Anda di halaman 1dari 19

Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat.

Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha


memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri atau memandang ke hadapan
atau ke belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Bagaimanapun kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara,
namun jarak yang jauh menyebabkan pergantungan kita pada jiran tetap ada. Jiran ialah tetangga atau mereka yang
tinggal di sekitar kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak
ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya kita
perlu bertolak ansur dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau
pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa muafakat membawa berkat. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran
kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam kehidupan
seharian. Walau bagaimanapun, pada era globalisasi yang dipenuhi pancaroba moden, semangat kejiranan dalam
kalangan anggota masyarakat semakin luntur Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil
langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang
wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?

Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini, maka
usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak hilang daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu
bapa haruslah menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal ini,
ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama-sama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua
penduduk setempat dapat berkumpul untuk berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan
berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan mengenali antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang
itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang
mengatakan bahawa tak kenal makan tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara gotong-royong
adalah seperti membersihkan kawasan, mengadakan rumah terbuka, kenduri dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang
dijalankan secara gotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti tersebut
dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama
jiran tambahan pula mereka juga sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti. Apabila dewasa kelak,
anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan semangat kejiranan. Konklusinya, ibu bapa haruslah
mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.

Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada anak-anak sekiranya mahu anak-
anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti aur dengan
tebing atau ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk
mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat
kejiranan dan prihatin terhadap jiran mereka. Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita
hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu akan hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu
masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka supaya dapat meringankan beban yang dihadapi
oleh jiran. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi
masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang lain. Sebagai analoginya, ketika
ketua keluarga kurang sihat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua
keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal jauh dari tempat tinggal mereka, mendapatkan bantuan
kecemasan ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang ditunjukkan oleh ibu
bapa terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa
yang berjaya menjadi iktibar yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka bersempena dengan sesuatu
sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim dan menjalin ukhuwah, tetapi juga
mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh
membawa anak-anak bersama-sama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu
sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu perkara dan
bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih
memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini. Sebagai contohnya, majlis-majlis rumah terbuka
sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara
tahunan Kehadiran ibu bapa bersama-sama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat
memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat
kekitaan dalam diri anak-anak dan mengamalkan semangat kejiranan Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah
diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang
harmoni

Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemai budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat sebagai langkah
untuk mengukuhkan dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa
digalakkan membawa anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi jiran,
kita akan mengetahui masalah dan keadaan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama-
sama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan sentosa walaupun dalam keadaan yang serba
kekurangan. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu
bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit . Amalan ini dapat membentuk sifat
kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap anani dan hidup seperti enau di dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang, berat
lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa
juga. Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan beban yang dialami oleh jiran kita dan secara
tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang
jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh mengamalkan budaya kunjung-
mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.

Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti Hari
Keluarga. Setiap komuniti sering mengadakan aktiviti seperti hari keluarga untuk merapatkan hubungan dalam kalangan
masyarakat setempat. Aktiviti kemasyarakatan ini kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai.
Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama-sama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan yang
disediakan. Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup bantu-membantu
dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah
melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam
masyarakat seperti pertubuhan rukun tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) dan
sebagainya. Sebagai contoh, melalui pertubuhan seumpama ini, masyarakat setempat mengawasi keselamatan kawasan
tempat tinggal atau taman secara bergilir-gilir untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini
daripada berlaku seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa
Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat kejiranan atau saling membantu antara satu sama
lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri
dalam aktiviti sosial sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu amat
penting untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dan membentuk perpaduan kaum. Walau apa-apa pun keadaan
dan di mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk
meminta bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan dengan senang hati dan
menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menonjolkan diri kita sebagai
jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita.
Jiran Sepakat Membawa Berkat perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam
usaha mengamalkan budaya yang terpuji ini. Amalkan dengan hati yang tulus, barulah kita memperoleh keberkatan dalam
kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh. Jadi, dalam
setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa diamalkan supaya negara
kita sentiasa aman, harmoni, dan sentosa.
PERANAN IBU BAPA MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTISME DALAM KALANGAN ANAK-ANAK

Salah satu ciri yang perlu ada dalam diri setiap individu ialah semangat patriotisme. Patriotisme yang juga disebut
sebagai semangat patriotik ialah semangat cinta akan negara atau kesanggupan seseorang mempertahankan negara
daripada kemusnahan. Rakyat yang patriotik diibaratkan seorang individu yang sanggup mengorbankan dirinya untuk
kepentingan negara tanpa banyak alasan. Antara tindakan yang dilihat sebagai cinta akan negara meliputi amalan bekerja
dengan rajin, tidak menimbulkan masalah seperti terlibat dalam jenayah, dan membantu rakyat lain yang miskin. Sebelum
negara mencapai kemerdekaan, semangat patrioisme begitu terserlah dalam diri masyarakat. Namun kini, semangat
tersebut semakin lenyap terutamanya dalam kalangan generasi muda. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan
keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur pelbagai usaha perlu
dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat. Persoalannya, apakah
peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?

Langkah yang paling mudah dilakukan oleh ibu bapa untuk menerapkan semangat cinta akan negara ialah sering
membawa anak melancong ke tempat bersejarah di negara ini terutama ketika musim cuti sekolah. Hal ini sesuai dengan
aforisme sambil menyelam minum air kerana melancong dapat mengeratkan hubungan antara keluarga dan apabila
melihat tempat atau bangunan yang bersejarah, anak-anak akan lebih memahami peristiwa yang telah berlaku. Sebagai
contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak melawat Kota A’Famosa yang terletak di Melaka. Kota yang dibina pada
tahun 1511 ini menyimpan pelbagai maklumat dan pengajaran yang boleh menyuntik semangat cinta akan negara.
Lawatan ke muzium juga memberi faedah.Di Malaysia, terdapat sebuah muzium iaitu Muzium Negara yang mempunyai
pelbagai khazanah orang pada zaman dahulu, pakaian istana, keris-keris yang digunakan oleh tokoh terdahulu untuk
menentang penjajah luar. Anak-anak bukan sahaja dapat mengenali tokoh-tokoh terdahulu seperti Dato Bahaman dan
Mat Kilau malah menerapkan semangat keberanian perwira-perwira negara yang mengamalkan peribahasa biar putih
tulang, jangan putih mata dalam mempertahankan negara suatu ketika dulu. Tegasnya, lawatan ke tempat bersejarah
boleh menimbulkan rasa bangga dan berterima kasih atas perjuangan tokoh tersebut seterusnya meningkatkan semangat
cinta akan negara.

Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan
dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah,
“pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh
membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman,
Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa boleh juga menceritakan
sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu, betapa mereka menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan
di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding
dahulu. Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Malah, ibu bapa zaman moden ini boleh
menggunakan teknologi untuk menghuraikan semangat patriotik kepada anak mereka. Penggunaan teknologi seperti
Internet dan telefon pintar membolehkan ibu bapa menyalurkan lebih banyak informasi tentang sejarah negara dengan
satu sentuhan sahaja. Ibu bapa boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat tentang sejarah negara yang
kadangkala begitu mengelirukan itu juga. Sesungguhnya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik
bagi memastikan anak mereka memiliki rasa cinta akan negara

Di samping itu, ibu bapa juga harus membawa anak-anak untuk menyertai sambutan peristiwa-peristiwa penting
negara seperti sambutan hari kebangsaan tanggal 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun. Biasanya,
kawasan sambutan ini akan dipenuhi dengan pelbagai acara yang cuba meniupkan semangat cinta akan negara ini dalam
hati mereka yang hadir itu. Suasana yang penuh dengan semangat nasionalisme ini pasti menimbulkan rasa bangga dalam
hati anak yang menontonnya itu. Sebagai contoh, ibu bapa dan anak-anak boleh sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang
dan menyanyikan lagu-lagu patriotik agar semangat cinta kepada negara terus bersemarak dalam jiwa. Sambutan hari
kebangsaan juga biasanya disertai oleh pelbagai kaum yang ada di negara kita. Justeru, ibu bapa dan anak-anak akan
mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara
tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat
patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari Kebangsaan setiap tahun sejak
mereka kecil lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya.
Selain itu, pada masa ini ramai ibu bapa yang membimbing anak-anak mereka dalam menguasai subjek Sejarah. Bagi
segelintir pelajar, subjek Sejarah amat sukar dikuasai kerana banyak fakta yang perlu dihafal dan diingati. Tambahan
pula, mereka tidak pernah merasai keperitan tokoh-tokoh terdahulu yang bermati-matian memperjuangkan tanah air
yang bertuah ini. Oleh itu, ibu bapa tidak boleh memberi tekanan kepada anak-anak dengan memaksa dan memarahi
mereka jika gagal dalam subjek sejarah. Hal ini kerana, anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang perlu
mencorakkannya dengan menerapkan semangat cinta akan negara. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa perlu menyokong
anak-anak mereka agar mereka tidak berasa tertekan malah semangat bersemangat dalam mempelajari subjek
Sejarah. Selain itu, ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tuisyen untuk menguasai subjek
Sejarah demi meningkatkan prestasi anak dalam subjek tersebut. Rentetan itu, penguasaan dalam subjek ini akan
membibitkan rasa cinta terhadap subjek Sejarah seterusnya melahirkan kecintaan terhadap negara.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, langkah yang seterusnya ialah ibu bapa perlu menjadi suri
teladan kepada anak- anak. Berdasarkan peribahasa, bapa borek, anak rintik, ibu bapa perlu menjadi ikon kepada anak-
anak dalam menerapkan semangat cinta akan negara. Dalam konteks ini, ibu bapa tidak sewajarnya menunjukkan etika
yang bertentangan dengan semangat patriotisme itu sendiri. Perlakuan yang pernah menjadi isu suatu ketika dahulu iaitu
seorang warga Malaysia yang mempersendakan lagu Negaraku malah ada yang berani memijak bendera Jalur Gemilang
tidak seharusnya dilakukan. Malah ibu bapa perlu menunjukkan semangat cinta akan negara melalui kibaran Jalur
Gemilang dengan bangga untuk diteladani oleh anak-anak. Secara tidak langsung, perbuatan ini akan menjadi ikutan
kerana di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Dengan cara ini juga, anak-anak akan sedar betapa pentingnya
semangat patriotisme ini. Tambahan pula, ibu bapa boleh bercerita tentang perjuangan tokoh-tokoh tanah air yang
berjuang hingga titisan darah yang terakhir demi mempertahankan negara yang tercinta daripada ancaman
penjajah. Sememangnya, keluarga memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memupuk semangat cinta akan
negara dalam diri anak-anak mereka.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkataan di atas, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memupuk
masyarakat yang mempunyai semangat cinta akan tanah air. Pepohon pokok tidak akan berliuk lentuk jikalau tiada angin
yang meniupnya oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anak-
anak. Sebenarnya, anak-anak merupakan tonggak utama dalam menjayakan visi kudsi Wawasan 2020 pada masa
hadapan. Kita mengakui hakikat bahawa uslub ini perlu dilakukan dan boleh dimulakan dengan langkah-langkah yang
telah disarankan di atas. Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat memupuk malah menguatkan semangat cinta akan
tanah air dalam diri mereka. Nescaya, semangat patriotisme yang telah sebati dalam diri anak-anak akan dapat
melahirkan generasi muda yang mantap jati diri. Sebagai kesimpulannya, semangat patriotik merupakan asas kekuatan
rakyat untuk terus berbakti kepada negara.

Peranan Ibu Bapa dalam Menggalakkan Sikap Berjimat-cermat dalam Diri Anak-anak
Anak-anak diibaratkan kain putih, ibu-bapalah yang harus mencorakkan kehidupan anak-anak mereka. Saya
bersetuju dengan pendapat yang menyatakan ibu bapa perlulah bertanggungjawab untuk mewujudkan masa depan yang
cerah kepada anak-anak mereka. Pada masa ini, sikap boros dan suka berbelanja sesuka hati oleh remaja memang sering
dipertikaikan oleh segenap lapisan masyarakat. Anak-anak suka menghabiskan wang belanja untuk membeli barangan
yang tidak akan mendatangkan sebarang faedah kepada mereka seperti buku komik, makanan-makanan ringan dan
sebagainya. Sikap yang negatif ini perlu diatasi dengan segera supaya dapat mewujudkan satu masyarakat yang berjimat-
cermat. Ibu bapalah yang memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak agar berjimat-cermat dalam
kehidupan seharian.

Antara langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak agar berjimat-cermat ialah ibu
bapa perlulah mendidik anak-anak mereka sejak kecil lagi tentang amalan ini. Bak kata pepatah Melentur Buluh Biarlah
Dari Rebungnya. Ibu baoa perlu sentiasa menasihati anak-anak mereka supaya berjimat-cermat dan tidak membazirkan
wang dengan sia-sia. Amalan yang positif ini perlulah diterapkan ke dalam minda anak-anak agar dapat mewujudkan
generasi yang berjimat-cermat pada masa yang akan datang. Melalui amalan ini, anak-anak akan sentiasa menghargai
wang mereka dan tidak akan membelanjakannya untuk perkara-perkara yang negatif.

Selain itu, ibu bapa juga harus menjadi contoh yang baik kepada anak-anak mereka untuk mengikuti amalan ini.
Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah mengamalkan amalan ini dalam kehidupan seharian mereka agar anak-anak mereka
dapat mempelajari amaln berjimat-cermat tersebut dengan lebih mudah lagi. Anak-anak sudah pasti akan mengikut jejak
langkah ibu bapa mereka kerana ibu bapa akan sentiasa memikirkan masa depan anak-anak mereka untuk menjadi cerah.
Hal ini akan menyebabkan anak-anak berasa bangga terhadap ibu bapa mereka kerana menunjukkan teladan yang positif
kepada mereka.

Di samping itu, amalan menabung juga perlu diterapkan ke dalam minda anak-anak oleh ibu bapa mereka. Ibu bapa
haruslah menggalakkan anak-anak mereka untuk menabung kerana amalan ini merupakan salah satu langkah yang efektif
untuk mewujudkan generasi yang berjimat-cermat. Bak kata pepatah, Sehari Selembar Benang, Lama-lama Menjadi Kain.
Ibu bapa juga perlu memberitahu kebaikan menabung kepada anak-anak mereka. Sebagai contohnya, jika sesuatu
kemalangan berlaku, wang yang telah disimpan tersebut dapat digunakan untuk rawatan hospital. Bukan itu sahaja, wang
yang telah disimpan tersebut juga dapat digunakan utnuk melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian yang lebih tinggi.
Wang simpanan tersebut dapat dijadikan sebagai penyelamat kita. Bak kata pepatah, Sediakan Payung Sebelum Hujan.

Seterusnya, ibu bapa juga harus menggalakkan anak-anak mereka untuk membeli barangan yang hanya diperlukan
sahaja. Ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka untuk membeli barang-barang yang akan mendatangkan faedah
kepada anak-anak mereka sendiri.Ibu bapa tidak harus membiarkan anak-anak mereka menyesal kerana membeli
barangan yang berjenama tetapi tidak membawa sebarang kegunaan kepada diri mereka sendiri. Bak kata pepatah, Alah
Membeli Menang Memakai. Ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak mereka supaya menyediakan perancangan
perbelanjaan yang sistematik supaya wang tidak dibazirkan dengan sia-sia.

Secara konklusinya, tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memang memainkan tanggungjawab yang sangat
penting dalam mewujudkan anak-anak yang berjimat-cermat dalam kehidupan seharian mereka. Anak-anak juga harus
mengambil inisiatif sendiri untuk menjadi seorang yang berjimat-cermat dan tidak boros dalam berbelanja. Melalui tunjuk
ajar ibu bapa yang efektif, sudah tentu negara kita dapat mewujudkan generasi yang berjimat-cermat pada masa yang
akan datang. Hal ini akan menyebabkan generasi negara kita sentiasa dipuji dan disegani oleh pelbagai lapisan
masyarakat. Berjimat-cermat amalan mulia.

Kepentingan Pertanian terhadap Malaysia


Dasar kemakmuran bersama 2030 merupakan satu kesambungan Wawasan 2020 yang perlu diterjemah dalam skop
yang lebih luas dan holistik mencakupi semua sektor khususnya sektor pertanian yang semakin tenggelam lantaran Dasar
Pandang ke Timur terus menjadi kiblat negara yang lebih selesa bekerjasama dengan negara ‘matahari terbit’
tersebut.Walaupun sektor pertanian telah mendapat perhatian mantan perdana Menteri Tun Abdulah Ahmad Badawi
pada dua dekad yang lalu, namun sektor pertanian semakin kurang diminati. Oleh itu, demi memastikan sektor pertanian
terus menjadi nadi kehidupan masyarakat, kita perlu mengetahui kebaikan dan kelebihan memajukan sektor pertanian.
Persoalannya ialah, apakah kelebihan dan keistimewaan kepada pengusaha dan pengguna?

Kepentingan pertanian yang tidak dapat dinafikan ialah sumbangan sektor ini sebagai sumber pendapatan kepada
penduduk desa. Lazimnya, sektor pertanian ini dilakukan oleh orang kampung dalam skala kecil dan sederhana. Mereka
bercucuk tanam atau mengerjakan sawah bendang dengan memperoleh pendapatan lumayan. Hasil kutipan pula akan ke
kilang pemprosesan padi untuk dibungkus mengikut gred kualiti beras tersebut. Kitaran pekerjaan ini menujukkan bahawa
sektor pertanian sangat signifikan untuk terus kekal dalam ekonomi kerana memberi peluang pekerjaan kepada anak-
anak muda kampung

Sektor pertanian juga menjadi sumber bekalan bahan mentah dalam industri pemprosesan makanan. Keadaan ini telah
membuka peluang besar dalam sektor pertanian negara untuk berkembang dengan lebih pesat lagi sejajar dengan
permintaan dari dalam dan luar negara dalam sektor makanan. Sebagai satu tamsilan, serbuk kopi, serbuk koko, minyak
sawit, dan rempah ratus merupakan hasil pertanian di negara kita yang telah mendapat permintaan tinggi di peringkat
dunia lantaran revolusi industri makanan tersebut. Secara tidak langsung, banyak bekalan mentah dieksport ke luar
negara terutama ke negara jiran seperti Singapura.

Dalam isu yang sama juga sektor pertanian negara telah berjaya memasuki pasaran komoditi di peringkat dunia.
Pasaran susu getah dan minyak kelapa sawit telah berjaya menempatkan nama Malaysia sebagai pengeluar kedua
terbesar di dunia. Hal ini menyebabkan hasil pertanian negara menjadi produk utama eksport negara. Secara tidak
langsung, hasil pertanian ini telah berjaya memberi kesan pada ekonomi seterusnya meletakkan Malaysia setaraf dengan
negara barat sesuai dengan peribahasa yang menyebut berdiri sama tinggi duduk sama rendah. Jelaslah bahawa sektor
pertanian berjaya menjadi produk eksport utama negara di peringkat dunia.

Aspek pemeliharaan alam sekitar dapat direalisasikan dalam sektor pertanian. Kebanyakan hasil tani yang dieksport
memiliki syarat ketat dalam aspek penggunaan bahan kimia dalam sayur-sayuran. Hal ini menyebabkan pengusaha
pertanian menggunakan racun dan baja yang berasaskan alam semula jadi atau produk yang mesra alam. Sektor pertanian
akan menggunakan kawasan hutan yang tidak diusahakan lalu menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan yang
bermanfaat kepada manusia kerana peribahasa ada menyebut berbudi pada tanah pasti akan dapat hasilnya. Dengan cara
ini, tanaman pertanian mampu mengimbangi masalah yang berkaitan alam sekitar yang disebabkan oleh industri
perkilangan. Tegasnya, sektor pertanian bukan sahaja menghasilkan pengeluaran komoditi negara malah turut mampu
mengekalkan keseimbangan alam sekitar.

Sesungguhnya sektor pertanian merupakan sektor yang menjadi nadi denyut para petani di kampung untuk terus
menjalani kelangsungan hidup. Tanpa sektor ini, pasti rakyat marhaen tidak mampu untuk meneruskan kehidupan
mereka. Jika tidak mendapat bantuan kerajaan, petani bagai hidup segan mati tak mahu kerana mereka tiada kemampuan
dari segi modal untuk meneruskan kegiatan pertanian. Oleh itu, kerajaan hendaklah cakna dalam usaha membantu petani
agar mereka terus relevan dalam sektor pertanian.

Langkah-Langkah Mempopularkan Permainan Tradisional


Era pasca perindustrian dan pasca globalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah menyebabkan
permainan tradisional semakin dilupakan dek ditelan zaman. Masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama
dan bangsa telah mewujudkan pelbagai budaya yang wajar untuk dikekalkan untuk manfaat generasi akan datang.
Permainan tradisional merupakan salah satu budaya yang membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh
nenek moyang kita. Mereka mengisi waktu lapang dengan bermain permainan tradisional seperti guli, congkak, wau,
selambut, sepak raga dan gasing bersama-sama dengan jiran tetangga mereka. Aktiviti hiburan yang dimainkan bersama-
sama telah mewujudkan perpaduan dan suasana yang harmoni dalam kehidupan masyarakat pada waktu dahulu. Apakah
langkah-langlah yang boleh dilaksanakan untuk mempopularkan kembali permainan tradisional pada hari ini?

Langkah pertama dan yang paling utama adalah memperkenalkan permainan tradisional kepada kanak-kanak atau
golongan muda. Usaha ini merupakan peranan ibu, bapa dan ahli keluarga dalam memberikan tauladan kepada generasi
yang baru setahun jagung bahawa bermain permainan tradisional juga menghiburkan. Ibu atau bapa boleh
menghadiahkan anak-anak permainan tradisional sebagai hadiah hari lahir. Selain itu, golongan muda hari ini perlu dibawa
ke muzium atau pameran permainan tradisional bagi membuka mata mereka terhadap keunikan yang dimiliki oleh
masyarakat kita. Peribahasa Melayu berkata, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, setiap di antara kita perlu
sedar bahawa kita adalah ejen penyampai sesuatu perkara kepada orang sekeliling kita khusunya ahli keluarga dalam
usaha untuk mempopularkan semula permainan tradisional masyarakat Malaysia.

Seterusnya, langkah untuk mempopularkan semula permainan tradisional adalah dengan memperkasa pertandingan
permainan tradisional di setiap peringkat. Selain di rumah, sekolah juga boleh memainkan peranan dalam
memperkenalkan permainan tradisional kepada pelajar. Tamsilnya, sekolah mempunyai aktiviti kokurikulum di mana
permainan tradisional perlu diberikan perhatian oleh guru-guru. Sebuah kelab permainan tradisional boleh diwujudkan
bagi mengesan pelajar yang mempunyai bakat terpendam dalam permainan tradisional. Sebagai contoh, permainan sepak
raga yang memerlukan teknik yang baik oleh pemain bagi memenangi satu pertandingan. Justeru, pihak sekolah
seharusnya mengambil kesempatan yang ada untuk memupuk pelajar di sekolah tentang permainan tradisional yang
wujud dan boleh dimainkan oleh mereka di waktu lapang. Tambahan pula, penganjuran kempen seperti Minggu
Permainan Tradisional di peringkat sekolah, daerah mahupun negeri mampu menjadi permulaan kepada usaha
menaikkan semula kemasyhuran permainan tradisional seperti waktu dahulu.

Di samping itu, inisiatif yang wajar untuk dilaksanakan adalah dengan memberikan dana secara konsisten kepada
penggiat permainan tradisonal di seluruh negara. Perkara ini sedikit sebanyak bersangkut paut dengan autonomi yang
dikawal oleh pihak berkuasa dimana kematangan dan kestabilan politik adalah penting dalam mengekalkan warisan dan
tradisi sesuatu bangsa. Permainan tradisional masih lagi dimainkan oleh sekumpulan kecil masyarakat yang duduk di
kampung atau desa. Maka, pihak berkuasa sewajarnya membantu penggiat yang meneruskan tradisi nenek moyang kita
ini untuk kekal relevan dan diperhatikan oleh seluruh masyarakat dalam negara. Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan
adalah dengan membawa penggiat permainan tradisonal ini ke sekolah-sekolah atau institusi yang melibatkan masyarakat
secara amnya. Dengan cara ini, mereka dapat memperkenalkan permainan tradisional mereka dengan lebih berkesan.
Contohnya, pemain gasing boleh menunjukkan jenis-jenis gasing yang ada dan menunjukkan demo atau cara untuk
melawan gasing dengan rakan-rakan. Tambahan pula, peggiat permainan tradisional ini boleh menjual secara terus
kepada mereka yang berminat untuk membeli dan bermain di halaman rumah masing-masing. Intihannya, pemberian
sokongan yang konsisten kepada penggiat permainan tradisional dapat membantu mereka untuk kekal relevan dan
menjadi popular.

Akhir sekali, media massa juga berperanan untuk mempopularkan semula permainan tradisional yang kian dilupakan.
Stesen televisyen, media cetak dan media elektronik merupakan medium penyampai yang utama kepada masyarakat hari
ini. Oleh itu, inisiatif yang boleh digarap adalah dengan memperbanyakkan dokumentasi tentang permainan tradisional.
Mungkin generasi muda dewasa ini menjumpai congkak atau batu seremban apabila mereka pulang ke kampung tetapi
tidak tahu bagaimana untuk bermain. Maka, mereka akan merujuk kepada media massa yang mudah dan ringkas bagi
mereka untuk mempelajari dan mengetahui tentang cara permainan congkak ataupun batu seremban yang mereka
jumpai. Selain itu, penggiat seni juga wajar melazimi permainan tradisional dalam segala bentuk seni yang mereka
ketengahkan. Misalnya, produk animasi tempatan yang semakin mendapat perhatian masyarakat kita boleh
menggunakan elemen permainan tradisional dalam jalan cerita mereka. Permainan sepeti gasing boleh menjadi senjata
dan rekabentuk wau sebagai kapal terbang. Kesannya, kanak-kanak akan mempersoalkan dan berfikir akan apakah
elemen menarik dalam animasi fiksyen kegemaran mereka.
Penutup Secara tuntas, pelbagai langkah boleh direalisasikan untuk mempopularkan semula permainan tradisional
dalam kalangan masyarakat hari ini. Permainan tradisional adalah salah satu warisan dan budaya bangsa yang perlu
dipelihara dan diraikan agar tidak tenggelam akibat kemodenan serta kehadiran teknologi hari ini. Seperti yang dihuraikan
di atas, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha yang ingin dilaksanakan. Kita tidak seharusnya
menjadi seperti kacang lupakan kulit yang melupakan asal usulnya dengan mengabaikan peninggalan warisan nenek
moyang kita. Semoga setiap di antara kita sedar dan melakukan sesuatu bagi memastikan generasi akan datang
mengetahui dan memelihara keunikan budaya dan warisan mereka tanpa ditelan arus kemajuan dunia.

Cara-cara Mengisi Masa Lapang

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lataran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin
gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita seringkali disentak oleh pelbagai isu sosial yang dicetuskan oleh masyarakat
kita sendiri. Di dada akhbar dan kaca televisyen, banyak berita mengenai permasalahan sosial dalam kalangan remaja
yang memburukkan potensi generasi masa hadapan negara ini. Misalnya aktiviti merempit dan basikal lajak yang telah
pun meragut nyawa ramai manusia tetapi masih lagi dilakukan oleh mereka. Tanggungjawab ini bukan sahaja terletak
pada bahu ibu dan bapa mereka tetapi kita sebagai anggota masyarakat juga berperanan untuk memastikan golongan
muda ini tidak terjebak dengan perkara yang sia-sia ini. Pepatah Melayu berkata masa itu emas, Oleh yang demikian, mari
kita senaraikan cara-cara mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah demi kemaslahatan semua.

Pada hemat saya, aktiviti utama yang wajar dilakukan oleh anak-anak di rumah di masa lapang adalah untuk membantu
ibu dan bapa melakukan kerja-kerja rumah. Ibu dan bapa merupakan insan yang banyak berkorban melahirkan dna
membesarkan kita daripada bayi sehinggalah boleh berdikari. Jasa mereka yang besar dan sukar untuk kita balas dengan
wang ringgit di usia muda ini menguatkan lagi kenyataan untuk kita meringankan beban mereka dalam hal ehwal di
rumah. Sebagai contoh, aktiviti menjemur pakaian, melipat pakaian, memasak dan membersihkan kawasan rumah
merupakan perkara asas dalam sebuah keluarga. Apabila kita sudah membiasakan diri melakukan aktiviti ini di masa
lapang dengan niat membantu ibu dan bapa kita, pastinya bila kita menjadi dewasa, ia bukan suatu kerja yang sukar untuk
dilakukan. Dalam masa yang sama, hubungan silaturahim antara ahli keluarga juga akan bertambah erat dalam melakukan
kerja-kerja rumah bersama. Persis peribahasa Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Tuntasnya, membantu
ibu dan bapa dengan kerja di rumah dapat mengisi masa lapang secar berfaedah.

Selain itu, cara untuk memanfaatkan masa lapang dengan aktiviti berfaedah adalah dengan melakukan aktiviti riadah
di luar rumah seperti bersenam atau bersukan. Dewasa ini, hampir setiap kawasan perumahan dilengkapi dengan kawsan
untuk kita melakukan aktiviti riadah. Malah di sekolah juga murid-murid telah digalakkan untuk bersukan apabila
melakukan aktiviti kokurikulum. Dengan pencapaian atlet-atlet sukan kita di persada antarabangsa, ia memberi impak
kepada ramai ahli masyarakat kita untuk turut sama melakukan aktiviti sukan tersebut. Misalnya apabila Datuk Lee Chong
Wei menjadi pemain badminton nombor satu di dunia, kebanyakan di antara kita juga turut turun ke gelanggang
badminton untuk meniru aksi jaguh badminton itu. Kesannya, lebih banyak fasiliti sukan dibuka untuk menampung
permintaan dan masyarakat kita menjadi lebih sihat. Persis slogan yang diuar-uarkan oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia, badan sihat, otak cerdas. Intihannya, menyertai aktiviti riadah seperti bersenam atau bersukan dapat mengisi
masa lapang dengan kesan yang berfaedah kepada diri kita secara fizikal dan juga spiritual.

Perkara lain yang boleh dilakukan oleh anggota masyarakat untuk mengisi masa lapang adalah dengan menyertai
aktiviti komuniti seperti sukarelawan. Aktiviti kemasyarakatan ini bukan sahaja dapat mengisi masa terluang tetapi
memberikan manfaat kepada pelabagai pihak terutamanya peserta. Sebagai contoh, apabila kita menyertai sukarelawan
untuk membantu mangsa banjir, kita dapat melihat dengan mata kita sendiri kesusahan yang dihadapi oleh mangsa.
Situasi ini akan menimbulkan sifat empati dalam diri kita dan memberikan kesedaran untuk kita sentiasa mensyukuri
nikmat yang kita perolehi dalam kehidupan masing-masing. Tambahan pula, mangsa yang menerima bantuan juga akan
berasa lebih baik kerana mendapat pertolongan ketika mereka ditimpa kesusahan. Bak kata pepatah, yang elok itu budi,
yang indah itu bahasa. Apabila kita mencurahkan tenaga untuk membantu seseorang, pastinya berkat tersebut akan
dikembalikan kepada kita dalam bentuk kebaikan pada masa akan datang. Izharnya, mengisi masa lapang dengan aktiviti
kemasyarakatan memberikan manfaat kepada sesiapa yang menyertainya.
Dalam mendepani situasi ekonomi yang tidak menentu dan peningkatan kos sara hidup, melakukan kerja sambilan
adalah salah satu cara untuk mengisi masa lapang. Golongan remaja yang mempunyai masa lapang seperti di waktu cuti
sekolah atau cuti semester boleh melakukan kerja sampingan untuk menambah wang perbelanjaan dan meringankan
beban ibu dan bapa. Industri makanan dan minuman atau lebih dikenali sebagai “Food and Beverage” memerlukan
pekerja sambilan untuk menampung kekosongan yang berlaku pasca pandemik COVID-19. Golongan remaja juga boleh
menjadi ejen jualan secara dalam talian yang kini menjadi norma masyarakat kita untuk membeli-belah. Wang diperoleh
daripada melakukan kerja sambilan boleh digunakan untuk membeli barang atau makanan yang diidamkan selama ini.
Selain itu, golongan pelajar terutamanya boleh menggunakan wang untuk melancong ke pusat pelacongan untuk
beristirehat dan menenangkan fikiran sebelum kembali fokus dalam menamatkan pengajian. Tegasnya, mengisi masa
lapang dengan melakukan kerja sambilan adalah salah satu perkara yang memanfaatkan diri dan orang sekeliling.

Kesimpulannya, terdapat banyak aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh bukan sahaja remaja tetapi semua
lapisan umur masyarakat di negara ini pada masa lapang. Melaburkan masa kita di usia muda terutamanya dalam
melakukan aktiviti berfaedah adalah signifikan supaya ia tidak terbuang dengan perkara yang sia-sia atau tidak sihat.
Mereka yang bijak membahagi dan menghargai masa pasti akan mengecapi kejayaan dalam hidup dan memudahkan
urusan diri serta orang sekeliling. Semoga setiap di antara kita mengambil peduli dengan aktiviti yang dilakukan pada
masa lapang dan seterusnya melahirkan generasi minda kelas pertama. Masyarakat yang bijak menguruskan masa pasti
dapat menghasilkan produktiviti yang terbaik untuk diri, komuniti dan negara.

Ciri-ciri Anak Yang Cemerlang

Mutakhir ini, pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita sehingga menjadi polemik utama
di media massa. Kemulut ini kebanyakannya berlaku dalam kalangan remaja yang merupakan bakal tunjang negara.
Situasi yang perlu diambil serius oleh ibu dan bapa khususnya untuk memastikan anak-anak mereka tidak terjebak
denagn perkara yang sisa-sia. Namun begitu, anak-anak juga mempunyai tanggungjawab kepada ibu dan bapa untuk
menjadi yang terbaik. Mereka telah melakukan banyak pengorbanan dan jasa untuk membesarkan dan menjaga
kebajikan kita. Persis kata peribahasa, bagai menatang minyak yang penuh. Oleh yang demikian, mari kita bincangkan
apakah ciri-ciri anak yang baik supaya setiap di antara kita melaksanakan tanggungjawab kepada ibu dan bapa dengan
baik.

Ciri utama untuk menjadi anak yang cemerlang adalah dengan menghormati dan menyayangi ahli keluarga. Dalam
mendepani era modenisasi ini, anak-anak mudah terpengaruh dengan rakan sebaya dan juga media sosial hingga
menyebabkan cara mereka berkomunikasi tidak mempunyai sopan dan santunnya. Situasi ini lazim berlaku dalam
kalangan remaja yang lebih gemar untuk meluangkan masa bersama rakan berbanding ahli keluarga. Sebagai seorang
anak, kita seharusnya menghormati ibu dan bapa serta ahli keluarga yang lain dengan berkomunikasi dengan penuh
sopan. Contohnya, memberikan salam terlebih dahulu apabila memulakan hantaran mesej di tekefon. Kita juga boleh
menunjukkan kasih sayang kita kepada mereka dengan bertanya khabar secara kerap, menyambut hari kelahiran
mereka dan memberikan hadiah pada masa-masa tertentu. Jika anak-anak menghormati dan menyayangi ibu serta bapa
dengan penuh komited, hubungan silaturrahim pasti akan kukuh.

Selain itu, tindakan untuk membantu ibu dan bapa melakukan kerja-kerja di rumah juga adalah salah satu ciri anak
yang cemerlang. Ibu dan bapa kita berhempas pulas bekerja siang dan malam untuk memastikan segala kebajikan dan
keperluan kita terjamin. Bahkan ada di antara ibu dan bapa yang melakukan dua hingga tiga kerja untuk menampung
makan dan minum anak di rumah. Oleh sebab yang demikian, anak-anak seharusnya membantu mereka dalam
menyelesaikan kerja-kerja rumah seperti menjemur dan melipat pakaian. Sikap ringan tulang dalam kalangan anak-anak
sukar untuk kita temui pada hari ini tetapi jika mereka dididik dengan baik, pasti tiada masalah untuk mereka
membantu menyiapkan kerja-kerja rumah. Lambat-laun, setiap anak-anak perlu berdikari dan melakukan tugas yang
sama selepas menjangkau alam dewasa dan perkahwinan. Maka, tidak mustahil dan sewajarnya anak-anak membantu
ibu dan bapa melakukan kerja-kerja rumah sebagai tanggungjawab seorang anak dan manusia.

Pada masa yang sama, anak yang berjaya adalah sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam pelajaran atau
kerjaya. Setiap ibu dan bapa mempunyai impian untuk melihat anak mereka berjaya di setiap peringkat kehidupan.
Justeru, kita sebagai anak-anak mempunyai misi untuk memberikan yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan kita
agar impian mereka tertunai. Tamsilnya, mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Bagi yang bekerjaya
pula, mampu untuk menampung kehidupan diri dan tidak menyusahkan ibu dan bapa adalah salah satu kejayaan
menjadi seorang dewasa. Lebih baik lagi apabila kita mampu untuk memberikan wang dan menyara kehidupan ibu dan
bapa setelah mereka berpencen. Ciri-ciri hanya akan diperoleh jika kita sebagai anak mempunyai iltizam dan disiplin
yang kuat untuk membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa kita. Jelasnya, mereka yang berusaha untuk cemerlang
dalam kehidupan adalah ciri-ciri anak yang terbaik.

Akhir sekali, sentiasa bersikap jujur dan meluahkan perasaan dengan rasional adalah ciri-ciri anak yang cemerlang.
Hal ini kerana, ibu dan bapalah merupakan insan yang sepatutnya kita sebagai anak meluahkan perasaan tentang
perkara yang berlaku dalam hidup kita. Namun, norma masyarakat hari ini yang sibuk bekerjaya telah menyebabkan
anak-anak lebih gemar untuk meluahkan perasaan bersama rakan sebaya atau sosial media. Perkara ini memerlukan
kerjasama daripada kedua-dua pihak iaitu ibu, bapa dan anak-anak untuk mencari runag dan kesefahaman supaya boleh
berkongsi masalah bersama. Sebagai anak pula, kita hendaklah berkongsi masalah dengan jujur dan menerima nasihat
yang diberikan oleh ibu dan bapa kita. Bak kata pepatah, buang yang keruh, ambil yang jernih. Izharnya, bersikap jujur
dan berkongsi masalah dengan rasional kepada ibu dan bapa menjadikan seseorang itu anak yang cemerlang dan
disayangi oleh ibu bapa.

Secara tuntas, banyak ciri sebagai seorang anak yang cemerlang telah dibincangkan. Ibu dan bapa memainkan
peranan yang penting untuk menjadi tauladan dan membentuk generasi yang bakal memimpin negara pada masa akan
datang. Anak-anak ibarat kain putih dan kita sebagai ahli keluarga dan masyarakat yang bertangungjawab untuk
mencorakkannya. Perkara yang berkaitan budaya dan adat ini hendaklah dipupuk dengan cara yang lebih relevan pada
masa kini iaitu melalui media massa dan bukan sahaja di sekolah. Pihak berkuasa perlu memperkasa media dan hiburan
yang mempengaruhi minda masyarakat dengan nilai-nilai murni yang akhirnya akan membentuk generasi muda yang
kaya dengan jati diri serta berminda kelas pertama.

Cara-Cara Mengatasi Stress Atau Tekanan

Sejak kebelakangan ini, isu depresi dan kemurungan menjadi polemik yang dibincangkan dalam masyarakat
konvensional. Kenaikan kos sara hidup dan ketidak tentuan ekonomi negara telah menyebabkan isu yang sebelum ini
tidak diberi perhatian umum kini menjadi masalah utama dalam kalangan komuniti terutamanya golongan remaja dan
belia. Masalah depresi atau kemurungan berpunca daripada tekanan atau stres yang berpanjangan, keterlaluan dan
tiada kemampuan daya tindak seseorang individu terhadap masalah tersebut. Ia merupakan tindak balas fizikal, emosi
dan juga mental yang dialami oleh seseorang apabila terdapat desakan terhadap sesuatu perkara. Sesiapa sahaja yang
mengamalkan berbagai cara gaya hidup samada kanak-kanak, remaja, dewasa serta warga emas boleh mengalami stres
atau tekanan. Justeru, wajar untuk kita bincangkan apakah cara-cara yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi tekanan
atau stres sebagai panduan kepada masyarakat hari ini.

Prakarsa utama dalam membendung tekanan atau stres adalah dengan mempelajari kawalan emosi kendiri.
Terdapat tekanan yang berbentuk sedikit, sederhana dan berlebihan di mana dalam jangka masa panjang dan tidak
dapat ditangani oleh individu tersebut, ia akan menyebabkan kesan negatif serta memudaratkan kesihatan mereka.
Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan penyelesaian jangka pendek sebagai kawalan
emosi kendiri yang dikenali sebagai kaedah “10B”. Sekiranya anda mengalami stres atau tekanan anda perlu mengikuti
kaedah ini secara berturutan iaitu bertenang, bernafas secara dalam, berkata relaks kepada diri, beribadat, bercakap
dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam serta akhir sekali berfikiran positif.
Kaedah ini juga baik untuk membantu menangani tekanan darah tinggi yang meyumbang kepada punca stres. Memang
kita tidak boleh nafikan bahawa punca tekanan dan stres lazimnya bukan daripada diri kita dan sukar untuk
mengatasinya tetapi dengan kaedah yang diutarakan, kita dapat mencegah perkara yang lebih negatif daripada berlaku.

Di samping itu, tekanan atau stres boleh diatasi dengan berkongsi masalah atau bercerita tentang perkara yang
dilalui kepada individu yang dipercayai. Sebagai contoh, apabila majikan memarahi pekerja tentang tugasan yang
diberikan, pekerja tersebut tidak berasa tertekan dan tidak tahu cara untuk menyelesaikan masalah terbabit untuk
mengurangkan stress. Maka, pekerja tersebut boleh mencari rakan kerja yang berkecimpung dalam bidang yang sama
seterusnya berkongsi masalah dan berbincang tentang jalan penyelesaian terbabit. Tindakan ini bukan sahaja dapat
mengurangkan tekanan malah menunjukkan teladan dan tahap profesional yang lebih baik daripada majikan pekerja
tersebut yang menuding jari tanpa memberikan sebarang bantuan. Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat telah pun membangunkan Talian Kasih 15999 yang beroperasi selama 24 jam pada setiap hari.
Talian aduan krisis ini membolehkan sesiapa sahaja yang mempunyai masalah berkaitan kaunseling, kebajikan,
perlindungan dan masalah keluarga untuk berhubung dengan pegawai yang bertugas dan mereka akan membantu
mangsa atau individu yang tiada kenalan untuk berkongsi masalah serta untuk menghilangkan stres.

Alternatif lain yang dapat dilakukan oleh individu bagi mengelakkan tekanan atau stres adalah dengan melakukan
aktiviti riadah seperti bersenam atau bersukan. Umum mengetahui bahawa aktiviti riadah mendatangkan pelbagai
manfaat sekiranya kita aktif dalam menyertainya. Misalnya, apabila seseorang bermain sukan badminton bersama rakn-
rakan, secara zahirnya mereka dapat melepaskan tekanan yang mereka alami dengan menghasilkan pukulan smesy ke
arah lawan. Tambahan pula permainan sukan mewujudkan semangat setiakawan dan kerjasama di mana satu bentuk
kepuasan akan diperoleh sekiranya pasukan individu tersebut memenangi permainan yang disertai. Bagi golongan
dewasa yang berkerjaya dan mempunyai kekangan masa untuk bersukan seharusnya meluangkan masa dihujung
minggu untuk beriadah sekurang-kurangnya selama 30 minit. Kemudahan pusat riadah seperti taman permainan dan
taman komuniti telah lengkap dengan trek untuk berjoging atau berbasikal serta kelengkapan asas gimnasium yang
boleh digunakan tanpa bayaran untuk melepaskan hormon kesehatan tubuh. Kesannya, badan yang cergas akan
membentuk minda sihat dan tekanan atau stres dapat diatasi.

Jika dilihat pada sudut pandang yang berlainan, tekanan dapat dielakkan dengan mendekatkan diri kepada Tuhan.
Hal ini demikian kerana, ketenangan hati dan segala urusan duniawi adalah kurniaan dan ujian yang diberikan oleh
Tuhan. Maka, kita seharusnya sentiasa bermuhasabah diri sama ada perkara atau kehidupan yang kita jalani seiring
dengan ajaran dan kehendak Beliau. Setiap agama mengetengahkan konsep kebaikan dan nilai-nilai murni supaya kita
tidak terjerumus dalam lembah duniawi yang tidak kekal dan bersifat sementara. Sebagai seorang muslim, ibadat solat
merupakan tiang agama dan mampu membantu menenangkan hati dan minda jika dilakukan dengan kekhusyukan.
Tambahan pula, segala perbuatan dalam solat telah ditafsirkan sebagai bentuk senaman ringan kepada kita setelah
mengharungi pekerjaan sepanjang hari. Lantaran itu, pendekatan diri kepada Sang Pencipta bukan sahaja memberikan
kita ketenangan malah menunjukkan jalan yang benar dan diperlukan oleh manusia yang lemah seperti kita semua
untuk meningkatkan kerohanian. Izharnya, kekuatan rohani akan mezahirkan ketahanan jasmani terhadap apa sahaja
masalah yang timbul.

Sebagai kesimpulan, terdapat banyak cara menghilangkan stress yang boleh dilakukan bagi mengatasi tekanan atau
stres. Ia adalah perasaan semula jadi yang ada pada setiap individu dan pelbagai faktor yang menyumbang kepada
desakannya terhadap sesorang individu. Dengan kesedaran masyarakat yang semakin baik terhadap perkara ini, ramai
pihak seharusnya menggembleng tenaga bagi memperkenalkan mekanisme kawalan terhadap tekanan atau stres yang
dihadapi oleh ahli masyarakat. Perkara ini boleh diputar menjadi sumber motivasi seseorang untuk mencapai segala
bentuk kejayaan dalam perkara yang mereka ceburi. Kita hanya memerlukan kepakaran dan kajian yang telus supaya
dapat membantu golongan yang terkesan serta untuk mengetahui kaedah terbaik kerana mencegah lebih baik daripada
merawat. Semoga segala inisiatif dan cara menghilangkan stres yang diatur dapat memangkin sifat mahmudah dalam
diri setiap individu seterusnya melahirkan komuniti yang hidup sejahtera, aman dan harmoni.

Ciri-Ciri Remaja Yang Berwawasan


Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang
semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang
dicetuskan oleh golongan remaja hari ini. Generasi muda merupakan pelapis yang akan menduduki tampuk pemerintahan
negara pada masa akan datang. Sayang dan malang sekali, mereka tidak sedar akan obligasi yang terbeban di bahu mereka
itu. Kelekaan dalam menikmati hiburan yang dihidangkan oleh teknologi hari ini bakal memberi kesan yang buruk kepada
mereka. Justeru, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengubah persepsi dan tingkah laku
golongan remaja dengan mengenal pasti apakah ciri-ciri remaja berwawasan?

Remaja yang berwawasan adalah golongan remaja yang mempunyai personaliti yang mulia. Personaliti boleh
didefinisikan sebagai tingkah laku, keperibadian dan akhlak seseorang. Remaja yang mempunyai personaliti yang mulia
mempunyai tingkah laku yang sopan, saling hormat-menghormati dan mengamalkan nilai-nilai murni yang lain. Selain
itu, menjaga kesihatan dengan bersukan dan memastikan kebersihan diri dan kawasan sekeliling di tahap yang baik adalah
ciri personaliti yang mulia. Dengan personaliti yang sebegini, mereka akan mudah didampingi dan berkomunikasi dengan
semua pihak tanpa mengira umur dan latar belakang. Mereka juga tidak akan terjebak dengan kemelut sosial yang
mementingkan dunia hedonistik semata-mata serta berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja-
remaja yang bermasalah. Intihannya, remaja yang berwawasan adalah remaja yang mempunyai personaliti yang mampu
membezakan yang mana kaca dan yang mana permata supaya tidak terjerumus ke dalam lembah kegagalan dalam
kehidupan.

Pada masa yang sama, remaja yang berwawasan juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi. Ilmu
pengetahuan merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Remaja yang mempunyai
ilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dalam menghadapi
era globalisasi yang serba mencabar akal dan minda. Golongan remaja perlu mengutamakan pembelajaran daripada
melakukan perkara lain yang sia-sia. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar
melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka. Justeru, ketekunan dan tidak
berputus-asa merupakan nilai yang mustahak dalam mendepani rintangan untuk menguasai ilmu pengetahuan. Persis
kata peribahasa, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Di samping itu, bersikap patriotik terhadap negara adalah ciri-ciri remaja berwawasan. Hal ini demikian kerana, George
Santayana pernah berkata, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Oleh itu, dengan menanam
sikap cinta akan negara dalam golongan remaja, ia pasti dapat membantu negara dari segi kemajuan dan potensi untuk
berjaya bersaing dengan negara yang lain. Mereka juga tidak akan mudah terpengaruh dalam segala bentuk penjajahan
sama ada dari segi mental, intelektual, hiburan dan sebagainya. Para remaja yang berwawasan akan memastikan budaya,
tradisi dan warisan negara dipelihara di samping mengejar kemajuan yang diacu sendiri oleh air tangan mereka. Jiwa
patriotik yang menebal ini akan menjamin keharmonian negara dan sekali gus berupaya menjaga maruah negara di pentas
global.

Akhir sekali, ciri-ciri remaja yang berwawasan adalah remaja yang sedar dan melaksanakan tanggungjawab masing-
masing dengan baik. Perjalanan kita sebagai manusia dari kecil sehingga dewasa banyak berubah apabila kita mempunyai
tanggungjawab sama ada sebagai seorang pelajar, seorang anak dan seterusnya menjadi ketua keluarga. Justeru,
linkungan usia remaja merupakan masa yang penting bagi seseorang individu untuk belajar menggalas tanggungjawab
supaya di masa hadapan ia menjadi sesuatu perkara yang mudah. Remaja yang berwawasan akan melaksanakan tugas
atau tanggungjawab mereka sebagai pelajar dengan mendapatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Manakala
tanggungjawab sebagai anak pula sentiasa menjaga hati budi dan membalas jasa ibu bapa mereka dengan membantu
menyelesaikan kerja-kerja rumah. Kesannya, golongan remaja ini akan lebih matang apabila diamanahkan dengan
tanggungjawab yang lebih berat pada masa akan datang.

Konklusinya, ciri-ciri remaja yang berwawasan terdiri daripada pelbagai aspek kehidupan. Golongan remaja adalah
golongan yang penting dalam menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat mahupun negara. Justeru itu, setiap
pihak daripada keluarga, guru, kerajaan dan ahli masyarakat sendiri perlu menggembleng tenaga untuk memanifestasikan
mekanisma terbaik bagi memupuk dan melahirkan remaja yang berwawasan. Persis kata peribahasa Melayu, seikat bagai
sirih, serumpun bagai serai. Semoga setiap anjakan paradigma yang diatur mampu memberikan kesan yang efektif kepada
mereka dalam menjadi tunjang masa hadapan negara.

Peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)


Sebagai pelajar, kita pastinya pernah menyampaikan surat yang diberikan oleh guru kepada ibu dan bapa untuk
menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Namun hanya mereka yang berkelapangan dan
bertanggungjawab sahaja menghadiri mesyuarat tersebut demi kepentingan anak-anak. Menurut Akta Pendidikan KPM
1996, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) ditubuhkan di semua sekolah kerajaan dengan tujuan untuk mewujudkan
permuafakatan antara ibu bapa dan guru. Permuafakatan ini bukan sahaja penting untuk ibu bapa dan guru tetapi
mustahak untuk pelajar-pelajar di sekolah tersebut kerana dengan bantuan PIBG, pelbagai aktiviti dan kebajikan pihak
sekolah terjamin. Oleh itu, mari kita bincangkan apakah peranan aktiviti sukarela yang dikenali sebagai Persatuan Ibu Bapa
Dan Guru (PIBG) di Sekolah?

Salah satu peranan persatuan ini adalah untuk menjadi perhubungan antara guru dan ibu bapa. Persatuan ini
ditubuhkan supaya dapat menyelesaikan masalah yang timbul melibatkan pelajar, ibu bapa dan juga warga sekolah seperti
guru. Sebagai contoh, setiap kali waktu pulang dari sekolah, ibu bapa menghadapi masalah kesesakan lalu lintas di
kawasan persekolahan. PIBG boleh menjalankan tugas untuk memohon bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia atau lebih
dikenali sebagai RELA supaya meletakkan anggotanya pada masa tertentu. Selain dapat melancarkan aliran trafik di
kawasan persekolahan, solusi ini dapat memastikan keselamatan pelajar terjamin daripada kemalangan jalan raya dan
sebagainya. Situasi yang mungkin tidak dapat dilihat oleh guru di sekolah ini dapat diselesaikan melalui mesyuarat PIBG.
Ibarat pepatah Melayu, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Tegasnya, persatuan ini berperanan sebagai medium
perhubungan antara ibu bapa dan guru sekolah.

Peranan lain Persatuan Ibu Bapa dan Guru adalah untuk membantu menjayakan aktiviti dan program pendidikan di
sekolah. Ibu dan bapa pasti mahukan segala yang terbaik untuk anak-anak masing-masing. Oleh sebab yang demikian,
mereka juga berperanan untuk membantu pihak sekolah dalam menganjurkan aktiviti luar bilik darjah seperti program
motivasi atau seminar. Pelajar secara langsung akan mendapat manfaat daripada program tersebut dan seterusnya
mendapat keputusan yang cemerlang dan mengharumkan nama sekolah. Guru-guru telah menjalankan amanah dan
tanggungjawab mereka di dalam bilik darjah, ibu dan bapa juga seharusnya memainkan peranan untuk menaikkan
semangat dan iltizam pelajar untuk tidak putus asa dalam pembelajaran.Disiplin dan usaha yang baik daripada ibu bapa
mampu mendukung usaha yang dicurahakn oleh guru dalam menghasilkan pelajar yang berperestasi dan berketrampilan
tinggi. Intihannya, menganjurkan aktiviti di sekolah juga merupakan peranan Persatuan.

Di samping itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru berperanan untuk menambah sumber kewangan sekolah. Perkara ini
mungkin tidak dipersetujui oleh sesetengah pihak kerana ia adalah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM). Tetapi, kebanyakan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang menaik taraf infrastruktur mereka hasil sumbangan
PIBG adalah bukti kepentingan peranan ini. Seperti yang telah dijelaskan, persatuan ini ditubuhkan bagi membantu dan
menambah usaha sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka.
Selaras dengan itu, sebagai ibu dan bapa yang bertanggungjawab, mereka sewajarnya menyumbang sedikit sumber
kewangan untuk membantu pihak sekolah dalam menyediakan infrasturktur yang kondusif untuk pembelajaran anak-
anak. Sifat murah hati adalah antara sifat terpuji yang wajar diamalkan lebih-lebih lagi dapat memanfaatkan bukan sahaja
anak tetapi juga selurh masyarakat yang hadir ke sekolah. Tuntasnya, menyumbang dana kepada sekolah adalah salah
satu peranan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru sekolah.

Akhir sekali, antara peranan yang boleh dimainkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru adalah untuk memantau dan
menilai prestasi sekolah. Untuk menambah baik prestasi sekolah, guru dan ibu bapa boleh duduk semeja dan bertukar
pendapat atau maklumat berkenaan kaedah pengajaran yang terbaik untuk generasi pada hari ini. Ibu dan bapa juga boleh
memberikan gambaran kepada guru terhadap respons para pelajar dalam mengulang kaji pelajaran atau menyiapkan
kerja sekolah di rumah. Agenda mesyuarat seperti ini penting supaya taraf pendidikan anak-anak dapat dinaikkan dan
memperbaiki kaedah pengajaran guru di dalam bilik darjah. Secara tidak langsung kita dapat mengelakkan daripada situasi
seperti perumpamaan, guru kencing berdiri, murid kencing berlari berlaku. Izharnya, peranan memantau dan menilai
prestasi sekolah oleh anggota PIBG wajar untuk dilaksanakan supaya pendapat yang berbeza diperoleh daripada golongan
yang bukan pakar akademi tetapi mereka yang meluangkan masa bersama para pelajar lebih lama berbanding guru-guru.

Kesimpulannya, banyak peranan yang boleh dimainkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sekolah. Aktiviti sukarela
ini seharusnya disertai oleh setiap ibu dan bapa kerana mereka mempunyai tanggungjawab mendidik anak-anak mereka
untuk menjadi insan yang berguna pada masa kini dan hadapan. Kita masih lagi mempunyai stigma bahawa persatuan ini
akan menganggu tugas guru dan merupakan satu perkara yang sia-sia tetapi jika kita memanfaatkannya dengan baik, hasil
yang baik akan diperoleh para pelajar, guru dan juga ibu bapa. Buang yang keruh, ambil yang jernih, peribahasa ini jelas
menunjukkan bahawa kita perlu sentiasa ambil perkara yang baik dan tidak mengulangi perkara yang tidak berfaedah.
Setiap pihak jika mempunyai nilai amanah dan tanggungjawab pasti akan menyahut cabaran untuk menjalankan tugas
sebagai anggota persatuan serta memberikan yang terbaik. Semoga jalinan permuafakatan yang dibina demi mendidik
anak bangsa ini terus dimartabatkan dan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan masyarakat, bangsa dan juga negara.

Kepentingan TVET

Sejak meniti arus kemerdekaan, negara kita telah mencapai pelbagai kemajuan dalam sektor dan industri tertentu.
Antaranya adalah sektor pendidikan negara yang berkembang sejajar dengan pertumbuhan tanah air sebagai negara
membangun. Jumlah graduan yang dihasilkan oleh Institusi Pengajian Tinggi awam dan swasta setiap tahun
mencerminkan kemampuan generasi muda kita untuk mendapatkan pendidikan pada tahap tertiari demi merebut
peluang pekerjaan. Namun begitu, kebelakangan ini pihak kerajaan telah menggalakkan lebih ramai golongan muda untuk
menyertai Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional atau dikenali sebagai TVET. Hal ini kerana, negara memerlukan
tenaga kerja yang bertepatan dengan kehendak industri yang semakin membangun di Malaysia secara khususnya. Oleh
yang demikian, mari kita kupas apakah kelebihan TVET Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional agar generasi muda
yang digalakkan untuk sertai mendapat manfaatnya.

Kepentingan utama pendidikan teknikal dan vokasional adalah untuk membuka peluang kepada pelajar yang kurang
cemerlang dalam bidang akademik. Umum mengetahui bahawa dalam usaha untuk mendapatkan peluang pekerjaan
profesional seperti doktor perubatan, jurutera dan akauntan memerlukan pelajar mendapat keputusan yang cemerlang
dalam bidang akademik masing-masing. Sebaliknya, terdapat anak-anak yang tidak mampu untuk mendapatkan
keputusan yang cemerlang dan sebaliknya lebih meminati pekerjaan yang berkaitan dengan teknikal dan vokasional.
Misalnya dalam bidang kulinari di mana pelajar yang menyertai TVET berpeluang untuk mempelajari bagaiman untuk
menjadi seorang chef secara praktikal. Peluang dan ruang ini secara tidak langsung memberikan gambaran kepada pelajar
bagaimana corak pekerjaan mereka pada masa hadapan dan seterusnya mampu mencari pekerjaan sejurus tamat
pembelajaran. Tuntasnya, pendidikan dan latihan vokasional adalah penting demi memberi peluang kepada pelajar yang
tidak cemerlang dalam bidang akademik.

Selain itu, pendidikan teknikal dan latihan vokasional penting untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir dalam bidang
teknikal dan tertentu. Sebagai contoh, pelajar boleh memilih untuk mempelajari bidang seperti pertukangan, kimpalan,
elektrikal, kulinari, perhotelan dan juga automotif. Bidang-bidang ini memerlukan pekerja yang mahir dalam aspek
teknikalnya supaya kerja di setiap peringkat dilaksanakan dengan baik. Apabila pelajar mempunyai kemahiran teknikal
seperti dalam bidang automatif, mereka dapat bekerja sebagai mekanik di kedai-kedai servis kenderaan ataupun
membuka sendiri pusat servis kenderaan. Begitu juga dengan graduan dalam bidang kulinari yang boleh membuka
restoran sendiri apabila berkemampuan. Secara tidak langsung, pendidikan TVET juga mampu menghasilkan usahawan
tempatan yang menyediakan servis terbaik untuk masyarakat setempat. Intihannya, penting untuk kita memperkasa
pendidikan teknikal dan latihan vokasional demi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan kompeten.

Pada waktu yang sama, potensi industri dalam negara dan daya saing dalam kalangan tenaga kerja dapat ditingkatkan
dengan pendidikan TVET. Jerman merupakan antara contoh negara maju yang memartabatkan pendidikan teknikal dan
vokasionalnya sehingga melahirkan tenaga kerja yang baik seterusnya menghasilkan jenama terkenal di dunia iaitu
Mercedes-Benz, BMW dan Volkswagen. Mereka melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri yang mereka
kuasai dan membawa jenama negara mereka ke tahap antarabangsa dan diketahui segenap pelusuk dunia. Jika kita ingin
menaikkan imej negara di tahap dunia, maka usaha untuk meningkatkan pendidikan teknikal dan latihan vokasional wajar
disokong dengan penuh komitmen. Mungkin satu hari nanti negara kita mampu menghasilkan sebuah pasukan
permotoran yang bersaing di peringkat tertinggi iaitu Formula One dan Moto GP. Tegasnya, kepentingan pendidikan
teknikal dan vokasional bukan sahaja untuk golongan pelajar tetapi juga penting untuk meningkatkan kemampuan negara
untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.

Dari sudut pandangan yang lain, pendidikan teknikal dan latihan vokasional ini penting sebagai alternatif kepada
pendidikan tertiari yang tidak meyakinkan. Dalam mendepani situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini, golongan
pelajar tersepit untuk meneruskan pelajaran di peringkat pengajian tinggi atau bekerja demi mendapatkan wang untuk
membantu sara hidup diri dan keluarga. Oleh itu, pendidikan teknikal dan latihan vokasional ini mustahak sebagai
alternatif kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk menyambung pelajaran di universiti atau kolej dan mampu
untuk mendapatkan pekerjaan secara terus selepas tamat pengajian. Malahan golongan pelajar TVET kini diiktiraf setaraf
dengan pemegang diploma dan mampu mendapatkan gaji yang bermaruah. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan,
di situ pasti ada jalan. Izharnya, pendidikan TVET penting sebagai alternatif kepada aliran pengajian lain yang tidak
menepati situasi atau minat seseorang.

Kesimpulannya, pelbagai kepentingan pendidikan teknikal dan latihan vokasional bukan sahaja untuk pelajar tetapi
juga untuk negara. Selaras dengan revolusi industri yang bakal mendatang serta penggunaan teknologi dalam rutin
kehidupan kita, wajar untuk kita memperkasa TVET. Sebagai rakyat yang ingin melihat negara kita berkembang maju dan
bercambah dalam pelbagai industri yang dicipta pada masa ini, pihak bertanggungjawab seperti pemimpin negara wajar
memperkenalkan dasar pendidikan yang seiring dengan kehendak industri masa kini dan masa hadapan. Hasilnya nanti
kadar pengangguran berkurangan dan rakyat mampu untuk bekerja dalam setiap peluang yang diberikan berdasarkan
latar belakang pendidikan masing-masing. Hasil kerja yang bermutu tinggi juga akan diperoleh kerana golongan tenaga
kerja yang betul-betul mahir atau pakar dalam bidangnya melakukan kerja bukan seperti bidang terjun yang mengucar-
ngacirkan tanggungjawabnya. Semoga segala inisiatif mendukung pendidikan teknikal dan vokasional disokong secara
seimbang dengan aliran pendidikan yang lain.

Kelebihan Pendidikan Maya (Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Talian)

Dasawarsa ini, penggunaan gajet seperti telefon pintar, komputer riba dan tablet menjadi kewajipan bagi segenap
manusia. Evolusi teknologi yang pesat membangun telah banyak merubah cara hidup manusia pada hari ini. Misalnya,
penggunaan surat telah digantikan dengan emel yang hanya menggunakan alam maya untuk berhubung dan
perkhidmatannya adalah percuma. Kemajuan yang dikecapi manusia pada hari ini menjadi satu bukti bahawa kita
hendaklah terus berevolusi untuk memanfaatkan teknologi. Hal ini kerana tamadun yang maju adalah tamadun yang
sentiasa menambah baik kehidupan mereka khususnya anggota masyarakat agar kita dapat duduk sama rendah dan
berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Antara sektor yang perlu meraikan penggunaan teknologi masa kini dan
meninggalkan cara konvensional adalah sektor pendidikan. Maka, wajar untuk kita bincangkan apakah kelebihan
pendidikan secara maya atau pengajaran & pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian?

Pendidikan secara dalam talian dapat membantu guru untuk menyampaikan ilmu dengan cara yang lebih mudah serta
interaktif buat para pelajar. Berbeza dengan pembelajaran secara bersemuka, pendidikan maya memerlukan guru dan
pelajar berinteraksi melalui tablet, komputer atau telefon. Guru-guru perlu menyediakan bahan pembelajaran secara
video dan mengajar melalui webinar atau panggilan video kepada anak muridnya. Kita akui, cara ini kurang memberikan
kepada pelajar khususnya kanak-kanak yang memerlukan pembelajaran secara bersemuka. Tetapi, guru boleh
menggunakan video interaktif yang terdapat secara percuma di Internet. Pelajar juga boleh mencari sumber pembelajaran
yang lebih banyak berbanding hanya bergantung kepada buku teks. Malah, terdapat banyak aplikasi seperti quiz yang
dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian untuk guru dan pelajar. Bak kata pepatah
Melayu, laut yang ditimba tidak akan kering. Selagi kita ada kemahuan untuk mencari dan menyampaikan ilmu, pasti ada
jalan yang terbaik untuk kita mengecapi niat murni itu.

Dari sudut pandang yang lain, pendidikan secara maya dapat memberi keselesaan atau suasana yang kondusif kepada
pelajar dan guru. Jika di sekolah, pelajar perlu memakai pakaian seragam yang bagus untuk mendisiplinkan mereka tetapi
apabila di rumah, pelajar tidak perlu untuk berpakaian seragam dan hanya memakai pakaian mengikut keselesaan
mereka. Selain itu, pendidikan secara maya di rumah membolehkan pelajar untuk fokus dengan lebih baik kerana kurang
gangguan daripada pelajar atau raka sekelas. Tapi realitinya, masih ramai pelajar di luar bandar yang ssukar untuk
mengikuti pendidikan secara maya. Oleh itu, pihak berkuasa hendaklah melakukan tindakan untuk meningkatkan
infrastruktur Internet di seluruh negara agar pendidikan secara maya ini dapat dinikmati oleh segenap penduduk di
Malaysia.

Kelebihan lain pendidikan secara maya adalah ia dapat meningkatkan kemahiran teknologi dalam kalangan guru dan
juga pelajar. Umum mengetahui, pendidikan secara maya memerlukan kemahiran teknologi pelajar untuk akses masuk
ke dalam aplikasi pembelajaran dalam talian. Pelajar perlu mendapatkan talian Internet yang stabil untuk melalui proses
pendidikan maya secara lancar. Di waktu negara kita menghadapi pandemik COVID-19, kita dapat menyaksikan guru-guru
menggunakan pelbagai kaedah khususnya penggunaan teknologi untuk menyampaikan pengajaran kepada murid-murid.
Situasi ini telah membuatkan warga pendidik untuk berfikir di luar kotak dan menghasilkan bahan pengajaran yang terbaik
menggunakan teknologi yang ada. Intihannya, pendidikan secara maya dapat meningkatkan kemahiran teknologi dalam
kalangan guru serta pelajar secara langsung atau tidak langsung.
Akhir sekali, kelebihan pendidikan secara dalam talian ialah memudahkan pelajar untuk mengulang kaji pelajaran.
Contohnya, pelajar boleh melihat semula rakaman pengajaran guru sekiranya mereka tidak memahami atau ingin
mengulangkaji pelajaran. Situasi ini adalah satu kelebihan jika dibandingkan dengan pendidikan secara bersemuka kerana
pelajar mungkin berasa malu dan takut untuk bertanyakan kepada guru. Tambahan pula, pelajar dapat mengakses
pelbagai bahan pembelajaran yang terdapat di Internet untuk mengulang kaji dan tidak bergantung kepada buku teks
sahaja. Pembelajaran yang interaktif ini sedikit sebanyak dapat membuka minda dan ruang kreatif pelajar dalam
mendapatkan ilmu pengetahuan dan menambah kemahiran diri mereka. Natijahnya, pendidikan secara maya banyak
membantu pelajar untuk tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung kerana penggunaan tekcnologi akan menjadi
satu perkara penting di masa kini dan akan datang.

Kesimpulannya, pelbagai kelebihan yang diperoleh sekiranya guru atau pelajar melaksanakan pendidikan secara
maya. Seperti yang saya bincangkan, masih terdapat jurang di kawasan luar bandar yang tidak mampu untuk menikmati
pendidikan dalam talian dengan baik. Justeru, kerajaan hendaklah berganding bahu dengan pembekal perkhidmatan
talian Internet untuk memastikan liputan Internet di Malaysia ditingkatkan dan berada di tahap yang terbaik. Pandemik
Covid-19 menjadi satu bukti bahawa kita perlu bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dalam mendepani apa jua
situasi agar pendidikan anak-anak kita terjamin. Seterusnya memastikan generasi akan datang yang mewarisi barisan
kepimpinan negara dapat menjadi lebih baik dan membawa negara yang maju ke persada dunia.

Kepentingan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya( JKJR )

Saban hari kita dikhabarkan dengan berita kemalangan jalan raya yang berlaku sehingga meragut nyawa-nyawa yang
tidak bersalah. Malah ada yang menjadi sebatang kara apabila ahli keluarga yang lain meninggal dunia akibat
kemalangan jalan raya. Perkara ini telah membuka mata pelbagai pihak untuk memastikan ia tidak berulang maka pihak
berkuasa telah memasukkan pendidikan berkenaan keselamatan dan penggunaan jalan raya dalam kurikulum sekolah
untuk dipelajari oleh generasi muda. Matlamatnya supaya kanak-kanak serta ibu dan bapa memahami bahaya, risiko
dan amalan terbaik dalam menggunakan jalan raya di negara ini selain menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa
daripada terkorban akibat kemalangan di jalan raya. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan kepentingan PKJR dalam
kalangan kanak-kanak demi perubahan dalam jangka masa kini dan seterusnya.

Sebagai pengenalan, kanak-kanak di sekolah seharusnya mendapat pendidikan keselamatan jalan raya untuk
memahami papan tanda yang digunakan sepanjang jalan raya di Malaysia. Perkara ini penting kerana apabila mereka
mengenali dan memahami maksud setiap papan tanda yang dipacak di tepi jalan raya, mereka dapat memastikan ibu
bapa atau pemandu yang memandu kenderaan yang mereka naiki untuk patuh pada arahan papan tanda tersebut.
Sebagai contoh, papan tanda melintas jalan di hadapan sekolah dimana kenderaan perlu memperlahankan kelajuan dan
tidak melebihi had laju 30 kilometer sejam. Murid-murid boleh menasihati ibu bapa untuk membawa kenderaan dengan
mematuhi had laju yang ditetapkan setiap kali melalui jalan di hadapan sekolah. Ibarat peribahasa Melayu, melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Intihannya, mendidik tentang keselamatan jalan raya adalah penting untuk muridi-murid
mengenal dan memahami papan tanda sepanjang jalan raya.

Kepentingan lain pendidikan keselamatan jalan raya adalah untuk mengetahui peraturan-peraturan yang ditetapkan
oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Apabila peraturan am
penggunaan jalan raya dipelajari oleh murid-murid, mereka secara langsung dapat memerhati samada ibu bapa atau
mana-mana pemandu yang melakukan kesalahan di atas jalan raya. Misalnya apabila motorsikal yang tidak mematuhi
lampu isyarat dan melintas satu persimpangan dalam keadaan bahaya hanya untuk merebut pesanan makanan tetapi
mengabaikan keselamatan. Murid-murid boleh mengenal pasti kesalahan tersebut dan membantu penguatkuasaan
peraturan jalan raya oleh pihak berkuasa. Izharnya, pendidikan keselamatan jalan raya mustahak untuk melahirkan
masyarakat yang peka terhadap peraturan-peraturan jalan raya.

Di samping itu, pendidikan keselamatan jalan raya penting untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Menurut
Kementerian Pengangkutan Malaysia, kadar kemalangan di Malaysia telah meningkat dalam tempoh 10 tahun.
Manakala kemalangan yang melibatkan kematian pernah mencecah sehingga 7000 kematian dalam tempoh masa satu
tahun. Statistik yang tragis ini sewajarnya boleh dielakkan dengan pemanduan yang cermat oleh semua pengguna jalan
raya bak kata pepatah pandu cermat, jiwa selamat. Justeru, murid-murid yang telah mempelajari sedikit sebanyak
tentang keselamatan jalan raya pastinya akan mengingatkan ibu bapa atau mana-mana pemandu untuk sentiasa
memandu di bawah had laju yang ditetapkan serta sentiasa memakai tali pinggang keselamatan atau topi keledar
apabila menunggang motorsikal. Tegasnya, pendidikan keselamatan jalan raya dapat membantu murid untuk
menasihati sesiapa sahaja yang memandu kenderaan yang mereka naiki agar mematuhi peraturan jalan raya agar
keselamatan diri mereka terjamin.

Akhir sekali, pendidikan keselamatan jalan raya dalam kalangan kanak-kanak dapat melahirkan pengguna jalan raya
yang berhemah. Hal ini kerana mereka adalah generasi masa hadapan yang akan mendukung misi dan visi negara untuk
berkembang maju dan bersaing dengan negara maju yang lain. Setelah murid-murid melepasi had umur untuk
mendapatkan lesen memandu kenderaan, mereka akan menjadi pemandu yang berhemah kerana telah mempelajari
dan memahami tentang keselamatan jalan raya. Tamsilnya, pembelajaran tentang papan tanda di sepanjang jalan raya
yang mereka boleh aplikasikan apabila memandu kenderaan sendiri. Mereka hanya perlu mengelak daripada sebarang
anasir jahat daripada rakan atau media yang mengajak kepada penyalahgunaan jalan raya seperti memandu melebihi
had laju di lebuhraya. Perkara yang jelas berbahaya akan merisikokan keselamatan diri kita dan juga pengguna jalan raya
yang lain. Oleh itu, pendidikan berkenaan keselamatan jalan raya adalah penting untuk melahirkan pemandu yang
berhemah persis kata mutiara biar lambat, asal selamat.

Secara tuntas, banyak kepentingan yang diperoleh daripada pendidikan keselamatan jalan raya. Bukan sahaja untuk
kanak-kanak tetapi juga buat semua lapisan umur masyarakat kerana keselamatan jalan raya terpakai untuk semua.
Justeru, pihak berkuasa seharusnya meningkatkan usaha dalam berkempen untuk memberikan kesedaran kepada
masyarakat umum tentang kepentingan mendidik seseorang agar keselamatan di atas jalan raya terjamin. Pengguna
jalan raya yang semakin bertambah dari hari ke hari perlu sejajar dengan inisiatif dalam memastikan jalan raya di
seluruh pelusuk negara kita selamat dan baik. Kecuaian manusia yang merupakan antara faktor utama kemalangan
berlaku dapat dielakkan dengan langkah-langkah tertentu yang terkandung dalam pendidikan keselamatan jalan raya.
Semoga inisiatif ini dapat melahirkan masyarakat yang berhemah tinggi serta mengangkat imej negara sebagai negara
yang selamat untuk memandu dan didiami.

Faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum

Aktiviti kokurikulum adalah apa-apa kegiatan yang dirancang selain daripada proses pengajaran dan pembelajaran
di dalam bilik darjah. Kegiatan ini memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan
kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di bilik darjah. Di Malaysia, kokurikulum merangkumi penyertaan dalam aktiviti
sukan dan permainan, persatuan dan kelab serta penyertaan dalam pasukan pakaian seragam. Penyelarasan kegiatan
kokurikulum di sekolah menunjukkan bahawa ia mampu memberikan manfaat yang banyak kepada pelajar-pelajar. Oleh
itu, mari kita rungkaikan faedah-faedah yang diperoleh daripada penyertaan aktiviti kokurikulum.

Antara manfaat yang diperoleh para pelajar sekiranya mereka menyertai aktiviti kokurikulum adalah pengisian masa
lapang dengan aktiviti berfaedah. Sebagai contoh, penyertaan dalam kelab sukan memerlukan pelajar menyertai latihan
yang diadakan selepas waktu persekolahan. Perkara ini secara tidak langsung dapat membendung mereka daripada
melakukan perkara tidak berfaedah seperti melepak dan gejala sosial yang semakin menjadi polemik dalam kalangan
pelajar sekolah hari ini. Tambahan pula, ibu dan bapa hari ini yang sibuk dengan kerjaya masing-masing tidak perlu risau
akan keberadaan anak-anak mereka sekiranya mereka terlibat dengan aktiviti kokurikulum di sekolah. Jelaslah bahawa
aktiviti kokurikulum memberikan pengisian masa lapang yang sangat bermanfaat kepada pelajar-pelajar.

Selain itu, penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dapat menambah ilmu pengetahuan mereka. Hal ini
demikian kerana jika mereka memberi perhatian dan tidak menyertai aktiviti kokurikulum secara sambil lewa seperti
melepaskan batuk di tangga, pasti mereka sedar bahawa banyak perkara yang boleh dipelajari. Tamsilnya, aktiviti
pasukan pakaian seragam seperti persatuan pengakap memberikan tunjuk ajar kepada pelajar tentang cara-cara untuk
hidup di dalam hutan dan sebagainya. Pembelajaran seperti memasang khemah, menghidupkan api menggunakan kayu
hutan dan ikatan-ikatan menggunakan tali tidak dipelajari dalam bilik darjah sebaliknya ia khusus kepada pelajar yang
menyertai aktiviti-aktiviti pasukan seragam yang diminati oleh pelajar.
Di samping itu, pelajar yang menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah dapat membina kekuatan jati diri masing-
masing. Pelajar akan menyertai aktiviti seperti kawad kaki yang memerlukan disiplin diri serta kekuatan mental dan
fizikal bagi mendengar dan mengikuti arahan yang diberikan. Pada waktu yang sama, pelajar perlu bekerjasama dengan
rakan-rakan lain bagi mendapatkan pergerakan yang seragam dan teratur. Tambahan pula, aktiviti kokurikulum
memerlukan pelajar menjawat jawatan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa dalam
persatuan dan kelab masing-masing. Secara tidak langsung, pelajar perlu mempelajari nilai yang diperlukan bagi
menjawat jawatan yang penting dalam sesebuah organisasi. Kesannya, pelajar akan menjadi seorang yang lebih
bertanggungjawab dan mempunyai pengalaman yang mampu meningkatkan jati diri masing-masing setelah menyertai
aktiviti kokurikulum.

Akhir sekali, faedah yang diperoleh daripada menyertai aktiviti kokurikulum adalah mumupuk perpaduan antara
pelajar. Sekolah merupakan alma mater dalam membentuk penyatuan sesebuah komuniti khusus bagi golongan orang-
orang muda. Justeru, aktiviti kokurikulum akan melibatkan penyertaan daripada pelajar yang terdiri daripada pelbagai
latar belakang kaum, bangsa dan agama. Sebagai contoh, aktiviti bersukan memerlukan persefahaman antara satu
pasukan bagi mendapatkan kemenangan dalam pertandingan. Di sini, pelajar akan mempelajari cara untuk
berkomunikasi antara satu sama lain serta memahami nilai seperti bertolak ansur dan menghormati rakan-rakan
mereka. Dengan ini, sebarang perselisihan faham dapat dielakkan dan kehidupan yang harmoni dan humanis dapat
dilahirkan. Natijahnya, penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum mampu mewujudkan perpaduan serta mengikis
sentimen perkauman dalam diri generasi muda ini.

Kesimpulannya, pelbagai faedah dan manfaat yang akan diperoleh daripada pelajar sekiranya mereka menyertai
aktiviti-aktiviti di kokurikulum di sekolah. Ia bergantung kepada diri pelajar masing-masing samada untuk memberikan
fokus dalam aktiviti tersebut atau melakukannya secara sambil lewa dan hanya membuangkan masa sahaja. Guru-guru
dan ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan anak-anak di sekolah menyertai aktiviti
kokurikulum secara sepenuh hati agar mereka berjaya mendapat nilai yang ingin diterapkan dalam inisiatif ini. Tanpa
penerapan nilai-nilai murni dalam jiwa generasi muda hari ini sudah pasti usaha pembangunan negara akan terbantut.
Hal ini demikian kerana mereka merupakan jentera penggerak kemajuan negara pada masa hadapan bak kata cogan
kata, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Anda mungkin juga menyukai