Anda di halaman 1dari 2

Dewasa ini masalah ponteng sekolah semakin meruncing.

Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah.

Perbuatan ponteng sekolah merupakan salah laku yang serius oleh pelajar.
Terdapat pelbagai faktor yang menarik mereka untuk terjerumus dalam gejala ini.
Gejala ini mendapat perhatian pihak media, masyarakat, badan-badan bukan
kerajaan, dan sebagainya. Malah, pihak polis turut turun padang bagi membantu
pihak sekolah untuk mengesan pelajar yang ponteng sekolah.
Salah satu faktor yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah ialah tiada
motivasi diri. Selain itu, pelajar terbabit kurang mengambil berat akan kepentingan
pelajaran. Mereka malas dan bosan untuk bersekolah dan menganggap
persekolahan sebagai bebanan dan bukannya tanggungjawab. Dalam pada itu,
golongan pelajar ini akan berusaha untuk mendapatkan geng yang akan ponteng
bersama-sama dengannya. Mereka akan cuba memujuk rakan-rakan yang lain
dengan pelbagai cara dan kaedah pujukan. Bagi pelajar yang goyah pendiriannya,
dia akan mudah terpengaruh dengan ajakan tersebut.
Selain itu, ibu bapa juga menjadi penyumbang kepada kegiatan ponteng
sekolah anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana terdapat ibu bapa yang kurang
memberi perhatian terhadap pelajaran anak-anak mereka. Kesibukan bekerja telah
mengekang masa ibu bapa untuk bersama anak-anak. Kesempatan ini diambil oleh
anak-anak untuk ponteng sekolah tanpa dapat dikesan oleh ibu bapa mereka.
Di samping itu, sikap guru-guru dikatakan juga sebagai antara punca pelajar
ponteng sekolah. Guru-guru yang mengajar secara sambil lewa tanpa
menitikberatkan kefahaman pelajar menyebabkan sesetengah pelajar tidak tertarik
pada pelajaran yang disampaikan. Mereka berasa bosan dengan apa yang
disampaikan oleh guru. Maka, ponteng sekolahlah tindakan yang diambil oleh
mereka.
Kini, gejala ponteng sekolah menjadi masalah yang mencabar kewibawaan
sekolah. Di pihak pelajar pula, mereka seolah-olah menempah kegagalan dalam
persekolahan dan masa depan mereka dengan melibatkan diri dalam gejala ponteng
sekolah. Oleh hal yang demikian, semua pihak bertanggungjawab untuk mencari
jalan keluar bagi megatasi masalah ponteng sekolah ini.

Pencapaian murid yang tinggal di asrama adalah lebih baik daripada murid yang
tinggal di rumah.
Berikan pendapat anda
Kebanyakan sekolah menyediakan asrama untuk dihuni oleh muridmuridnya. Kemudahan asrama yang disediakan ini dapat memudahkan mereka pergi ke
sekolah. Sehubungan dengan itu, murid-murid akan menuntut ilmu dengan selesa.
Tidak dapat dinafikan bahawa murid yang tinggal di asrama mendapat pencapaian
yang lebih cemerlang berbanding dengan murid yang tinggal di rumah. Hal ini disebabkan
hampir 80 peratus mereka yang tinggal di asrama mempunyai latar belakang akademik
yang cemerlang di sekolah rendah. Tambahan pula pihak pengurusan asrama sentiasa
menyediakan persekitaran kondusif untuk membantu mereka mendapatkan keputusan yang
baik.
Dari aspek suasana pembelajaran, murid yang tinggal di asrama belajar dalam
keadaan yang amat berbeza daripada murid yang tinggal di rumah. Mereka terpaksa
mematuhi peraturan belajar yang tetap. Contohnya waktu belajar pada sebelah malam ialah
dari pukul 8.00 malam hingga 10.30 malam. Ketika belajar mereka dilarang
menonton televisyen. Jika ingkar mereka akan didenda atau dibuang dari
asrama. Peraturan ini mendorong mereka supaya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap
pelajaran tanpa sebarang gangguan luar. Mereka ditimbuni maklumat tentang isu semasa
dan pelajaran lantas menjadikan pemikiran mereka matang dan luas.
Punca lain yang membantu pencapaian murid tinggal di asrama ialah bimbingan dan
tunjuk ajar daripada guru di luar waktu pengajaran dan pembelajaran. Contohnya guru
Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris akan mengadakan kelas tambahan pada waktu
malam. Pada hujung minggu pula murid didedahkan tentang teknik belajar dan pengurusan
masa yang efektif melalui ceramah moivasi yang dianjurkan oleh pihak Bimbingan dan
Kaunseling sekolah. Oleh itu, murid di asrama mempunyai cara belajar yang betul dan
terdorong untuk lulus dengan cemerlang.
Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa badan yang sihat menyebabkan otak
cerdas. Oleh itu, pada sebelah petang murid-murid yang tinggal di asrama diwajibkan
melakukan aktiviti riadah seperti senamrobik, bermain bola, berjoging dan lain-lain. Selain
itu, aktiviti riadah juga dapat melapangkan fikiran dan mengurangkan tekanan.
Kesimpulanya, pencapaian murid yang tinggal di asrama adalah lebih baik daripada
murid yang tinggal di rumah. Hal ini demikian kerana suasana dan persekitaran belajar
yang kondusif di asrama dapat membantu seseorang itu cemerlang dalam akademik. Oleh
itu, murid-murid tidak seharusnya melepaskan peluang untuk belajar di sekolah asrama.

Anda mungkin juga menyukai