Anda di halaman 1dari 3

Minda Memperkasa pembangunan belia

PEMBANGUNAN belia ke arah gaya hidup positif dapat ditakrifkan sebagai satu proses untuk menyediakan
golongan muda dan remaja menghadapi cabaran keremajaan dan kedewasaan melalui aktiviti yang
diselaraskan kerajaan bagi mencapai satu tahap keupayaan sosial, moral, emosi, fizikal dan mental yang
seimbang.

Memperkasa generasi belia negara memerlukan sokongan semua pihak ke arah membabitkan diri dalam
aktiviti positif yang dapat membantu meningkatkan tahap kecekapan dan keupayaan dalam kepemimpinan,
gaya hidup, mencungkil bakat, potensi diri dan kebolehan yang ada pada seseorang belia atau remaja.

Kajian menunjukkan ada kira-kira 11.6 juta belia di Malaysia tetapi yang mendaftar dengan pertubuhan belia
hanya sepuluh peratus iaitu kira-kira sejuta orang dan pihak kementerian serta pertubuhan belia wajar
menarik lebih ramai golongan ini untuk menyertai persatuan dan mengikuti program yang dijalankan.

Ini menyebabkan belia yang tidak mendaftar dengan pertubuhan menyukarkan mereka mengikuti pelbagai
program anjuran kementerian berikutan kebanyakan mereka tidak tahu aktiviti yang diadakan. Mereka ini
golongan terpinggir yang tidak harus dibiarkan tanpa hala tuju.

Adalah disarankan, bekas ahli Rakan Muda dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sudah
melepasi had umur menyertai pertubuhan dan pergerakan yang menjadi perintis kepada pelbagai aktiviti
dan program yang dijalankan.

Menurut tokoh belia, Datuk Sheikh Badar Sheikh Embong, bilangan belia dan remaja di negara ini memang
ramai, namun minat kepada kerja sukarela hanya mengikut musim.

Apa yang penting minat mendalam mesti disemai di kalangan belia untuk menyertai persatuan mengikut
minat masing-masing.

Menurutnya, kebanyakan mereka yang terbabit dengan persatuan belia adalah berdasarkan minat
mendalam yang bermula di peringkat daerah, negeri dan seterusnya peringkat kebangsaan, tetapi sekarang
kebanyakan belia akan bertanya apa yang mereka boleh dapat jika menganggotai sesebuah persatuan
belia di negara ini.
Selain itu katanya, ada pemimpin belia kini hanya ingin mencari pengaruh dan sokongan untuk berjaya
dalam bidang lain seperti politik dan sanggup membuat atau membiayai aktiviti dijalankan. Setiap aktiviti
hanya bermusim yang seharusnya dilakukan sepanjang tahun.

Beliau menyatakan, setiap belia atau remaja yang ingin aktif dalam sesebuah persatuan belia mesti
melihatnya dari sudut nilai seni dan kebajikan. Kepemimpinan belia adalah seni melalui kerja sukarela
seperti sumbangan khidmat masyarakat. Aktiviti kemasyarakatan banyak membentuk nilai murni dan gaya
hidup serta sikap yang baik dalam diri golongan belia.

Beliau yang pernah memegang jawatan Setiausaha dan Bendahari Pertubuhan Kelab-Kelab Belia Malaysia
(MAYC) Kebangsaan bergiat dalam persatuan belia selama lebih 40 tahun, melihat persatuan belia dan
kegiatan belia wajar diperkasakan semula sebagai pembentuk pemimpin pelapis negara pada masa depan.
Belia tidak akan menjadi pemimpin sebelum belajar menurut dan dipimpin. Beliau menyarankan pelbagai
aktiviti boleh dilakukan oleh persatuan belia meliputi sukan, kebudayaan, keilmuan, ekonomi, sosial dan
politik. Jika dulu persatuan belia mengadakan forum, seminar dan kursus penulisan mendapat sambutan
hangat daripada belia, aktiviti itu harus dihidupkan semula pada masa kini.

Kepemimpinan belia dapat diwujudkan melalui pelbagai program dan aktiviti bagi menarik belia menyertai
pertubuhan belia seperti Program Satu Komuniti Satu Persatuan Belia bagi menarik 10 juta belia dan remaja
di negara ini yang belum mendaftar dengan pertubuhan belia.

Kecenderungan belia di desa pada masa kini lebih kepada bidang pertanian, keusahawanan dan
penternakan. Bidang ini jika diusahakan secara bersungguh- sungguh akan menjamin pendapatan dan
kehidupan di desa. Oleh itu, persatuan belia di desa wajar mengadakan aktiviti seperti kursus penternakan
ikan air tawar, ikan sangkar, kambing biri-biri, lembu, ayam kampung dan sebagainya.

Mereka juga inginkan pendedahan kepada bidang perniagaan kecil-kecilan seperti terbabit dalam pertanian
sebagai perniagaan. Contohnya perniagaan runcit, usahawan tani, peniaga pasar malam dan pasar tani
yang dapat memberikan pulangan bagi menjamin kehidupan di desa dan di pinggir bandar. Selain itu,
mereka juga berminat dalam lapangan sukan seperti bola sepak bagi mengisi masa lapang dengan
berfaedah.

Sementara belia di bandar dan di kota lebih berminat kepada bidang perniagaan yang berskala sederhana,
seperti bidang francais, bidang kemahiran dan bidang keusahawanan. Mereka juga mengisi masa lapang
dengan sukan lasak dan sukan lain seperti go-kart, papan luncur dan sebagainya.

Pertubuhan dan persatuan belia di desa dan bandar mesti mengadakan aktiviti seperti kursus dan program
yang menjurus kepada minat belia di mana sesebuah persatuan itu diwujudkan. Pemimpinnya mesti faham
kehendak dan ke arah mana belia itu akan dibawa di bawah kepemimpinannya.

Bagi memperkasa dan menjana semula pendekatan baru melalui aktiviti berfaedah dan dapat menarik minat
golongan belia menyertai sesebuah persatuan. Tanggungjawab pembangunan belia bukan terletak pada
kerajaan semata-mata. Ia boleh digerakkan melalui kepemimpinan setempat. Aktiviti keilmuan seperti
kursus kepemimpinan, kemahiran dan keusahawanan mesti dipertingkatkan.

Justeru, Majlis Perundingan Belia Nasional tidak lama dulu meluluskan dan menyenaraikan 11 perkara yang
perlu diberi perhatian dalam pembangunan belia nasional. Antaranya teras pembangunan ekonomi,
pembangunan sosial, pembangunan sumber manusia, program Rakan Muda, sistem penyampaian,
peranan media dan komunikasi, peranan pertubuhan belia, pembangunan belia tidak berpersatuan,
pembangunan kepemimpinan, penyelidikan dan pembangunan, politik dan integrasi nasional.
Pelan tindakan ini dengan sendirinya menunjukkan semua pihak ingin membangunkan belia dengan
perkara positif sekali gus akan menghindarkan mereka daripada terjerumus dalam gejala sosial yang boleh
merosakkan masa depan belia sebagai pemimpin negara.

Pembangunan belia menghadapi banyak cabaran dalam alaf ke-21 ini. Realiti yang berlaku kepada
golongan belia hari ini, mereka wajar merancang untuk meningkatkan lagi kesejahteraan hidup pada masa
depan.

Selain itu, kepemimpinan belia mesti diterajui belia yang faham terhadap minat dan kehendak golongan itu
Kesimpulannya, bagi memperkasa pembangunan belia di negara ini, setiap pemimpin belia harus memasuki
perspektif baru yang lebih dinamik dan saintifik. Majlis Perundingan Belia Negara wajar mengadakan
penyelidikan tentang kehendak belia merangkumi minat, arah dan tujuan, serta gaya hidup.

>Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu.

Anda mungkin juga menyukai