Anda di halaman 1dari 9

Contoh Karangan Jenis Perbincangan

Soalan contoh

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak bergiat dalam bidang
sukan. Huraikan pendapat anda.

Karangan Contoh
       Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian kerana,
aktiviti sukan mendatangkan faedah yang banyak kepada masyarakat dan negara kita. Oleh itu, pihak
yang bertanggungjawab dalam bidang sukan perlulah memainkan peranan yang berkesan dengan
kerjasama semua pihak seperti ibu bapa. Sekiranya ibu bapa memberikan galakan dan sokongan
moral, sudah pasti matlamat untuk memajukan bidang sukan di negara kita akan
tercapai iaitu, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dengan cara itu, nama negara kita akan
dikenali dan digeruni di peringkat antarabangsa melalui kejayaan atlet negara dalam bidang sukan.

       Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan galakan dengan
cara membeli peralatan sukan untuk anak-anak mereka. Sekiranya anak-anak memiliki peralatan
sukan yang lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Sebagai
contohnya, ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka pakaian, kasut dan alat-alat yang
berkaitan dengan permainan yang diceburi oleh anak-anak mereka seperti raket badminton, squash
dan tenis. Oleh hal yang demikian, minat anak-anak dapat dikembangkan sekiranya peralatan yang
sesuai dimiliki oleh mereka. Seterusnya, mereka diharapkan dapat melakar kemenangan dan
seterusnya mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri dan negara.

       Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan
dengan aktif. Ibu bapa boleh menasihati anak-anak supaya memperuntukkan masa mereka dalam
aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan akan
menyihatkan dan mencergaskan badan. Di samping itu, anak-anak yang berbakat dan berminat dalam
sukan dan permainan tertentu bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan
yang cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi untuk
dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara di persada dunia.

       Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak
mereka ke tempat latihan atau permainan tersebut dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka
lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang sukan tersebut. Mereka juga boleh menemani
anak-anak dan menyaksikan anak-anak mereka berlatih atau bertanding dalam sesuatu acara sukan
atau permainan. Sudah tentulah perkara ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada
anak-anak dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu permainan iaitu, tinggi gunung,
tinggi lagi harapan kami. Seterusnya, mereka akan berasa lebih yakin untuk mencipta kemenangan
pada peringkat yang lebih tinggi lagi.
       Ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka majalah sukan yang diminati oleh mereka. Hal
ini demikian kerana, anak-anak akan lebih berminat untuk menceburkan diri dalam bidang sukan
dengan serius. Mereka juga akan mendapat maklumat atau perkembangan terkini dalam bidang sukan
menerusi majalah-majalah sukan tersebut. Selain itu, kejayaan ahli-ahli sukan antarabangsa yang
dipaparkan dalam majalah sukan tersebut akan menjadi idola dan pencetus semangat serta motivasi
kepada anak-anak untuk menjadi ahli sukan yang berjaya.

       Secara keseluruhannya, peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan dalam usaha untuk
menggalakkan anak-anak bersukan. Oleh itu, ibu bapa perlulah diberikan kesedaran supaya
memainkan peranan yang sepatutnya dalam usaha untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan di negara
kita. Ibu bapa tidak seharusnya mementingkan aspek kecemerlangan akademik semata-mata dan
mengetepikan kepentingan sukan kepada anak-anak mereka. Kita mahu agar kecemerlangan
akademik dan kecemerlangan sukan bergerak seiring sekiranya mahu negara kita maju dalam bidang
sukan. Perkara ini akan menjadi realiti jika pepatah, "genggam bara api biar sampai jadi
arang" sentiasa menjadi amalan dalam diri setiap orang yang ingin akan kejayaan.
PENDAHULUAN:-

 Dadah merupakan bahan terlarang yang membawa ancaman kepada masyarakat


terutamanya remaja.
 Penyalahgunaan dadah bukan perkara baharu di dunia ini.
 Masalah ini berlaku sejak ratusan lalu.
 Sebenarnya dadah merupakan bahan perubatan yang amat penting sebagai bahan
penahan sakit dan digunakan secara meluas ketika proses pembedahan.
 Tidak berbahaya jika tidak disalahgunakan.
 Masalah mula timbul apabila segelintir manusia menyalahgunakan dadah untuk tujuan
keseronokan dan kepuasan diri sendiri.
 Antara jenis dadah adalah seperti heroin, marijuana, morfin, ganja, syabu dan lain-lain.
Pelbagai punca yang menyebabkan remaja terjebak dengan masalah dadah, antaranya:-

IDEA-IDEA PENTING:-
 Keinginan mencuba sesuatu perkara yang baharu - keinginan ini akan menjadi lebih
parah apabila remaja itu bergaul dengan remaja yang rosak akhlak dan miskin akidah.
 Remaja cuba mencari kelainan dalam mendapatkan kepuasan dan keseronokan diri
sendiri - mereka tidak memikirkan kesan dan akibat; yang penting mereka memperoleh
kepuasan!
 Kurang kesedaran dalam diri menjadi punca utama remaja terjebak dengan
penyalahgunaan dadah - remaja jenis ini kehilangan fokus dalam hidupnya, hidup seperti
layang-layang terputus talinya.
 Kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa dan ahli keluarga - ibu bapa
kadang-kadang mengabaikan aspek ini kerana lebih mengutamakan tuntutan mencari nafkah
dalam persekitaran yang semakin mencabar.
 Lompang ilmu agama dan kerohanian dalam diri para remaja kerana kegagalan ibu
bapa menyebabkan remaja begitu mudah hanyut dan tersungkur dalam kancah
penyalahgunaan dadah.
 Akibat kejahilan diri, sesetengah remaja mengambil dadah sebagai ubat 'booster'
untuk berjaga malam, konon-kononnya untuk menelaah pelajaran.
 Remaja mengambil dadah sebagai alternatif untuk melupakan kesengsaraan dan rasa
kecewa dalam mengharungi kehidupan. - mereka tersilap langkah kerana dadah bukannya
cara penyelesaian tetapi satu langkah ke arah kemusnahan hakiki.
 Remaja terjebak dengan dadah juga mungkin disebabkan oleh faktor ingin melarikan
diri daripada permasalahan.
 Ada juga remaja terjebak dengan dadah kerana tertipu oleh rakan taulan - mungkin
juga terperangkap dengan ejen pengedar dadah.
 Pengaruh media massa - terdapat filem-filem yang secara terangan mempromosikan
dadah kepada masyarakat, artis dan idola remaja mempamerkan contoh teladan yang negatif.
 Langkah pencegahan dan penguatkuasaan masih lemah dan tertinggal di belakang.
 Pengedaran dadah semakin sukar dibendung dengan wujudnya penjualan secara
'online' melalui Facebook, Twitter dan lain-lain.
PENUTUP:-
 Remaja ialah pewaris kepimpinan negara.
 Andaikata remaja yang bakal mewarisi kepimpinan negara merupakan mereka yang
terlibat dengan penyalahgunaan dadah, maka akan hancur punah sebuah negara bangsa.
 Maka usah difikirkan lagi hasrat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara maju dan berjaya.
 Jangan mimpi di siang hari.
Dalam zaman yang penuh persaingan ini, para pelajar sentiasa berusaha melengkapkan diri
dengan pelbagai kemahiran dan ilmu demi mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang
akademik. Menetapkan matlamat, menyediakan jadual waktu yang praktikal, menghadiri kelas
tuisyen dan mengulang kaji pelajaran setiap hari merupakan usaha-usaha yang dilakukan oleh
pelajar demi mencapai kejayaan.
Namun, belajar secara berkumpulan boleh dikatakan sebagai batu loncatan ke arah kejayaan
kerana usaha ini boleh mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar-pelajar.
 
Belajar secara kumpulan memberikan suasana belajar yang menyeronokkan. Seseorang
pelajar akan dapat belajar atau membuat ulang kaji dengan perasaan yang ceria tanpa tekanan
daripada guru-guru. Hal ini demikian kerana rakan-rakan merupakan orang yang paling dekat
dengan pelajar selain ahli keluarga. Contohnya, seseorang yang pemalu tidak berani bertanya
kepada guru apabila dia menghadapi masalah dalam pelajaran. Sebaliknya dia akan bertanya
dan mengeluarkan buah fikirannya di depan rakan-rakan. Justeru, belajar secara berkumpulan
bukan sahaja dapat memberikan suasana belajar yang menyeronokkan malahan membuka
peluang kepada pelajar untuk memajukan diri dalam pelajaran dengan acuan sendiri.
 
Selain itu, para pelajar dapat berkongsi ilmu sesama mereka melalui kaedah belajar secara
berkumpulan. Mereka berpeluang untuk bertukat-tukar pendapat dan pandangan tentang
kaedah menjawab soalan, bertukar nota pelajaran dan lain-lain. Mereka boleh berkongsi ilmu
tentang sesuatu mata pelajaran dan bekerjasma menyiapkan tugasan yang diberikan oleh
guru. Seseorang pelajar yang menghadiri kelas tuisyen akan lebih menguasai sesuatu ilmu
berbanding dengan pelajar yang tidak berpeluang menghadiri kelas tuisyen. Melalui
perbincangan secara berkumpulan, pelajar-pelajar dapat mengukuhkan kemahiran dan
seterusnya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki kelak.
 
Bak kata pepatah, muafakat membawa berkat, belajar secara berkumpulan dapat memupuk
semangat kerjasama dalam diri pelajar di samping dapat menerapkan nilai toleransi. Para
pelajar dapat menyiapkan sesuatu tugasan dengan cepat dan berkesan melalui semangat
kerjasama yang diamalkan. Contohnya, seseorang pelajar dapat menghasilkan karangan yang
lebih baik dengan adanya maklumat dan idea yang lebih relevan daripada rakan-rakan.
Natijahnya, belajar secara berkumpulan bukan saja dapat memupuk semangat bersatu padu,
malah dapat mengeratkan hubungan sesama mereka dan meningkatkan prestasi mereka
dalam akademik.
 
Kesimpulannya, belajar secara berkumpulan merupakan langkah yang bijak bagi pelajar yang
ingin mencapai kecemerlangan. Sebagai bakal pemimpin negara, kita seyogianya
melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan memanfaatkan kaedah belajar secara
berkumpulan untuk menjadi seorang yang cemerlang dan seterusnya memberikan sumbangan
bermakna kepada negara pada suatu masa nanti.
Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan pelbagai risiko
penyakit pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat
badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia
mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan
yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan.
Oleh itu, untuk mengurangkan risiko obesiti serta penyakit berbahaya seperti sakit jantung,
darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya
hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu
bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya,
apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam
kalangan anak-anak mereka?
     Sudah terang lagi bersuluh peri pentingnya peranan ibu bapa dalam memupuk amalan
gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Peranan utama ibu bapa dalam memupuk
amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan memastikan
anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang
bermaksud pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang
bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa
perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrien kepada anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar,
khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng
dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti
anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga
perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman
sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang
berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang
asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan
seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-
anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu
bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan
gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar
bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang
tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurangnya
20 minit sehari dan tiga kali seminggu.  Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah
senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai
golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada
waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan
beriadah, mereka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata
pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti
senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.
     Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan
kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan
untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam
bulan sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana
mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan
pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih
baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak
mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak
mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala
membawa mereka berjumpa dengan doktor  untuk mendapat ubat serta pengesahan
tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak
mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya,
pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup
sihat.
     Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka  mengutamakan kebersihan
diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit.
Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat
yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman
atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-
asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan
dengan baik agar tidak dihinggapi  lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang
bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek
berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak
dari rebung dalam diri anak-anak  agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila
mereka dewasa kelak.
     Pada masa yang sama,  selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa 
juga seyogia mendidik  ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka.
Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada
sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-
royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli
keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di
taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan
persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan
agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat
pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat
takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa
dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka  sekali gus akan dapat
menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.
     Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka
yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih
bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau
menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama
mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa
digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak  atau jiran
tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk
kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial
manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa 
mengamalkan cara  berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran
tetangga serta  mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak
psikologi yang positif.
     Pada masa yang sama memiliki sikap atau mentaliti positif penting untuk menangani
tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu
mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa
tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat,
kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita.
Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan
bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-rakan di sekeliling mereka. Hal ini perlu
kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa  pada perlakuan negatif seperti
mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin
positif minda ibu bapa  itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai
oleh dirinya dan keluarga  kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering
merangsang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat
dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
     Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa
perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga
ataupun rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu
bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan
berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya
merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana
perkara ini adalah sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi orang yang sakit,
secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit
dan memberi kekuatan kepada diri pesakit  itu untuk melawan kesakitan yang ditanggung.
Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati
terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas
kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya
anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurangkan perasaan sedih
pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu
yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak
mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.
     Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar
anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu
direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam
badan mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan
sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak
muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan
merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan
lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan
prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh
diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk
tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya
hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
     Jika mendaki menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Kemelut yang
bersangkut isu peranan ibu bapa telah dikupas dengan mendalam. Berdasarkan
perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang
besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini
adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam
keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak
yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat
supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya
dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Dengan kata lain, segala
kelemahan perlu ditangani sebelum padi di sawah menjadi lalang, sebelum ayam di reban
disambar helang. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah
pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang sihat bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak
hendak seribu dalih.
PENDAHULUAN:-

 Dewasa ini isu-isu kenaikan harga barangan keperluan semakin diperkatakan.


 Kenaikan harga barangan keperluan ini mempunyai perkaitan dengan kadar
permintaan yang tinggi berbanding dengan penawaran sesetengah barangan keperluan yang
terhad.
 Hal ini demikian juga ada kaitan dengan peningkatan kos pengangkutan, cukai yang
semakin naik dan musim perayaan.
 Lebih membimbangkan lagi, sesetengah peniaga sengaja memanipulasi harga sesuka
hati tanpa memikirkan kebajikan pengguna.
 Justeru, para pengguna sewajarnya bijak berbelanja dengan membeli barangan
mengikut keperluan dan elakkan daripada sikap boros dan membazir.
 Kita perlulah berbelanja dengan cara lebih berhemah.
 Banyak manfaat apabila kita berbelanja secara berhemah.
IDEA-IDEA PENTING:-
 Dapat menjimatkan wang perbelanjaan kita. - Dalam konteks ini, kita hendaklah
membuat perancangan teliti terlebih dahulu sebelum berbelanja. Kita perlulah berbelanja
mengikut kemampuan dan membeli barangan yang perlu sahaja. Wang yang dapat dijimatkan
boleh disimpan untuk perbelanjaan lain atau disimpan untuk keperluan masa depan. Sediakan
payung sebelum hujan.
 Berbelanja secara berhemah dapat mengelakkan pembaziran. - Membazir amalan
syaitan. Perbuatan membazir merupakan perbuatan yang merugikan diri kita. Dalam hal ini,
jika kita membeli makanan untuk makan tengah hari, kita hendaklah membeli mengikut
keperluan, bukannya membeli mengikut nafsu dan keinginan semata-mata. Makanan yang
dibeli secara berlebihan pasti akan dibuang, dan dengan ini berlakulah pembaziran.
 Berhemah ketika berbelanja juga dapat mengelakkan kita daripada dibelenggu oleh
masalah hutang. - Belakangan ini ramai dalam kalangan kita yang terperangkap oleh belenggu
hutang kerana sikap buruk ketika berbelanja. Lebih parah lagi apabila kita menggunakan kad
kredit tanpa had ketika berbelanja. 40 peratus eksekutif muda hari ini diisytiharkan bangkrap
kerana gagal membayar hutang kad kredit. Kita hendaklah berbelanja mengikut kemampuan
diri bukannya mengikut perasaan. Ukur baju di badan sendiri.
 Meningkatkan kecemerlangan dalam hidup juga merupakan manfaat berbelanja secara
berhemah. - Wang yang dapat dijimatkan ketika berbelanja dapat dijadikan modal perniagaan,
membayar yuran pengajian dan lain-lain. Hal ini demikian semestinya akan membantu kita
menjadi manusia yang lebih berjaya dalam hidup. Ada padi semua jadi, ada beras semua
deras.
PENUTUP:-
 Kesimpulannya, amalan berbelanja secara berhemah banyak mendatangkan manfaat
kepada kita. Amalan baik ini wajar menjadi budaya hidup masyarakat kita. Ibu bapa merupakan
orang yang terawal menjadi teladan kepada anak-anak agar generasi masa depan lebih peka
dan prihatin ketika berbelanja. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
 
   Pada era globalisasi ini,negara kita telah berjaya berdiri sama tinggi,duduk sama rendah
dengan negara-negara maju yang lain.Hal ini demikian,kini di negara kita ,terdapat banyak
teknologi maklumat yang masyarakat di Malaysia boleh dapatkan.Contohnya,telefon bimbit
yang sering digunakan untuk mencari pelbagai maklumat secara berterusan melalui
internet.Maklumat yang hendak kita cari semuanya berada  di hujung jari
sahaja.Hakikatnya,terdapat banyak kepentingan teknologi maklumat kepada kita.

  Antaranya ialah kecanggian teknologi maklumat pada masa kini mampu mempercepatkan
untuk kita mencari maklumat yang dikehendaki .Hal ini demikian,masyarakat di Malaysia kini
boleh mencari pelbagai bahan  atau maklumat hanya di internet atau laman –laman web
yang  didapati.Sebagai contohnya,Google yang membolehkan kita untul mencari pelbagai
maklumat hanya dengan satu klik sahaja dan tidak mengambil masa yang lama seperti
mencari bahan-bahan bacaan di perpustakaan yang memakan banyak masa.Jelaslah
kepada kita bahawa,kecanggihan teknologi kini dapat menjimatkan masa seseorang itu
untuk mencari maklumat serta mempercepatkannya. 

  Selain itu, kita juga dapat berhubung dan berkomunikasi dengan rakan-rakan atau saudara
mara yang berjauhan dengan kita.Dengan berbuat demikian,caranya adalah dengan
menggunakan kemudahan laman sosial yang semakin banyak muncul pada zaman kini
seperti cendawan tumbuh selepas hujan yang boleh memuatnaik . Sebagai
contohnya,Facebook,twitter dan instagram yang boleh berkomunikasi  antara satu sama lain
dan jika kita rindu dengan orang yang berjauhan dengan kita juga boleh  menggunakan
panggilan video iaitu secara bersemuka dengan rakan-rakan atau saudara mara kita yang
sudah lama tidak berjumpa.Sememangnya,dengan kemudahan ini,hubungan kekeluargaan
tidak akan putus walaupun berjauhan.   

                                                                                                                                        Di


samping itu,kita juga boleh menggunakan internet untuk membantu kita dalam    
pembelajaran.Dengan berbuat demikian ,kerana banyak  maklumat yang mudah didapati
dan mempercepatkan kita untuk mencarinya .Misalnya,mencari maklumat tentang  mata
pelajaran Bahasa Malaysia iaitu tips-tips membuat karangan berformat .Sesungguhnya,kita
boleh mendapat sedikit sebanyak maklumat bagi membantu dalam meningkatkan
kefahaman dalam sesuatu pembelajaran.
  
     Seterusnya,kita juga dapat berkongsi maklumat antara satu sama lain.Dengan berbuat
demikian,supaya kita dapat maklumat yang lebih terperinci dan lebih efektif dari laman-
laman web yang berbeza.Buktinya,mengambil isi penting dalam sesebuah karangan yang
sama tajuknya tetapi  berbeza  dari segi kepakaran karangannya. Sesungguhnya,kita boleh
mendapat pelbagai maklumat daripada perkongsian yang telah diberi oleh guru-guru
mahupun pelajar di internet.

     Sudah terang lagi bersuluh,kepentingan  teknologi kini semakin menjadi rebutan
masyarakat kerana mempunyai banyak kelebihan yang boleh digunakan dan memaikan
peranan yang baik kepada masyarakat.Teknologi maklumat kini seharusnya digunakan
dengan sebaik yang mungkin kerana banyak manfaat yang boleh kita peroleh melalui
teknologi maklumat tersebut .

Anda mungkin juga menyukai