Anda di halaman 1dari 3

Cabaran Belia Negara Menjelang Abad ke 21

Ungkapan yang biasa ditemui, belia dan beliawanis adalah harapan bangsa dan negara. Pemuda dan pemudi ataupun
remaja dan belia masa kini adalah penyambung warisan kepimpinan dan kecemerlangan negara di masa akan datang.
Mereka haruslah menyedari kenyataan ini. Sama ada mereka mahu atau tidak, mereka sewajarnya menyedia atau
memperlengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sebaiknya. Cabaran mereka untuk beberapa tahun yang akan
datang sudah tentu akan menjadi lebih mencabar lagi sebagaimana suasana kini yang sudah terlalu mencabar daya
ketahanan mereka berbanding dengan suasana 10 tahun yang lalu. Jangkamasa 10 tahun bukanlah terlalu panjang,
tetapi dalam tempoh tersebut, pelbagai penemuan baru dalam pelbagai bidang kehidupan, gaya hidup dan pemikiran
muncul bertali arus tanpa dapat disekat lagi. Bagi mengahadapi suasana ini, menjadi tanggungjawab mereka untuk
bersedia dengan langkah-langkah yang lebih berhati-hati, wajar dan proaktif.Golongan belia bukanlah satu golongan
pinggiran atau golongan yang kurang penting dalam pembangunan negara. Mereka tidak disisihkan. Malah mereka
adalah satu golongan tersendiri yang memerlukan pendekatan yang juga tersendiri. Ini memandangkan kepada tahap
perkembangan dan kemampuan mereka dalam mengharungi kehidupan yang memerlukan pendekatan tertentu.
Lantaran menyedari sumbangan dan kepentingan golongan ini, Hari Belia disambut pada setiap tanggal 15 Mei setiap
tahun. Dan pada kali ini, temanya adalah Bersama Menghadapi Cabaran Alaf Baru.Tema Hari Belia pada tahun
ini memberikan beberapa konotasi tersendiri sesuai dengan suasana semasa yang antara lain mengajak para belia
negara ini supaya bersedia menghadapi apa jua bentuk cabaran alaf baru yang sukar untuk diduga. Sememangnya
kesediaan dari pelbagai aspek, baik mental, emosi, fizikal, rohani, moral mahupun sosial, amat diperlukan bagi
menghadapi alaf baru yang cabarannya itu memang sukar dijangkakan. Namun, persediaan yang jitu akan
memungkinkan bahawa masa depan yang mendatang akan dapat dilalui dengan jayanya. Seterusnya, tema ini juga
menyeru para belia negara ini supaya bersama-sama menghadapi peralihan zaman ini. Bagi mencapai tujuan ini,
mereka dikehendaki bersatu dalam menghadapinya. Mereka dikehendaki bersatu kerana kesatuan mewakili satu
golongan yang sudah cukup bersedia, bermuafakat, mempunyai hala tuju yang sama dan matlamat yang kukuh. Para
belia juga harus sedar bahawa kesatuan itu harus diperolehi sama ada kesatuan dalam aspek pemikiran, kepemimpinan,
hala tuju perjuangan dan matlamat. Para belia yang bersatu padu seperti inilah yang dimajukan oleh negara untuk
mengharungi ranjau yang tidak tergambar untuk alaf baru.

Belia zaman ini seharusnya menyedari kedudukan, kelemahan dan kemampuan mereka. Kesemua itu mesti
dijadikan iktibar dan pengajaran untuk mengharungi kehidupan alaf baru ini. Antara persoalan yang perlu mereka
jawab adalah ke arah mana hala tuju mereka dalam membawa negara di alaf baru ini. Apakah peranan yang agak
signifikan yang mereka mampu sumbangkan kepada agama, keluarga, bangsa dan negara. Bagaimanakah mereka akan
mencorakkan senario moral dan sosial negara dalam alaf baru ini. Pencapaian yang bagaimana akan mereka tunjukkan
dalam arena pendidikan negara. Sememangnya pencapaian akademik dan ilmu itu sentiasa menjadi ukuran dalam
mana-mana masyarakat di dunia ini. Hakikat ini bukan sahaja bertepatan untuk alaf ini yang dikuasai oleh revolusi
teknologi maklumat, tetapi telah dibuktikan pada zaman sebelum revolusi industri, malahan juga akan memainkan
peranan utama pada masa hadapan nanti. Kecemerlangan ilmu dan penyelidikan itulah yang akan membawa satu-satu
masyarakat ke arah kehidupan yang semakin sempurna dan lebih cemerlang. Ilmu dan pengetahuan jugalah yang akan
menjadikan satu-satu masayarakat itu dihormati dan disegani sebagai satu masyarakat unggul di dunia. Menyedari akan
kepentingan ilmu ini, para belia harus menyedari apakah peranan dan sumbangan mereka dalam merancakkan lagi arus
pembangunan ilmu. Apakah mereka mampu untuk mengembangkan lagi ilmu dan pengetahuan yang mereka ada untuk
kesejahteraan orang lain atau sekadar menjadi pengguna pasif dan pemerhati sahaja. Dalam era globalisasi ini, tidakkah
para belia mempunyai keinginan untuk turut sama menyumbang ke arah pembinaan satu masyarakat dunia yang
canggih dan bertamaddun tinggi serta unggul. Mereka tidak harus lupa, dalam ajaran agama Islam juga ada
menekankan akan kepentingan ilmu ini. Dalam sebuah hadis Rasul Allah S.A.W ada menyebut yang bermaksud
sekiranya kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu, jika kamu inginkan dunia, hendaklah juga dengan ilmu, dan
jika kamu inginkan kedua-duanya, hendaklah juga dengan ilmu.Di samping itu, para belia juga harus berperanan
sebagai agen yang mampu untuk membimbing masyarakat ke arah kebaikan dan kesejahteraan.

Sememangnya mereka amat perlukan bimbingan dari golongan yang lebih dewasa, tetapi pada masa yang sama
mereka juga perlu membimbing diri mereka sendiri. Mereka mesti mempunyai inspirasi dalaman diri mereka bahawa
mereka adalah sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab ke atas diri, rakan, keluarga dan bangsa, serta agama
dan negara sendiri. Walaupun bukan semua orang itu boleh menjadi pemimpin kerana batasan masa dan peluang, tetapi
dengan latihan dan pendidikan, mereka boleh menjadi pemimpin yang baik. Untuk para belia, antaranya mereka boleh
menjadi pemimpin kepada rakan-rakan mereka sebagai pembimbing. Bimbinglah rakan sendiri supaya tidak terus
dibelenggu oleh masalah ketagihan dadah yang sudah terlalu kronik, supaya meninggalkan perlumbaan motor haram,
perjudian, arak, gangsterism, perlakuan sumbang dan pelbagai lagi. Dalam agama Islam sendiri, membimbing manusia
ke arah kesejahteraan dan kebaikan adalah satu tuntutan yang wajib dilaksanakan. Ini bertepatan dalam Al Quran,
surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud:
Kamu adalah sebaik-baik golongan untuk umat manusia kerana menyeru kepada kebaikan dan menghalang
kejahatan, serta beriman kepada Allah.

Pada umumnya, peranan para belia masa kini dan akan datang sudah pasti akan menjadi lebih mencabar
kemampuan dan ketahanan mereka. Sebagai pewaris negara di masa hadapan, mereka mesti memperlengkapkan diri
sendiri dengan pelbagai kelengkapan dan persediaan yang secukupnya umpama para pejuang yang sentiasa berlatih
bagi menghadapi musuh di medan perjuangan. Seterusnya, bagi menghadapi semua ini, adalah menjadi tanggungjawab
mereka untuk mendidik pemikiran dan sikap supaya menjadi lebih positif dan proaktif. Untuk menjadi proaktif,
idealisme dan keazaman yang tinggi amatlah perlu. Begitulah saranan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir
Mohamad sempena perutusan Hari Belia Negara 2000, para belia harus mempunyai idealisme tinggi untuk mencapai
kejayaan kerana tanpanya, tamaddun dan kehidupan mereka tidak akan maju dan sukar untuk mencapai kejayaan
cemerlang.Secara rumusannya, antara beberapa cabaran yang akan dihadapi oleh para belia menjelang alaf baru ini
adalah seperti berikut:
i. Cabaran teknologi maklumat

Teknologi maklumat menjadi satu cabaran yang amat ketara kerana pelbagai bentuk maklumat kini dapat diperolehi
dengan amat mudah. Memang banyak kebaikan seperti menambahkan pengetahuan dan maklumat awam. Semua ini
timbul kerana adanya sumber maklumat yang terlalu canggih seperti sistem satelit, internet, telefon bergerak, aplikasi
sistem maklumat tanpa wayar dan sebagainya. Ini memberi kesan amat ketara dalam hubungan antara individu,
kenegaraan, hubungan sosial, kewangan dan industri serta sebagainya. Mungkin akan timbul keraguan dari segi
ketepatan dan kesahihan maklumat yang disebarkan. Begitu juga dengan penipuan yang sudah pun wujud melalui
sistem internet dan keruntuhan moral dan sosial masyarakat akibat penyalahgunaan sistem yang sama.
ii. Cabaran pemikiran dan budaya

Pemikiran dan pandangan beberapa individu dan sesetengah negara terutamanya negara maju yang lebih bersifat
menjajah dan menakluk menjadi lebih dominan dalam alaf ini. Contoh seperti pemikiran globalisasi, pembelaan alam
sekitar dan isu hak asasi manusia yang lebih subjektif sifatnya sehingga menimbulkan persengketaan dan perang
mulut. Namun, masalah penerimaan dalam keterpaksaan terus berlaku kerana kesan ancaman politik dan ekonomi serta
ketenteraan yang akan timbul kelak. Sementara pengaruh budaya lebih bersifat menjajah ekoran kebebasan dan
pengaruh media dan teknologi maklumat.

iii. Cabaran mental dan emosi

Cabaran ini adalah terlalu subjektif. Tetapi, dalam apa juga tamaddun dan kehidupan manusia, individu yang
merasakan dirinya kekurangan, tidak mampu dan kurang upaya atau ketinggalan daripada individu dan masyarakat lain
akan menerima tekanan mental dan emosi yang lebih hebat lagi. Seterusnya, tekanan mental dan emosi akan menjadi
lebih ketara lagi apabila sesebuah tamaddun manusia itu semakin maju dalam pelbagai aspek kehidupan. Ini dapat
dilihat dari status gejala sosial, seperti kes rompakan, peras ugut, pembunuhan dan bunuh diripenyalahgunaan dadah
dan alkohol serta (penyakit mental), dan lain-lain.

iv. Cabaran moral dan sosial

Daripada penilaian sejarah tamaddun manusia, daya tahan moral dan sosial manusia akan menjadi semakin pudar
dengan bertambah majunya kehidupan mereka. Budaya keselesaan (complacency), individualistik dan materialistik
lebih menguasai kehidupan mereka. Tahap kebergantungan kepada pemahaman moral dan keagamaan terus lusuh dan
longgar. Ini dapat dibuktikan berikutan timbulnya beberapa gejala yang sememangnya dilarang keras oleh ajaran
agama seperti perzinaan dan bersekedudukan, pembunuhan, arak dan alkohol, perjudian serta sebagainya.
Lantaran ini, menjadi tanggungjawab para belia kini untuk mendidik dan mempersediakan diri dengan pelbagai
keupayaan yang ada. Tetapi bagaimanakah kaedah untuk mendapatkan persediaan yang benar-benar mantap? Mereka
mestilah mengambil peluang yang sedia ada ini agar tidak menyesal di kemudian hari kerana menyesal dahulu
pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna lagi.

Sumber Portal Rasmi Institut Kefahaman Islam Malaysia


http://www.ikim.gov.my

Anda mungkin juga menyukai