Anda di halaman 1dari 4

ESEI MENENGAH ATAS

Bersatu Teguh, Bercerai Roboh

Cantik bergugus buah papaya,


Masak dipetik satu per satu,
Walaupun berlainan bangsa dan budaya,
Kerana muhibah hidup bersatu.

Berdasarkan pantun yang ditulis di atas, jelaslah bahawa perpaduan menjadikan Malaysia
bersatu padu tanpa mengira kaum, agama dan budaya. Negara Malaysia mempunyai pelbagai
kaum yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban dan sebagainya.
Meskipun begitu, masyarakat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Namun, masih ada
segelintir masyarakat yang tidak peduli dan hanya mementingkan diri mereka sendiri untuk tidak
mahu bekerjasama seperti peribahasa enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Tidakkah kita lupa bahawa sekiranya masyarakat berpecah belah, keadaan ini boleh mengundang
pergaduhan dan huru hara di negara Malaysia yang kita sayangi ini. Nescaya perjuangan yang
memecah-belahkan perpaduan akan merugikan kita sendiri. Oleh sebab itu, "bersatu
teguh,bercerai roboh" merupakan satu cogan kata yang dalam maknanya untuk diamalkan oleh
manusia sejagat demi mencapai kesejahteraan hidup dan ianya merupakan tajuk yang akan
dikupas pada hari ini. Persoalannya, apakah usaha yang boleh dilakukan untuk memberi
kesedaran kepada masyarakat tentang isu perpaduan di negara ini? Bagi membicarakannya,
saya akan menelusuri hal ini dengan lebih mendalam lagi.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa usaha yang boleh dilakukan untuk mewujudkan perpaduan
dalam kalangan rakyat Malaysia adalah dengan amalan ziarah menziarahi antara jiran tetangga
walaupun berlainan bangsa ataupun agama. Misalnya, sekiranya jiran kita menghadapi musibah
seperti terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga menyebabkannya terlantar di hospital. Kita
hendaklah menziarahi mereka dengan niat yang ikhlas dan tidak lupa untuk membawa buah
tangan pada pesakit tanpa mengharapkan balasan. Dengan cara ini, kita dapat menjalin
hubungan yang mesra
sesama jiran tetangga. Sebagai tambahan, khususnya di kawasan bandar yang semangat
kejiranannya dikatakan semakin luntur, amalan ziarah menziarahi perlu dijadikan sebagai satu
aktiviti utama dalam perancangan aktiviti tahunan mereka agar ukhuwah antara mereka sentiasa
teguh erat ibarat tali sauh kapal yang tak mudah putus walau dilanda ombak yang ganas. Sebagai
mana yang kita ketahui, mereka yang tinggal di kawasan bandar sering berjauhan dengan
keluarga. Oleh itu, jiranlah yang menjadi saudara mara kita yang terdekat. Dengan adanya
kejiranan yang saling menziarahi ini, maka sudah pasti segala beban dan kesedihan terhadap
kesulitan atau musibah yang dialami dapat diringankan bak kata peribahasa ringan sama
dijinjing, berat sama dipikul. Melalui hubungan sedemikian, kehidupan pasti akan sejahtera dan
secara tidak langsung masalah-masalah sosial seperti kecurian dan rompakan
dapat dikurangkan.

Seterusnya, cara lain yang boleh dilakukan ialah pertubuhan masyarakat hendaklah
mengadakan acara kebudayaan di sekitar kawasan kejiranan. Sebagai contohnya, ketua
organisasi masyarakat boleh menganjurkan pertandingan tarian antara kaum seperti tarian zapin
bagi kaum Melayu, tarian singa bagi kaum Cina dan tarian bharatanatyam bagi kaum India. Hal
ini pasti dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kaum tanpa mengenal bangsa dan
agama. Dengan iltizam dan semangat yang dikongsi bersama, hal ini boleh memajukan negara
dan memartabatkan masyarakat pada persada antarabangsa dan dapat melahirkan sebuah negara
yang berwibawa. Anggota masyarakat pada hari ini seharusnya bersikap inteligesia dan terbuka
dalam meraikan perbezaan dalam mencari kesatuan. Memperkenalkan tarian-tarian tradisional
pada negara luar agar dikenali dan dipandang tinggi untuk membuktikan bahawa negara kita
adalah negara yang majmuk kerana negara yang memiliki persamaan unik dan menarik wajar
dikongsikan dan dipaparkan pada mata dunia. Selain itu, tarian tradisional dapat menjadi produk
pelancongan negara yang unggul. Oleh yang demikian, setiap di antara kita perlu
memanifestipikasikan fikiran dalam mencari mekanisma terbaik untuk mewujudkan perpaduan
dalam kalangan rakyat di negara ini di samping mengangkat elemen-elemen tempatan yang
dimiliki oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya, dan agama.

Selanjutnya, kita juga boleh mengadakan acara rumah terbuka apakala tiba musim perayaan.
Amalan rumah terbuka juga merupakan satu medium untuk memahami budaya kaum-kaum di
dalam Malaysia. Malaysia yang sangat kaya dengan pelbagai kaum dan perayaan yang banyak
sudah sinonim dengan aktivti rumah terbuka. Rumah terbuka adalah acara tidak kira kecil atau
besar untuk menyambut hari perayaan Dan semua lapisan masyarakat. Contohnya, semasa
perayaan Hari Raya Aidil Fitri, kaum Melayu hendaklah menjemput kaum-kaum yang lain untuk
hadir menikmati juadah yang

telah disediakan. Aktiviti kunjung mengunjung rumah terbuka sentiasa menjadi antara acara yang
ditunggu-tunggu oleh rakyat di Malaysia amnya agar dapat mewujudkan suasana yang harmoni
dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum ini. Lebih-lebih lagi dalam era kepantasan
penyebaran berita palsu yang sering menggunakan polemik perbezaan kaum, budaya dan agama
untuk menjatuhkan sesetengah pihak tetapi kesannya melibatkan sebuah negara tanpa disedari.
Tetamu yang datang daripada pelbagai kaum hendaklah dilayan dengan mesra dan ramah.
Kebaikan dan keseronokan yang diperoleh semua golongan menjadikan amalan rumah terbuka
bak kata pepatah tidak pernah lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Dengan pelbagai jenis
makanan enak yang dihidangkan kepada tetamu seperti kuih bulan, capati, tosai, nasi lemak, sate,
dan aneka kuih-muih serta tidak lupa pemberian duit raya atau "angpau" kepada tetamu yang
hadir, sudah pasti akan menjadi satu tanda keseronokan bersama bak kata pepatah orang memberi
kita merasa, orang berbudi kita berbahasa. Hal ini dengan jelas dapat memupuk rasa kasih
sayang dan peduli akan sesama kaum dengan menghormati budaya kaum lain melalui
penganjuran aktiviti rumah terbuka ini.

Selain itu, aktiviti gotong-royong juga dapat memupuk perpaduan dalam kalangan
masyarakat. Antara aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat adalah dengan membersihkan surau,
menghias balai raya, membersihkan kawasan taman permainan dan sebagainya. Hal ini pasti
dapat memupuk rasa tanggungjawab dalam diri masyarakat dan mampu untuk memupuk nilai
kerjasama dalam kalangan masyarakat. Di samping itu, dalam bidang pentadbiran, sama ada di
sektor swasta atau di sektor kerajaan, semangat bersatu dalam kalangan pekerjanya juga dapat
dipupuk melalui aktiviti gotong-royong ini. Sekiranya sikap ini diabaikan, maka sesebuah
organisasi itu tidak akan maju. Hal ini terjadi kerana tidak ada kerjasama antara semua pihak
untuk memajukan organisasi tersebut. Jika hanya pihak tertentu sahaja yang bekerja bertungkus
lumus, sedangkan pihak yang lain tidak memberi komitmen, maka kejayaan cemerlang tidak
akan tercapai. Oleh yang demikian, semangat seperti aur dengan tebing perlu dijadikan panduan
demi meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi dan juga untuk kesejahteraan dan membina
rasa bekerjasama yang kukuh dan baik dalam negara kita. Di samping itu, kekuatan yang kita
tunjukkan mampu menjadi ejen penyatuan masyarakat dunia yang kerap kali dicabar dengan
perang saudara atau kuasa di mana pengakhirannya hanyalah dapat merugikan tamadun manusia.
Jelaslah aktiviti gotong-royong yang semakin lupus dalam kalangan masyarakat itu perlulah
terus diamalkan kerana memberi signifikan terhadap kewujudan rakyat yang bersatu padu di
negara ini.

Kesimpulannya, misi dan visi yang dirancang oleh kerajaan untuk memajukan negara bukan
setakat memerlukan kerjasama semua rakyat, malahan kerajaan dan rakyat harus bersatu dan
berganding bahu untuk menjayakannya. Usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan
hidup masyarakat tidak akan menjadi realiti sekiranya tidak ada tindak balas positif daripada
rakyat secara keseluruhannya. Jika segelintir masyarakat sahaja yang menyahutnya, maka
kempen-kempen dan program-program kerajaan seperti inflasi sifar, cintai alam sekitar, budaya
membaca dan lain-lain akan gagal. Tambahan pula, negara sekarang sedang mengalami masalah
ekonomi. Oleh sebab itu, rakyat harus bersama-sama membantu memulihkan keadaan supaya
tidak bertambah teruk. Rakyat dan kerajaan tidak boleh mementingkan diri sendiri kerana masalah
yang melanda negara dirasai bersama-sama. Sesungguhnya, keadaan sosial yang tidak stabil akan
membantut usaha kerajaan untuk memajukan negara. Bersatu kita pasti teguh, jika bercerai, maka
roboh jadinya.

Anda mungkin juga menyukai