Anda di halaman 1dari 4

CONTOH KARANGAN -PMR[BANJIR KILAT DAN TANAH

RUNTUH]
Bencana alam seperti kejadian banjir kilat dan tanah runtuh
sering berlaku. Bincangkan punca-punca berlakunya bencana
tersebut.
[Kehendak soalan; Punca-punca berlakunya bencana alam, banjir
kilat dan tanah runtuh]
Jadi,
Jika calon membincangkan peristiwa bencana tanpa menyatakan
punca-puncanya- maksimum markah untuk baik-contoh kesan-
kesan.
Jika calon hanya membincangkan punca-punca berlakunya
bencana yang bukan bencana alam, contohnya kemalangan,
kebakaran maksimum markah peringkat baik.

CONTOH KARANGAN;

Saban hari, berita dan laporan tentang bencana alam seperti


banjir kilat dan tanah runtuh telah menghiasi dada akhbar.
Laporan yang berkenaan dengan bencana alam ini, tidak pernah
berhenti dipaparkan di akhbar sejak kebelakangan ini. Apakah
punca-punca berlakunya banjir kilat dan tanah runtuh?
Seperti yang kita maklumi, banjir kilat berlaku disebabkan oleh
sistem perparitan dan sistem pembuangan sampah yang tidak
cekap. Malah, tanah runtuh diakibatkan oleh pembalakan yang
tidak terkawal. Tanah runtuh berlaku sebaik sahaja tiada
cengkaman daripada akar-akar pokok dan menjurus kepada
masalah banjir kilat kerana pemendapan di sungai atau parit telah
meningkat.

Kalau kita tinjau dari sudut yang lain, kedua-dua bencana alam
tersebut disebabkan oleh sikap manusia yang tamak dan
bertuhankan kekayaan. Pelabur asing telah membuka kilang di
merata-rata tempat untuk menjana ekonomi di negara asal
mereka. Kilang-kilang tersebut yang berkaitan dengan
penggunaan bahan mentah seperti kayu dan sumber hutan yang
lain telah menyebabkan hutan-hutan yang malar hijau terpaksa
digondolkan. Penggondolan hutan tersebut secara tidak diketahui
telah menjurus kepada bencana alam seperti tanah runtuh dan
banjir kilat.
Percambahan sektor perindustrian yang pesat bagai cendawan
tumbuh selepas hujan telah menggalakkan kawasan yang baru di
buka di kawasan tanah tinggi. Hal ini akan menyebabkan
kawasan tadahan air dimusnahkan dan membawa kepada
masalah banjir kilat. Oleh itu, negara yang terlalu berorientasikan
perindustrian seperti negara jiran kita Bangkok, Thailand dan
Jepun sering dilanda banjir kilat.
Pembalakan haram juga merupakan faktor berlakunya tanah
runtuh. Walaupun hutan negara atau taman negara telah banyak
diwartakan sebagai kawasan larangan dalam apa-apa aktiviti
pembangunan, namun pembalakan haram secara besar-besaran
telah berlaku di kawasan tanah tinggi di negara kita. Penggubalan
undang-undang tanpa penguatkuasaan boleh diibaratkan sebagai
singa yang hilang taringnya. Oleh itu, kerajaan seharusnya
menukarkan ungkapan-ungkapan menarik kepada tindakan
konkrit untuk membanteras masalah pembalakan haram di
negara kita untuk membendung bencana alam daripada berlaku
sebelum nasi menjadi bubur atau kudis menjadi tokah.
Ibu bapa juga mendukung peranan dalam menyalurkan
pendidikan kepada anak-anak mereka. Sebagai agen
pembentukan sahsiah anak-anak, ibu bapa sepatutnya menjadi
teladan yang baik kepada anak mereka. Ibu bapa harus
membajai anak-anak mereka tentang cara pembuangan sampah
yang betul. Selain itu, ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak
mereka untuk menghargai alam sekeliling ciptaan Tuhan ini.
Masalah bencana alam hanya dapat ditangkis dan dibendung
melalui rancangan kerajaan yang ampuh bersama-sama dengan
kerjasama daripada semua pihak baik golongan ibu bapa
mahupun golongan remaja. Strategi pembangunan negara yang
dirangka oleh kerajaan haruslah menjaga kepentingan alam
sekitar. Hanya dengan strategi yang tersusun dan terancang,
masalah bencana alam, banjir kilat dan tanah runtuh dapat
ditangani secara bersepadu.

CONTOH KARANGAN BAHAGIAN C PMR 2009;


Selain keluarga, rakan merupakan orang yang penting dalam
kehidupan kita. Jelaskan faedah-faedah yang diperoleh apabila
kita mempunyai ramai rakan.
[Kehendak soalan ; Jelaskan faedah-faedah mempunyai ramai
kawan. Jadi, diharapkan calon dapat menjelaskan faedah-faedah
mempunyai ramai kawan.]
Contoh Karangan;
Marcapada, kawan merupakan salah satu insan yang paling
penting dalam kehidupan seharian kita. Perkara yang dilakukan
dalam kehidupan kita banyak melibatkan kawan kita. Kawan
boleh didefinisikan sebagai seorang yang sentiasa menemani kita
dalam kehidupan kita. Dengan adanya kawan , banyak manfaat
yang boleh kita peroleh.
Dengan adanya ramai kawan di sekeliling, kita tidak akan berasa
bosan lagi. Hal ini demikian kerana kawan merupakan orang yang
kita boleh berkomunikasi serta berinteraksi dengannya. Sebagai
contoh, kita boleh berkongsi suka dan duka serta perkara yang
sedih bersama-sama dengan kawan kita. Selain itu, perkara yang
susah ataupun senang juga boleh dirasai serta dialami secara
bersama-sama. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa
hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
Jika ditinjau dari segi aspek yang lain, kawan di sekeliling kita
seperti jiran kita juga dapat membantu kita semasa menghadapi
kesukaran atau kesusahan.Thamsilnya, dengan adanya jiran
sebagai kawan kita yang dapat menghulurkan bantuan, sesuatu
perkara seperti aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan
perumahan dapat dilakukan dengan lebih cepat dan lebih
menyenangkan. Bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan
sama dijinjing. Dalam pada itu, amalan menghulurkan bantuan
juga boleh mengikis pandangan negatif kawan kita terhadap kita
serta dapat memupuk baik sangka antara satu sama lain.
Sehubungan itu , kawan yang baik di sekeliling kita juga dapat
menjadi contoh serta teladan yang baik kepada kita. Kita boleh
mengikut sikap baik serta jejak langkah seseorang kawan yang
baik. Sebagai contoh, kita yang ibarat sebagai setahun jagung
dan berdarah setampuk pinang mudah dipengaruhi oleh pelbagai
perkara yang negatif seperti gejala sosial dan lain-lain lagi.
Dengan adanya ramai kawan yang mempunyai peribadi serta
sikap yang dipuji, kita dapat belajar daripada mereka supaya
menjadi seseorang yang mempunyai sikap yang baik serta lebih
dihargai.

Tambahan lagi, dengan adanya ramai kawan, perpaduan negara


serta intergrasi penduduk di sesebuah negara dapat dipupuk
dengan lebih cepat serta berkesan. Hal ini demikian kerana
dengan mengenali ramai kawan yang baru, kita dapat
mengeratkan silaturahim antara satu sama lain seperti
peribahasa bagai isi dengan kuku dengan lebih cepat. Jika
seseorang mempunyai ramai kawan serta mempunyai hubungan
yang mesra dengan mereka, nescaya perpaduan dan keamanan
sesebuah kawasan terjamin dan terpelihara.
Sebagai intihanya, terdapat pelbagai kebaikan apabila kita
mempunyai ramai kawan. Oleh itu, ibu bapa perlulah
mendedahkan anak-anak mereka kepada masyarakat di luar
supaya anak-anak mereka dapat mengenali serta mempunyai
ramai kawan sejak kecil, bak kata pepatah melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Anak- anak merupakan aset yang penting bagi
sesebuah negara dan perlulah digalakkan supaya mempunyai
lebih ramai kawan bagi mengekalkan perpaduan serta
memajukan negara pada masa hadapan, bak kata pepatah
pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Anda mungkin juga menyukai