Anda di halaman 1dari 7

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Generasi belia hari ini, belia yang tidak merasai denyutan

bagaimana generasi lama berjuang menuntut kemerdekaan, bagaimana mereka mengisi


kemerdekaan dan bagaimana peristiwa 13 Mei. Mereka hanya mendapat maklumat tersebut sama
ada melalui inisatif pembacaan mahupun ketika di bangku sekolah.

Justeru, cabaran masa kini kepada kerajaan adalah bagaimana untuk menanamkan dalam diri
belia, yang akan mewarisi kepimpinan negara ini pada masa akan datang, bagaimana menghayati
kesemua itu terutama semangat perpaduan antara kaum dan pembinaan negara bangsa.

Sehubungan itu, sempena Hari Belia, yang jatuh pada hari ini bertemakan ‘Belia Berwawasan
Penggerak Kejayaan’, diharapkan menjadi pemangkin kepada generasi muda mempersiapkan
diri dengan pengisian yang mampu memacu diri memberikan makna yang besar ertinya kepada
kejayaan dan kemajuan negara.

Belia merupakan golongan pelapis yang amat penting kerana golongan ini yang bakal mencorak
negara dalam memastikan sesebuah negara menjadi sebuah negara maju atau sebaliknya.Belia
didefinisikan sebagai golongan yang berada dalam lingkungan umur 15 hingga 40 tahun.

Dengan cabaran di dalam dunia tanpa sempadan semakin menghimpit, keperibadian belia yang
tinggi nilai akhlaknya amat penting diterapkan dalam jati diri belia masa kini. Sekiranya
keperibadian jati diri belia diracuni oleh anasir-anasir negatif seperti gejala penagihan dadah,
berlumba haram dan sebagainya lagi yang bertentangan dengan undang-undang, maka usaha
negara untuk mencanang sebagai sebuah negara maju dengan Wawasan 2020 pastinya menjadi
angan semata-mata.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dengan situasi ini, pastinya kita mengharapkan agar gejala
yang meracuni belia-belia remaja ini dihapuskan sama sekali. Oleh itu kita seharusnya
menyokong usaha kerajaan dalam usaha membasmi gejala negatif yang kini semakin menular
dalam jiwa belia kita

Golongan ini yang mewakili lebih 40 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini
merupakan tenaga penggerak dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.
Memandangkan peranan penting belia dalam pembangunan negara serta sebagai bakal pemimpin
negara, golongan belia perlu menanamkan dan mempersiapkan diri dengan hal-hal berkaitan
kepemimpinan, kemahiran dan keusahawanan.

Selain dari itu, tumpuan juga wajar diutamakan ke atas program menanam nilai murni dan
membentuk kepimpinan berkualiti. Semangat jati diri, tabah dan patriotik merupakan ciri penting
yang harus dimiliki oleh setiap belia.

Sesungguhnya aset dan kekayaan yang paling bernilai bagi sesebuah negara atau bangsa
bukanlah emas dan perak mahupun hasil-mahsulnya tetapi yang paling bernilai dan berharga
adalah kualiti warga generasi mudanya.
Apa yang harus difahami oleh generasi muda sekarang ialah menanamkan sikap dan
kesungguhan menjadi umat pencipta, mencipta sebuah tamadun baru dan bukannya sebagai umat
pengguna
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN PAMERAN "BELIA DALAM PEMBINAAN NEGARA"
Lokasi : LOT 10, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh : 10-07-1992
 
Saya mengucapkan terima kasih kepada Pemuda MCA kerana menjemput saya untuk merasmikan
Pameran "Belia Dalam Pembinaan Negara" hari ini.

2. Pameran ini adalah wajar memandangkan kaum belia turut memainkan peranan penting dalam
pembinaan negara. Melalui pameran seperti ini orang ramai, khasnya belia dapat mengetahui dengan
lebih mendalam dan dekat sumbangan, peranan dan kegiatan-kegiatan belia dalam pembangunan
negara. Fungsi mereka sebagai belia pembina negara atau penggerak kemajuan akan dapat dilihat
dengan jelas melalui pameran ini.

3. Belia merupakan golongan yang paling aktif dalam masyarakat dan bilangan mereka adalah hampir
separuh daripada jumlah penduduk negara kita. Sejak kemerdekaan, belia negara kita telah turut
sama berperanan dan menyumbang kepada proses pembinaan dan pembangunan negara.
Sumbangan ini meliputi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi, sosial, budaya atau pendidikan.

4. Belia merupakan asas sebenar atau tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan sesuatu
bangsa dan negara.Oleh itu usaha-usaha hendaklah terus ditumpukan kepada peningkatan
keupayaan dan kecekapan mereka. Ini amat perlu memandangkan cabaran masa hadapan yang akan
ditempuh oleh para belia adalah lebih hebat dan canggih yang memerlukan satu persiapan atau
persediaan diri yang hebat. Negara kita sudah pasti akan terdedah kepada pelbagai pengaruh dan
tekanan dari dalam dan luar yang boleh menentukan maju mundurnya proses pembangunan dan
kemajuan negara.

5. Tanpa ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan adalah agak sukar bagi belia untuk
mengharungi kesulitan kehidupan masa depan apatah lagi hendak memajukan negara.Ini boleh
menjejaskan kesinambungan usaha-usaha pembangunan yang hendak dicapai selaras dengan
matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

6. Sebagai langkah pertama ke arah persediaan itu, sikap lama para belia harus ditukar atau
disesuaikan mengikut keperluan zaman. Mereka tidak boleh lagi bergantung semata- mata kepada
orang lain seperti Kerajaan untuk mendapatkan sesuatu. Para belia harus mempunyai sikap berdikari
dalam segala usaha mereka. Mereka harus mempunyai matlamat hidup yang jelas, cita-cita tinggi
untuk maju, disiplin diri dan berani menghadapi perubahan ke arah kebaikan. Pendekata sikap-sikap
yang negatif seperti takut menghadapi risiko, tidak toleran, kekurangan minat terhadap sesuatu yang
boleh mendatangkan faedah, tidak suka bekerjasama dan mementingkan diri sendiri hendaklah dikikis
dan dibuangkan.
7. Langkah kedua ialah meningkatkan ilmu pengetahuan para belia. Di era letupan informasi sekarang
ini para belia tidak dapat tidak harus mengikuti pelbagai perkembangan maklumat dan ilmu yang
berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Kemajuan pesat yang berlaku dalam berbagai-bagai
bidang seperti industri pembuatan, penyelidikan dan pembangunan, pendidikan moden, komputer,
komunikasi, pengangkutan, seni bina dan sains dan teknologi, tidaklah boleh dipandang sepi oleh
para belia. Ilmu-ilmu dalam pelbagai bidang ini harus dicari dan dipelajari oleh belia- belia negara.
Golongan belia harus sedar tanpa ilmu yang tinggi mereka tidak akan dapat ke mana atau membawa
negara ke mercu kejayaan pada masa depan.

8. Para belia juga perlu menambahkan kemahiran mereka.Kemahiran atau kepakaran ini mesti
dimiliki oleh golongan belia di segenap lapangan usaha dan kegiatan. Tanpa kemahiran ini belia-belia
kita tidak akan dapat menjalankan atau mengendalikan apa-apa tugas yang memerlukan kecekapan,
kepandaian dan kepakaran mereka.

9. Kesemua langkah-langkah ini boleh dicapai melalui teknik-teknik atau cara-cara latihan dan
pembelajaran seperti latihan sambil bekerja, lawatan sambil belajar, kursus dan bengkel, ceramah,
seminar, 'apprenticeship' dan sebagainya. Inilah peranan yang harus dan boleh dimainkan oleh
persatuan-persatuan belia dalam melengkapkan anggota- anggota mereka untuk menjadi penggerak
negara.

10. Jelas sekali belia negara generasi kini akan menentukan halacara pembangunan dan corak
kepimpinan negara masa akan datang. Di samping ilmu pengetahuan, sikap dan kemahiran yang
diperlukan, golongan belia harus juga mempunyai sikap dan nilai yang positif seperti toleran, sanggup
bertolak ansur, rela berkorban, taat setia dan cinta kepada negara.Nilai-nilai ini boleh disemai dan
diterapkan kepada belia oleh persatuan-persatuan mereka melalui program-program membina diri
dan semangat.

11. Suatu gejala yang tidak sihat yang kini melanda para belia negara kita ialah sikap suka
mengagung-agungkan budaya dan nilai hidup secara barat. Sebagai negara yang sedang
membangun, kita banyak mempelajari dan menyerapkan nilai- nilai barat yang positif ke dalam
kehidupan kita. Tetapi malangnya ramai belia negara kita sekarang suka menerima apa sahaja dari
barat, tanpa mengira sama ada nilai-nilai itu baik ataupun boleh memberi kesan buruk kepada
kita.Perkara-perkara seperti budaya 'rock', berambut panjang dan memakai subang telinga bagi
lelaki, penagihan dadah dan kegiatan tidak bermoral telah meningkat dan menjadi amalan sesetengah
belia kita. Belia-belia seperti ini tidak akan menolong menjayakan generasi baru yang bakal
memimpin negara. Nilai-nilai hidup belia yang kurang sihat ini hendaklah dibanteras supaya ia tidak
akan menggugat keutuhan warisan budaya kita. Wawasan 2020 bertujuan melahirkan satu
masyarakat yang bermoral, beretika dan bebas daripada sebarang pengaruh seperti kehidupan yang
terlalu bebas sehingga apa sahaja sanggup dibuat tanpa mengambilkira kesan baik atau buruk.

12. Kerajaan sentiasa memberi galakan kepada belia-belia untuk bergerak cergas dalam persatuan-
persatuan belia.Adalah diharapkan melalui pameran ini kesedaran belia negara, terutama belia Cina
dapat ditingkatkan supaya lebih aktif dalam aktiviti-aktiviti belia peringkat kebangsaan dan yang
melibatkan belia pelbagai kaum.

13. Interaksi antara belia berbilang kaum adalah sangat penting dalam usaha kita melahirkan sebuah
bangsa Malaysia yang bersatu padu. Ke arah pencapaian matlamat ini adalah lebih baik sekiranya kita
dapat mengurangkan persatuan- persatuan belia yang berasaskan atau beridentitikan kaum.Budaya
kaum termasuk bahasa tidak akan hilang hanya kerana kita merapatkan hubungan antara kaum. Jika
semasa muda belia diasingkan kerana kaum maka sudah tentu perpaduan kaum bagi orang dewasa
tidak akan tercapai. Salah satu matlamat Wawasan 2020 ialah untuk melahirkan satu negara bangsa
Malaysia yang bersatu padu. Inilah peranan yang harus dimainkan oleh para pemimpin belia tidak kira
pemimpin dari persatuan politik, sosial, budaya dan ekonomi.

14. Kita harus sentiasa sedar dan menginsafi bahawa matlamat akhir negara ialah untuk mencapai
kestabilan politik, perpaduan kaum dan keamanan hidup rakyat yang berkekalan. Ini adalah asas
yang paling penting yang diperlukan untuk membawa negara memasuki era pembangunan yang maju
dalam tempoh 30 tahun ini. Kita mahu menjelang tempoh itu masyarakat dan negara kita akan
menjadi lebih maju, matang, progresif, berteknologi tinggi dan saintifik serta dihormati dan disanjung
oleh negara-negara lain.

15. Saya berharap Pameran ini akan dapat memberi semangat kepada golongan belia khasnya dan
masyarakat umum amnya untuk membina satu masyarakat yang maju, gemilang dan berjaya.

16. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran "Belia Dalam Pembinaan Negara".
Belia Hari Ini Wajah Negara Masa Hadapan
Oleh Mohd Zawawi b. Ahmad Mughni
Ketua Biro Pembangunan Sosial ABIM Selangor

Sejak akhir-akhir ini kita sering dihidangkan dengan berita-berita yang negatif tentang generasi muda di samping kisah kejayaan
dan kecemerlangan yang telah diraih oleh mereka. Kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin dan adab
sering dikaitkan dengan generasi muda. Hal ini tentunya mengundang rasa rungsing dan gusar di kalangan pemimpin negara
terutamanya kepada pempinan pertubuhan dan persatuan belia di negara kita.

Hari belia yang disambut pada 15 Mei setiap tahun dinegara kita adalah sebagai satu medan untuk setiap warga muda
bermuhasabah dan memikirkan matlamat dan hala tuju yang ingin dicapai oleh mereka. Tema hari belia tahun ini “ Belia Bina
Bangsa, Belia berwawasan dan Belia Malaysia” merupakan satu tema yang sangat menarik untuk kita renungi dan fikirkan
bersama . sememangnya warga muda hari ini adalah cerminan wajah negara akan datang.
Menurut Prof. Dr. Yusof Al Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, katanya ; “
Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan
muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah
negara yang aman makmur ‘ baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah
untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.

Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauki pernah bermadah : “ Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan
hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”.

Dalam usaha kita mencari manhaj sendiri (acuan) untuk membina dan membangun generasi muda hari ini, ia menuntut perhatian
yang besar dan bersungguh-sungguh dari semua pihak sama ada dari kerajaan mau pun rakyat. Namun begitu janganlah usaha itu
hanya ala kadar sahaja seperti melepaskan batuk ditangga atau berbentuk musim-musiman sahaja .

Sesungguhnya, peranan dan tanggung jawab belia pada hari ini adalah signifikan untuk menjana pembangunan negara bangsa
dan cita-cita agama adalah cukup besar sekali. Peranan belia hari ini bukan sekadar membina kerjaya atau melakukan aktiviti-
aktiviti untuk memenuhi masa lapang dan hobi sahaja tetapi warga belia sepatutnya turut sama menyumbang idea, masa dan
tenaga ke arah pembangunan modal insan menjadi sebuah bangsa yang dihormati dan disegani di persada dunia.

Umat Melayu Muslim hari ini bukan lagi hanya menjadi penonton atau pemain simpanan sahaja tetapi haruslah bersiap siaga
untuk menjadi pemain utama dalam memacu umat untuk memimpin tamadun dunia dan menjadi umat contoh , terutamanya pada
masa sekarang di,mana imej dan citra agama Islam digambarkan dalam keadaan yang buruk. Gambaran suram wajah Islam hari
ini semestinya diperbetulkan melalui kekuatan peribadi, intelek, ekonomi, pemikiran, kebudayaan generasi muda pada hari ini.

Peranan generasi muda sememangnya terserlah dalam sejarah manusia itu sendiri. Golongan mudalah yang menjadi pelopor
kepada suatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat. Dalam sejarah perkembangan
Islam, sejak ia bermula bertapak di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan mudalah yang banyak memainkan
peranan utama seperti sahabat Rasulullah SAW yang setia berjuang dan berjihad menegakkan kalimah Allah dimuka bumi ini.

Lihatlah nama-nama besar seperti Saidina Ali, Saidina Osman, Abdul Rahman bin Auf, Ibnu Zubair, Ibnu Abbas dan ramai lagi
sahabat-sahabat yang menjadi pendokong utama dan jentera penggerak pembinaan ketamadunan Islam. Sejarah juga pernah
menyaksikan ketangkasan Usamah bin Zaid yang berusia 18 tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom
dan Kehebatan Muhammad Al Fateh membuka Kota Istanbul ( Konstantinopal ) ketika berusia 21 tahun.

Peranan golongan muda dalam Al Quran dirakamkan dalam episod pemuda-pemuda kahfi yang bersikap berani mempertahankan
akidah dari seorang raja yang zalim.

Firman Allah SWT dalam surah al Kahfi 18 : 13 - 14, Terjemahannya :

“ Kami ceritakan kisah mereka ( Ashabul kahfi ) kerana keredaanmu ( Muhammad ) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka
itu adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami telah tambahkan kepada mereka petunjuk dan kami telah
meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata ;” Tuhan kami adalah Tuhan selain Dia, Sesungguhnya
kami kalau demikian telah mengucapkam perkataan yang amat jauh dari kebenaran”.

Ringkasnya , peranan utama warga muda muslim hari ini ialah ;

1. Menjadi hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini.


2. Bertanggungjawab membina dan membangun diri dari segi intelektual, rohani, jasmani dan emosi.
3. Menjadi penyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup sihat yang berteraskan Islam sebagai satu cara hidup.
4. Mencegah dan menghalang kemungkaran iaitu perilaku dan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam.
5. Menjadi pencetus , penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani masyarakat dunia.

Dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global tanpa sempadan hari ini, banyak berlaku kebanjiran dan limpahan budaya
negatif dan rosak yang melanda negara di seluruh dunia. Warga muda hari ini bukan sahaja terdedah kepada masalah
penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi budaya hedonisme – suka berpoya-poya
dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dalam amalan seks bebas ( berzina ), ketagih rokok, judi, arak, bahan porno ( lucah )
dan sms dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan kita.

Mana mungkin anak-anak muda yang majoritinya adalah anak-anak Melayu Muslim ini, yang mengamalkan gaya hidup tidak
sihat, mampu untuk memikul amanah mengurus dan mentadbir agama serta menjamin kedaulatan negara ? Tentunya kegusaran
ini turut dirasai dan dikongsi oleh semua generasi pewaris hari ini dan marilah kita sama-sama berganding bahu dan bekerjasama
untuk membina anak bangsa kita dengan acuan dan cara hidup sihat yang berteraskan ajaran Islam yang suci ini. Firman Allah
SWT dalam surah At-Tahrim : 66 : 6 , terjemahannya ;Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan ahli keluargamu
dari api neraka.

Menyedari bahawa jumlah warga muda seramai 12 juta ini harus digembleng keupayaan, kemahiran dan kepakaran mereka
untuk membangun ummah marilah sama-sama kita bangkit dari perbaringan dan lena yang panjang. Sedarlah kita bahawa
dihadapan terbentang banyak cabaran dan tugasan yang sedia menunggu untuk dibereskan. Ingatlah bahawa tanggungjawab dan
tugasan lebih banyak dari masa yang ada

Selamat Hari Belia Negara!

Anda mungkin juga menyukai