Anda di halaman 1dari 26

Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat.

Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat.
Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan,
ke kiri atau memandang hadapan atau belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran.
Betapa pun kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak yang jauh
menyebabkan pergantungan kita terhadap jiran lebih besar berbanding dengan orang yang
dekat dengan kita sejak lahir. Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang
lebih luas sehingga menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal
berhampiran dengan kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga
yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam
kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil berat
antara satu sama lain dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa
mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa
Jiran Sepakat Membawa Berkat. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam
kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam
melakukan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi
pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat,
semakin meluntur. Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar
mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang elektif wajar diambil oleh ibu bapa untuk
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?
Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh
masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai
yang berharga ini tidak lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah
menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat
setempat. Dalam hal ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut
bersama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat dapat berkumpul
bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan
berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan berkenal-kenalan antara satu sama lain
dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih
baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan
bahawa tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara
bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk
kenduri-kendara dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara bergotong-
royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti-
aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli
keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga sedar akan
peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti . Apabila dewasa kelak, anak-anak akan
melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu bapa
haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan
dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau role model yang baik
kepada anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam
diri sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti aur dengan tebing atau
ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni dan hati gajah sama dilapah, hati kuman
sama dicecah untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam
sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan
terhadap jiran mereka.. Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah
bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu hal rumah tangga
mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba
membantu mereka supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh jiran. Hal ini
demikian kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi
masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang
lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan
bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu
keluarganya yang tinggal berjauhan daripada mereka, mendapatkan bantuan nasihat
ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa
terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran
mereka. Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti
mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-majlis
rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja
dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh
membawa anak-anak bersama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan
mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk
berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati
juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami
adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini. Sebagai contoh, majlis-
majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Hari
Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Kehadiran ibu bapa
bersama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan
anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan
semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak dan mengamalkan semangat
perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar
mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat
yang bersatu-padu.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam
kalangan masyarakat sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat
kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan
membawa anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa yang sesuai.
Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi
oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama dan hal ini akan menjadikan
hidup mereka lebih aman dan harmoni walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika kita
mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu
penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan
sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap mementingkan diri sendiri dan hidup
diibaratkan seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi
bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip
cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya
kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak
langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut
mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka.
Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-
anak untuk memupuk semangat kejiranan.
Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri
dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti
Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat.
Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa
boleh membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan
yang disediakan. Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang
kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem
organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua
penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan
dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga , Jawatankuasa Keselamatan dan
Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh,
melalui Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir
mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk mengelakkan
berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh, merogol, merompak
dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan
tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu antara
satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk
menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebagai langkah
untuk memupuk semangat kejiranan.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat
kejiranan dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan masyarakat yang prihatin
dan mmmembentuk perpaduan kaum. Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun
kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi
tempat untuk memohon bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa
menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi,
untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan diri kita sebagai jiran
yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga
akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata Jiran Sepakat Membawa Berkat perlu terus
diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam usaha
mengamalkan budaya murni ini. Amalkan dengan hati yang ikhlas, barulah kita
memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat
kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita
mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara
supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang
maksudnya, Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang
lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku
supaya kamu kenal-mengenali.


Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan
peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada
telah membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang
kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang
terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat
membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman
damai kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri
mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan
perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan semangat patriotik dalam diri
mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang
sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato
Maharajalela, Dato Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini kurang
bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu,
pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik
dalam jiwa masyarakat. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang
utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang
bersejarah. Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah,
Melaka. Di situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini
dapat menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang
dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam
jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota
Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti
lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata kerana
anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat
mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke
tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu
bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan
sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan
negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak
dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan
novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana
buku-buku tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat
jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk
anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku yang
tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat. Dengan
membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik dapat diterapkan
dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut hendaklah dipupuk sejak
dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak
membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca kerana
kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora
dan dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi role model atau suri teladan
kepada anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan,
pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian,
ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai
contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang
boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa
protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam
mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh itu, ibu bapa harus
sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya
kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai program larian 1
Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa
haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat
menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa
perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang
berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-
peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan
generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa
boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti
kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan
lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehl juga menceritakan sendiri
pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa mereka menderita dizalimi dan didera
semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat
membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu. Hal ini boleh
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh melayari
internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada
anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat
informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah
sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik
dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan
untuk menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-
topik berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek
biasa. Anak-anak akan cuba mengingati setiap cerita yang pernah didengarnya terutama
tentang sejarah negara. Tegasnya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan
baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-
sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16
September dan sebagainya. kita Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini,
semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya, apabila anak-
anak dapat bersama-sama mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta
mendengar cerita-cerita tentang kesengsaraan para pejuang tanah air untuk
memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan
kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan.
Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan seharusnya
dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa
yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan
menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat
persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara
tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang
harmoni yang bersemangat patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa
anak-anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah
pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa
anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan bahawa tiada anugerah yang
dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti
yang mulia. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu
atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah
melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bersemangat
patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan
seseorang.
Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak
mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai
anak, seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk
mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada
ibu bapa, anak-anak mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu
bapa mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga.
Sekiranya, ibu bapa sering mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti berasa dirinya
terabai dan mereka akan melibatkan diri dalam kegiatan gejala sosial yang tidak baik.
Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-
anaknya cemerlang dalam pelajaran. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu
dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang
dalam pelajaran?
Peranan pertama yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak
mencapai kejayaan yang cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga
yang dibina dalam situasi yang aman dan bahagia.Anak kunci keamanan dan
kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan
cinta yang luhur dan abadi. Keharmonian dan keceriaan rumah tangga menjamin anak-
anak membesar dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana, kehidupan yang
bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertengkaran
antara ibu bapa atau ibu bapa yang berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh
mengganggu kesejahteraan dan pelajaran anak-anak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa
penting dalam mewujudkan rumah tangga yang bahagia agar anak-anak dapat
menganggap rumahku syurgaku. Anak-anak sudah pasti dapat berusaha bersungguh-
sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran kerana mereka hidup dalam keadaan gembira
tanpa ada tekanan yang berat. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-
anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa bagi mencapai
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Selain itu, ibu bapa juga perlulah bertanggungjawab mengawasi perkembangan
dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan
sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-
anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya
dalam segala tindakan atau kelakuan kerana remaja mempunyai prinsip, nilai dan identiti
yang hampir sama. Anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa
sehingga mereka sukar untuk membezakan antara perkara baik dengan perkara yang
buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan yang bermasalah seperti ponteng sekolah
dan menghisap rokok, mereka juga akan mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang
minat untuk belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar
belakang setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku
kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Ibu bapa perlulah bertindak lebih awal, bak
kata pepatah beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis kerana anak-anak dapat
diselamatkan dan boleh memberikan tumpuan terhadap kecemerlangan dalam pelajaran.
Tegasnya, ibu bapa perlulah mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan
rakan sebaya bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat
pendidikan agama dan moral yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu
diberikan sejak kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Anak-anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan
warna pada kain tersebut. Pendidikan agama dan moral yang diberikan oleh ibu bapa
mampu menepis segala bentuk kemungkaran yang berlaku. Anak-anak akan dapat
membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Mereka juga akan menjadi anak-anak
yang lebih bertanggungjawab dan memahami peranan mereka sebagai seorang anak dan
tidak akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil didikan agama dan moral yang
cukup ini dapat membantu anak-anak untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang
dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang
secukupnya untuk memastikan anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam
pelajaran.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk
anak-anak belajar supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Ibu
bapa perlu memberi motivasi dan galakan terhadap anak-anak untuk belajar. Dalam hal
ini, ibu bapa perlulah menjadi contoh teladan yang baik terhadap anak-anak kerana anak-
anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka bak kata pepatah, bagaimana acuan
begitulah kuihnya. Ibu bapa perlulah menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan
menghantar anak-anak ke kelas tambahan atau tuisyen serta menyediakan buku-buku
rujukan yang lengkap untuk memudahkan anak-anak mengulang kaji pelajaran di rumah.
Selain itu, ibu bapa juga perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk
kemudahan anak-anak belajar. Ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak membaca
untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Oleh itu, ibu bapa hendaklah
membawa anak-anak ke pameran buku, ke kedai buku atau ke perpustakaan. Langkah ini
penting kerana secara tidak langsung anak-anak telah ditanamkan dengan sikap suka
membaca. Situasi ini boleh menimbulkan persaingan dalam diri anak-anak untuk
membaca buku-buku tersebut. Natijahnya, anak-anak akan mempunyai kesedaran dan
keinsafan betapa pentingnya pengetahuan dalam kehidupan mereka sehingga mereka
berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Tambahan lagi, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan
pihak sekolah serta bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru tentang anak-anak. Untuk
mengetahui perkembangan pelajaran dan sahsiah anak-anak di sekolah, ibu bapa perlulah
sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama guru kelas dan guru disiplin. Usaha
ini penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah
disiplin, ibu bapa boleh bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal
ini, anak-anak pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi oleh rakan sebaya yang
tidak sihat. Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang masalah yang
dihadapi oleh anak-anak walaupun dalam kesibukan bekerja. Ibu bapa mestilah bersedia
menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak setiap kali anak-anak meluahkan
masalah mereka. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama agar
perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-
anak. Biasanya, anak-anak yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan
perhatian dalam pelajaran dan akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran. Oleh itu,
jelaslah bahawa ibu bapa perlu mengambil berat tentang masalah anak-anak mereka
dalam pelajaran dan selalu berbincang dengan guru-guru lain agar anak-anak mendapat
pedoman dan boleh memberikan tumpuan untuk mencapai kecemerlangan dalam
pelajaran.
Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa
memainkan peranan yang penting untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang
cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan
anak-anaksebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya ibu bapa kurang memberikan
perhatian terhadap masa depan anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai
kejayaan dan kemungkinan mereka terjebak dalam masalah sosial sehingga sukar untuk
diselamatkan. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan
masa depan anak-anak khususnya untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam
pelajaran.


Dewasa ini, masalah gejala sosial di negara kita semakin serius. Huraikan pendapat
anda tentang punca-punca yang menyebabkan masalah ini berlaku dan tuliskan
cadangan-cadangan tentang peranan ibu bapa dalam menangani gejala tersebut.
Masalah gejala sosial semakin meruncing di negara kita sejak akhir-akhir ini.
Dalam surat khabar sering dipaparkan berita tentang golongan remaja yang terlibat
dengan gejala sosial ini. Gejala sosial dapat ditakrifkan sebagai satu kemelut sosial dan
kekeliruan yang timbul dalam kalangan remaja akibat daripada perkembangan sosial,
ekonomi dan politik yang pesat di negara ini. Contoh gejala sosial yang berlaku ialah
ponteng sekolah, remaja lari dari rumah, penagihan najis dadah, vandalisme gengsterisme
dan melepak. Masalah gejala sosial ini telah menjadi perdebatan hangat dalam kalangan
pemimpin sehingga menimbulkan kebimbangan tentang masa depan para remaja.
Menurut Hujatul Islam, Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya Ulumuddin, sekiranya
kita ingin melihat masa depan negara, maka lihatlah pada diri remajanya. Seandainya
baik diri remaja maka baiklah masa depan negara. Sebaliknya, buruk diri remaja maka
hancurlah masa depan sesebuah negara. Persoalannya, apakah punca-punca yang
menyebabkan gejala sosial ini dan apakah cadangan-cadangan untuk menangani gejala
sosial ini?
Salah satu punca yang menyebabkan gejala sosial ialah ibu bapa yang terlalu
sibuk dengan kerjaya dan urusan seharian. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa tidak dapat
memberikan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga. Keadaan ini menyebabkan anak-
anak berasa dirinya kurang diambil berat dan kurang diberi perhatian oleh kedua-dua ibu
bapanya. Sebagai contoh, ibu bapa tidak mempunyai masa untuk bertanya masalah anak-
anak sama ada di sekolah ataupun di rumah. Apa yang menyedihkan, terdapat ibu bapa
yang tidak bekesempatan langsung untuk berbual-bual mesra dengan anak kerana semasa
keluar untuk bekerja terlalu awal dan apabila balik dari kerja, hari sudah malam dan ada
kemungkinan anak-anak telah memasuki untuk tidur. Ibu bapa mungkin bertembung
sebentar semasa bersarapan. Keadaan ibu bapa yang sibuk boleh mewujudkan
kerenggangan antara ibu bapa dengan anak-anak kerana anak-anak tidak mendapat
sepenuh belaian kasih sayang daripada ibu bapa. Menurut pakar psikologi, remaja yang
tidak mendapat belaian kasih sayang daripada ibu bapa mudah terlibat dalam masalah
gejala sosial seperti ponteng sekolah, melepak dan menonton video lucah. Jelasnya anak-
anak berbuat demikian untuk mendapatkan perhatian ibu bapa.
Selain itu, masalah gejala sosial berlaku kerana ibu bapa tidak memberikan
didikan agama yang sempurna kepada anak-anak. Hal ini berlaku disebabkan oleh ibu
bapa tidak mengambil berat tentang didikan agama terhadap anak-anak. Terdapat
sesetengah ibu bapa yang mengharapkan pihak lain terutamanya pihak sekolah dan guru
memberikan didikan agama kepada mereka. Pengabaian pendidikan agama akan
menyebabkan remaja tidak mempunyai asas panduan hidup dengan kukuh. Sebagai
contoh, remaja mungkin hidup dalam keadaan terumbang-ambing. Mereka tidak dapat
menilai baik buruk sesuatu perkara yang dilakukan oleh mereka. Remaja juga sanggup
melakukan apa-apa sahaja dan mudah terpengaruh dengan situasi yang kurang sihat.
Kecetekan ilmu agama ini menyebabkan remaja kurang kesedaran dan keinsafan diri
sehingga menyebabkan mereka mudah terjerumus dalam gejala sosial. Jelasnya, ibu bapa
yang tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak turut
menyumbang berlakunya masalah gejala sosial.
Di samping itu, ibu bapa yang sering bergaduh dan bertengkar di hadapan anak-
anak turut menyumbang kepada kepincangan institusi keluarga sehingga menyebabkan
gejala sosial dalam kalangan remaja. Ibu bapa yang sering bergaduh di hadapan anak-
anak boleh menyebabkan anak-anak berasa bosan dan menghadapi tekanan di rumah.
Rumah bagi anak bagaikan neraka kerana anak-anak tidak dapat menikmati kedamaian
atau ketenangan di rumah. Anak-anak akan menganggap ibu bapa tidak lagi mengambil
berat tentang keadaan diri mereka. Suasana ketegangan seperti ini menyebabkan
wujudnya kerenggangan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak. Keadaan menjadi
bertambah buruk apabila kedua-dua ibu bapa bercerai-berai. Apatah lagi sekiranya, ibu
bapa tersebut telah berkahwin lain dan telah mempunyai anak dengan pasangan lain.
Anak-anak hasil perkahwinan yang pertama ini akan menjadi mangsanya. Mereka
kehilangan kasih sayang ibu bapa dan hidup tanpa belaian kasih sayang seorang ayah
atau ibu. Keadaan inj boleh menyebabkan jiwa anak-anak memberontak dan sebagai jalan
keluar, anak-anak mungkin mencari seseorang untuk meluahkan perasaan dan
melepaskan tekanan yang dihadapinya. Sebagai contoh anak-anak yang kehausan kasih
sayang daripada ibu bapa ini akan mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang
tidak baik. Keadaan ini boleh membawa anak-anak atau remaja terjerumus dalam kancah
gejala sosial. Tegasnya, kehidupan rumah tangga yang tidak aman, sering bergaduh
dan berpecah-belah turut menyebabkan anak-anak terlibat dalam masalah gejala sosial.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya merupakan faktor yang turut mempengaruhi
remaja terlibat dalam masalah gejala sosial. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya
biasanya tidak ada tumpuan terhadap keluarga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak
berasa kesunyian kerana tidak ada tempat untuk mengadu atau menceritakan masalah
yang dihadapi oleh mereka. Oleh sebab itu, anak-anak akan mencari seseorang teman
atau rakan sebaya untuk menceritakan masalah mereka. Remaja yang tidak mendapat
kasih sayang daripada ibu bapa dan tidak mendapat asas didikan agama akan lebih mudah
terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya. Menurut pakar psikologi, anak-anak remaja lebih
mudah meniru, mencontohi dan terikut-ikut dengan sikap rakan sebaya kerana mereka
mempunyai nilai, sikap, identiti dan perasaan yang hampir sama. Kumpulan rakan sebaya
ini biasanya mempunyai prinsip dan setiap ahli kumpulan akan akur dan patuh kepada
kumpulan tersebut. Kebanyakan remaja berasa bimbang kerana disingkirkan daripada
kumpulan rakan sebaya. Oleh sebab itu, remaja sanggup melakukan apa-apa sahaja
kehendak anggota kumpulan rakan sebaya. Sebagai contoh, seandainya rakan sebaya
mereka melepak atau ponteng sekolah, remaja tersebut sudah pasti mencontohi kelakuan
tersebut. Dalam hal ini, nasihat ibu bapa tidak akan ambil peduli. Sekiranya, ibu bapa
memarahi mereka, remaja ini sanggup lari dari rumah mengikuti rakan sebaya mereka.
Jelasnya pengaruh rakan sebaya yang tidak baik turut menjerumuskan remaja dalam
masalah gejala sosial.
Untuk menangani masalah gejala sosial ini, ibu bapa perlulah memberikan
sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap rumah tangga dan anak-anak. Ibu bapa perlulah
memberikan kasih sayang dan mengambil berat tentang anak-anak. Ibu bapa juga
perlulah selalu berhubung dengan pihak sekolah untuk menanyakan perkembangan diri
anak-anak dan pelajaran mereka di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mewujudkan
suasana rumah tangga yang aman damai agar anak-anak dapat menyatakan rumahku
syurgaku. Ibu bapa juga perlulah mengelakkan pergaduhan di hadapan anak-anak
supaya anak-anak akan menghormati mereka. Ibu bapa juga perlu menjadi suri teladan
kepada anak-anak agar anak-anak dapat mencontohi kelakuan ibu bapa mereka. Bak kata
pepatah bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Apabila wujud kasih sayang terhadap
anak-anak, anak-anak akan berasa diri mereka dihargai dan diambil berat. Ibu bapa yang
berjaya memahami jiwa anak-anak dan ditambah pula dengan kemahiran keibubapaan
mampu wujudnya sebuah rumah tangga yang bahagia. Suasana ketenangan dan dilimpahi
kasih sayang dapat menjadi tarikan kepada anak-anak agar tidak terjerumuskan diri
dalam gejala sosial atau terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak sihat.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memberi didikan agama yang secukupnya
kepada anak-anak sejak kecil. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya
dan asas pendidikan bermula dari rumah. Anak-anak ibaratkan seperti sehelai kain
putih dan ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain putih tersebut. Oleh sebab itu,
ibu bapa perlulah memberi didikan agama kepada anak-anak agar anak-anak dapat
menghayati ajaran agama dan nilai murni dalam kehidupan. Didikan agama yang
sempurna mampu membentuk keperibadian dan budi pekerti yang mulia kepada anak-
anak. Sebagai contoh, anak-anak akan sentiasa menyedari akan tanggungjawab mereka
sebagai seorang anak kerana mereka memiliki keinsafan dan kesedaran diri yang tinggi.
Anak-anak akan sentiasa bertutur dengan cara lemah lembut dan penuh hormat terhadap
ibu bapa dan orang yang lebih tua. Anak-anak yang ada asas didikan agama sentiasa akan
menjaga tindak- laku dan tidak akan meninggalkan solat dan mereka akan membesar
sebagai seorang remaja yang mempunyai pinsip dan jati diri serta tidak akan terpengaruh
oleh ajakan rakan sebaya yang tidak sihat. Jelasnya, didikan agama yang sempurna
mampu melahirkan anak-anak yang keperibadian mulia dan mereka akan berasa malu
sekiranya mereka melakukan sesuatu yang boleh mencontengkan arang ke arah muka ibu
bapa.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah mengambil berat persahabatan anak-anak
mereka dengan rakan sebaya. Hal ini demikian kerana ibu bapa boleh mengawal disiplin
mereka. Ibu bapa perlulah memastikan anak-anak bergaul dengan rakan-rakan yang
berakhlak mulia. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui tujuan dan sebab-sebab anak-
anak mereka keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Ibu bapa juga jangan terlalu
memberi kebebasan yang keterlaluan dalam bergaulan untuk memastikan anak-anak
mereka tidak terlibat dengan anak-anak yang bermasalah di sekolah atau di luar sekolah.
Selain itu, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dengan guru-guru kelas atau guru
pelajaran anak-anak mereka di sekolah untuk mengetahui tingkah laku dan prestasi
akademik mereka di sekolah. Menurut seorang Ahli Fikir Islam, Ibn Sina, hendaklah
setiap ibu bapa meletakkan anak-anak mereka dalam kalangan anak-anak kelakuannya
yang berakhlak mulia. Anak-anak yang sentiasa dikawal oleh disiplinnya dan
pergaulannya oleh ibu bapa sejak kecil, anak-anak ini akan membesar dalam suasana
yang baik dan berbudi pekerti mulia.
Berdasarkan perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa masalah gejala
sosial memang merupakan salah satu masalah yang meruncing dan perlu ditangani segera
oleh semua pihak terutamanya ibu bapa. Ibu bapa sebagai ketua keluarga perlulah
bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap anak-anaknya. Saya berharap anak-
anak juga perlulah mempunyai kesedaran dan keinsafan serta tahu menghargai segala
pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka. Tegasnya, masalah gejala sosial
perlu ditangani daripada peringkat akar umbi agar tidak menjadi barah dalam masyarakat
sehingga menjejaskan nama baik negara di persada masyarakat.
Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan
harapan mereka itu tercapai.
Anak-anak yang sihat serta memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan
idaman setiap ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk
merealisasikan hal tersebut. Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anaknya menjadi insan
yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Mereka perlu berusaha untuk
merealisasikan impian itu dengan mengaplikasikan kemahiran keibubapaan ke tahap
yang paling optimum. Jika hal ini dipraktikkan, harapan untuk memiliki anak-anak yang
berguna akan dapat direalisasikan. Persoalannya,apakah usaha-usaha yang wajar
dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka tercapai?
Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-
anak mereka menjadi insan yang berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang
saling berkasih sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan
perhatian dan kasih sayang mereka. bu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama ada
berbentuk luahan kata dan perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar anak-anak
berasa diri mereka diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu bapa. Misalnya, ibu bapa
haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan cara memberikan hadiah
ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif apabila anak-anak mendapat keputusan
yang cemerlang. Hal ini penting kerana sepatah kata yang positif daripada ibu bapa dapat
menyuntik semangat dan memberikan dorongan serta motivasi kepada anak-anak untuk
terus berusaha mencapai kejayaan kerana pepatah menyatakan rajin dan usaha, tangga
kejayaan.Kajian menunjukkan bahawa punca kebanyakan anak menjadi sampah
masyarakat adalah kerana keadaan rumah tangga yang porak-peranda di samping sikap
ibu bapa yang materialistik dan mementingkan kerjaya .Sebagai contohnya,banyak ibu
bapa yang menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah
sepenuhnya. Hal ini menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu
melakukan perkara-perkara negatif. Tegasnya,anak-anak akan menjadi insan yang
berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara jika keluarga yang saling
berkasih sayang dan mengambil berat dapat diwujudkan.
Selain itu,untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu
bapa perlu menyediakan kediaman yang menepati konsep Rumahku Syurgaku demi
keselesaan anak-anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan
damai supaya anak-anak berasa tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa perlulah
mengelakkan pertelingkahan di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengucapkan
kata-kata yang lemah-lembut agar anak-anak mendengar segala arahan dan nasihat
daripada ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga, ibu bapa perlulah
menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli keluarganya seperti bilik tidur yang
mencukupi, bilik untuk anak-anak belajar dan bilik untuk anak-anak menonton televisyen
atau bermain komputer. Sudah terbukti bahawa anak-anak yang tinggal di kediaman yang
kurang selesa cenderung untuk melepak dan sesetengahnya tidak pulang ke rumah.
Amalan melepak ini mendedahkan anak-anak kepada pelbagai bentuk gejala negatif
seperti merokok, menagih dadah dan sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-
bandar besar, khususnya di kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal yang demikian ,ibu
bapa perlu menyediakan kediaman yang selesa untuk anak-anak mereka sekiranya
mereka menginginkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyayangi
keluarganya.
Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap
ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak
mereka kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh
biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama yang
sempurna dapat membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak di samping
membantu mereka mengetahui batas hidup yang betul. Penerapan nilai agama dapat
membantu anak-anak untuk membezakan baik atau buruk sesuatu perkara dan anak-anak
membesar dengan berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh, jika keluarga tersebut
berasal dari keluarga yang baik, kebiasaannya keturunannya akan baik. Jika ibu bapa
mempunyai pegangan didikan agama yang kuat, anak-anak mereka juga akan mempunyai
tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga, dan
bagaimana acuan begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama, anak-anak
dapat mengawal diri daripada melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-foya dan
sebagainya.Tegasnya, didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan impian ibu
bapa untuk memiliki anak-anak yang berguna.
Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa
mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah
bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi seperti ketam mengajar
anaknya berjalan betul. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh terbaik
sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Gaya
mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu bapa borek anak
rintik sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadikan
ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu
bapa. Anak-anak yang membesar di bawah didikan ibu bapa yang berjaya menjadi suri
teladan yang baik akan menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab. Oleh itu, ,ibu
bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan penggunaan bahasa yang
kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu bapa
menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus
menjadi contoh teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan
berguna.
Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran
daripada orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati terbuka.
Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka menjadi
insan yang berguna, ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka apabila
orang lain memberi teguran. Hal ini demikian kerana teguran yang diberi itu bukanlah
untuk memburuk-burukkan anak mereka tetapi untuk membetulkan kesilapan yang telah
dilakukan oleh anak mereka. Dalam konteks ini, falsafah menjaga tepi kain orang lain
dalam masyarakat adalah untuk kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah menerimanya
secara positif. Berdasarkan teguran yang diberikan, ibu bapa perlulah segera
membetulkan kesilapan anak dan mencari punca anak mereka berbuat kesilapan
sedemikian rupa agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jadi, untuk
membentuk anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan
teguran orang lain dengan hati yang terbuka. Peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna atau sudah terhantuk baru terngadah sewajarnya menjadi
panduan kepada ibu bapa.
Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-
anak sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Sikap
prihatin dan ambil berat ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa diri mereka diutamakan.
Untuk tidak mengecewakan ibu bapa, anak-anak akan berusaha meningkatkan
kecemerlangan sama ada dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum. Hubungan ibu
bapa dengan guru-guru sekolah juga memberikan impak kepada tahap sahsiah anak-anak.
Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan guru di sekolah
sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata pelajaran. Ibu bapa perlu sering
berkunjung ke sekolah untuk mengikuti perkembangan kemajuan anak-anak dalam
bidang pelajaran dan berbincang dengan guru disiplin sekolah berkaitan akhlak dan sikap
anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengawasi tingkah laku anak-anak
di luar rumah serta mengenali rakan-rakan mereka. Ibu bapa juga perlulah bertanya
kepada anak sebab-sebab anak-anak keluar rumah atau pulang lewat. Tuntasnya,ibu bapa
perlu memantau perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak agar mereka jadi insan
yang berguna apabila dewasa kelak.
Berdasarkan berbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk
membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan
kesabaran ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna
bukanlah satu tugas yang mudah. Semua ini perlu dilakukan melalui proses pendidikan
sedikit demi sedikit dan dengan penuh kesabaran. Oleh itu, perancangan yang teliti dan
sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa secara istiqomah untuk mendidik anak-anak
menjadi insan yang berguna.Setiap ibu bapa juga mengharapkan anak mereka dapat
memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta mempertahankan maruah
keluarga. Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka jadi sampah
masyarakat yang bukan sahaja tidak memberikan sebarang sumbangan kepada
masyarakat dan negara malah membawa masalah serta menjatuhkan keluarga kita.


Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.

Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan
permainan tradisional di negara kita.

Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat
berkembang menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan
disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah
merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat
untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan
pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.
Antara jenis permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah
panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan sebagainya.
Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda. Hal ini
membayangkan bahawa permainan tradisional berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika
tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai
khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya
mainkan dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita?

Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional
adalah dengan memupuk minat diri sendiri terhadap permainan tradisional. Remaja pada
masa ini banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka
sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh itu,
sebagai generasi muda, saya harus sedar bahawa saya berperanan memartabatkan
permainan tradisional. Hal ini boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari
pelbagai informasi berkaitan dengan permainan tradisional. Saya akan mengakses
maklumat tentang permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap
permainan tradisional yang ada di negara kita. Terdapat banyak laman web yang
memberikan pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan tradisional berserta
gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran dalam diri sendiri untuk
memartabatkan permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan moden
yang semakin popular dalam kalangan remaja.

Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan permainan
tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan
sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan
moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-
cara permainan tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan rakan-rakan
memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan
permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan dan kerjasama
sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai remaja daripada terjebak
dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran
yang tidak baik. Bagi diri saya lebih baik mengisi masa dengan bermain permainan
tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah permainan
tradisional mendatangkan banyak kebaikan kepada generasi muda masa ini.

Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional, saya sebagai pelajar
sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan
tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya akan
menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan permainan
tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah. Hal ini secara
tidak langsung akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar.
Saya juga akan menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat
sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang
boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkaka dan
demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik
minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional dapat
dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah,
tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan
dengan pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam
secara semula jadi. Maka para pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah
memartabatkan permainan tradisional.

Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat
cinta akan budaya terutama permainan tradisional. Hal ini adalah kerana, permainan
tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan
dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu
dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini
tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional. Alah
bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa
jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan
tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan
budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional terpelihara megah dalam
kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan tradisional
akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara

Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan
tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati
masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda
perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan
tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti.
Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah
ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai
pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.


Semangat Kejiranan dalam kalangan rakyat di egara ini semakin
longgar.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil oleh
pelbagai pihak supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat
ditingkatkan?

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di
hadapan dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau di
sebuah egara yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat
penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan
membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa Jiran sepakat membawa berkat. Jadi, kita perlulah
mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan
sesuatu perkara. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar diambil untuk
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat?

Langkah primer yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah kerajaan
menjalankan kempen-kempen kejiranan yang bersesuaian di semua peringkat sama ada
peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.Tujuan kempen ini adalah untuk menanam
semangat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Konsep 1Malaysia yang
diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak menekankan
semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.Usahasama sebeginilah yang wajar diambil
contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat
kejiranan yang utuh. Kempen kejiranan yang dijalankan ini perlulah berterusan dan
janganlah seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. Jelasnya,kempen yang dijalankan
ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk memupuk semangat kejiranan.

Selain itu, langkah yang harus diambil ialah masyarakat setempat perlulah
mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat
berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan.
Apabila berkumpul dan berbincang ,mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu
dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran
mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang
mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh
diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan
hidangan untuk kenduri kendara dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan
dan meningkatkan hubungan egara jiran. Malahan, menurut laporan majalah The Times
di Australia. kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara
aktiviti yang terbaik di dunia.

Di samping itu, peranan media massa merupakan langkah yang amat penting
dalam meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai
kaedah boleh digunakan dalam menyuburkan semangat kejiranan.Media cetak misalnya
boleh menyiarkan artikel-artikel tentang kepentingan semangat kejiranan .Media
elektronik pula boleh menyiarkan dokumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan.
Melalui media massa, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan cepat dan
mudah .Sesungguhnya,berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih
mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh, usaha
Majalah 3 menyiarkan Colour of Malaysia wajar disokong. Justeru,semangat hati
gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah ini wajar kita tonjolkan melalui media
massa.

Seterusnya, setiap penduduk hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah
terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan
silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalan kalangan jiran setempat. Melalui
acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman
dengan lebih dekat. Seterusnya ,melalui rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat
berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan
oleh tuan rumah. Sebagai contoh, sambutan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya
Aidilfitri, Tahun Baru Cina,Krismas, Deepavali dan sebagainya hendaklah dijadikan
acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat
untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

Di samping itu, Jawatan Kuasa Kampung dan Jawatan Kuasa Taman juga
hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti Hari Keluarga diadakan,s emua ahli
keluarga jiran akan turut serta melibatkan diri dalam aktiviti berkayak, memasukkan air
ke dalam botol ,terompah gajah dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan,
kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak
juga.Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola egara,
taman rekreasi atau padang sekolah yang berhampiran .Jadi, melalui aktiviti ini,
hubungan yang erat egara jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan
menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang
terungkap dalam peribahasa Melayu,ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Tambahan lagi, kerajaan juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan
diri dalam aktiviti egara seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah
membentuk satu persatuan yang mempunyai satu egara organisasi yang teratur. Persatuan
atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini,
banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun
Tetangga, Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat
Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga,
masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk
mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam
peribahasa Melayu,iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat
sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.

Akhir sekali, masyarakat mestilah menyemarakkan budaya kunjung-
mengunjungi dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan
semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita.
Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran
kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa
jiran kita dimasukkanke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan.
Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat
lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang kepada
prinsip cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai
semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan
yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
penduduk setempat. Dalam era globalisasi, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap
tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah
Melayubagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Jika hal ini
dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan
egara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh bercerai kita roboh.
Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan
teguh. Jadi,dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan
semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya egara kita sentiasa aman, harmoni dan
sejahtera.

Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting bagi menggalakkan anak-anak
menggunakan barangan buatan Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak dalam
menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.
Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju
menjelang 2020, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan
pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita
agar tidak lagi mengagung-agungkan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini
sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk
keluaran negara kita dijamin lebih baik. Walaubagaimanapun, masih ramai lagi yang
tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan dan kualiti sebenar barangan buatan
negara kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang kononnya mempunyai cita rasa yang
tinggi dalam memilih kebendaan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam
menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia?
Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu
bapa perlulah menjadi role model kepada anak-anak mereka kerana anak-anak akan
sentiasa mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada mengatakan
bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan yang paling
dikagumi kerana ibu bapalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Anak-anak
diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan
menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan bersinar. Walau bagaimanapun,
ibu bapa janganlah bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul
kerana ini akan menyebabkan anak-anak hilang rasa kagum dan kepercayaan kepada ibu
bapa mereka. Ibu bapa haruslah membeli kereta buatan Malaysia seperti kereta dari
kilang Proton Edar, barangan elektrik seperti Panasonic, Philips dan lain-lain. Tegasnya,
ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan menyokong
barangan buatan Malaysia yang berkualiti ini.
Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-
anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi
demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja supaya
mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Ibu
bapa juga boleh menanam minat anak-anak terhadap barangan Malaysia melalui mata
pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik nilai cinta akan negara, taat setia kepada
raja dan negara, dan sanggup berkorban untuk negara kepada generasi mudakita. Ibu bapa
patut menyeru anak-anak untuk mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat
mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam
filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti
jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang
merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat malalui Dasar Pandang Ke Timur,
kita digalakkan mencontohi sifat baik negara lain yang baik untuk meningkatkan taraf
kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah diterapkan semangat cinta akan
negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga
mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan
pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan negara kita.
Hal ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli
produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.
Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa
membawa anak-anak ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa
bolehlah membawa anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan
oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara.
Karnival sebegini telah ditetapkan hanya barangan Malaysia yang mempunyai tawaran
potongan harga yang istimewa. Sebagai contoh, kraf tangan dan batik, yang merupakan
budaya yang menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak
dengan pelbagai barangan tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan
keunikannya yang tersendiri. Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak
keterlaluan, ibu bapa haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah
merupakan barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan
pelbagai jenis pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak
menyertai pertandingan-pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan menjawab
soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat mencelikkan
minda anak-anak supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga
berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta.
Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli barangan buatan Malaysia untuk didedahkan
kepada anak-anak generasi baru ini.
Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan
Malaysia kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya,
menyokong dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah
memberitahu anak-anak tentang kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja
kualitinya setanding dengan produk-produk luar negara, malah harganya juga cukup
murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh menunjukkan kempen-kempen yang
telah diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada anak-anak untuk
memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara mendalam barangan-barangan
Malaysia. Sikap prejudis, memandang rendah barangan tempatan dari sudut
pemikiran juga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga tidak harus
diwujudkan pada anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya, membinakan semangat Malaysia
Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan tempatan. Jelasnya,
ibu bapa berperanan penting dalam menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan
Malaysia kepada anak-anak supaya mereka sedar dan bijak memilih benda yang baik dan
mendatangkan kebaikan kepada mereka.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang
merupakan insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan peranannya
yang amat penting dalam menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan
menggunakan barangan buatan Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara kita
bukan sahaja mengimport barangan luar negara malah juga mengeksport barangan buatan
Malaysia dapat dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar lebih murah
daripada barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik.
Walalau bagaimanapun, usaha daripada ibu bapa semata-mata adalah tidak
mencukupi. Rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia
Menjana Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata sebagai
satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan
Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat
agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.


Minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat ini semakin berkurangan.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik
minat orang ramai membaca karya sastera
Pada zaman berteknologi tinggi ini, orang ramai telah memilih untuk memiliki
sebuah komputer untuk mendapatkan maklumat daripada internet berbanding mencari
maklumat atau membaca daripada buku. Hal ini menyebabkan minat untuk membaca
karya-karya sastera dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang telah
lupa dan tidak kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti
Usman Awang, Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh
dipandang remeh kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan warisan bangsa yang
menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca karya-karya sastera ini
perlu disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-
langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai untuk
membaca karya sastera?
Langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat
orang ramai membaca karya sastera termasuklah peranan pihak sekolah khususnya Pusat
Sumber Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan karya
agung seperti novel Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad, Salina oleh
A.Samad Said, Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur oleh Kamaludin Muhamad dan
Tulang-tulang Berserakan oleh Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang
untuk membacanya. Pusat sumber boleh mengadakan pertandingan mengulas novel,
sajak, puisi dan pantun pada setiap bulan. Langkah ini membolehkan para pelajar untuk
membaca karya-karya sastera memandangkan mereka ingin menghasilkan ulasan yang
menarik. Secara tidak langsung, minat pelajar terhadap karya sastera akan semakin
bertambah. Pihak sekolah turut boleh menggalakkan setiap kelas menyediakan satu
ruang atau sudut membaca di kelas bagi memudahkan pelajar untuk menghayati karya
sastera ketika guru tiada di dalam kelas. Tegasnya, pihak sekolah memainkan peranan
yang penting dalam menarik minat pembaca terhadap karya sastera.
Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk
menarik minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan
pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca sastera
ralyat kepada anak-anak sebelum mereka masuk tidur Melalui cara ini, hubungan
silaturahim antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat dipereratkan, malah anak-
anak dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat kita sendiri. Selain itu, ibu
bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca oleh anak-anak supaya mereka
dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa selain dapat mengisi masa lapang
dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel yang sesuai kepada anak-anak
mengikut umur mereka. Ibu bapa juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk
anak-anak sewaktu membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku.
Seterusnya, ibu bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi
dengan pelbagai bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau puisi
tradisional dan moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor di rumah. Dengan itu,
minat anak-anak untuk membaca karya sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa
mereka.
Di samping itu, media massa turut memainkan peranan yang penting dalam
mengambil langkah menarik minat semua lapisan masyarakat membaca karya sastera.
Sebagai contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya sastera kepada masyarakat
melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini, lapisan masyarakat dapat
mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di pasaran. Bukan itu sahaja, pihak
media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau ulasan karya sastera yang agung di
akhbar dan majalah kepada orang ramai. Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk
mengenali karya sastera di negara kita dengan lebih mendalam. Tambahan pula, pihak
media turut boleh menganjurkan peraduan teka teki atau menulis sajak dan syair yang
bertemakan karya-karya sastera. Jelasnya, pihak media haruslah mengambil langkah
untuk menarik perhatian orang ramai untuk membaca karya sastera.
Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan
kempen menghayati karya sastera di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini, rakyat
berpeluang untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan pula,
pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi memudahkan
rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk dibaca. Pihak
kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar cukai penerbitan
karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku tersebut agar semua rakyat
khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki karya-karya
sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak kerajaan turut memainkan watak yang
utama dalam mengambil langkah untuk menarik minat orang ramai membaca karya
sastera.
Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan
lebih banyak karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak
penerbit boleh bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai genre
sastera. Penerbit juga perlu memberikan bayaran setimpal dan berpatutan kepada penulis.
Persatuan Karya-karya Sastera boleh ditubuhkan untuk melindungi karya-karya penulis
supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu yang bermotifkan keuntungan dan bagi
membolehkan para peminat berkongsi pendapat bersama dengan penulis. Kerajaan juga
boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun dan bekerjasama
dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan karya sastera yang
bermutu.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak
menggalas tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang
ramai membaca karya sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati terbuka supaya
langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan seterusnya berjaya
direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah mencintai dan menghayati karya
sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa dan mencerminkan identiti kita.
Setiap murid mempunyai cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup termasuk
mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan.
Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan.
Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat
dicapai sekiranya murid-murid berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.
Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya
murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi untuk mencapainya. Murid-murid tidak
sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan
peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Oleh itu, murid-
murid janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan bak kata orang tua-tua sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Oleh sebab itu, saya sebagai salah seorang
murid, saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya,
apakah langkah-langkah yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan nanti?
Langkah yang pertama yang akan saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan ialah saya akan sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang
mengajar di bilik darjah. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang
mengajar sudah tentulah sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke
dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa lima
puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan
sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Saya
juga akan terlibat secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang
dijalankan agar dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang ceria supaya saya tidak akan
berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat mengingati apa-apa yang disoal
atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya sebut atau yang saya ulangi. Saya juga
akan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya saya akan
lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya juga akan bertanya kepada
guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang fahami kerana
berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan
kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar
yang sentiasa mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk
yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya, memberi tumpuan ketika guru-guru
sedang mengajar dan dengan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-
guru merupakan salah satu langkah dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan
menyediakan jadual waktu belajar dan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya
saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana
berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan
masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk
mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi
peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual waktu belajar yang telah saya tetapkan
dengan apabila peperiksaan sudah hampir kerana peribahasa menyatakan bahawa
sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya
biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal. Manakala,
pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang
masa dan tidak berpegang kepada pepatah masa itu emas dan masa yang lalu tidak
akan kembali maka mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba
peperiksaan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang
cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.
Pada waktu yang sama, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya
akan membuat lebih banyak latihan dan saya juga akan mengulang kaji pelajaran secara
berterusan. Ungkapan yang dipetik daripada Bahasa Inggeris iaitu, practice makes
perfect. Kalau ungkapan ini ditukarkan ke dalam Bahasa Melayu, maka ungkapannya
akan menjadi, praktis asas kecemerlangan. Kedua-dua ungkapan ini membawa maksud
yang sama iaitu jikalau seorang itu membuat latihan yang banyak maka dia akan
mencapai kecemerlangan dalam hidup.saya akan membuat latihan bagi setiap mata
pelajaran setelah selesai mengulang kaji sesuatu topik. Hal ini kerana saya akan lebih
menguasai sesuatu topik dan secara tidak langsung saya akan biasa dengan jenis-jenis
soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan. Saya juga akan membuat ulang kaji secara
berterusan bak kata pepatah sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain dan
sedikit-sedikit , lama-lama jadi bukit. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan saya
akan membuat ulang kaji secara berterusan untuk memastikan saya tidak akan
ketinggalan dalam pelajaran dan terutamanya dalam mata pelajaran sains. Tegasnya, saya
membuat lebih banyak latihan dan jika saya mengulang kaji pelajaran secara berterusan,
pasti saya akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.
Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru-
guru di sekolah, bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen
tetapi saya juga perlulah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di
sekolah kerana bak kata pepatah malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat
jalan. Malahan, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di
pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas
tuisyen. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan
mudah ingat dan saya juga akan menguasai sesuatu topik itu. Contohnya, di sekolah yang
diajar topik yang sama yang telah diajar di pusat tuisyen terlebih dahulu, maka saya akan
lebih faham. Di samping itu, saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini
juga membantu saya untuk mencapai kecemrlangan dalam peperiksaan. Saya akan
menyertai segala program-program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti
Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan-soalan dan lain-
lain lagi. Sekiranya saya menyertai dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak
sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan
ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program-program sekolah
dan mengikuti kelas-kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi saya untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Langkah yang berikutnya ialah saya akan bersikap sabar, tabah dan tidak mudah
putus asa. Saya tidak akan dapat cepat mengalah apabila saya gagal dalam sesuatu buat
kali pertama dan kedua, malah saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk lulus
dalam sesuatu perkara kerana saya berpegang pada prinsip, gagal sekali tidak bermakna
gagal selama-lamanya. Saya juga akan tabah apabila terdapat apa-apa masalah atau
cabaran yang saya hadapi. Seseorang yang ternama pernah menyatakan bahawa jika
seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia telah memenuhi kegagalan beberapa kali
kerana untuk mencapai sesuatu tentu ada kekangan yang akan kita tempuhi. Contohnya,
jika saya gagal mendapat penyelesaian untuk sesuatu soalan, saya tidak akan putus asa,
malah saya akan mencuba beberapa kali sehingga saya mendapat penyelesaiannya.
Tegasnya, saya perlu bersikap sabar, tabah dalam menghadapi halangan dalam mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan dan sayatidak akan mudah putus asa untuk
memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan.
Akhir sekali, saya juga akan mematuhi segala nasihat daripada kedua-dua ibu
bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang tua-tua, Tuhan
hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa,
Kenyataan ini pasti benar kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman.
Saya akan sentiasa patuh pada nasihat dan asuhan ibu bapa kerana saya sedar bahawa
syurga terletak di telapak kaki ibu. Misalnya, ibu bapa saya akan selalu menasihati saya
untuk belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih untuk
memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu
walaupun betapa tabah atau bijak mana saya sekali pun, saya tidak mungkin dapat
memperoleh kejayaan yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan dorongan
daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan
supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu
merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu
bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala
pemberianNya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah
yang telah saya tulis dalam perenggan di atas. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan.
Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada
kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan
kerana ini akan menentukan masa depan kita, kita akan hidup teraba-raba dalam
kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar berungguh-sungguh untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.

Anda mungkin juga menyukai