Anda di halaman 1dari 4

BM SPM 2017 KARANGAN ISU PELABURAN

PELABURAN ASING: KEPENTINGAN

INTRODUKSI
Malaysia merupakan salah sebuah pasaran baru yang menawarkan kelebihan bagi
pelaburan langsung asing. Promosi dan penyelarasan pembangunan perindustrian
dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA). Agensi ini
bertindak sebagai titik permulaan perhubungan untuk para pelabur yang berhasrat
mengadakan projek-projek dalam sektor-sektor perkilangan dan perkhidmatan
sokongan yang berkaitan di Malaysia. Demi menggamit para pelabur cenderung untuk
menanam modal di negara kita, kerajaan mengorak langkah dengan menyediakan
pelbagai kemudahan yang diperlukan terutama prasarana yang lengkap. Persoalannya,
mengapakah kerajaan bersungguh-sungguh mahu memastikan pelabur asing memilih
Malaysia?
Kepentingan 1: Mewujudkan peluang-peluang pekerjaan
Sebenarnya dengan adanya pelaburan asing, banyak peluang pekerjaan yang dapat
diwujudkan. Demi meningkatkan produktiviti, tenaga kerja rakyat yang mahir dan
separuh mahir amat diperlukan walaupun teknologi moden digunakan. Dalam konteks
Malaysia, belia lepasan sekolah memang mendahagakan pekerjaan untuk membaiki
nasib diri dan keluarga. Golongan ini sedar, peluang bekerja di sektor awam amat
terhad, ditambah lagi kelulusan setakat SPM, lalu kilang-kilang menjadi pilihan. Hal ini
bermakna, kehadiran pelabur asing mampu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan
sekali gus mengurangkan kadar pengangguran dan seterusnya mengurangkan gejala
sosial yang dicetuskan oleh penganggur. Misalnya, peragut beraja di mata, bersultan
di hati kerana tiada sumber pendapatan yang halal. Dengan kata-kata lain, dengan
hadirnya pelabur-pelabur asing, pekerjaan menanti belia, bukan belia menanti
pekerjaan.
Kepentingan 2: Nadi penggerak pembangunan dari segi infrastruktur
Dari perspektif pembangunan negara, pelaburan asing merupakan nadi penggerak ke
arah kemajuan negara dalam pelbagai sektor. Kemudahan asas yang sempurna
merupakan nadi utama untuk mempergiat pembangunan perindustrian. Oleh itu,
kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk menyediakan
kemudahan elektrik dan air, di samping sistem pengangkutan yang baik demi menarik
dan menjayakan projek pelaburan asing. Hal ini demikian kerana negara kita perlu
mempunyai iklim pelaburan yang kondusif demi menggamit pelabur-pelabur dari
seantero dunia. Pelabur-pelabur asing sendiri pula akan menyediakan kemudahan
rekreasi dan tempat kediaman untuk para pekerja. Penyediaan perhidmatan sosial ini
akan meninggikan taraf hidup sosial rakyat negara ini. Contohnya, Jalan Sultan Azlan
Shah telah dibina untuk memudahkan haluan kilang-kilang di Bayan Lepas dan Bayan
Baru di Pulau Pinang. Pendek kata, pelaburan asing merupakan pemangkin
pembangunan negara.
Kepentingan 3: Pemindahan teknologi mutakhir dan kepakaran
Bahkan, pelaburan asing membolehkan pemindahan teknologi moden serta kepakaran
ke negara kita yang sedang membangun dengan pesatnya. Tidak dapat dinafikan
bahawa penyelidikan dan pembangunan dalam bidang teknologi canggih menelan
ongkos yang tinggi. Sehubungan dengan ini, Malaysia masih kekurangan sumber
kewangan untuk membiayai projek-projek latihan dan penyelidikan demi mencapai
TSQUICK 1
BM SPM 2017 KARANGAN ISU PELABURAN
teknologi moden. Masalah ini merupakan satu penghalang yang mengekang kemajuan
sektor perindustrian, pendidikan, perubatan, pertanian, dan sebagainya. Melalui
pelaburan asing, pelabur-pelabur asing akan membawa bersama teknologi dan sistem
pengurusan moden serta tenaga profesional yang pakar dan produktif. Mereka juga
akan melaksanakan pelbagai program untuk melatih buruh tempatan demi
mengembangkan pengetahuan kepakaran agar pekerja-pekerja tempatan dapat
diserapkan dalam projek pelaburan mereka. Contohnya, projek mencari gali minyak di
Terengganu memerlukan teknologi yang canggih dan guna tenaga yang mahir.
Tegasnya, pelabur asing menggalakkan pemindahan teknologi mutakhir dan kepakaran
ke negara kita.
Kepentingan 4: Menambah pendapatan negara
Dalam pada itu, pendapatan negara akan bertambah melalui pelaburan asing.
Pengaliran wang ke luar negara akan berkurangan kerana banyak barangan import
telah digantikan dengan barangan tempatan. Sebelum ini, kebanyakan bahan mentah
dieksport ke negara-negara maju dengan harga yang rendah. Kemudian, bahan mentah
ini diproses menjadi barangan siap dan dijual semula ke negara ini dengan harga yang
lebih tinggi. Kemasukan pelaburan asing membolehkan modal yang banyak dan
kepakaran disalurkan ke kilang-kilang perusahaan tempatan. Bahan-bahan tempatan
boleh diproses oleh kilang-kilang di negara ini. Dengan cara ini, harga dan penggunaan
bahan mentah tempatan lebih terjamin, di samping menyumbangkan pendapatan
kepada negara dari segi cukai. Malah, sumber kewangan dalam projek-projek
pelaburan asing itu merupakan modal pelaburan yang tidak perlu dibayar balik. Dalam
usaha mengatasi kemelesetan ekonomi dan memajukan taraf kehidupan rakyat, pihak
kerajaan banyak meminjam daripada intitusi kewangan asing sehingga menyebabkan
hutang negara mencapai 45 billion ringgit pada tahun 2009. Maka melalui pelaburan
asing, kerajaan tidak perlu meminjam dan berhutang keliling pinggang.
Intiha
Deduksinya, kepentingan dan sumbangan pelabur asing kepada negara kita tidak
ternilai. Jadi, langkah-langkah proaktif, konstruktif dan pragmatik perlulah diambil agar
negara kita menjadi pilihan utama di rantau ini. Dalam hal ini, kita perlu sensitif dan
peka akan kehendak dan cita rasa mereka dengan melonggarkan dasar ekuiti asing
untuk sektor perkilangan, seperti pelabur asing sekarang boleh memegang 100% ekuiti
tanpa mengambil kira tahap eksport. Selain itu, birokrasi dalam pelaburan asing
perlulah dipermudah agar tidak menyusahkan para pelabur asing, di samping
membanteras gejala rasuah atau tumbuk rusuk sehingga akar umbinya. Iklim siasah
yang mantap yang kita kecap sekarang juga haruslah dipelihara. Dengan adanya
pengaliran masuk modal, teknologi canggih, pendapatan, dan sebagainnya tidak
mustahil bagi kita untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-
negara maju yang lain di rantau ini. Seterusnya, konsep 1Malaysia dan Wawasan 2020
akan menjadi realiti, bukannya angan-angan kosong.

TSQUICK 2
BM SPM 2017 KARANGAN ISU PELABURAN

PELABURAN ASING: LANGKAH-LANGKAH


Pelaburan asing merupakan nadi penggerak sesebuah negara. Faktor utama
yang menyebabkan peranan pelaburan asing kian penting dewasa ini ialah keupayaan
kegiatan ini meningkatkan pendapatan negara. Pelaburan asing bukan sahaja menjana
pertumbuhan ekonomi negara, tetapi juga meningkatkan guna tenaga dalam kalangan
para pekerja. Tambahan pula, pelaburan asing merupakan salah satu cara yang paling
mudah dan menjimatkan pembiayaan penghantaran rakyat ke luar negara untuk
memperoleh kepakaran serta kemahiran. Hal ini disebabkan pelaburan asing sebenarnya
mempercepat pemindahan teknologi dan kepakaran dalam pelbagai aktiviti ekonomi.
Negara-negara pelabur lazim di negara kita ialah Amerika Syarikat, Jepun, Jerman,
Taiwan, Singapura, dan Hong Kong. Buktinya pelabur asing Jepun menyumbangkan
lebih daripada RM300 billion kepada pendapatan negara kita. Rentetan itu, kerajaan
Malaysia amat menggalakkan pelaburan asing secara langsung di negara
ini. Persoalannya, apakah langkah yang perlu dijalankan oleh negara Malaysia bagi
menarik pelaburan asing ?
Kestabilan politik merupakan kunci utama dalam usaha menggalakkan
pelaburan asing. Kestabilan politik Malaysia sejak 1970-an masih terpelihara hingga
sekarang. Meskipun tanah Indonesia adalah murah bahkan terdapat bekalan kerja
yang murah belaka, namun Indonesia sentiasa huru-hara disebabkan oleh rusuhan
kaum. Rakyat Indonesia berpecah-belah berbanding rakyat Malaysia yang bersatu-
padu walhal terdiri daripada berbilang kaum. Pemimpin negara-negara sedang
membangun yang lain seperti Indonesia dan Filipina sentiasa bertukar tetapi keadaan
politik mereka tetap sama seperti asal. Sistem pemerintahan demokrasi Malaysia
mengamalkan dasar terbuka bagi para pengilang. Semasa kegawatan ekonomi
melanda dunia pada tahun 1997, Malaysia masih berjaya mengadakan Sukan Komanwell
dengan jayanya pada tahun 1998. Kemampuan bekas Perdana Menteri Malaysia yakni
Tun Dr. Mahathir Mohammad mengawal ekonomi negara amat dikagumi masyarakat
Malaysia dan seantero dunia. Beliau telah menetapkan RM3.50 kepada satu dolar
Amerika Syarikat dan langkah tersebut telah berjaya menyelamatkan Malaysia daripada
turut berhutang dengan International Monetary Fund (IMF). Kebolehan Malaysia
melalui tempoh kegawatan ekonomi malah menjadi negara sedang membangun yang
paling maju di seluruh dunia meyakinkan para pelabur asing tentang potensi Malaysia
sebagai pusat pelaburan mereka.
Di samping itu, hubungan bilateral dan multilateral harus dieratkan bagi
mewujudkan hubungan perdagangan antara Malaysia dengan negara lain. Hubungan
bilateral diperkukuh melalui lawatan diplomatik sama ada oleh Yang Dipertuan Agong,
Perdana Menteri atau Menteri Perdagangan Antarabangasa ke negara-negara
lain. Contohnya baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan
lawatan ke Arab Saudi untuk membaharui hubungan diplomatik. Dalam suatu lawatan
Perdana Menteri ke Dubai, rakyat Dubai akan membuka kilang di Malaysia manakala
rakyat Malaysia akan membuka kilang di Dubai juga. Usaha turut sama dijalankan oleh
pelabur Indonesia dengan pelabur Malaysia di kedua-dua buah negara dengan tujuan
mendapatkan keuntungan. Oleh itu, jelaslah bahawa hubungan diplomatik antara
Malaysia dengan negara-negara lain sejak Malaysia menjadi negara berkecuali hingga
sekarang amat berkesan untuk meningkatkan pelaburan asing di negara kita.
Selain itu, kerajaan Malaysia juga perlu terus menghantar rombongan
penggalak pelaburan ke luar negara dengan matlamat mempertingkatkan pelaburan
TSQUICK 3
BM SPM 2017 KARANGAN ISU PELABURAN
asing. Berpandukan misi pelaburan ini, rombongan terbabit biasanya diketuai Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang akan berperanan berucap dan
menyatakan kelebihan Malaysia kepada para pelabur asing di luar negara. Ekspo
perdagangan dan pameran akan diadakan di luar negara bagi menonjolkan faktor-faktor
tarikan Malaysia yang sesuai dijadikan tempat pelaburan. Seminar pelaburan turut
diadakan oleh rombongan tersebut. Tambahan pula, seminar dan mesyuarat tentang
kelebihan melabur di Malaysia juga diadakan di luar negara. Laporan dan promosi
tentang insentif terbaru melabur di Malaysia juga harus diadakan oleh pihak media massa
antarabangsa . Oleh itu, jelaslah penghantaran rombongan penggalak pelaburan ke
negara kita mampu meningkatkan pelabur asing di Malaysia
Bukan itu sahaja, zon perdagangan yang sesuai dan lengkap dengan segala
kemudahan infrastruktur perlu diperbanyakkan oleh kerajaan Malaysia. Tapak
perusahaan yang strategik juga harus diperbanyakkan. Prasarana seperti sistem
pengangkutan yang sistematik, bekalan elektrik dan air yang berterusan, serta sistem
telekomunikasi yang cekap harus disediakan untuk kemudahan kilang-kilang
beroperasi. Zon perdagangan ini haruslah dekat dengan sumber bahan mentah agar
bahan mentah terutamanya hasil pertanian seperti kelapa sawit tidak busuk sebelum
sampai ke destinasi. Contoh zon perdagangan ialah di Shah Alam, di Batu Berendam,
di Alor Gajah, di Gurun dan di Senawang. Lebih banyak kawasan harus dijadikan zon
perdagangan bebas (FTZ) seperti di Bayan Lepas Pulau Pinang untuk menarik minat
pelabur asing. Rumusannya, pelabur baru amat mengutamakan zon perdagangan
yang lengkap dengan segala infrastruktur yang terancang.
Sementelahan itu, faktor tenaga buruh turut memainkan peranan penting
menarik pelabur asing ke negara kita. Daya produktiviti sesebuah kilang akan
meningkat dengan adanya banyak tenaga kerja yang mahir dan pakar. Oleh itu, jumlah
rancangan latihan kepakaran harus ditingkatkan oleh kerajaan Malaysia dengan bantuan
agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Perbadanan
Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN). Kerajaan juga perlu memastikan latihan vokasional
adalah cukup untuk memenuhi keperluan guna tenaga dan tuntutan
seazaman. Pekerja-pekerja juga harus mempunyai etika kerja yang murni dan tidak
menyeleweng wang syarikat serta mengamalkan gejala rasuah seperti pekerja negara
dunia ketiga yang lain terutamanya Bangladesh dan Indonesia, demi memelihara maruah
negara kita yang berdaulat ini. Rentetan itu, para pekerja haruslah sentiasa diberikan
latihan agar kepakaran mereka sejajar dengan perkembangan semasa.
Tuntasnya, kita tidak harus terlalu ghairah menggalakkan pelaburan asing
sehingga membebankan kerajaan. Syarat pelaburan asing haruslah sama dengan
syarat pelaburan tempatan agar pelaburan tempatan tidak tergugat. Janganlah
bersikap seperti kera di hutan disusui, anak di pangkuan dilepaskan dalam
menentukan syarat-syarat pelaburan asing sebaliknya sikap menarik rambut di dalam
tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak, harus diamalkan. Rakyat
tempatan sewajarnya menganggap pelabur asing sebagai pesaing dan turut sama
melabur dengan bijak. Kerajaan pula patut berhati-hati memilih pelabur asing agar
pelaburan tersebut dapat menguntungkan sekali gus keunggulan Malaysia semakin
menyerlah di arena antarabangsa. Semoga pelaburan ini menjadi pembuka laluan
kepada masa depan negara yang gemilang.

TSQUICK 4

Anda mungkin juga menyukai