Anda di halaman 1dari 2

LATIHAN 5 (Dimensi Keluarga)

Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan
peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat.         

Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga menjangkau
empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita. Semangat
kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan
bekerjasama antara satu sama lain. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran Sepakat
Membawa Berkat”. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan
mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan sesuatu
perkara. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai pancaroba moden,
semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat semakin meluntur.  Oleh itu, semua
lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang elektif wajar
diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?
Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat
majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak
lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai aktiviti gotong-
royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal ini. ibu bapa
boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama.  Melalui aktiviti gotong-royong,
semua penduduk setempat dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang
akan dilakukan. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “
tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong
ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan
sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong memerlukan masyarakat
bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar
dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran.
Mereka juga  sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti . Apabila dewasa kelak,
anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu
bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan
dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada
anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri.
Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti ‘aur dengan tebing’ atau ‘ ke bukit  sama di
daki, ke lurah sama dituruni’ dan ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ untuk
mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai  anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu
bapa  mesti mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap  jiran mereka..
Apabila  mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain
mereka atau mengambil tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-
masalah yang dihadapi oleh jiran  dan cuba membantu mereka supaya dapat meringankan beban
yang ditanggung oleh jiran. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat, maka ahli-ahli keluarga itu
memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke hospital,
memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan daripada mereka, mendapatkan bantuan
nasihat ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa
terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka.
Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti mampu memupuk
semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-majlis
rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat
mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak

www.bmspm.net
bersama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama
lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu
perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan
itu, masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara
ini.  Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri, Tahun
Baru Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya,
majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli
masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam
kalangan masyarakat sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat
kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa
anak-anak-anak  menziarahi jiran tetangga pada  masa-masa  yang sesuai. Sebagai contoh, ibu
bapa boleh membawa anak-anak  berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran
kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau mendapat
kemalangan. Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta
membuang sejauh-jauh sikap mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan ‘ seperti enau di
dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan
bahawa ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya’, namun sebagai jiran, kita mestilah
berpegang teguh pada prinsip “cubit peha kiri, peha kanan terasa juga”. Jadi, melalui lawatan kita,
sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita dan secara
tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut
mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu
bapa boleh menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk
semangat kejiranan.
Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri
dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari
Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti kerap
diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Selain itu, ibu bapa boleh
mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat
setempat yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini
hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Sebagai contoh, melalui
Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan
kawasan tempat tinggal atau taman untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak
diingini seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam
peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-
menyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa
berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial
sebagai langkah untuk memupuk  semangat kejiranan.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan
dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan  masyarakat yang prihatin dan membentuk
perpaduan kaum.  Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah
mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk memohon bantuan ketika
kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan dengan senang hati dan
menghiburkan ketika kita senang. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan
berbaik-baik dengan kita. Cogan kata “ Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan
dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya
murni ini. Amalkan dengan hati yang ikhlas, barulah kita memperoleh keberkatan dalam
kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah
utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan
semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan
sejahtera. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan
kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa
dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”.

www.bmspm.net

Anda mungkin juga menyukai