Anda di halaman 1dari 2

Menghirup udara hasil kemerdekaan negara, telah banyak kejayaan yang dikecapi

oleh negara kita dari generasi ke generasi hinggalah ke hari ini. Seiring dengan kejayaan ini
juga, kerajaan telah menetapkan garis panduan untuk menjamin sebuah negara maju
melalui generasi-generasi yang terpimpin dan berkaliber berpaksikan wawasan yang diterap
sejak di bangku sekolah lagi. Hal ini dikira amat penting untuk memastikan kemaslahatan
negara terjamin dengan adanya generasi yang berwawasan yang mampu mentadbir negara
dan masyarakat. Persoalannya, apakah ciri-ciri yang perlu ada bagi setiap generasi yang
berwawasan?

Salah satu ciri yang perlu ada pada setiap generasi yang berwawasan ialah
bersemangat patriotik. Sebagai warganegara Malaysia yang sejati, remaja harus menyayangi
negara ini dengan sepenuh hati tanpa sebarang prasangka. Selain itu, para remaja
hendaklah sentiasa mendahulukan kepentingan negara dalam apa-apa tindakan. Mereka
dapat melahirkan rasa tanggungjawab untuk menabur jasa kepada negara. Sebagai contoh,
generasi muda menyumbangkan tenaga dalam usaha mencapai wawasan sebuah negara
yang aman sentosa agar dipandang mulia oleh negara-negara luar. Bak kata pepatah, hujan
emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Remaja juga perlu memahami kandungan
Rukun Negara sebagai teras. Penglibatan remaja dalam Program Latihan Khidmat Negara
ialah aktiviti terbaik untuk menanam perasaan cinta akan negara dalam kalangan remaja
Malaysia. Jelaslah bahawa semangat patriotik perlu dimiliki oleh generasi berwawasan.

Selain itu, generasi berwawasan membina ilmu dalam pelbagai bidang. Mereka
berusaha untuk menuntut ilmu pada setiap masa. Mereka membaca buku, akhbar, dan
majalah, melayari Internet untuk membuka mata sendiri kepada dunia yang berkembang
pesat. Hal ini demikian kerana ilmu amat penting untuk membantu seseorang menentukan
hala tuju dan masa depan khususnya dalam alam pekerjaan. Mereka belajar untuk
memperoleh kecemerlangan akademik dan meningkatkan kemahiran diri. Misalnya, seorang
peguam perlulah mempunyai kelayakan akademik yang baik dalam jurusan undang-undang.
Ilmu yang diterima oleh remaja mampu memberikan sumbangan kepada negara. Mereka
dapat mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang dimiliki untuk mengatasi halangan atau
menyumbangkan jasa kepada negara.

Seterusnya, inovatif merupakan ciri yang harus dimiliki oleh generasi berwawasan.
Remaja yang berwawasan seharusnya sanggup mempelajari dan menguasai pelbagai cabang
ilmu. Mereka akan sentiasa mencari jalan keluar terbaik dengan menggiatkan usaha
pembaharuan dan perubahan dalam bidang kerjaya yang diceburi oleh mereka sama ada
dalam bidang perkhidmatan, industri atau perniagaan. Dalam dunia persaingan ini,
ketahanan negara akan terjamin sekiranya generasi muda mampu memimpin perubahan
dan pembaharuan. Ilmu yang dikuasai itu dapat digunakan dalam membangunkan modal
insan. Misalnya, Jepun dan Korea mengambil teknologi dari negara Barat tetapi mereka
mengadaptasi teknologi tersebut mengikut acuan persekitaran mereka sehingga produk
yang dihasilkan beridentiti mereka dan lebih canggih. Usaha pembinaan remaja yang
inovatif dilihat sebagai satu bentuk pelaburan masa depan untuk ketahanan pembangunan
negara pada era masyarakat terbuka.

Di samping itu, generasi yang berwawasan pantang berputus asa. Remaja yang
berwawasan bersikap positif dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan kejayaan. Mereka
tidak akan berputus-asa apabila tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan, sebaliknya mereka menjadikan perkara tersebut sebagai permulaan sesuatu
kejayaan. Semasa melakukan aktiviti atau ketika menuntut ilmu tidak dapat dinafikan akan
wujud halangan tertentu seperti sukar mempelajari sesuatu perkara, masalah kewangan,
kurang dorongan, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, halangan demikian sepatutnya
tidak akan melemahkan semangat remaja, sebaliknya perlu diharungi dengan tabah supaya
memperoleh kejayaan, bak peribahasa, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke
tepian,bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Konklusinya, generasi berwawasan sememangnya merupakan tonggak


pembangunan negara, maka semua remaja perlulah sentiasa bermuhasabah dan membaiki
kelemahan diri sebelum terlewat kerana sesal di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Semua
pihak haruslah menggembleng tenaga untuk melahirkan warga Malaysia yang berkualiti dan
unggul. Hal ini demikian kerana remaja merupakan peneraju masa depan negara kita yang
menentukan sama ada negara kita akan gemilang dan terbilang pada masa depan ataupun
akan mengalami kemunduran yang amat teruk. Maka, remaja perlu mempunyai kekuatan
diri untuk melakukan perubahan, bukannya menunggu orang lain untuk mengubahnya.

Anda mungkin juga menyukai