Anda di halaman 1dari 1

Ciri ciri generasi berwawasan demi kejayaan Negara kita

Dalam meniti era globalisasi ini, generasi yang berwawasan merupakan pelapis dan
peneraju kepada kemajuan dan pembangunan negara. Generasi berwawasan dapat
ditafsirkan sebagai golongan muda yang mempunyai cita-cita. Sememangnya, generasi
seperti ini dapat menjadi penggerak kepada wawasan negara kita. Justeru, jika ada
sasaran yang positif dalam hidup, kita perlulah melengkapkan diri dengan beberapa ciri
untuk menjadi generasi yang berwawasan.
Seseorang individu yang berwawasan sentiasa dinamik dan progresif dalam menjalankan
sesuatu tugas. Dinamik dapat diertikan sebagai perubahan yang lebih baik daripada
sebelumnya. Individu yang dinamik tidak boleh memiliki ciri-ciri negatif seperti mudah
berputus asa sebaliknya perlu ada semangat tidak jemu untuk menimba ilmu yang
begitu meluas. Dalam mengejar kejayaan, individu yang berwawasan seharusnya
sanggup menghadapi cabaran tanpa berputus asa kerana tidak ada kejayaan yang
datang bergolek. Hal ini demikian kerana, dalam dunia ini bukan senang untuk menjadi
senang dan bukan susah untuk mendapat kesusahan. Negara yang pesat membangun
seperti Malaysia memerlukan generasi yang memiliki ciri-ciri ini untuk mencapai
kemajuan dalam setiap aspek.
Di samping itu, individu yang berwawasan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh
supaya dapat bersaing secara sihat antara satu sama lain. Persaingan yang sihat dapat
melahirkan individu yang mempunyai iltizam yang tinggi. Dalam hal ini, setiap individu
perlulah berani melakukan perubahan sikap dan minda agar lebih terbuka dan berdaya
saing. Individu yang berwawasan juga sentiasa berfikiran terbuka, kreatif dan inovatif
dalam melakukan sesuatu perkara. Inovatif membawa maksud mencipta sesuatu yang
baik untuk kepentingan diri dan masyarakat. Jika generasi kita tidak memiliki ciri-ciri ini,
negara kita akan mundur dan tidak ada peluang untuk bersaing dengan negara lain.
Ciri-ciri seterusnya ialah berkemahiran tinggi dan memiliki semangat patriotik yang
menebal dalam diri. Individu yang berwawasan akan sanggup mencari pengalaman baru
untuk berada pada tahap yang tinggi. Seperti kata peribahasa Jepun, pengalaman ialah
ibu segala kejayaan. Selain itu, jika generasi muda di Malaysia mempunyai rasa cinta
akan negara yang mendalam atau dalam erti kata lain semangat patriotik yang tinggi,
secara tidak langsung perkara ini dapat memberikan suntikan semangat supaya menjadi
lebih cekap dan dinamik untuk bersaing diperingkat global bagi memastikan negara kita
berupaya serta berdaya saing dalam era ekonomi dunia yang semakin mencabar.
Konklusinya, untuk menjadi generasi yang berwawasan kita seharusnya memiliki ciri-ciri
yang tertentu bagi merealisasikan matlamat kita. Sebenarnya, generasi yang
berwawasan juga menjadi akar pada pertumbuhan dan pembangunan modal insan yang
menjadi agenda utama negara kita. Oleh itu, generasi kini perlulah melakukan anjakan
paradigma supaya dapat memajukan diri, bangsa,agama, dan negara seterusnya dapat
mencapai hasrat negara kita iaitu generasi muda pelapis dan peneraju wawasan.

Anda mungkin juga menyukai