan jiwa, mereka langsung tidak mengambil berat tentang pelajaran anak mereka. Implikasinya, baik kerja-kerja rumah mahupun ulang kaji pelajaran tidak dipedulikan sehingga tercicir dalam pelajaran. Apabila terkandas dalam pelajaran, mereka akan memencilkan diri dan berjinak-jinak dengan rakan sebaya yang menghadapi masalah yang sama. [Ayat Contoh] Menurut Dr. Ting Chew Peh, segelintir pelajar yang membolos sekolah berkait rapat dengan keruntuhan rumah tangga. Beliau mengatakan bahawa kepincangan keluarga mempengaruhi pencapaian akademik kerana ibu bapa bersikap acuh tak acuh terhadap prestasi akademik anak-anak mereka. Implikasinya, kecenderungan mereka terhadap pelajaran terbantut sekali gus mencari jalan keluar untuk menangani kemelut itu dengan ponteng sekolah. [Ayat Penyimpul] Pendek kata, kepincangan rumah tangga menjejaskan akademik anak sekali gus mendorong mereka ponteng sekolah. Faktor 2: Pengaruh rakan sebaya [Ayat Topik] Pengaruh rakan sebaya yang menyumbang kepada berleluasnya gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar tidak dapat dinafikan. [Ayat Huraian] Kawan-kawan menjadi orang yang rapat dengan mereka; kawan yang baik boleh membimbing mereka ke arah kebaikan, namun jika tersilap langkah dalam memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk, terutamanya ponteng sekolah. Hal ini demikian kerana remaja yang umur setahun jagung, darah setampuk pinang terlalu mudah mempercayai rakan sebaya dan tidak dapat membezakan intan daripada kaca. [Ayat Contoh] Menurut Prof. Dr. Fatimah Yusoff, seandainya mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan kononnya lebih memahami perasaan mereka, dengan mudah mereka mengikut mereka ponteng sekolah dan melepak di pusat beli-belah dan sebagainya. Mereka terlupa bahawa kawan juga kadangkala boleh makan kawan. [Ayat Penyimpul] Tegasnya, pengaruh rakan sebaya merupakan pokok pangkal berleluasanya gejala ponteng sekolah. Faktor 3: Kepincangan sistem pendidikan [Ayat Topik] Selain masalah peribadi dan pengaruh rakan sebaya, kepincangan sistem pendidikan turut mencetuskan masalah ponteng sekolah. [Ayat Huraian] Dalam konteks ini, sistem pendidikan kita yang terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan para pelajar, khususnya pelajar lembap dalam pelajaran, berasa tertekan. [Ayat Contoh] Misalnya, isi kandungan sukatan pelajaran, iaitu mata pelajaran yang mendesak pelajar supaya menghafaz fakta-fakta sejarah, geografi, pendidikan moral dan sebagainya. Mereka pun hilang kecenderungan untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Implikasinya, mereka yang lemah semangat dan keimanan mudah berputus asa akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih tekun dan cerdas. Buktinya, kes ponteng banyak membabitkan pelajar yang lemah berbanding dengan pelajar yang cerdas. Mereka pun bertindak untuk ponteng sekolah bersama-sama dengan rakan kerana tertinggal atau tercicir dalam bidang akademik. [Ayat Penyimpul] Dengan erti kata lain, gejala ponteng sekolah bertitik tolak daripada kelemahan sistem pendidikan kita. 3.0 INTIHA [Ayat Kesimpulan] Intihanya, masalah ponteng sekolah disebabkan oleh faktor keluarga, rakan sebaya, dan sekolah. Sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani masalah ini. [Ayat Cadangan] Dalam hal ini, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Unit Bimbingan dan Kaunseling haruslah memainkan peranan yang penting dalam usaha mencelikkan mata para pelajar bahawa gejala ponteng sekolah merupakan titik tolak kepada gejala-gejala sosial seperti merokok, arak, seks bebas, laku musnah, dadah, budaya samseng, dan sebagainya. Pihak kerajaan haruslah merombak sistem pendidikan,

bukannya memansuhkan peperiksaan awam, agar tidak terlalu mendera para pelajar dari segi mental dan emosi. [Ayat Harapan] Dengan wujudnya kerjasama ini, bukan sahaja kita dapat mencapai ponteng sifar bahkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dilahirkan agar dapat bersaing di persada antarabangsa. Ditulis dan disumbangkan oleh Cikgu Shahidan bin Mansor Hak Cipta Terpelihara www.karanganspm.com

Anda mungkin juga menyukai