Anda di halaman 1dari 5

BM SPM 2017 KARANGAN ISU KEJIRANAN

KEJIRANAN: LANGKAH-LANGKAH
Soalan:
Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada
pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat
kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan.

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di
hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di
sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran
sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan
membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat". Jadi, kita perlulah
mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan
sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.
Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong.
Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil
berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang,
mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus
membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal
ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal
maka tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-
royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-
kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan
hubungan sesama jiran.
Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka
semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim
dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara
rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan
lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat
berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan
oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu
Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah
dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli
masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.
Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti
ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam
aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan
sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan
sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah
diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang
sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran
dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin
membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa
Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri
dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah
membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur.
Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli.

TSQUICK 1
BM SPM 2017 KARANGAN ISU KEJIRANAN
Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti
Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung,
Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan
Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan
taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat
kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang
mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung
dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat
kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui
aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita.
Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran
kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan.
Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat
lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada
prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai
semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan
keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya
kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.
Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan
sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam
pepatah Melayu bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-
masing. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan
menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa bersatu kita
teguh, bercerai kita roboh. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan,
perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah
sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya
negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

TSQUICK 2
BM SPM 2017 KARANGAN ISU KEJIRANAN

KEJIRANAN: PERANAN IBU BAPA

Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan
peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat.

Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan,
ke kiri atau memandang hadapan atau belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran.
Betapa pun kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak yang jauh
menyebabkan pergantungan kita terhadap jiran lebih besar berbanding dengan orang
yang dekat dengan kita sejak lahir. Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop
yang lebih luas sehingga menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang
tinggal berhampiran dengan kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran
tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain.
Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil
berat antara satu sama lain dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa
mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa
Jiran Sepakat Membawa Berkat. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam
kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu
dalam melakukan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang
dipenuhi pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota
masyarakat, semakin meluntur. Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu
bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang elektif wajar diambil oleh ibu
bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?
Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh
masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai
yang berharga ini tidak lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa
haruslah menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau
masyarakat setempat. Dalam hal ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai
aktiviti tersebut bersama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat
dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan.
Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan berkenal-
kenalan antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati
budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui
pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh,
aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan
taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti
yang dijalankan secara bergotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai
aur dengan tebing agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik.
Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran.
Mereka juga sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti. Apabila
dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan ikatan
kejiranan. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat
memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau role model yang baik
kepada anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam
diri sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti aur dengan tebing atau
ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni dan hati gajah sama dilapah, hati
kuman sama dicecah untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota

TSQUICK 3
BM SPM 2017 KARANGAN ISU KEJIRANAN
dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat kekitaan dan
keprihatinan terhadap jiran mereka.. Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran,
bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu hal
rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh
jiran dan cuba membantu mereka supaya dapat meringankan beban yang ditanggung
oleh jiran. Hal ini demikian kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti
akan menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan
dengan bantuan orang lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat, maka ahli-ahli
keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke
hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan daripada mereka,
mendapatkan bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap keprihatinan
yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak juga turut
mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi suri
teladan yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-
majlis rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan
sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan
semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa
boleh membawa anak-anak bersama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat
berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga
berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar
sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan
lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini. Sebagai
contoh, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru
Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Kehadiran
ibu bapa bersama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat
memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah
dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak dan
mengamalkan semangat perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah
diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka
dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu kerana bersatu kita teguh, bercerai
kita roboh.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi
dalam kalangan masyarakat sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan
semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa
digalakkan membawa anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa
yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan
yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama dan hal ini
akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan harmoni walaupun dalam keadaan yang
serba kekurangan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke
hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana
menghidap sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk
sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap
mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan seperti enau di dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan
bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran,
kita mestilah berpegang teguh pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga.
Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang
dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa,
aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah

TSQUICK 4
BM SPM 2017 KARANGAN ISU KEJIRANAN
sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya
kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.
Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan
diri dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan
aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat
setempat. Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai.
Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai
permainan yang disediakan. Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak
tentang kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang mempunyai
satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan
semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela
ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa
Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya.
Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat secara
bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk
mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh,
merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu,
iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau
saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan
penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial
sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat
kejiranan dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan masyarakat yang prihatin
dan membentuk perpaduan kaum. Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita
tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk
memohon bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan
bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk
mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan diri kita sebagai jiran yang baik
kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-
baik dengan kita. Cogan kata Jiran Sepakat Membawa Berkat perlu terus diamalkan
dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan
budaya murni ini. Amalkan dengan hati yang ikhlas, barulah kita memperoleh keberkatan
dalam kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum
akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa
berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita
sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang maksudnya, Wahai
manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu
kenal-mengenali.

TSQUICK 5

Anda mungkin juga menyukai