Anda di halaman 1dari 3

MUHAMAD AMIRUL AMIN BIN RUSLAN

BA16110266

AA31203 Perancangan dan Politik Pembangunan

Ulasan Artikel Mengenai Dasar Belia Negara

Ulasan artikel ini adalah mengenai golongan belia yang merupakan pemangkin kepada
perubahan sosial masa kini. Kerajaan Persekutuan Malaysia melihat bahawa golongan belia
memerlukan sikap bersepadu dari segi rohaniah, akliah dan jasmaniah, bertanggungjawab,
berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik serta menjadi penggerak kepada kemajuan dan
kemakmuran bangsa dan agama. Oleh itu, Dasar Belia Negara telah diilhamkan pada April 1973
di Universiti Malaya. Dasar Belia Negara diumumkan secara rasmi Pada 13 Disember 1985 oleh
Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Datuk Dr Sulaiman Haji Daud. Dasar Pembangunan Belia
Negara dirancang untuk melahirkan generasi belia yang berpotensi untuk menyumbang kepada
pembangunan negara. Dasar ini diwujudkan adalah untuk memastikan keupayaan belia
menggembleng kekuatan, ketahanan pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara.

Belia merupakan satu golongan yang terbesar dalam struktur masyarakat di negara kita.
Perangkaan pada tahun 2003, belia ditaksirkan berjumlah 45% daripada jumlah keseluruhan
penduduk di negara ini. Oleh itu belia adalah sumber tenaga yang amat penting bagi
masyarakat dan negara, disamping amat berpotensi dari segi semangat, tekad juang, fikiran
dan daya cipta. segi umur belia ialah mereka yang berumur antara 15 hingga 40 tahun. Walau
bagaimanapun dari segi strategi pelaksanaan program dan orientasi aktiviti, tumpuan utama
ialah mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun.

Pelbagai strategi yang disusun bagi mempastikan kejayaan Dasar Belia Negara dari segi
pembinaan karektor, kemahiran dan pengetahuan bagi melengkapkan peribadi belia sebagai
pemimpin masa depan negara. Pembentukan sesuatu dasar seperti ini sangat penting kerana
ianya akan menjadi panduan kepada negara bagi menghadapi gelombang globalisasi yang telah
menjalari masyarakat. Keadaan ini menuntut pihak kerajaan, swasta, pertubuhan bukan
kerajaan dan individu untuk memahami dan mengenal pasti halangan dan rintangan yang
membantutkan perubahan ke arah kecemerlangan belia dan negara. Antara strategi yang
dirancang untuk mencapai matlamat Dasar Belia Negara adalah Pembangunan Ilmu,
Pembentukan Sikap, Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan, Pemupukan Gaya Hidup
Sihat, Kemudahan Interaksi Sosial, Perkongsian Dalam Pembangunan, dan Jaringan Hubungan
Antarabangsa.

Dari segi pelan tindakan, kerajaan telah menyusun beberapa langkah antaranya adalah
seperti menyedikan latihan dan bimbingan. Latihan dan Bimbingan ini bertujuan memberi dan
menguruskan latihan kemahiran vokasional dan teknikal untuk membolehkan belia mendapat
pekerjaan sendiri serta melengkapkan latihan kemahiran kerja belia. Selain itu, Cawangan
Latihan dan Bimbingan turut diitubuhkan dengan tujuan merancangkan aktiviti-aktiviti bercorak
latihan kemahiran secara formal dan latihan secara tidak formal. Badan-badan Belia terdiri
daripada persatuan, pertubuhan dan majlis belia yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran
Pertubuhan termasuk juga badan-badan sukarela seperti kesenian, kebajikan, sukan, kerjaya
dan keagamaan dan badan-badan politik dan kesatuan sekerja. Dari semasa ke semasa, badan
ini menganjurkan program-program latihan dan bengkel kepimpinan kepada ahli-ahli untuk
mencungkil bakat kepimpinan.

Penekanan terhadap strategi dilihat dapat menguatkan dan menambah keupayaan


sumber manusia sedia ada, menyuburkan ideologi yang kian malap, memperkukuh jaringan
komunikasi dan memantapkan kepakaran bagi persaingan di arena antarabangsa. Sebagai
contoh, Sebahagian besar Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) terarah kepada usaha
membina dan membangunkan modal insan. Sebahagian besar daripada RM200 bilion yang
diumumkan oleh YAB Perdana Menteri meliputi dan mewarnai komitmen kerajaan bagi
melahirkan generasi muda yang mempunyai minda kelas pertama. Konsep kelas pertama ini
meliputi cara berfikir yang sistematik, sikap yang betul dan memaksimumkan penggunaan otak
seperti yang dipunyai oleh masyarakat di negara-negara maju.

Langkah kerajaan menubuhkan Institut Penyelidikan Belia Negara (IPBN) adalah bagi
memperkasa golongan belia melalui penyelidikan dalam enam bidang utama iaitu
memasyarakatkan belia terhadap agama dan budaya, potensi belia dan integriti, belia
berpersatuan, kepimpinan dan kesukarelaan, belia dan pendidikan serta belia dan kesedaran
politik. Salah satu kajian yang boleh dijalankan oleh IPBN ialah melihat kembali sistem
pengukuhan yang dilaksanakan di dalam sistem pendidikan negara untuk meningkat dan
mengekalkan momentum golongan muda ini semasa berlakunya transisi semasa bekerja dan
menjadi orang dewasa.
Kesimpulannya, generasi muda atau belia mempunyai peranan serta kepentingannya
tersendiri dalam usaha untuk membangunkan masyarakat dan negara. Belia sebagai pemimpin
masa kini dan masa hadapan mesti bergerak dalam kematangan, keupayaan dan motivasi yang
lebih positif dan efektif di dalam komitmen yang lebih kukuh. Kesedaran perlu wujud dan
berkembang sealiran dengan cita-cita pembinaan budaya bangsa ke arah kewujudan satu
negara yang bermaruah dan mempunyai martabat yang tinggi. Tuntutan masyarakat dan global
yang semakin canggih, wajarnya memerlukan peranan yang rasional dan beridea segar
daripada belia. Tugas belia serta masyarakat umumnya ialah memastikan agar tuntutan
tersebut dipenuhi selengkapnya. Oleh itu, Dasar Pembangunan Belia Negara adalah panduan
yang dapat memberi peluang dan ruang kepada semua pihak dalam merancang dan
melaksanakan program untuk memperkasakan pembangunan belia.

(718 Patah Perkataan)

Anda mungkin juga menyukai