Anda di halaman 1dari 1

CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN

Dalam meniti arus globalisasi ini, generasi yang berwawasan merupakan pelapis dan peneraju kepada kemajuan dan
pembangunan negara kerana ahli pujangga pernah berkata bahawa generasi berwawasan sebagai pemangkin pembangunan
negara. Generasi berwawasan dapat ditafsirkan sebagai golongan muda yang mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadikan
negara kita maju selaras dengan saranan yang terkandung dalam Wawasan 2020. Dewasa ini, isu generasi berwawasan telah
mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kita. Isu generasi berwawasan menjadi amat penting untuk diberikan
perhatian dan tumpuan yang sewajarnya kerana mereka merupakan nadi negara. Oleh itu, usaha untuk melahirkan remaja
yang berwawasan semakin diberikan keutamaan. Persoalannya, apakah ciri-ciri seseorang remaja yang dikategorikan
mempunyai wawasan?

Jika kita menyelusur dimensi yang berbeza, remaja yang berwawasan seharusnya bersemangat patriotik. Remaja yang berjiwa
patriotik ini akan menjadi bakal pemimpin yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara. Sebagai bakal pemimpin negara
sudah pasti mereka perlu sentiasa berusaha untuk memelihara imej negaranya daripada tercemar dan menjadi bahan
cemuhan masyarakat luar. Oleh itu, mereka haruslah menghormati lagu kebangsaan negara iaitu lagu Negaraku dan
mengamalkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. Mereka tidak akan sekali-kali menjadi pengkhianat negara
dan tidak akan melibatkan diri dalam gejala sosial yang akan mencemarkan imej negara. Jiwa patriotik remaja yang menebal ini
akan menjamin keharmonian negara dan sekali gus berupaya menjaga maruah negara di pentas global. Ringkasnya, remaja
yang berwawasan sentiasa bersemangat patriotik untuk mengekalkan keharmonian dan kedaulatan nusa tercintanya.

Remaja yang berilmu dan sudi berkongsi ilmu pasti mencapai kecemerlangan dari segi akademik. Hal ini merupakan salah satu
elemen yang maslahat untuk menelurkan remaja yang berwawasan. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan
kecemerlangan tamadun bangsa. Remaja yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang dapat membuat
penilaian dan keputusan yang bijak dalam menghadapi kehidupan yang penuh dengan onak dan duri ini. Sehubungan dengan
itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan,
terutamanya ilmu sains dan matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku , melayari lebuh raya maklumat di
dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan
menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar
melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka. Oleh itu remaja tidak harus terbuai
dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa,
Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tegasnya, remaja yang berwawasan sentiasa memastikan dirinya tidak jemu menimba ilmu
untuk memiliki mentaliti kelas pertama.

Tidak dapat dinafikan bahawa remaja yang berwawasan haruslah mempunyai pelbagai kemahiran. Antara kemahiran utama
yang harus dimiliki oleh remaja kita ialah kebolehan berbicara dalam multibahasa. Mereka boleh menguasai bahasa asing ini
dengan memasuki kelas bahasa secara peribadi atau berbual-bual dengan rakan yang berlainan keturunan itu ketika berada di
sekolah. Kemampuan berbahasa selain bahasa ibunda ini memberikan keyakinan diri kepada remaja dan peluang untuk
memperoleh sesuatu kerjaya pada masa depan juga lebih cerah. Ringkasnya, kemampuan untuk bercakap dalam pelbagai
bahasa boleh menjadikan diri remaja itu lebih berketerampilan dalam menjalani kehidupan masyarakat moden itu. Selain itu,
kemahiran menggunakan komputer dan perisian juga memastikan remaja mampu berlari pada alaf baharu untuk mengejar
perkembangan teknologi. Dengan berbuat demikian, mereka dapat bersaing secara sihat sekali gus berdiri sama tinggi, duduk
sama rendah dengan remaja di negara-negara yang maju dan moden.

Tuntas bicara, daripada kesemua huraian di atas jelas menunjukkan bahawa remaja yang berwawasan perlulah seimbang
dalam semua aspek kehidupan. Oleh itu, remaja zaman sekarang diseru agar menerapkan semua aspek ini dalam kehidupan
agar sentiasa beroleh kejayaan dan mencapai wawasan diri. Remaja seharusnya menggunakan setiap peluang yang ada untuk
menjadi remaja yang berwawasan kerana di pundak merekalah bakal terpikul segala amanah dan tanggungjawab untuk
memajukan bangsa dan negara agar setanding dengan negara maju yang lain persis mutiara kata berdiri sama tinggi, duduk
sama rendah. Dalam konteks ini semua pihak haruslah bekerjasama bak kata pepatah seikat bagai sirih, serumpun bagai serai
dalam usaha melahirkan lebih ramai remaja yang berwawasan agar Transformasi Negara 2050 (TN50) mampu direalisasikan
dengan jayanya.

Anda mungkin juga menyukai