Anda di halaman 1dari 2

CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG / KUALITI

Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan namun, remaja yang merupakan
bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti
remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus
pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara saujana, “Jika ingin melihat masa
hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Soekarno pernah
mengungkap, “Berikan saya 10 belia waja, nescaya akan saya gegarkan
dunia.” Ternyatalah di sini bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan
kegemilangan nusa dan bangsa.

Kecemerlangan dari aspek akademik merupakan salah satu elemen yang


maslahat untuk melahirkan remaja yang berkualiti. Intelek merupakan faktor perdana
untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita
perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala
pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti
membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan
dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik Rakyat sihat,
negara maju dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat
dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke
menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka. Oleh itu, remaja tidak harus
terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau
mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, Ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik tidak dapat menjamin kejayaan


seseorang jika tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang berkualiti perlu
memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baru
yang penuh dengan kompetitif, remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan
bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi,
duduk sama rendah dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan
mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan
persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara
sosial, seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi.
Seperti peribahasa, Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih Remaja kita harus sedar
bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai dalam kehidupan kita. Tanpa
kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan
slogan. Remaja yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat
mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Selain itu, remaja yang berkualiti juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang
luhur. Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah
memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas
pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri. Selain menitikberatkan ajaran agama dan
pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan
memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan
orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam
serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti
akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja yang berkualiti harus
bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat
melahirkan masyarakat sakinah dan madani pada suatu hari nanti.

Sementelahan pula, remaja yang berkualiti perlu kreatif dan inovatif untuk memacu


kegemilangan negara. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani
berkreatif dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecapi kejayaan yang terbilang.
Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani
mencuba sesuatu yang baru akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada
itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli
dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan
yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian,
impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan
praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada
kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan
inovasi. Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita mampu menjejakkan kaki di
angkasa lepas kelak.

Intihanya, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang


yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu
angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara.
Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala
aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh
itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan
ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang,
gemilang dan terbilang.

Anda mungkin juga menyukai