Anda di halaman 1dari 3

Usaha Menyuburkan Semangat Kejiranan

Laporan Berita Harian yang dikeluarkan pada 22 Januari 2016 ada menyatakan
pendapat Datuk Seri Najib Razak bahawa perpaduan dalam kalangan rakyat dapat
dikukuhkan lagi melalui semangat kejiranan. Namun sama ada kita sedar atau tidak,
hubungan kejiranan di kebanyakan kawasan kediaman tidak begitu baik. Dalam
meniti ranjau kehidupan yang penuh pancaroba ini, kita dapat menyaksikan realiti
kehidupan jiran-jiran kini semakin kurang bertegur sapa dan suka membudayakan
hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing malah turut
cenderung bersikap nafsi juga. Secara tidak langsung keadaan ini mengakibatkan
pudarnya kemeriahan hidup berjiran disebabkan oleh aura suasana sekeliling yang
suram dan tidak harmoni. Persoalannya, bagaimanakah masyarakat dapat
mengatasi kemelut ini? Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka beberapa
usaha harus diadakan untuk menyuburkan semangat kejiranan kerana kalau tidak
dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kita dapat memupuk semangat kejiranan
dengan mengadakan perjumpaan sesama penduduk setempat dengan kerap.
Dalam konteks ini, semangat kejiranan yang semakin hari semakin pudar boleh
diatasi dengan mewujudkan satu pusat komuniti di setiap kawasan perumahan atau
menubuhkan jawatankuasa kejiranan setempat dalam program Rukun Tetangga.
Program tersebut bertujuan untuk membantu dalam pembangunan masyarakat
setempat. Dengan berbuat demikian, penduduk boleh membuat sebarang aduan
mengenai ketidakpuasan hati atau mengemukakan cadangan serta pendapat
masing-masing untuk mencapai satu kata sepakat kerana bulat air kerana
pembetung, bulat kata kerana muafakat. Sebagai contoh, penduduk boleh
mengadakan perjumpaan atau mesyuarat untuk membincangkan pelbagai isu
berkaitan dengan hal kejiranan seperti masalah kebersihan, keselamatan dan
sebagainya. Tanpa kita sedari, perjumpaan sesama penduduk boleh mengukuhkan
hubungan sesama mereka kerana berkesempatan untuk bertegur sapa dan
mengenali jiran. Dalam hal ini, kita tidak akan dianggap sebagai kera sumbang yang
lazimnya dilabel oleh golongan masyarakat sekiranya kita bersikap disebaliknya.
Jelaslah bahawa, sesi perjumpaan yang diadakan sesama penduduk mampu
melahirkan masyarakat liberal yang prihatin terhadap jiran tanpa mengetepikan hak
orang lain.
Beralih pula pada perspektif yang lain, badan-badan bukan kerajaan seperti
Rukun Tetangga atau khidmat komuniti bertanggungjawab menjalankan aktiviti
kemasyarakatan untuk menyuburkan semangat kejiranan dalam kalangan
penduduk. Lazimnya, penduduk dicadangkan agar menjalankan aktiviti
kemasyarakatan secara berkumpulan bagi mencapai semangat kejiranan yang
harmoni dan sejahtera. Biar kita ambil contoh, aktiviti berkumpulan seperti gotong-
royong perlu giat dilaksanakan untuk membersihkan kawasan taman permainan,
surau dan padang. Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, para penduduk dapat
merapatkan hubungan sesama mereka sekaligus mengindahkan infrastruktur serta
menjamin kebersihan kawasan sekitar agar sentiasa bersih dan bebas daripada
ancaman penyakit. Hal ini dapat dikaitkan dengan peribahasa Melayu, sambil
menyelam minum air kerana aktiviti tersebut mendatangkan banyak faedah kepada
golongan penduduk. Secara tidak langsung, para penduduk akan berkumpul dan
bekerjasama di samping dapat mengenali jiran dengan lebih dekat kerana tak kenal
maka tak cinta. Terbuktilah bahawa, masyarakat sewajarnya melibatkan diri secara
aktif dalam aktiviti kemasyarakatan yang diadakan agar dapat menyemai semangat
kejiranan yang tinggi dalam diri masing-masing.

Memetik wasitah nirmala seterusnya, uslub lain bagi memupuk semangat


kejiranan dalam kalangan masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti sukaneka
dan hari keluarga. Hal ini tercetus apabila masyarakat berpeluang untuk saling
berkenalan dengan lebih dekat menerusi aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Semasa
aktiviti diadakan, semua anggota jiran tetangga boleh menyertainya tanpa mengira
umur, jantina, bangsa dan agama. Di luar kesedaran kita, setiap individu yang
terlibat bukan sahaja dapat mencungkil bakat dan menyihatkan tubuh badan
malahan mereka juga berpeluang untuk menjalinkan hubungan yang mesra bagai isi
dengan kuku sesama jiran. Tambahan pula, semangat perpaduan juga dapat
dipupuk dengan menyatupadukan jiran tanpa mengambil kira kaum dan agama.
Sebagai analoginya, penduduk boleh menyertai aktiviti sukaneka seperti belon air,
bawa bola berhalangan, menganyam ketupat dan membaling bola dalam bakul.
Natijahnya, aktiviti sukaneka dan hari keluarga bukan sahaja mampu
mengembalikan semula semangat kejiranan yang kian pudar malah dapat
mendatangkan pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat seperti kata pepatah
sambil menyelam minum air.

Lontaran idea yang seterusnya ialah kita hendaklah menyambut sesuatu


perayaan atau majlis keraian bersama-sama. Sebagai uswah hasanah, kita boleh
menganjurkan rumah terbuka pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun
Baharu Cina, Deepavali dan Hari Krismas. Amalan ini dapat membentuk ikatan
silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat.
Dalam konteks ini, semua orang yang dijemput untuk hadir ke rumah penganjur
boleh saling bertanya khabar dan berbual-bual sambil menikmati juadah bersama-
sama. Jiran tetangga boleh mengambil kesempatan ini untuk bercerita tentang
pengalaman diri dan mengambil tahu perkembangan terkini jiran-jiran yang lain. Hal
ini disebabkan oleh masing-masing sibuk bekerja dan kurang bergaul antara satu
sama lain sehingga memberi kesan terhadap hubungan kejiranan. Secara senyap-
senyap, penganjuran rumah terbuka dapat mengukuhkan lagi hubungan yang
terjalin antara jiran tetangga serta dapat mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh
di kawasan kejiranan. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains
Malaysia yang menunjukkan keberhasilan pengajuran program "Rumah Terbuka
Kebangsaan" dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah
kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Tegaslah bahawa penganjuran rumah
terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan kita dapat menyimpulkan


bahawa terdapat pelbagai usaha yang dapat dipraktikkan bagi memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Sekiranya kita mengamalkan sikap
mementingkan diri dan tidak mempedulikan orang lain, semangat kejiranan akan
semakin luntur dan seterusnya menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita
teguh, bercerai kita roboh. Oleh itu, kita perlu sentiasa memastikan bahawa cogan
kata ‘jiran sepakat membawa berkat’ terus subur mewangi dalam kehidupan kita.
Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak
sahaja kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Jika semua pihak
berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insya-Allah
masalah kejiranan ini dapat diatasi.

Anda mungkin juga menyukai