Anda di halaman 1dari 14

ESEI: USAHA MENJAYAKAN SEKOLAH PENYAYANG...!

PENDAHULUAN:-

Wawasan 2020 merupakan wawasan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Di samping setanding dengan negara-negara maju dari segi ekonomi, sosial, sains, teknologi, dan politik, nilai sayang-
menyayangi tidak dikesampingkan.

Konsep Sekolah Penyayang lahir daripada gagasan 'Masyarakat dan Budaya Penyayang' yang dicetuskan oleh mantan
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.

Konsep Sekolah Penyayang bertujuan menjana generasi pelajar yang seimbang dari segi emosi, rohani, intelek,
jasmani, dan mempunyai disiplin diri yang tinggi.

Sekolah akan bertindak sebagai rumah kedua pelajar bagi merealisasikan Sekolah Penyayang.

IDEA-IDEA PENTING:-

(Usaha-usaha menjayakan Sekolah Penyayang)

Konsep Sekolah Penyayang diterapkan dengan memberikan penerangan tentang nilai-nilai murni masyarakat
penyayang melalui mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam serta mata pelajaran Kemahiran Hidup
dan Lukisan.

Konsep ini juga diterapkan melalui program luar bilik darjah seperti mengadakan lawatan-lawatan ke rumah
kebajikan, rumah orang kurang upaya dan lain-lain.

Menubuhkan kelab dan persatuan yang bercirikan 'badan kebajikan' untuk pelajar dan kakitangan sekolah bagi
memastikan konsep ini dapat dihayati dengan lebih berkesan.

Unit Bimbingan dan Kaunseling diamanahkan untuk memberikan nasihat dan bimbingan kepada pelajar yang
mempunyai masalah disiplin agar dapat menanamkan rasa sayang pelajar terhadap sekolah.

Mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan dan selesa seperti mewujudkan taman-taman
mini di sekolah.

Menganjurkan pertandingan keceriaan kelas, asrama dan lain-lain agar institusi sekolah menjadi lebih cantik, bersih
dan menyenangkan.

Penubuhan sistem mentor-mentee untuk membimbing pelajar yang lemah dalam pelajaran. Pelajar yang lebih baik
dalam akademik dilantik menjadi mentor membimbing rakan pelajar yang agak lemah dalam pelajaran. Hal ini akan
menerbitkan semangat kerjasama dan saling membantu dalam kalangan pelajar.

Pihak kementerian menganjurkan pelbagai pertandingan di pelbagai peringkat agar dapat melahirkan rasa cinta dan
kebertanggungjawapan pelajar terhadap sekolah.PENUTUP:-

Konsep Sekolah Penyayang wajar direalisasikan dan diteruskan kerana melalui institusi sekolah, kita dapat
melahirkan masyarakat yang saling menyayangi dan memerlukan antara satu sama lain.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya.


ESEI: PUNCA REMAJA TERJEBAK KE NAJIS DADAH

PENDAHULUAN:-

Dadah merupakan bahan terlarang yang membawa ancaman kepada masyarakat terutamanya remaja.

Penyalahgunaan dadah bukan perkara baharu di dunia ini.

Masalah ini berlaku sejak ratusan lalu.

Sebenarnya dadah merupakan bahan perubatan yang amat penting sebagai bahan penahan sakit dan digunakan secara meluas
ketika proses pembedahan.

Tidak berbahaya jika tidak disalahgunakan.

Masalah mula timbul apabila segelintir manusia menyalahgunakan dadah untuk tujuan keseronokan dan kepuasan diri sendiri.

Antara jenis dadah adalah seperti heroin, marijuana, morfin, ganja, syabu dan lain-lain.

Pelbagai punca yang menyebabkan remaja terjebak dengan masalah dadah, antaranya:-

IDEA-IDEA PENTING:-

Keinginan mencuba sesuatu perkara yang baharu - keinginan ini akan menjadi lebih parah apabila remaja itu bergaul dengan
remaja yang rosak akhlak dan miskin akidah.

Remaja cuba mencari kelainan dalam mendapatkan kepuasan dan keseronokan diri sendiri - mereka tidak memikirkan kesan dan
akibat; yang penting mereka memperoleh kepuasan!

Kurang kesedaran dalam diri menjadi punca utama remaja terjebak dengan penyalahgunaan dadah - remaja jenis ini kehilangan
fokus dalam hidupnya, hidup seperti layang-layang terputus talinya.

Kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa dan ahli keluarga - ibu bapa kadang-kadang mengabaikan aspek ini
kerana lebih mengutamakan tuntutan mencari nafkah dalam persekitaran yang semakin mencabar.

Lompang ilmu agama dan kerohanian dalam diri para remaja kerana kegagalan ibu bapa menyebabkan remaja begitu mudah
hanyut dan tersungkur dalam kancah penyalahgunaan dadah.

Akibat kejahilan diri, sesetengah remaja mengambil dadah sebagai ubat 'booster' untuk berjaga malam, konon-kononnya untuk
menelaah pelajaran.

Remaja mengambil dadah sebagai alternatif untuk melupakan kesengsaraan dan rasa kecewa dalam mengharungi kehidupan. -
mereka tersilap langkah kerana dadah bukannya cara penyelesaian tetapi satu langkah ke arah kemusnahan hakiki.

Remaja terjebak dengan dadah juga mungkin disebabkan oleh faktor ingin melarikan diri daripada permasalahan.

Ada juga remaja terjebak dengan dadah kerana tertipu oleh rakan taulan - mungkin juga terperangkap dengan ejen pengedar
dadah.

Pengaruh media massa - terdapat filem-filem yang secara terangan mempromosikan dadah kepada masyarakat, artis dan idola
remaja mempamerkan contoh teladan yang negatif.

Langkah pencegahan dan penguatkuasaan masih lemah dan tertinggal di belakang.

Pengedaran dadah semakin sukar dibendung dengan wujudnya penjualan secara 'online' melalui Facebook, Twitter dan lain-lain.

PENUTUP:-

Remaja ialah pewaris kepimpinan negara.

Andaikata remaja yang bakal mewarisi kepimpinan negara merupakan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah,
maka akan hancur punah sebuah negara bangsa.

Maka usah difikirkan lagi hasrat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berjaya.

Jangan mimpi di siang hari.


KARANGAN BAHAGIAN A (30 markah)

FAEDAH BELAJAR SECARA BERKUMPULAN

Dalam zaman yang penuh persaingan ini, para pelajar sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan pelbagai
kemahiran dan ilmu demi mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik. Menetapkan matlamat,
menyediakan jadual waktu yang praktikal, menghadiri kelas tuisyen dan mengulang kaji pelajaran setiap hari
merupakan usaha-usaha yang dilakukan oleh pelajar demi mencapai kejayaan.

Namun, belajar secara berkumpulan boleh dikatakan sebagai batu loncatan ke arah kejayaan kerana usaha ini boleh
mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar-pelajar.

Belajar secara kumpulan memberikan suasana belajar yang menyeronokkan. Seseorang pelajar akan dapat belajar
atau membuat ulang kaji dengan perasaan yang ceria tanpa tekanan daripada guru-guru. Hal ini demikian kerana
rakan-rakan merupakan orang yang paling dekat dengan pelajar selain ahli keluarga. Contohnya, seseorang yang
pemalu tidak berani bertanya kepada guru apabila dia menghadapi masalah dalam pelajaran. Sebaliknya dia akan
bertanya dan mengeluarkan buah fikirannya di depan rakan-rakan. Justeru, belajar secara berkumpulan bukan
sahaja dapat memberikan suasana belajar yang menyeronokkan malahan membuka peluang kepada pelajar untuk
memajukan diri dalam pelajaran dengan acuan sendiri.

Selain itu, para pelajar dapat berkongsi ilmu sesama mereka melalui kaedah belajar secara berkumpulan. Mereka
berpeluang untuk bertukat-tukar pendapat dan pandangan tentang kaedah menjawab soalan, bertukar nota
pelajaran dan lain-lain. Mereka boleh berkongsi ilmu tentang sesuatu mata pelajaran dan bekerjasma menyiapkan
tugasan yang diberikan oleh guru. Seseorang pelajar yang menghadiri kelas tuisyen akan lebih menguasai sesuatu
ilmu berbanding dengan pelajar yang tidak berpeluang menghadiri kelas tuisyen. Melalui perbincangan secara
berkumpulan, pelajar-pelajar dapat mengukuhkan kemahiran dan seterusnya mencapai keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan yang diduduki kelak.

Bak kata pepatah, muafakat membawa berkat, belajar secara berkumpulan dapat memupuk semangat kerjasama
dalam diri pelajar di samping dapat menerapkan nilai toleransi. Para pelajar dapat menyiapkan sesuatu tugasan
dengan cepat dan berkesan melalui semangat kerjasama yang diamalkan. Contohnya, seseorang pelajar dapat
menghasilkan karangan yang lebih baik dengan adanya maklumat dan idea yang lebih relevan daripada rakan-rakan.
Natijahnya, belajar secara berkumpulan bukan saja dapat memupuk semangat bersatu padu, malah dapat
mengeratkan hubungan sesama mereka dan meningkatkan prestasi mereka dalam akademik.

Kesimpulannya, belajar secara berkumpulan merupakan langkah yang bijak bagi pelajar yang ingin mencapai
kecemerlangan. Sebagai bakal pemimpin negara, kita seyogianya melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan
memanfaatkan kaedah belajar secara berkumpulan untuk menjadi

seorang yang cemerlang dan seterusnya memberikan sumbangan bermakna kepada negara pada suatu masa nanti.

(381 patah kata)


ESEI: LANGKAH MENANGANI KEGAGALAN...!

PENDAHULUAN:-

Banyak orang beranggapan bahawa kegagalan merupakan malapetaka atau musibah yang mampu merencatkan
segala perancangan pada masa depan. Kegagalan juga dianggap sebagai titik noktah akhir menghentikan perjuangan
seterusnya memadamkan harapan dan cita-cita oleh sesetengah orang. Hakikatnya, seseorang itu tidak seharusnya
cepat merasa kecewa apabila menempuh kegagalan, kerana jika mereka terus berusaha dan berusaha, sudah pasti
mereka akan mencapai kejayaan suatu hari nanti.

Jika seseorang itu gagal juga setelah berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh, anggaplah kegagalan itu
sebagai cabaran yang dapat mematangkan jiwa dan raga kita semua.

Kegagalan sememangnya amat memedihkan. Oleh hal yang demikian, perasaan bersalah merupakan refleksi yang
wujud dalam diri mana-mana insan yang pernah menempuh kegagalan.

IDEA-IDEA PENTING:-

(Langkah menangani kegagalan)

Terimalah kegagalan itu dengan penuh rasa insaf. Jadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan cuba berusaha untuk
membaiki kelemahan diri.

Seseorang yang menghadapi kegagalan mestilah berani untuk melupakannya. Membiarkan perasaan bersalah terus
menguasai diri hanya menjadikan seseorang itu semakin longlai, dan tidak dapat berfikir secara positif.

Seseorang yang pernah gagal itu semestinya berusaha mendekatkan dirinya kepada Tuhan. Langkah ini dapat
meningkatkan tahap keimanannya yang akan memandunya dalam kehidupan seharian.

Mereka yang menghadapi kegagalan juga diharapkan lebih banyak meluangkan masa bersama dengan keluarga
masing-masing. Mereka boleh berbincang tentang perancangan masa depan.

Melakukan aktiviti yang diminati seperti bersukan, beriadah dan lain-lain dapat membina keyakinan diri dan
meredakan tekanan perasaan.

Menambah ilmu pengetahuan dengan membaca buku ilmiah, merujuk pakar dan membaca buku motivasi dapat
memberikan pencerahan dan sokongan moral untuk mencapai kejayaan.

Mempunyai sikap terbuka dan sedia menerima pandangan dan pendapat orang lain.

Berusaha lebih gigih dan tawakal untuk mengejar kejayaan.

PENUTUP:-

Kegagalan merupakan lumrah dalam kehidupan. Banyak orang yang berjaya pada hari ini, sebenarnya telah pernah
beribu-ribu kali menempuh kegagalan. Namun, jika kita terus berusaha tanpa jemu disertakan pula dengan
berbekalkan ilmu serta kemahiran baharu, insya-Allah kita akan pasti mencapai kejayaan.
PENULISAN 7 : Pusat Sumber Sekolah

Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.

DI PERPUSTAKAAN

Melangkah ke ruangmu

Satu pertukaran yang kontras

Dari kehangatan merata

Ke kedinginan yang menerpa

Terlalu hening di sini

Gua pendeta bersemadi

Di puncak sepi

Di sana sini

Kepala-kepala runduk meneliti

Mata dan fikir bersebati

Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai informasi yang
diperlukan oleh setiap warga sekolah. Maslahatnya jelas terungkap dalam bait-bait sajak Perpustakaan di atas.
Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam
media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar
merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara sistematik dan efisien untuk memupuk
budaya membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan
Falsafah Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat
sumber sekolah?

Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah satunya ialah saya akan memastikan pusat sumber
sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang
lain untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber akan diadakan secara
berkala agar pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih. Saya juga akan memastikan buku-buku disusun
atur dengan kemas di atas rak-rak buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini keadaan harmoni dan selesa
dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran
di pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat
sumber.

Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program NILAM untuk meningkatkan penggunaan
pusat sumber sekolah. Sebagai contoh, saya boleh membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai
serta menarik untuk kegunaan para pelajar semasa program NILAM. Oleh itu, program NILAM dapat dijalankan
dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan juga
menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program NILAM merupakan salah satu usaha Kementerian
Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar. Budaya
membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu
akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu.
Jelaslah bahawa, pelaksanaan program NILAM yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk
mengunjungi pusat sumber.

Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat
sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di
pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan komputer yang boleh
diguna pakai oleh pelajar untuk melayari Internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini. Saya akan
membantu dari segi penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu
dan terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan
pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak langsung keadaan ini lebih
mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.

Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya mesra pelanggan semasa
menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia
memberikan pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama, bak kata
peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada pengawas menggembirakan para pengunjung dan
merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak
sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil
dan tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya mereka lewat atau sengaja tidak memulangkan buku yang
dipinjam mengikut tarikh yang ditetapkan.

Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar menyediakan sistem
pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah
saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat
menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan
berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang
dilakukan secara ‘scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana
para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah, sistem
pinjaman yang sistematik dan efektif adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.

Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai
bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta kritis.
Justeru, terpulang pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya, tepuk dada tanyalah minda.
Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak kata
peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
1MURID 1SUKAN

PENDAHULUAN:

Dasar 1Murid 1Sukan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah
sepanjang masa persekolahannya, selaras dengan Dasar Sukan Negara yang bermatlamat untuk membudayakan
sukan dalam kalangan masyarakat.

Dasar Sukan Negara bertitik tolak di sekolah melalui dua strategi, iaitu Sukan untuk Semua dan Sukan untuk
Kecemerlangan.

IDEA-IDEA UTAMA:

(Faedah-faedah Dasar 1M 1S)

Mampu membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dalam kalangan murid - melahirkan
murid yang bersahsiah mapan, jati diri yang utuh, dan memiliki nilai-nilai murni.

Menjadikan aktiviti bersukan sebagai budaya dalam kalangan murid - mengamalkan gaya hidup sihat, mengelakkan
diri terjebak dalam kegiatan kurang sihat.

Menanamkan semangat perpaduan dalam kalangan murid - semangat kerjasama dan bertoleransi penting dalam
menjayakan aktiviti sukan - perpaduan yang terbentuk dalam sesebuah pasukan menjaminkan kemenangan dan
kecemerlangan sukan yang diceburi.

Meningkatkan tahap kesihatan - murid yang terlibat secara aktif dalam aktiviti sukan akan memiliki tahap kesihatan
yang tinggi - otak cerdas datangnya daripada badan yang cergas. - mengurangkan risiko penyakit kronik.

Melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi,rohani dan intelek (JERI). Insan yang mempunyai
kesimbangan JERI akan mudah bersaing di pentas global pada suatu hari nanti.

Meningkatkan peluang murid melanjutkan pelajaran ke peringkat IPTA dan IPTS. Setiap institusi pengajian tinggi
meletakkan syarat tertentu penglibatan murid dalam bidang kokurikulum untuk kemasukan murid ke institusi
mereka.

Melahirkan atlet-atlet berbakat yang seterusnya dapat mewakili negara dan menaikkan nama negara di pentas
antarabangsa.

Mengcungkil bakat-bakat baharu seterusnya digilap kebolehan semula jadi mereka - peluang menceburkan diri
dalam kerjaya sukan yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.

PENUTUP:

Dasar 1Murid 1Sukan banyak memberikan faedah kepada murid-murid. Semua pihak wajar memberikan galakan dan
sokongan kepada murid-murid untuk menyertai aktiviti sukan. Pihak sekolah mestilah melaksanakan dasar ini
dengan sempurna agar matlamat murni yang ditetapkan dapat dicapai.
PENULISAN 6 : Permainan Tradisional

Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.

Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan permainan tradisional di negara kita.

Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang menyebabkan
permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana.
Permainan tradisional adalah merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat
untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai jenis permainan
tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara jenis permainan tradisional tersebut
termasuklah congkak, wau, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan
sebagainya. Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda. Hal ini membayangkan
bahawa permainan tradisional berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk
mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan
yang seharusnya saya mainkan dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita?

Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah dengan memupuk minat diri
sendiri terhadap permainan tradisional. Remaja pada masa ini banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh
modenisasi dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman.
Oleh itu, sebagai generasi muda, saya harus sedar bahawa saya berperanan memartabatkan permainan tradisional.
Hal ini boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi berkaitan dengan permainan
tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas
setiap permainan tradisional yang ada di negara kita. Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai
maklumat berkenan pelbagai permainan tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud
kesedaran dalam diri sendiri untuk memartabatkan permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan
moden yang semakin popular dalam kalangan remaja.

Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan permainan tradisional sebagai pengisi masa
lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi
menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-
cara permainan tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakan-rakan.
Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan
dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan
pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya lebih
baik mengisi masa dengan bermain permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak
berfaedah. Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak kebaikan kepada generasi muda masa ini.

Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional, saya sebagai pelajar sekolah haruslah berani
mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa
perjumpaan kokurikulum. Saya akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan
permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah. Hal ini secara tidak langsung
akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya juga akan menyertai permainan tradisional
yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti
yang boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkak dan demonstrasi permainan
daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja
terhadap permainan tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata
pepatah, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan pelbagai
permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam secara semula jadi. Maka para pelajar perlu
berani membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan tradisional.

Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan budaya terutama
permainan tradisional. Hal ini adalah kerana, permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak
dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu
dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika
asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan
memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi
mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan
tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini,
maka sudah pasti permainan tradisional terpelihara megah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya
kecintaan terhadap permainan tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara

Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut terus
terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka
golongan muda perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional
terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling
bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan
menggunakan pelbagai pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
PENULISAN 5 : Gaya Hidup Sihat

Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup sihat.

Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.

Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan pelbagai risiko penyakit pada masa
hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu
banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti
menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh
itu, untuk mengurangkan risiko obesiti serta penyakit berbahaya seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis
dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini
sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi.
Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan
anak-anak mereka?

Sudah terang lagi bersuluh peri pentingnya peranan ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam
kalangan anak-anak. Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak
mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang
seimbang bermaksud pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian
iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan
makanan yang berzat serta bernutrien kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah
kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng dengan
penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga
pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat
oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula
yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu
bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup
sihat.

Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Aktiviti ini bukan
sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat.
Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan
senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang
tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tiga
kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki
bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada
waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mereka dapat
meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu
bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat
dipupuk.

Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala
untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan
kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting
kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani
rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu
bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang
terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala
membawa mereka berjumpa dengan doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang
dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat
pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan
gaya hidup sihat.

Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa
bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi,
berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan
jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas
kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak
dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa
ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus
dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka
dewasa kelak.

Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa juga seyogia mendidik ahli
keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan
gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak
mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli
keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan
membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini
dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-
tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air
mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif
dalam diri anak-anak mereka sekali gus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.

Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan
bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan
individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa
bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan
menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang
berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya,
aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa
mengamalkan cara berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta
mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi yang positif.

Pada masa yang sama memiliki sikap atau mentaliti positif penting untuk menangani tekanan kehidupan dalam
era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang
melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama
tekanan di pejabat, kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para
ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar
motivasi ataupun rakan-rakan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu
bapa pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan.
Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya
dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah positif
menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.

Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka
menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi
bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka
juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan
bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia.
Apabila kita menziarahi orang yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira
kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggung. Perbuatan
menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa
yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa
kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit
walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan
menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.

Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat rehat
dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk
mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka
memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada
masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya,
mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga
diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh
diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah
dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-
anak mendapat rehat yang secukupnya.

Jika mendaki menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Kemelut yang bersangkut isu peranan
ibu bapa telah dikupas dengan mendalam. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa
memainkan peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini
adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh
itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak
kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya
hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, masalah obesiti dan sebagainya dapat
dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Dengan kata lain, segala kelemahan perlu ditangani sebelum padi
di sawah menjadi lalang, sebelum ayam di reban disambar helang. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu
kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang sihat bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak
hendak seribu dalih.
KEPENTINGAN TEKNOLOGI
MAKLUMAT....!

DEFINISI:-

Teknologi maklumat merupakan jaringan maklumat yang boleh diakses penggunaan talian secara terus daripada
pelbagai sumber dari merata-rata tempat di seluruh dunia.

Maklumat diperoleh melalui rangkaian LAN (Local Area Network) atau rangkaian kawasan setempat. Komunikasi
dilakukan secara e-mel,berkongsi pangkalan data dan menerusi laman sosial serta rangkaian Internet.

KEPENTINGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT:-

Dapat mengikuti arus perkembangan dunia:

Mengetahui perkembangan terkini tentang negara luar - tentang penciptaan moden seperti kereta terbang, robot
Asimo dan lain-lain.

Maklumat ini boleh didapati melalui Internet - melalui laman sosial seperti Facebook, Twitter, Google, Instagram,
Yahoo Messenger dan lain-lain.

Mengetahui berita mutakhir di dalam dan di luar negera melalui Internet - contoh berita peperangan di Syria.

ICT sebagai jaringan maklumat:

Memperoleh maklumat dengan lebih cepat - memudahkan kerja rumah yang ditugaskan oleh guru.

Berkongsi maklumat dengan sekolah dan pelajar - mendapatkan nota yang lebih efektif dari sekolah-sekolah
terkemuka dan dari blog-blog guru pakar setiap mata pelajaran.

Perkongsian kepakaran antara sekolah mahupun pelajar - Guru ataupun pelajar boleh merakam video PdP, latihan
amali dan kursus dan lain-lain untuk perkongsian.

Mengasah bakat pelajar dalam bidang telekomunikasi, seni persembahan dan pembikinan video dan rakaman.

Dapat menarit minat masyarakat:

Menarik minat pelajar mendalami ilmu pengetahuan - pelajar yang kurang minat membaca boleh menggunakan ICT
sebagai alternatif untuk mendapat ilmu pengetahuan.

Pemaparan animasi canggih yang melibatkan audio dan visual berjaya menarik minat pelajar.

Membantu memudahkan pengajaran dan pembelajaran guru dan murid.

Pembelajaran lebih seronok dan ceria:

Pelajar seronok belajar menggunakan ICT.

Animasi dan teknik penerangan yang inovasi membantu pelajar mudah memahami satu-satu tajuk dengan lebih
mendalam.
ESEI: MANFAAT BERBELANJA SECARA
BERHEMAH...!

PENDAHULUAN:-

Dewasa ini isu-isu kenaikan harga barangan keperluan semakin diperkatakan.

Kenaikan harga barangan keperluan ini mempunyai perkaitan dengan kadar permintaan yang tinggi berbanding
dengan penawaran sesetengah barangan keperluan yang terhad.

Hal ini demikian juga ada kaitan dengan peningkatan kos pengangkutan, cukai yang semakin naik dan musim
perayaan.

Lebih membimbangkan lagi, sesetengah peniaga sengaja memanipulasi harga sesuka hati tanpa memikirkan
kebajikan pengguna.

Justeru, para pengguna sewajarnya bijak berbelanja dengan membeli barangan mengikut keperluan dan elakkan
daripada sikap boros dan membazir.

Kita perlulah berbelanja dengan cara lebih berhemah.

Banyak manfaat apabila kita berbelanja secara berhemah.

IDEA-IDEA PENTING:-

Dapat menjimatkan wang perbelanjaan kita. - Dalam konteks ini, kita hendaklah membuat perancangan teliti
terlebih dahulu sebelum berbelanja. Kita perlulah berbelanja mengikut kemampuan dan membeli barangan yang
perlu sahaja. Wang yang dapat dijimatkan boleh disimpan untuk perbelanjaan lain atau disimpan untuk keperluan
masa depan. Sediakan payung sebelum hujan.

Berbelanja secara berhemah dapat mengelakkan pembaziran. - Membazir amalan syaitan. Perbuatan membazir
merupakan perbuatan yang merugikan diri kita. Dalam hal ini, jika kita membeli makanan untuk makan tengah hari,
kita hendaklah membeli mengikut keperluan, bukannya membeli mengikut nafsu dan keinginan semata-mata.
Makanan yang dibeli secara berlebihan pasti akan dibuang, dan dengan ini berlakulah pembaziran.

Berhemah ketika berbelanja juga dapat mengelakkan kita daripada dibelenggu oleh masalah hutang. - Belakangan ini
ramai dalam kalangan kita yang terperangkap oleh belenggu hutang kerana sikap buruk ketika berbelanja. Lebih
parah lagi apabila kita menggunakan kad kredit tanpa had ketika berbelanja. 40 peratus eksekutif muda hari ini
diisytiharkan bangkrap kerana gagal membayar hutang kad kredit. Kita hendaklah berbelanja mengikut kemampuan
diri bukannya mengikut perasaan. Ukur baju di badan sendiri.

Meningkatkan kecemerlangan dalam hidup juga merupakan manfaat berbelanja secara berhemah. - Wang yang
dapat dijimatkan ketika berbelanja dapat dijadikan modal perniagaan, membayar yuran pengajian dan lain-lain. Hal
ini demikian semestinya akan membantu kita menjadi manusia yang lebih berjaya dalam hidup. Ada padi semua jadi,
ada beras semua deras.

PENUTUP:-

Kesimpulannya, amalan berbelanja secara berhemah banyak mendatangkan manfaat kepada kita. Amalan baik ini
wajar menjadi budaya hidup masyarakat kita. Ibu bapa merupakan orang yang terawal menjadi teladan kepada
anak-anak agar generasi masa depan lebih peka dan prihatin ketika berbelanja. Melentur buluh biarlah dari
rebungnya.

Anda mungkin juga menyukai