Anda di halaman 1dari 18

MENITI IMPIAN

Tema: keazaman dan kegigihan seorang remaja berusaha mengejar impian dan cita-
citanya untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Huraian
1. Walaupun Zahar tidak dapat meneruskan persekolahan di peringkat yang lebih
tinggi,dia tidak berputus asa sehingga berjaya mendapat sijil MLVK di IKM.
2. Zahar tidak berputus asa belajar dengan tekun di IKM walaupun dipandang
rendah dan hina oleh Suhaili yang berkelulusan ITM.
3. Setiap nasihat daripada Cikgu Baharun di dalam kelas diikuti dan difahami
dengan bersungguh-sungguh kerana Zahar ingin mendapat keputusan yang
cemerlang dalam pelajarannya.
4. Sebelum menghadapi peperiksaan,Zahar sudah berasa yakin kerana sejak awal
lagi,dia sudah belajar bersungguh-sungguh dan berazam untuk mendapat
kejayaan yang cemerlang.
5. Penghinaan Suhaili terhadap kelulusan IKM yang susah mendapat pekerjaan
dijadikan sebagai penguat semangat bagi Zahar untuk berusaha dengan gigih
untuk berjaya walaupun hanya belajar di IKM.
6. Walaupun hanya membuat latihan dalam loji di kilang tersebut,namun Zahar
tetap bekerja bersungguh-sunggh sehingga dia ditawarkan pekerjaan tetap di
kilang tersebut tetapi dia telah menolaknya.
7. Akhirnya Zahar berjaya membawa kelulusan yang cemerlang dan pulang ke
kampung dengan membina bengkel perabotnya sendiri yang dibina atas
tanahnya sendiri bernama Bengkel Meniti Impian.

Persoalan:

1. Ketekunan/Kegigihan membawa kejayaan. Contoh: Zahar sangat tekun /gigih


berusaha menuntut ilmu di IKM dan menjalani latihan dalam loji yang akhirnya
berjaya mempunyai bengkel perabotnya sendiri.
2. Minat dan kebolehan membuahkan hasil. Contoh, Pak Yusuf membuka bengkel
perabot secara kecil-kecilan walaupun dia tidak mempunyai sijil kemahiran
dalam bidang tersebut dan Zahar sangat meminati bidang pertukangan dan
banyak belajar daripada Pak Yusuf sehingga dia berjaya menjadi pelajar
cemerlang di IKM.
3. Konflik percintaan dalam kalangan remaja. Contoh, Zahar mempunyai perasaan
terhadap Suhaili tetapi Suhaili tidak menyukai Zahar kerana taraf pendidikan
mereka berbeza dan Norimi menaruh perasaan kepada Zahar tetapi amat
cemburu.
4. Keharmonian hidup masyarakat di kampung. Contoh, Majlis kenduri kesyukuran
yang berlangsung di rumah Pak Karim dihadiri oleh semua orang kampung yang
membantu dalam menyediakan hidangan untuk majlis tersebut. Atau, Orang
kampung bergotong-royong membantu Zahar untuk mendirikan bengkel
perabotnya dan Zahar menjamu mereka dengan hidangan tengah hari.
5. Keikhlasan dalam persahabatan. Misalnya, Razali ikhlas membantu Zahar ketika
Zahar menjalani latihan dalam loji dengan menumpangkan Zahar di rumahnya. /
Zahar dan rakan-rakan di IKM serta di kampung saling memberi sokongan antara
satu sama lain.
6. Kepentingan ilmu dan pelajaran. Contohnya: Setiap kali pulang ke
kampung.Zahar tidak pernah lupa menasihati adik-adiknya supaya tidak
mengabaikan pelajaran. Walaupun gagal memasuki Tingkatan 6, Zahar
meluahkan hasrat untuk memasuki Tingkatan 6 swasta tetapi terbantut kerana
kemiskinan/ Tauke Lim berharap agar anak perempuannya yang bercita-cita
menjadi akauntan akan lulus dalam peperiksaan SPM/ Zahar berjaya dengan
cemerlang di IKM kerana dia sedar kepentingan menuntut ilmu/ Pak Yusuf
membiayai kedua-dua orang anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran di
universiti.
7. Persoalan tanggungjawab yang perlu dijalankan. Contohnya: Setelah kematian
suaminya, Mak Kiah menoreh getah, membuat tikar mengkuang dan mengambil
upah menjahit pakaian untuk menyara kehidupan keluarganya/ Mak Temah
menghidangkan makanan kepada suaminya Pak Yusuf sebagai memenuhi
tanggungjawabnya sebagai isteri/ Pak Yusuf berusaha menyiapkan rak kasut
yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh imam masjid
8. Persoalan Kehidupan masyarakat kampung yang sederhana. Contohnya Mak
Temah menghidangkan hidangan makan tengah har berlaukan gulai ikan
talang,ulam pucuk pegaga dan sayur tumis pucuk paku.
9. Perpaduan antara kaum. Contohnya, Tauke Lim menempah empat buah meja
kayu daripada Pak Yusuf setelah dia berpuas hati dengan hasil perabot yang
dibuat oleh Pak Yusuf.
10. Bersabar dengan penghinaan orang. Contohnya, Zahar tetap bersabar dengan
sikap Suhaili yang menghina mereka yang berkelulusan IKM yang kononnya akan
merempat dan susah untuk mendapat pekerjaan.
11. Mematuhi peraturan dan disiplin. Contohnya, Zahar,Ramli dan rakan-rakannya
mematuhi arahan untuk berbaris dengan tegak semasa minggu suai kenal di
IKM.
12. Kegigihan mencari rezeki. Contohnya, Mengetahui kesusahan keluarganya,
Zahar tetap membantu – pekerjaan ibunya Mak Kiah setiap kali cuti semester.
Sejak setahun yang lalu,Zahar bekerja di bengkel Pak Yusuf untuk menyara
keluarganya.
13. Memandang rendah orang lain. Contohnya, Sikap Suhaili yang memandang
rendah kepada Zahar kerana dia sedang belajar di ITM manakala Zahar hanya
berjaya menjadi pelatih IKM.
14. Semangat kesukanan. Contohnya, Walaupun telah memenangi perlawanan bola
sepak dengan pasukan IKM Alor Setar,pelatih-pelatih IKM Sungai Petani tetap
mengawal diri supaya tidak menguris perasaan lawannya. Zahar tidak
menganggap bahawa kemenangan pasukan bola sepak IKM Sungai Petani
merupakan usahanya sendiri sebaliknya semua ahli pasukannya yang telah
membawa kejayaan.
15. Hidup bergotong-royong. Penduduk kampung bergotong-royong mendirikan
bengkel Zahar tanpa mengira terik panas matahari. Penduduk kampung
bekerjasama apabila adanya kenduri kendara dan mengeratkan hubungan
silatulrahim.
https://guruselamanya.wordpress.com/2016/02/12/novel-meniti-impian-
osman-ayob/

http://novelmenitiimpian.blogspot.com/

https://aksaraguru69.blogspot.com/p/komsas-tingkatan-dua-nota-bpk-
novrl.html
SINOPSIS BAB DEMI BAB

BAB SINOPSIS
SINOPSIS Mengisahkan kegigihan seorang remaja, Zahar yang menjadi pelatih di IKM dalam bidang
KESELUR pembuatan perabot. Zahar merupakan seorang remaja yang amat yakin dengan pegangan
UHAN hidupnya dan ingin berdikari untuk mencapai cita-citanya. Perjalanan hidupnya dipenuhi pelbagai
konflik tetapi dia terus berusaha memastikan konflik yang dialami tidak menghalang cita-
citanya. Kehadiran Suhaili dan Norimi dalam hidupnya mempertemukannya dengan konflik cinta,
cemburu dan semacam dendam. Suhaili merupakan sahabat baiknya ketika di bangku sekolah
seperti menghinanya kerana menyambung pelajaran di IKM dan meninggalkannya. Norimi pula
cuba memahami keadaannya dan bersimpati tetapi agak cemburu. Dengan keyakinan yang tinggi
dan usaha yang bersungguh-sungguh serta sokongan keluarga, rakan-rakan dan pihak MARA,
akhirnya Zahar berjaya mendirikan bengkel perabutnya sendiri.

1 Pak Yusuf gelisah menanti sarapan pagi daripada isterinya Mak Temah. Kegelisahannya itu dapat
dikesan oleh anak saudaranya Zahar yang sedang menggergaji kayu di bengkel kayu milik Pak
Yusuf.  Mak temah datang membawa dulang berisi air kopi dan dua pinggan bihun. Mak temah
meminta maaf daripada Zahar kerana lewat menghantar sarapan dan Zahar menyatakan Mak
Temah perlu meminta maaf kepada Pak Yusuf kerana dari tadi menunggu air kopi yang
merupakan minuman kegemarannya setiap pagi. Mak Temah berlalu dengan pesanan daripada
Pak Yusuf supaya menyediakan makan tengah hari dan juga mempelawa anak buahnya Zahar
makan tengah hari bersama mereka. Zahar mencadangkan supaya rak kasut yang sedang mereka
buat ini disiapkan lebih awal supaya masalah ketiadaan tempat meletak kasut di surau dapat
diatasi. Pak Imam pasti sangat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada Pak Yusuf kerana
menyiapkan rak kasut lebih awal daripada yang di minta. Pak Yusuf bukanlah tukang kayu yang
berkelulusan tinggi, dia hanya belajar sendiri untuk menjadi tukang kayu yang mahir. Hasil
tukangannya dapat dijual dengan harga yang murah dan berkualiti. Pak Yusuf bertanyakan Zahar
mengenai permohonan ke IKM namun Zahar masih lagi menunggu keputusan yang dijangka
keluar minggu hadapan. Zahar menyatakan jika suatu hari dia menjadi seorang tukang kayu yang
mahir dia akan memberitahu orang yang pendorong utama dia berjaya dalam bidang ini adalah
bapa saudaranya Pak Yusuf.

2 Mak Kiah tersenyum melihat kepulangan Zahar terus bertanya kenapa Zahar tidak pulang makan
tengah hari di rumah. Zahar makan di rumah Pak Yusuf kerana tidak sampai hati menolak
pelawaan bapa saudaranya itu. Mak Kiah menunjukkan sekeping surat yang dihantar Posmen pagi
tadi. Dari fizikal surat tersebut Zahar dapat mengagak surat tersebut daripada IKM dan setelah
dibuka Zahar tersenyum kerana telah ditawarkan mengikuti kursus pertukangan perabut di IKM
Sungai Petani.  Setelah selesai solat magrib, Zahar, Bakar dan Rahim duduk di bangku luar
masjid. Bakar mengusahakan kedai peninggalan arwah ayahnya dan sedang berusaha
mengembangkan perniagaannya. Zahar memberitahu rakannya bahawa dia telah ditawarkan
untuk ke IKM dan rakanya mengucapkan tahniah kepada zahar. Bakar mengusik Zahar tentang
hubungannya dengan Suhaili yang merupakan rakan rapat Zahar sewaktu di bangku sekolah.
Suhaili kini melanjutkan pelajaran di ITM dan sudah berada tiga dan menunggu keputusan
peperiksaan akhir. Zahar membaca semula surat tawaran memasuki IKM yang terletak di atas
meja. Surat itu dengan pantas mengembalikan ingatanya ke alam persekolahan yang telah
ditinggalkannya lebih tiga tahun lalu. Namun Zahar cepat sedar bahawa pelajaran yang akan
diikutinya nanti amat jauh berbeza dengan pelajaran yang pernah diikutinya semasa di sekolah
menengah dulu.

3 Zahar gelisah mencari jalan untuk berhubung dengan Suhaili. Kebetulan pada waktu itu jaringan
telefon telah dipasang di kampung mereka. Orang yang berkemampuan seperti Pak Karim iaitu
ayah kepada Suhaili telah memasang telefon di rumah mereka. Zahar berjaya menghubungi
Suhaili dengan bantuan Rahim. Zahar dan Suhaili berjanji untuk berjumpa pada keesokan hari di
City Point Alor Setar. Zahar terimbas kembali kenangan sewaktu berada di bangku sekolah. Suhaili
seorang pelajar yang pandai tetapi pendiam. Sukar untuk pelajar lain terutama pelajar lelaki untuk
dekat dengannya kecuali Zahar. Mereka berdua sering diusik oleh rakan-rakan sekelas. Zahar
dicabar oleh Suhaili untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.
Beberapa hari sebelum peperiksaan Zahar demam dan semasa peperiksaan berlangsung Zahar
masih kurang sihat. Dia tidak mampu menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Zahar
membayangkan reaksi Suhaili setelah tahu yang dia akan melanjutkan pelajaran dalam bidang
kemahiran.

4 Zahar ke Alor Setar untuk berjumpa dengan Suhaili dengan menaiki bas. Zahar sengaja datang
awal untuk duduk-duduk sambil minum di sebuah warung. Mereka sengaja berjumpa di Alor Setar
supaya tidak diketahui oleh orang kampung dan tidak mahu perjumpaan mereka boleh
menimbulkan cerita yang kurang enak. Zahar mundar-mandir di ruang legar tingkat bawah City
Point sementara menuggu kehadiran Suhaili. Ketika Zahar berdiri di tepi tangga menghadap jalan,
kelihatan Suhaili sedang melintas jalan dan datang ke arahnya. Suhaili yang berpakaian skirt
berwarna merah jambu, kembang berkedut dan baju juga berkedut di bahagian hadapan cukup
menarik hati Zahar. Mereka ke Restoran KFC yang terletak di sebelah kompleks MPKS. Selepas
duduk membuat pesanan mereka bertanya khabar. Sambil menikmati hidangan Zahar menyatakan
tujuannya berjumpa dengan Suhaili. Zahar memberitahu yang dia telah mendapat tawaran untuk
melanjutkan pelajaran ke IKM. Suhaili memandang rendah dan mempersoalkan cabaran yang
pernah dilontarkannya kepada Zahar ketika di bangku sekolah dahulu. Zahar menjelaskan yang
dia tidak pernah melupakan cabaran yang pernah dibuat oleh Suhaili tetapi memberikan alasan
bahawa ibunya tidak mampu untuk menampung pengajiannya. Zahar juga menyatakan walaupun
gagal menyahut cabaran Suhaili dia tetap ingin membuktikan bahawa masih ada jalan lain untuk
berjaya dalam hidup. Suhaili tetap dengan pendiriannya dan memperlekehkan hasrat Zahar.
Suhaili tergesa-gesa membuat bayaran dan terus meninggalkan Zahar. Zahar berasa curiga dan
mengikori Suhaili tanpa pengetahuannya dan mendapati Suhaili menaiki kereta yang dipandu oleh
seorang lelaki tampan yang berusia lingkungan tiga puluhan dan terus meninggalkan tempat
tersebut.
5 Pak Yusuf menegur sikap zahar yang dari pagi kelihatan muram. Pak Yusuf cuba bertanya tentang
masalah Zahar yang menyebabkan dia bersikap demikian. Zahar menyembunyikan sebab sebenar
dan memberikan alasan yang lain. Mak Temah bertanya Zahar ke mana Zahar pergi semalam dan
tidak kelihatan. Zahar menyatakan yang dia ke Alor Setar untuk membeli barang keperluan
sebagai persediaan ke IKM. Pak Yusuf mempelawa Zahar untuk makan tengah hari di rumahnya.

6 Zahar ditemani Pak Yusuf pergi ke Sungai Petani dengan menaiki teksi kepunyaan Pak Usin untuk
mendaftar di IKM. Teksi tersebut juga dinaiki oleh Tauke Lim yang mempunyai hal mustahak di
Sungai Petani. Dalam perjalanan mereka bersembang mengenai masa depan pelajar lulusan ITM
dan IKM. Peluang kerja bagi pelajar lepasan ITM dan IKM dikatakan mempunyai peluang kerja
yang baik dalam sektor kerajaan dan juga swasta. Ingatan Zahar terimbas kejadian Suhaili dan
pemuda kacak di Alor Setar tempoh hari. Sesampainya di IKM Zahar terus menuju ke tempat
pendaftaran. Setelah selesai mendaftar Zahar kembali mendapatkan Pak Yusuf. Kelihatan Pak
Yusuf sedang duduk di bangku simen dengan seorang lelaki separuh umur, berbadan tegap dan
bersongkok. Pak Yusuf memperkenalkan Zahar kepada Pak Cik Kamil yang sama-sama datang
mendaftarkan anak perempuanya yang bernama Norimi. Ketika Norimi datang kepada mereka Pak
Cik Kamil memperkenalkan Norimi kepada Zahar dan Pak Yusuf. Mereka berbual seketika dan
seterusnya beredar ke asrama. Setelah mendapatkan kunci bilik Zahar dan Pak Yusuf bergerak ke
asrama. Mereka tertarik dengan beberapa orang pelajar yang sedang berkerumun di hadapan
papan kenyataan. Zahar membaca poster berkenaan minggu suai kenal pelajar baru yang perlu
berkumpul di padang pada jam 230 petang. Zahar kembali melangkah diikuti pak Yusuf dengan
persoalan yang bermain di fikirannya mengenai minggu suai kenal tersebut.

7 Bermulanya kehidupan Zahar sebagai pelajar IKM. Pada waktu petang selepas pendaftaran
bermula program oriantasi pelajar baharu IKM. Pelajar senior mengarahkan semua pelajar baru
berkumpul di padang untuk tujuan gotong royong. Zahar bersama rakan-rakan baharunya
membersihkan kawasan belakang IKM yang akan didirikan bangunan asrama baharu. Pelajar-
pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang di ketuai oleh seorang pelajar senior. Pelajar
perempuan ditugaskan untuk mengangkat rumput yang telah ditebas untuk dibawa ke tempat
pembakaran.  Selepas selesai gotong royong mereka diarahkan ke dewan makan untuk minum
petang. Setelah selesai minum pelajar diberi masa untuk berehat dan menguruskan diri. Program
disambung pada sebelah malamnya.

8 Minggu suai kenal sudah berakhir. Semua pelatih baru telah ditempatkan dalam kelas mengikut
bidang kursus masing-masing. Cikgu Baharum, guru kelas Zahar memulakan kelas dengan
memberi peluang kepada pelatih-pelatihnya untuk berkenal-kenalan dengan lebih dekat.
Seterusnya Cikgu Baharum memberikan penerangan ringkas latihan Pertukangan Perabut. Zahar
berasa kagum melihat peralatan yang serba lengkap di dalam bengkel. Cikgu Baharum membawa
semua pelatihnya ke stor menyimpan  pelbagai jenis kayu dan papan bermacam-macam ukuran.
Zahar dan pelatih-pelatih lain tertarik melihat deretan mesin yang terletak di sebelah stor itu. Pada
akhir kelas, Cikgu Baharum membahagi-bahagikan alat pertukangan yang perlu kepada pelatih-
pelatihnya. Cikgu Baharum menyampaikan sedikit nasihat kepada semua pelatih. Zahar berjanji
pada dirinya untuk berusaha bersungguh-sungguh menjadi seorang pelatih yang berjaya dan
membuktikan anggapan sesetengah orang yang memandang rendah terhadap lulusan IKM itu
tidak benar. Selepas minum petang, Zahar berjumpa dengan Norimi untuk kali pertama sejak
selesainya minggu suai kenal. Mereka berbual-bual sambil ditemani oleh Ramli dan Habsah.
Mereka merancang untuk keluar ke Sungai Petani untuk membeli alat-alat lukisan untuk kegunaan
Norimi dan Habsah.

9 Zahar pulang ke kampung pada pagi hari sabtu setelah beberapa minggu berada di IKM.  Zahar
berasa pelik dengan suasana kampung setelah mula melangkah masuk ke kampungnya. Dua tiga
orang laju berbasikal  menuju ke rumah Pak Karim. Di sudut halaman rumah Pak Karim yang luas
itu kelihatan orang sedang memasak menggunakan kawah yang besar dan suasana agak riuh
rendah. Zahar terfikir bermacam-macam perkara walaupun pada hakikatnya dia tidak mahu
memikirkan hal keluarga Pak Karim. Zahar terus melangkah pulang ke rumahnya. Adiknya Zakri
memaklumkan bahawa abang dan emaknya pergi ke rumah pak karim makan kenduri. Zahar
menyalin pakaian dan terus turun untuk ke rumah Pak Yusuf. Rumah Pak Yusuf lenggan kerana
Pak Yusuf dan isnterinya ke rumah Pak Karim. Zahar masuk kebangsal pertukangan Pak Yusuf
melihat keadaan sekeliling yang tidak banyak berubah. Terdapat sebuah almari pakaian yang
sudah berdiri tegak. Dia teringat akan pesanan Cikgu Baharum bahawa perabut yang bermutu
tinggi bukan terletak pada ukiran yang unik tetapi juga pada kerja yang cermat, teliti, halus dan
berseni. Zahir terbayang suasana kenduri di rumah Pak Karim. Zahar di sapa oleh Pak Yusuf yang
baharu saja tiba di rumah. Pak Yusuf bertanyakan zahar bilakah dia sampai dan adakah dia pergi
ke majlis kenduri di rumah Pak Karim. Zahar mengatakan yang dia baru sahaja tiba dan segan
untuk ke majlis tersebut. Zahar terbayang bengkel baru yang lebih maju beroperasi di rumah Pak
Yusuf. Lamunan Zahar putus dan dia melihat Mak Temah berjalan menuju ke arahnya. Mak
Temah mengusik Zahar dan bertanyakan soal Suhaili. Mak Temah mengajak Zahar untuk makan
nasi kenduri yang dibawa pulang dari rumah Pak Karim.

10 Setiap awal bulan, suasana di pejabat IKM agak sibuk. Zahar dan pelatih-pelatih berbaris
menunggu giliran untuk mengambil wang imbuhan masing-masing. Setelah menandatanggani
baucar, wang imbuhan sebanyak RM 200 yang diterimanya dengan perasaan gembira dan
bersyukur. Dengan wang itulah dia menampung perbelanjaannya di IKM. Setelah mengambil
imbuhan, Zahar segera keluar menuju ke tempat surat. Kelihatan Norimi dan Habsah sedang
melihat sampul-sampul surat yang hampir memenuhi rak. Habsah menyatakan ada surat untuk
Zahar. Norimi bertanyakan daripada siapa surat tersebut dan Zahar menjelaskan bahawa surat ini
datangnya daripada adiknya di kampung. Norimi tidak berpuas hati dan merampas surat itu
daripada Zahar untuk melihat sampulnya. Norimi menyatakan surat itu bercop posnya di Shah
Alam dan tulisan orang perempuan sambil melirik senyuman kelat kepada Zahar. Zahar meminta
semula surat itu daripada Norimi dan menafikan dakwaan Norimi itu. Perbualan mereka terhenti
apabila pengetua keluar dari pejabat dan Zahar melangkah pantas menuju ke kelasnya. Zahar
membelok ke tandas dan menatap sampul surat di tangannya. Dengan tidak sabar dia terus
membuka sampul surat dan membacanya. Rupa-rupanya surat itu dikirim oleh Suhaili. Isi surat
tersebut menyatakan hasrat Suhaili untuk meleraikan ikatan hati kerana masing-masing memilih
haluan yang berbeza. Suhaili juga menyatakan rasa hampa dengan jalan yang dipilih oleh Zahar
dan beranggapan haluan yang dipilih oleh Zahar tiada masa depan. Niatnya untuk membuang air
kecil terbantut disitu sahaja dan terus bergegas keluar dan berlajan pantas masuk semula ke
kelasnya. Zahar meneruskan kerjanya menyiapkan sebuah kerusi. Sementara menunggu cikgu
Baharum datang untuk melihat hasil kerjanya, fikirannya terbawa kembali pada surat yang
diterimanya. Surat itu tidak akan mematahkan semangat, sebaliknya terus menguatkan tekadnya
untuk mencapai cita-citanya .Zahar berazam untuk membuktikan bahawa dia boleh menjadi
manusia yang berjaya dalam hidup yang penuh pancaroba ini.

11 Norimi dan Zahar bertengkar mengenai surat yang diterima Zahar tempoh hari. Dengan rasa tidak
puas hati Zahar memberikan surat tersebut untuk dibaca oleh Norimi. Setelah selesai membaca
barulah Norimi tahu perkara sebenar yang dihadapi Zahar. Norimi datang menghampiri Zahar yang
ketika itu sedang berdiri menghadap padang memerhatikan rakannya bermain bola sepak. Zahar
tidak menghiraukan Norimi. Norimi meminta maaf atas sikapnya yang suka mengusik Zahar
mengenai surat tersebut. Zahar berharap agar Norimi berpuas hati dengan ini kandungan surat
tersebut dan meminta Norimi menjadi penawar luka hatinya. Ramli menjerit memanggil Zahar dari
tengah padang dan Maarof berlari-lari anak menghampiri Zahar dan mengajak Zahar dan
mengajaknya berlatih bersama kerana kekurangan pemain.

12 Bas yang membawa pasukan bola sepak IKM Sungai Petani dan penyokong-penyokongnya
bergerak meninggalkan perkarangan IKM Alor Setar. Maarof sebagai ketua pasukan memuji Zahar
kerana menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan persahabatan tersebut dan meminta rakan-
rakan memberikan tepukan kepada Zahar.  Zahar dengan rasa rendah diri menyatakan kejayaan
pasukannya bukan hanya bergantung kepada dirinya seorang tetapi kerjasama semua pemain dan
penyokong-penyokong. Maarof juga meminta semua pemain turun berlatih untuk
memperkemaskan permainan bagi menghadapi perlawanan akan datang.

13 Perlawanan timbal balik pertandingan bola sepak di antara pasukan bola IKM Alor Setar dan
pasukan IKM Sungai Petani berlangsung sengit. Namun pasukan bola sepak IKM Sungai Petani
memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 1-0. Kemenangan mereka dibantu oleh
ketangkasan Redzuan menjaga gawang dan sokongan pelatih dan tenaga pengajar yang
memberikan sokongan di tepi padang. Pasukan bola sepak Sungai Petani tidak begitu meraikan
kejayaan kerana menghormati pasukan lawan sehingga mereka pulang. Mereka merancang untuk
mengadakan perlawanan persahabatan dengan pihak luar untuk mengeratkan perhubungan.

14 Sebelum bermulanya peperiksaan, semua kegiatan luar ditangguhkan sementara waktu. Semua
pelatih gigih membuat persediaan untuk peperiksaan. Pelatih-pelatih baharu akan mengambil
peperiksaan asas.  Zahar awal-awal lagi berazam untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Tiba
hari peperiksaan semua pelatih awal-awal lagi sudah berada di dalam bengkel. Tanpa melupakan
pesanan Cikgu Baharum, Zahar memulakan peperiksaan dengan tenang. Hari pertama
peperiksaan berakhir,  Zahar berasa cukup puas hati dengan hasil kerjanya. Bila peperiksaan
disambung keesokan harinya, Zahar semakin yakin dengan kebolehan dirinya. Dua minggu
selepas peperiksaan, semua pelatih bercuti semester selama tiga minggu. Cuti adalah peluang
yang dinantikan oleh Zahar untuk mempraktikkan kemahiran yang ditimbanya di IKM bagi
membantu Pak Yusuf di bengkelnya.

15 Kesempatan bercuti di kampung memang menggembirakan Zahar. Apatah lagi keadaan ibunya
sihat dan dapat bekerja dengan baik. Cuma mengusik hatinya apabila terpaksa melintasi rumah
Suhaili untuk sampai ke rumahnya.Walaupun hatinya terusik, pada masa yang sama usikan itu
menguatkan lagi awamnya untuk mengorak langkah hingga ke mercu kejayaan. Selepas sarapan
pagi, Zahar terus ke rumah Pak Yusuf. Pak Yusuf terkejut dengan kepulangan Zahar dan mereka
berbual-bual dengan mesra. Kemunculan Mak Temah membantutkan perbualan mereka. Mak
Temah juga terkejut dengan kedatangan Zahar pada pagi itu. Pada masa yang sama gembira
kerana Zahar dapat membantu Pak Yusuf yang akhir-akhir ini banyak mendapat tempahan
membuat perabot.

16 Setelah tiga bulan menunggu denga penuh debaran, keputusan peperiksaan yang di nanti-
nantipun diumumkan. Zahar telah lulus dengan cemerlang. Cikgu Baharum juga tersenyum girang
kerana hanya seorang sahaja pelatihnya gagal dan dikehendaki mengulang semula peperiksaan.
Cikgu Baharum memberi nasihat kepada semua pelatihnya agar tidak lalai dan berpuas hati
dengan kejayaan yang dicapai. Suasana gembira dengan keputusan peperiksaan bukan sahaja
tercetus dalam kalangan pelatih-pelatih Pertukangan Perabut tetapi juga semua pelatih yang
mengambil peperiksaan asas. Norimi juga mendapat keputusan yang cemerlang.

17 Enam bulan yang dilalui terasa cukup singkat. Pelatih-pelatih perlu bekerja keras menjalani latihan
yang lebih intensif kerana akan menduduki dua peperiksaan dalam masa yang singkat. Zahar tidak
menghadapi sebarang masalah. Doa restu daripada ibu dan dorongan daripada Pak Yusuf
membuatkan fikirannya sentiasa tenteram dan bersemangat untuk berjaya dalam peperiksaan
berikutnya. Dalam masa yang sama, ingatannya pada Suhaili kian luput. Pengalaman pertama
semasa menduduki peperiksaan asas, bayak membantu Zahar dan rakan-rakannya ketika
menduduki peperiksaan peringkat pertengahan. Peperiksaan akhir  sijil IKM pula diadakan selepas
tiga minggu peperiksaan peringkat pertengahan. Zahar dan rakan-rakannya menduduki
peperiksaan itu dengan lebih yakin. Seminggu sebelum bermulanya cuti semester ketiga, pelatih-
pelatih di maklumkan mengenai latihan di dalam loji yang diwajibkan kepada mereka. Zahar yang
tidak banyak kerenah dan sanggup dihantar kemana sahaja, menerima dengan senang hati
tawaran latihan di dalam loji di sebuah kilang perabot di Kemunting, Perak. Begitu juga dengan
Ramli, Habsah, dan Norimi yang mendapat tempat latihan dalam loji pilihan masing-masing. Satu
majlis perpisahan telah diadakan secara sederhana sahaja. Pengetua berucap memberikan kata-
kata nasihat kepada pelatih-pelatih yang telah tamat kursus mereka. Majlis peperiksaan yang
diatur secara tidak formal pada malam itu berlangsung dalam suasana yang mengharukan kerana
mengenagkan kemesraan yang terjalin selama ini akan berakhir dengan peperiksaan.

18 Selama tiga minggu bercuti di kampung, Zahar sibuk dengan kerjanya. Setelah seminggu
membantu ibunya, barulah zahar berpeluang pak Yusuf pula. Selepas menghabiskan cuti, Zahar
ke Taiping untuk menjalani latihan dalam loji di kilang perabot Usaha Bersatu Sendirian Berhad.
Ketua Unit Personel menyambut ketibaan Zahar dengan mesra. Seterusnya Zahar diperkenalkan
kepada Encik Manaf, Penyelia Unit Pengeluaran. Zahar dibawa ke blok pengeluaran untuk melihat
operasi pengeluaran perabot. Pada waktu rehat tengah hari, Zahar berpeluang berkenalan dan
beramah mesra dengan pekerja kilang. Di situlah Zahar berkenalan dengan Razali yang
mengajaknya tinggal bersama-sama.

19 Suhaili gelisah apabila terpandang Zahar dari dalam pejabatnya. Suasana pejabat yang dingin
ibarat haba pada waktu itu. Perasaan Suhaili bercampur baur dan dia berasa tidak bersemangat
untuk meneruskan kerjanya.  Suhaili  berjalan ke bahagian Personel yang terletak tidak jauh dari
bahagian pemasaran untuk berjumpa Miss Ooi, Ketua Unit Personel  bertanyakan tentang Zahar.

20 Setelah dua minggu mengikuti latihan, Zahar sudah dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan
suasana kerja di kilang. Dia mudah didekati dan hubunganya dengan rakan-rakan sekerja begitu
mesra walaupun baru dua minggu bertegur sapa.  Zahar bertuah dapat berkawan dengan Razali
yang rajin dan tidak banyak kerenah. Zahar yang ditugaskan di bahagian pemasangan, bekerja
dengan tekun. Zahar dikejutkan oleh kedatangan Encik Manaf yang memaklumkan Ketua Unit
Pemasaran ingin berjumpa dengannya. Zahar terus ke bahagian pemasaran dengan perasaan
berdebar dan tertanya-tanya. Zahar amat terkejut kerana orang yang ingin berjumpanya ialah
kawan lamanya, Suhaili. Zahar serius dalam perbualan mereka namun Suhaili kelihatan cuba
untuk senyum dan berbaik-baik. Kerana berselisih pendapat Zahar dan Suhaili bertengkar
sehingga menyebabkan Zahar bangun meninggalkan bilik dengan tergesa-gesa.

21 Zahar duduk di meja ruang tamu menghirup kopi setelah pulang dari kerja. Dia teringat rakan-
rakannya di kampung  dan juga Norimi yang merupakan kawannya di IKM. Surat tidak sempat
untuk dihantar kerana dia tidak  ada perasan untuk menulis surat. Ketika mula menulis, Razali tiba
dengan membawa bungkusan plastik berisi kuih. Zahar berhenti menulis dan  menikmati minum
petang bersama Razali. Ketika minum bersama, Razali bertanyakan Zahar yang kelihatan muram
setelah berjumpa dengan Penolong Ketua Unit Pemasaran. Pada mulanya Zahar ingin
merahsiakan hal tersebut tetapi akhirnya terpaksa menceritakan perkara yang sebenar kepada
Razali.

22 Setelah berbulan bulan menjalani latihan, Zahar menerima berita gembira yang dia telah lulus
dengan cemerlang dalam peperiksaan pertengahan tahun dengan mendapat pangkat satu. Zahar
sedar Suhaili cuba berbaik semula dengannya tetapi dia masih mampu mengelak daripada
berselisih dengan Suhaili. Dia juga tahu Suhaili masih berhasrat untuk menemuinya. Bukan dia
tidak mahu menemui Suhaili, tetapi bagi Zahar tiada gunanya dia menemui Suhaili untuk berbual
kosong kerana hal tersebut hanya akan mengembalikan kenangan lama. Kenangan lama akan
tetap dipadamkan dengan apa jua cara. Dia lebih senang berehat selepas pulang dari kerja. Jika
tidak berjoging atau ke bandar Taiping untuk membeli keperluan, masanya dihabiskan dengan
menulis dan membalas surat kawan-kawannya. Zahar lebih tertarik membaca surat daripada
Norimi yang penuh dengan kata-kata puitis  dan ada persoalan yang sukar untuk dijawab.
Pengalaman telah mengajarnya supaya tidak terlalu emosional. Dia tidak mahu terperangkap
dalam sangkar rasa yang boleh menggoyahkan cita-cita yang belum tercapai. Tempoh enam bulan
menemui kesudahannya. Begitu cepat masa berlalu meninggalkan kenangan manis dan pahit
sepanjang menjalani latihan di dalam loji. Zahar terharu apabila diraikan dalam satu majlis ringkas
yang diadakan untuknya. Selepas majlis itu berakhir, dia sempat bertemu dengan Suhaili.

23 Setelah berfikir masak-masak Zahar membuat keputusan bahawa bengkel perabot yang akan
didirikannya mestilah terletak atas tanah milik ibunya sendiri. Zahar bersyukur dengan
pembangunan kampungnya dan berasa rugi jika pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan
tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat. Ibunya cukup gembira mendengar
perancangannya untuk membina bengkel perabot di halaman rumah mereka dan Pak Yusuf tidak
membantah. Zahar berasa dirinya cukup bernasib baik kerana pinjaman yang dimohonnya lulus
dalam masa yang singkat. Sumbangan Pak Yusuf dan wang elaun serta saguhati semasa
menjalani latihan di dalam loji dahulu membolehkannya membina sebuah bengkel lengkap dengan
mesin utama. Masyarakat kampung bekerjasama mendirikan bengkel tersebut dan disajikan
dengan jamuan makan tengah hari.

24 Bengkel Perabot Meniti Impian semakin dikenali ramai setelah tersiarnya rencana “Kejar Kejayaan
Selepas Dihina Kekasih”. Zahar memilih nama “Meniti Impian” kerana nama itulah paling sesuai
bagi mendukung makna yang besar dan tersendiri pada dirinya. Perniagaanya semakin maju,
malah Zahar juga menawarkan tiga tempat di bengkelnya kepada pelatih Pertukangan Perabot
yang terlibat dengan latihan di dalam loji. Pak Yusuf memainkan peranan penting dalam membantu
Zahar memasarkan perabutnya. Zahar sendiri juga berusaha untuk mendapatkan pasaran luar
bagi mengembangkan lagi perniagaannya. Pihak MARA juga cuba membantu untuk memasarkan
barangan pengusaha-pengusaha perabut bumiputera. Ketika berehat di ruang tamu bersama Pak
Yusuf selepas makan tengah hari, posmen tiba dan menghulurkan dua pucuk surat kepada Zahar.
Zahar mendapat dua pucuk surat daripada Suhaili dan Norimi. Pak Yusuf dan Mak Kiah
bertanyakan Zahar dari mana datangnya surat tersebut. Zahar menyatakan surat tersebut daripada
Norimi yang mengatakan akan datang pada hari penyampaian sijil di IKM bersama ayahnya nanti.

WATAK & PERWATAKAN


Zahar 

Fizikal
 Anak sulung
 Berusia awal 20-an
 Telah kematian bapa
 Ibu bernama Mak Kiah
 Mempunyai dua orang adik, iaitu Zakri dan Halim
 Bapa saudara Zahar ialah Pak Yusuf
 Bercita-cita membuka bengkel perabot sendiri
 Lulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Institut Kemahiran Mara
 Kawan-kawannya di Institut Kemahiran Mara ialah Ramli, Norimi, dan Habsah
 Kawan-kawan sekampungnya ialah Bakar, Rahim, dan Suhaili 
 Pandai bermain bola sepak - Maarof, iaitu ketua pasukan memuji Zahar kerana
menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan persahabatan bola sepak dan meminta
rakan-rakan sepasukan memberikan tepukan kepada Zahar. Zahar dengan rasa rendah
diri menyatakan kejayaan pasukannya bukan bergantung pada dirinya seorang sahaja
tetapi oleh sebab kerjasama semua pemain dan penyokong-penyokong.

Dalaman
 Seorang yang rajin - Zahar rajin membantu ibunya melakukan kerja-kerja di rumah dan
juga membantu Pak Yusuf membuat perabot di bengkel. Ketekunan Zahar dapat dilihat
ketika dia menyiapkan rak buku dalam peperiksaan yang dijalankan di Institut Kemahiran
Mara. Dia meneliti ukuran rak yang akan dikerjakan.

 Tidak mudah berputus asa - Zahar tidak berputus asa walaupun tidak mendapat tempat di
institusi pengajian tinggi, sebaliknya dia meneruskan pelajaran di Institut Kemahiran Mara
walaupun niatnya itu diperkecilkan oleh Suhaili yang mempertikaikan masa hadapan
Zahar. Untuk membuktikan seterusnya menangkis tanggapan negatif Suhaili, Zahar
berusaha dengan gigih. Terbinanya Bengkel Perabot Meniti Impian telah membuka mata
Suhaili.

 Seorang yang tegas - Zahar bertegas menolak tawaran Suhaili yang ingin membantunya
untuk mendapatkan pekerjaan di kilang perabot tempat dia berlatih selepas tamat
latihannya. Sebaliknya Zahar menetapkan pendiriannya untuk membuka bengkel
perabotnya sendiri

 Bersikap rasional dalam sebarang keadaan - Zahar tidak mencampuradukkan urusan


peribadi dengan kerjanya. Ketika menjalani latihan industri di Kemunting, dia tidak
membuat keputusan terburu-buru apabila tetap meneruskan latihan industri tersebut
walaupun mendapat tahu Suhaili bekerja di situ.

 Memiliki sikap setia kawan / semangat berpasukan / semangat kerjasama/ rendah diri -
Zahar tidak mahu dipuji-puji atas kejayaan pasukannya dalam perlawanan bola sepak,
sebaliknya berpendapat bahawa kejayaan tersebut adalah kerana kerjasama yang padu
mereka sebagai satu pasukan.

 Tahu membalas budi/ mengenang jasa - Zahar ingin memperbesar bengkel bapa
saudaranya sebelum membina bengkel perabot sendiri. Dia tidak melupakan budi yang
ditabur oleh Pak Yusuf yang mengambil tahu kebajikan dia sekeluarga sejak kematian
bapanya. Zahar memilih untuk membina bengkel perobot sendiri di halaman kampungnya
kerana dia ingin menyumbang kepada komuniti kampungnya.

 Memiliki keazaman yang tinggi - Zahar mempunyai keazaman yang tinggi untuk mencapai
cita-citanya, iaitu menjadi pengusaha perabot setelah dihina oleh Suhaili semasa
pertemuan mereka di Alor Setar.

 Berjimat cermat dalam berbelanja - Zahar membelanjakan wang imbuhan sebanyak


RM200.00 yang diterimanya setiap bulan dengan berhemah agak wang perbelanjaannya
semasa belajar di Institut Kemahiran Mara mencukupi untuk menampung kehidupan
sehariannya.

 Pemaaf - Zahar telah memaafkan kesalahan Suhaili yang memandang rendah


keputusannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pertukangan perabot di Institut
Kemahiran Mara.

 Berdisiplin - Zahar dan Razali sentiasa datang awal ke kilang perabot tempat mereka
bekerja, walaupun mereka datang dengan berbasikal sejauh 2 kilometer.

Pak Yusuf

Fizikal 
 Bapa saudara Zahar 
 Suami Mak Temah 
 Dua orang anak penuntut universiti
 Memiliki kedai perabot sendiri
 Mahir ilmu pertukangan perabot walaupun tiada sijil pertukangan daripada mana-mana
institusi 

Dalaman 

 Prihatin - Pak Yusuf prihatin terhadap anak-anak saudaranya yang telah kematian ayah
mereka. Dia berjanji bahawa dia akan membantu mereka setakat yang dia mampu. Pak
Yusuf mengambil berat akan Zahar, anak saudaranya. Dia sanggup menyewa teksi untuk
menghantar Zahar ke Institut Kemahiran Mara Sungai Petani. 

 Bertanggungjawab - Pak Yusuf berusaha menyiapkan rak kasut yang ditempah oleh Tok
Imam atas rasa tanggungjawab bahawa rak kasut itu untuk kegunaan jemaah yang
datang ke masjid. 

Suhaili

Fizikal 
 Tinggi lampai, berbibir nipis, berkulit kuning langsat, berlesung pipit 
 Kawan sekelas Zahar 
 Anak ketua kampung, Pak Karim 
 Lulusan ITM 
 Pernah bekerja di Petaling Jaya sebelum bekerja di Taiping 
 Memegang jawatan Penolong Ketua Unit Pemasaran 

Dalaman 

 Suka memandang rendah terhadap orang lain - Suhaili memandang rendah terhadap
tawaran yang diterima oleh Zahar. Dia mempersoalkan cabaran yang pernah
dilontarkannya kepada Zahar ketika di bangku sekolah dahulu. Zahar menyatakan
bahawa walaupun gagal menyahut cabaran Suhaili dia tetap ingin membuktikan bahawa
masih ada jalan lain untuk berjaya dalam hidup. Suhaili tetap dengan pendiriannya dan
memperlekehkan hasrat Zahar. 

 Mengakui kesalahannya - Suhaili menyesal dengan tindakannya memperlekeh usaha dan


cita-cita Zahar. Dia malu kerana Zahar berjaya membina Bengkel Meniti Impian. Suhaili
mengutuskan sepucuk surat kepada Zahar tanda kekesalan tindakannya. Shuhaili cuba
berbaik-baik dengan Zahar setelah dia insaf akan perbuatannya yang menghina dan
memandang rendah Zahar yang akan menyambung pelajarannya di Institut Kemahiran
Mara. 

LATAR

Latar Masa 

 Tiga tahun - Selepas tiga tahun berhenti sekolah, Zahar sentiasa berusaha memohon
pelbagai jawatan tetapi tidak berjaya. Zahar juga meluahkan keinginannya belajar di
sekolah swasta namun ibunya tidak berkemampuan kerana dua adiknya masih lagi
bersekolah. 

 Setahun lebih - Zahar bekerja di bengkel. 

 Enam bulan - Zahar dan rakan- rakan menjalani latiah dalam loji selama enam bulan.
Zahar diterima menjalani latihan di Kilang Perabot Usaha Bersatu di Kawasan
Perindustrian Kamunting, Taiping. 

 Satu jam setengah - Zahar menaiki bas MARA dari Sik ke Alor Setar selama satu jam
setengah untuk bertemu dengan Suhaili. 

 Waktu pagi - Pak Yusuf menghantar Zahar mendaftar di Institut Kemahiran Mara dengan
menaiki teksi Pak Usin, iaitu bapa saudara Suhaili. Selain itu, Zahar pulang ke
kampungnya pada waktu pagi dan mendapati ada kenduri kesyukuran di rumah ketua
kampung, iaitu Pak Karim bersempena kejayaan Suhaili mendapat pekerjaan di Petaling
Jaya. 

 Waktu petang - Lima mini sebelum 2.30 petang, Zahar dan rakan-rakannya dikehendaki
berkumpul di padang pada minggu suai kenal. 

 Waktu malam - Norimi dan Zahar telah mendeklamasikan sebuah sajak hasil ciptaan
mereka sendiri pada malam pentup minggu suai kenal di Institut Kemahiran Mara Sungai
Petani. 
Latar Tempat 
 Kampung Caruk Petitih, Sik, Kedah – Zahar dan Pak Yusuf bertolak dari Kampung Caruk
Petitih, Sik menuju ke Institut Kemahiran Mara Sungai Petani dengan menaiki teksi Pak
Usin. 

 Rumah Zahar - Zahar pulang ke kampung. Ketika tiba, ibunya tiada di rumah. Lalu dia
bertanya kepada adiknya Zakri perihal ketiadaan ibu. Zakri memaklumkan bahawa abang
dan emaknya pergi ke rumah Pak Karim untuk makan kenduri. 

 Bengkel perabot Pak Yusuf – Selepas berhenti sekolah, Zahar bekerja di bengkel perabot
Pak Yusuf bagi membantu keluarganya ATAU Di dalam bengkel yang diubah suai
daripada bangsal, Pak Yusuf menyiapkan perabot yang ditempah oleh penduduk
kampung dan jiran-jirannya. 

 Rumah ketua kampung – Semasa Zahar pulang ke kampung, ada kenduri di rumah ketua
kampung, Pak Karim bersempena dengan kejayaan Suhaili mendapat pekerjaan di
Petaling Jaya. 

 Stesen bas MARA – Zahar menaiki bas ke Stesen Bas MARA di Alor Setar untuk bertemu
dengan Suhaili. 

 Kompleks City Point, Alor Setar – Tempat pertemuan Zahar dan Suhaili. Tempat ini
menjadi pilihan supaya tidak diketahui oleh orang kampung dan tidak mahu perjumpaan
mereka boleh menimbulkan cerita yang kurang enak. Di sinilah Zahar memberitahu
tawaran yang diterima untuk memasuki Institut Kemahiran Mara. 

 Institut Kemahiran Mara Sungai Petani – Tempat Zahar mendaftar dan berkursus
Pertukangan Perabot dan bertemu dengan Norimi yang mengikuti kursus Lukisan Seni
Bina. Selain itu, Zahar dan rakan sekelasnya menduduki peperiksaan asas di dalam
Bengkel Pertukangan Perabot Institut Kemahiran Mara Sungai Petani. 

 Taiping - Zahar menjalani latihan dalam loji di kilang perabot Usaha Bersatu Sendirian
Berhad. Zahar di bawa ke blok pengeluaran untuk melihat operasi pengeluaran perabot.
Pada waktu rehat tengah hari, Zahar berpeluang berkenalan dan beramah mesra dengan
pekerja kilang. Di situlah Zahar berkenalan dengan Razali yang mengajaknya tinggal
bersama-sama. 

Latar Masyarakat 

 Masyarakat yang memandang rendah terhadap orang lain - Suhaili memandang rendah
kepada Zahar yang akan memasuki Institut Kemahiran Mara dan menganggap masa
depan Zahar tidak terjamin. 

 Masyarakat yang rajin bekerja - Zahar rajin membantu ibunya melakukan kerja-kerja di
rumah dan juga membantu Pak Yusuf membuat perabot di bengkel ketika cuti. 

 Masyarakat yang mempunyai keazaman yang kuat - Zahar berusaha untuk mencapai cita-
citanya sebagai usahawan perabot terutama setelah dihina oleh Suhaili semasa
pertemuan mereka di Alor Setar yang menganggap graduan kolar biru sukar mendapat
tempat dalam pasaran. 
 Masyarakat yang bergotong-royong - Penduduk kampung bergotong royong mendirikan
bengkel perabot milik Zahar di sudut kanan halaman rumahnya. Penduduk tidak kira tua
mahupun muda bersama-sama bekerjasama menegakkan tiang dan bumbung. 

 Masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan - Walaupun gagal memasuki


Tingkatan 6, Zahar memohon untuk memasuki Institut Kemahiran Mara untuk menambah
ilmu pengetahuan dalam bidang pertukangan perabot. Kegagalannya tersebut tidak akan
menjadi batu penghalang untuk dia meneruskan cita-citanya untuk membuka kilang
perabot sendiri. 

 Masyarakat yang ambil berat - Pak Yusuf mengambil berat tentang anak saudaranya, iaitu
Zahar dengan menyewa teksi dan menghantar Zahar mendaftar di Institut Kemahiran
Mara. Pak Yusuf sedaya upaya membantu anak buahnya sehingga berjaya selepas
kematian ayah Zahar. 

GAYA BAHASA

Peribahasa
 Macam isi dengan kuku Hal. 26
 Kera sumbang Hal. 85
 Berat mulut Hal. 92

Simili
 Cabaran itu bagai api membakar semangat … Hal. 27

Bahasa Inggeris
 Final exam Hal. 34
 No problem Hal. 67
 Bestfriend Hal. 139
 Girlfriend Hal. 93
 Spot check Hal. 95
 No problem chief Hal. 109
 Urgent Hal. 162
 Mood Hal 162

Hiperbola
 Matahari sudah tergantung di tengah langit Hal. 83
 Sepi terus dijahit waktu Hal. 150

Metafora
Kuntum kegembiraan Hal. 25
Obor semangat Hal. 64

Bahasa Arab
Alhamdulillah Hal. 56
Insya-Allah Hal. 129

TEKNIK PENCERITAAN

Imbas kembali
 Zahar teringat akan perbualannya dengan rakannya, Bakar yang menyuruh Zahar
memberitahu perihal dia menyambung pelajarannya di Institut Kemahiran Mara. "Dari situ
aku dapat membaca hatikau. Kau masih ingat kepadanya. Ingatan itu dibayangi pula oleh
sesuatu yang membuat hatiku resah dan gelisah. Rasa resah gelisah itu makin menekan
perasaanku pada setiap kali Suhaili pulang bercuti, bukan?" Hal. 21
 Zahar teringat akan sikap Suhaili yang semacam menghinanya apabila mendapat tahu
Zahar akan menyambung pelajarannya di Institut Kemahiran Mara. "Kalau jalan itu yang
kaupilih, aku tak dapat nak kata apa-apa. Cuma apabila keluar IKM nanti jangan
merempat macam pelatih yang lain sudahlah." Hal. 41

Imbas muka
 Zahar terbayang tentang pembinaan bengkel impiannya. Zahar cepat
terbayang betapa bangsal yang menjadi bengkel ini telah bertukar menjadi sebuah
bengkel yang serba lengkap. Beberapa orang pekerja sedang sibuk menyiapkan kerusi
dan meja yang ditempah oleh sebuah syarikat pengedar. Perabot yang sudah siap
disusun rapi di dalam stor. Sebuah lori sedia menunggu di luar untuk membawa perabot
yang ditempah ke tempat pengedar. Hal. 88
 Zahar terbayang sikap Suhaili. Sekali-sekala apabila Suhaili pulang ke kampung dan
terlihat nama yang terpampang di hadapan bengkel, biarlah hatinya ikut terusik,
kenangannya menghimbau, betapa penghinaan yang pernah diucapkannya telah
ditangkis. Hal. 134

Monolog dalaman
 Apa, nak naik teksi Pak Usin itu? Tanya hati Zahar yang sedang memakai baju, tersentak
mendengar cakap Pak Yusuf yang jelas di telinganya. Pak Usin, bapa saudara Suhaili.
Hatinya berasa jengkel. Apa, tak ada teksi lainkah di pekan Sik ini? Mengapa begitu
mudah Pak Yusuf membuat janji? Mengapa tak tanya pada aku dulu? Hal. 48
 Besar juga kenduri Pak Karim ni, hati Zahar berbisik lalu mengatur langkah semula. Tetapi
untuk apa Pak Karim buat kenduri pada hari Sabtu, hujung bulan pula ni? Kenduri
kesyukuran atau kenduri kahwin? Ah, mengapa fikiran ini begitu jauh membuat
telahan.Hal. 82

NILAI DAN PENGAJARAN

Bekerjasama
 Pelatih Institut Kemahiran Mara bergotong-royong membersihkan kawasan belakang
institut yang akan didirikan bangunan asrama baharu. Pelatih lelaki menebas rumput yang
tumbuh meliar di atas bekas tanah kebun getah manakala pelatih perempuan mengangkat
rumput dengan menggunakan pongkes ke tempat pembakaran.
 Penduduk kampung, Pak Yusuf dan Zahar bergotong-royong membina bengkel perabot.
Penduduk tidak kira tua mahupun muda bersama-sama bekerjasama menegakkan tiang
dan bumbung. Semuanya dilakukan dalam suasana yang muhibah.
 Pasukan bola sepak Institut Kemahiran Mara Sungai Petani bekerja sama untuk
memastikan kejayaan pasukan mereka dalam perlawanan bola sepak persahabatan
dengan pasukan bola sepak Institut Kemahiran Mara Alor Setar.

Ketabahan
 Zahar tabah apabila niatnya untuk belajar di Institut Kemahiran Mara diperkecilkan oleh
Suhaili yang mempertikaikan masa hadapan Zahar pada masa hadapan. Untuk
membuktikan seterusnya menangkis tanggapan negatif Suhaili, Zahar berusaha dengan
gigih. Terbinanya Bengkel Perabot Meniti Impian telah membuka mata Suhaili.
 Mak Kiah membesarkan anak-anaknya dengan tabah. Dia sanggup melakukan beberapa
kerja demi menyara keluarga setelah kematian suaminya.

Keberanian
 Zahar dan Norimi berani mendeklamasikan sebuah sajak ciptaan mereka sendiri semasa
majlis penutupan minggu suai kenal.
 Zahar berani menghadapi sebarang cabaran dan risiko dalam mengapai cita-citanya
mendirikan bengkel perabotnya sendiri.

Kerajinan
 Mak Kiah rajin menganyam tikar mengkuang, selain turut mengambil upah menjahit
pakaian untuk menambahkan pendapatan keluarganya.
 Zahar rajin membantu ibunya melakukan kerja-kerja di rumah dan juga membantu Pak
Yusuf membuat perabot di bengkel.

Bertanggungjawab
 Mak Temah sentiasa memastikan hidangan untuk suaminya, Pak Yusuf disediakan
dengan sempurna atas tanggungjawabnya sebagai isteri.
 Pak Yusuf berusaha menyiapkan rak kasut yang ditempah oleh Tok Imam atas rasa
tanggungjawab bahawa rak kasut itu untuk kegunaan jemaah yang datang ke masjid.

Ketekunan
 Selama setahun, Zahar bekerja di bengkel perabot Pak Yusuf dengan tekun.
 Ketekunan Zahar dapat dilihat ketika dia menyiapkan rak buku dalam peperiksaan yang
dijalankan di Institut Kemahiran Mara. Dia meneliti ukuran rak yang akan dikerjakan.
 Kegigihan
 Zahar gigih belajar semasa menuntut di Institut Kemahiran Mara sehingga dia
memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Dia juga gigih menimba
pengalaman ketika menjalani latihan industri di Taiping.

Baik hati
 Razali mempelawa Zahar tinggal bersama-sama dengan senang hati walaupun mereka
baru berkenalan.

Patuh
 Zahar, Ramli dan rakan-rakannya mematuhi arahan untuk berbaris dengan tegak semasa
minggu suai kenal di Institut Kemahiran Mara.

Berpendirian tegas
 Zahar bertegas menolak tawaran Suhaili yang ingin membantunya untuk mendapatkan
pekerjaan di kilang perabot tempat dia berlatih selepas tamat latihannya. Sebaliknya
Zahar menetapkan pendiriannya untuk membuka bengkel perabotnya sendiri.

Anda mungkin juga menyukai