Anda di halaman 1dari 19

USAHA MENJAYAKAN SEKOLAH PENYAYANG

PENDAHULUAN:-

Wawasan 2020 merupakan wawasan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju
menjelang 2020.

Di samping setanding dengan negara-negara maju dari segi ekonomi, sosial, sains, teknologi, dan
politik, nilai sayang-menyayangi tidak dikesampingkan.

Konsep Sekolah Penyayang lahir daripada gagasan 'Masyarakat dan Budaya Penyayang' yang
dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.

Konsep Sekolah Penyayang bertujuan menjana generasi pelajar yang seimbang dari segi emosi,
rohani, intelek, jasmani, dan mempunyai disiplin diri yang tinggi.

Sekolah akan bertindak sebagai rumah kedua pelajar bagi merealisasikan Sekolah Penyayang.

IDEA-IDEA PENTING:-

(Usaha-usaha menjayakan Sekolah Penyayang)

Konsep Sekolah Penyayang diterapkan dengan memberikan penerangan tentang nilai-nilai murni
masyarakat penyayang melalui mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam serta mata
pelajaran Kemahiran Hidup dan Lukisan.

Konsep ini juga diterapkan melalui program luar bilik darjah seperti mengadakan lawatan-lawatan ke
rumah kebajikan, rumah orang kurang upaya dan lain-lain.

Menubuhkan kelab dan persatuan yang bercirikan 'badan kebajikan' untuk pelajar dan kakitangan
sekolah bagi memastikan konsep ini dapat dihayati dengan lebih berkesan.

Unit Bimbingan dan Kaunseling diamanahkan untuk memberikan nasihat dan bimbingan kepada
pelajar yang mempunyai masalah disiplin agar dapat menanamkan rasa sayang pelajar terhadap
sekolah.

Mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan dan selesa seperti mewujudkan
taman-taman mini di sekolah.

Menganjurkan pertandingan keceriaan kelas, asrama dan lain-lain agar institusi sekolah menjadi
lebih cantik, bersih dan menyenangkan.

Penubuhan sistem mentor-mentee untuk membimbing pelajar yang lemah dalam pelajaran. Pelajar
yang lebih baik dalam akademik dilantik menjadi mentor membimbing rakan pelajar yang agak
lemah dalam pelajaran. Hal ini akan menerbitkan semangat kerjasama dan saling membantu dalam
kalangan pelajar.

Pihak kementerian menganjurkan pelbagai pertandingan di pelbagai peringkat agar dapat


melahirkan rasa cinta dan kebertanggungjawapan pelajar terhadap sekolah.

PENUTUP:-

Konsep Sekolah Penyayang wajar direalisasikan dan diteruskan kerana melalui institusi sekolah, kita
dapat melahirkan masyarakat yang saling menyayangi dan memerlukan antara satu sama lain.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

PUNCA REMAJA TERJEBAK DENGAN DADAH


PENDAHULUAN:-

Dadah merupakan bahan terlarang yang membawa ancaman kepada masyarakat terutamanya
remaja.

Penyalahgunaan dadah bukan perkara baharu di dunia ini.

Masalah ini berlaku sejak ratusan lalu.

Sebenarnya dadah merupakan bahan perubatan yang amat penting sebagai bahan penahan sakit
dan digunakan secara meluas ketika proses pembedahan.

Tidak berbahaya jika tidak disalahgunakan.

Masalah mula timbul apabila segelintir manusia menyalahgunakan dadah untuk tujuan keseronokan
dan kepuasan diri sendiri.

Antara jenis dadah adalah seperti heroin, marijuana, morfin, ganja, syabu dan lain-lain.

Pelbagai punca yang menyebabkan remaja terjebak dengan masalah dadah, antaranya:-

IDEA-IDEA PENTING:-

Keinginan mencuba sesuatu perkara yang baharu - keinginan ini akan menjadi lebih parah apabila
remaja itu bergaul dengan remaja yang rosak akhlak dan miskin akidah.

Remaja cuba mencari kelainan dalam mendapatkan kepuasan dan keseronokan diri sendiri - mereka
tidak memikirkan kesan dan akibat; yang penting mereka memperoleh kepuasan!

Kurang kesedaran dalam diri menjadi punca utama remaja terjebak dengan penyalahgunaan dadah -
remaja jenis ini kehilangan fokus dalam hidupnya, hidup seperti layang-layang terputus talinya.

Kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa dan ahli keluarga - ibu bapa kadang-
kadang mengabaikan aspek ini kerana lebih mengutamakan tuntutan mencari nafkah dalam
persekitaran yang semakin mencabar.

Lompang ilmu agama dan kerohanian dalam diri para remaja kerana kegagalan ibu bapa
menyebabkan remaja begitu mudah hanyut dan tersungkur dalam kancah penyalahgunaan dadah.

Akibat kejahilan diri, sesetengah remaja mengambil dadah sebagai ubat 'booster' untuk berjaga
malam, konon-kononnya untuk menelaah pelajaran.

Remaja mengambil dadah sebagai alternatif untuk melupakan kesengsaraan dan rasa kecewa dalam
mengharungi kehidupan. - mereka tersilap langkah kerana dadah bukannya cara penyelesaian tetapi
satu langkah ke arah kemusnahan hakiki.

Remaja terjebak dengan dadah juga mungkin disebabkan oleh faktor ingin melarikan diri daripada
permasalahan.

Ada juga remaja terjebak dengan dadah kerana tertipu oleh rakan taulan - mungkin juga
terperangkap dengan ejen pengedar dadah.

Pengaruh media massa - terdapat filem-filem yang secara terangan mempromosikan dadah kepada
masyarakat, artis dan idola remaja mempamerkan contoh teladan yang negatif.

Langkah pencegahan dan penguatkuasaan masih lemah dan tertinggal di belakang.


Pengedaran dadah semakin sukar dibendung dengan wujudnya penjualan secara 'online' melalui
Facebook, Twitter dan lain-lain.

PENUTUP:-

Remaja ialah pewaris kepimpinan negara.

Andaikata remaja yang bakal mewarisi kepimpinan negara merupakan mereka yang terlibat dengan
penyalahgunaan dadah, maka akan hancur punah sebuah negara bangsa.

Maka usah difikirkan lagi hasrat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan
berjaya.

Jangan mimpi di siang hari.


KARANGAN BAHAGIAN A (30 markah)

FAEDAH BELAJAR BERKUMPULAN

Dalam zaman yang penuh persaingan ini, para pelajar sentiasa berusaha melengkapkan diri
dengan pelbagai kemahiran dan ilmu demi mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik.
Menetapkan matlamat, menyediakan jadual waktu yang praktikal, menghadiri kelas tuisyen dan
mengulang kaji pelajaran setiap hari merupakan usaha-usaha yang dilakukan oleh pelajar demi
mencapai kejayaan.

Namun, belajar secara berkumpulan boleh dikatakan sebagai batu loncatan ke arah kejayaan
kerana usaha ini boleh mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar-pelajar.

Belajar secara kumpulan memberikan suasana belajar yang menyeronokkan. Seseorang


pelajar akan dapat belajar atau membuat ulang kaji dengan perasaan yang ceria tanpa tekanan
daripada guru-guru. Hal ini demikian kerana rakan-rakan merupakan orang yang paling dekat dengan
pelajar selain ahli keluarga. Contohnya, seseorang yang pemalu tidak berani bertanya kepada guru
apabila dia menghadapi masalah dalam pelajaran. Sebaliknya dia akan bertanya dan mengeluarkan
buah fikirannya di depan rakan-rakan. Justeru, belajar secara berkumpulan bukan sahaja dapat
memberikan suasana belajar yang menyeronokkan malahan membuka peluang kepada pelajar untuk
memajukan diri dalam pelajaran dengan acuan sendiri.

Selain itu, para pelajar dapat berkongsi ilmu sesama mereka melalui kaedah belajar secara
berkumpulan. Mereka berpeluang untuk bertukat-tukar pendapat dan pandangan tentang kaedah
menjawab soalan, bertukar nota pelajaran dan lain-lain. Mereka boleh berkongsi ilmu tentang sesuatu
mata pelajaran dan bekerjasma menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru. Seseorang pelajar yang
menghadiri kelas tuisyen akan lebih menguasai sesuatu ilmu berbanding dengan pelajar yang tidak
berpeluang menghadiri kelas tuisyen. Melalui perbincangan secara berkumpulan, pelajar-pelajar
dapat mengukuhkan kemahiran dan seterusnya mencapai keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan yang diduduki kelak.

Bak kata pepatah, muafakat membawa berkat, belajar secara berkumpulan dapat memupuk
semangat kerjasama dalam diri pelajar di samping dapat menerapkan nilai toleransi. Para pelajar
dapat menyiapkan sesuatu tugasan dengan cepat dan berkesan melalui semangat kerjasama yang
diamalkan. Contohnya, seseorang pelajar dapat menghasilkan karangan yang lebih baik dengan
adanya maklumat dan idea yang lebih relevan daripada rakan-rakan. Natijahnya, belajar secara
berkumpulan bukan saja dapat memupuk semangat bersatu padu, malah dapat mengeratkan
hubungan sesama mereka dan meningkatkan prestasi mereka dalam akademik.

Kesimpulannya, belajar secara berkumpulan merupakan langkah yang bijak bagi pelajar yang
ingin mencapai kecemerlangan. Sebagai bakal pemimpin negara, kita seyogianya melengkapkan diri
dengan pelbagai kemahiran dan memanfaatkan kaedah belajar secara berkumpulan untuk menjadi
seorang yang cemerlang dan seterusnya memberikan sumbangan bermakna kepada negara pada
suatu masa nanti.

(381 patah kata)


LANGKAH MENANGANI KEGAGALAN

PENDAHULUAN:-

Banyak orang beranggapan bahawa kegagalan merupakan malapetaka atau musibah yang mampu
merencatkan segala perancangan pada masa depan. Kegagalan juga dianggap sebagai titik noktah
akhir menghentikan perjuangan seterusnya memadamkan harapan dan cita-cita oleh sesetengah
orang. Hakikatnya, seseorang itu tidak seharusnya cepat merasa kecewa apabila menempuh
kegagalan, kerana jika mereka terus berusaha dan berusaha, sudah pasti mereka akan mencapai
kejayaan suatu hari nanti.

Jika seseorang itu gagal juga setelah berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh, anggaplah
kegagalan itu sebagai cabaran yang dapat mematangkan jiwa dan raga kita semua.

Kegagalan sememangnya amat memedihkan. Oleh hal yang demikian, perasaan bersalah merupakan
refleksi yang wujud dalam diri mana-mana insan yang pernah menempuh kegagalan.

IDEA-IDEA PENTING:-

(Langkah menangani kegagalan)

Terimalah kegagalan itu dengan penuh rasa insaf. Jadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan cuba
berusaha untuk membaiki kelemahan diri.

Seseorang yang menghadapi kegagalan mestilah berani untuk melupakannya. Membiarkan perasaan
bersalah terus menguasai diri hanya menjadikan seseorang itu semakin longlai, dan tidak dapat
berfikir secara positif.

Seseorang yang pernah gagal itu semestinya berusaha mendekatkan dirinya kepada Tuhan. Langkah
ini dapat meningkatkan tahap keimanannya yang akan memandunya dalam kehidupan seharian.

Mereka yang menghadapi kegagalan juga diharapkan lebih banyak meluangkan masa bersama
dengan keluarga masing-masing. Mereka boleh berbincang tentang perancangan masa depan.

Melakukan aktiviti yang diminati seperti bersukan, beriadah dan lain-lain dapat membina keyakinan
diri dan meredakan tekanan perasaan.

Menambah ilmu pengetahuan dengan membaca buku ilmiah, merujuk pakar dan membaca buku
motivasi dapat memberikan pencerahan dan sokongan moral untuk mencapai kejayaan.

Mempunyai sikap terbuka dan sedia menerima pandangan dan pendapat orang lain.

Berusaha lebih gigih dan tawakal untuk mengejar kejayaan.

PENUTUP:-

Kegagalan merupakan lumrah dalam kehidupan. Banyak orang yang berjaya pada hari ini,
sebenarnya telah pernah beribu-ribu kali menempuh kegagalan. Namun, jika kita terus
berusaha tanpa jemu disertakan pula dengan berbekalkan ilmu serta kemahiran baharu, insya-Allah
kita akan pasti mencapai kejayaan.
Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan
untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.
DI PERPUSTAKAAN
Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati
Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan
pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Maslahatnya jelas terungkap
dalam bait-bait sajak Perpustakaan di atas. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar kurang
mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama ada media
cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar
merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa
pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus
secara sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar
menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber
sekolah?
Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan
untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah satunya ialah
saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik. Saya
akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain untuk mengemas kini pusat sumber.
Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber akan diadakan secara berkala agar pusat
sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih. Saya juga akan memastikan buku-buku disusun
atur dengan kemas di atas rak-rak buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini
keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada
seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas,
bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber.
Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program NILAM untuk
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contoh, saya boleh membantu mencari
dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar semasa
program NILAM. Oleh itu, program NILAM dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal
ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai
budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program NILAM merupakan salah satu usaha
Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam
kalangan pelajar. Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun
sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan
sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Jelaslah bahawa,
pelaksanaan program NILAM yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk
mengunjungi pusat sumber.
Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan
yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat
menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan
meminta pihak pengurusan menyediakan komputer yang boleh diguna pakai oleh pelajar untuk
melayari Internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini. Saya akan membantu dari
segi penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang
baharu dan terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah
juga perlu menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara
tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan para
pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya
mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia
dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung
menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama, bak kata peribahasa budi bahasa
budaya kita. Layanan mesra daripada pengawas menggembirakan para pengunjung dan
merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga
akan membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam
oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama
sekiranya mereka lewat atau sengaja tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh
yang ditetapkan.
Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar
menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya
komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan masa dan tenaga.
Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk
buku akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan
buku yang dilakukan secara ‘scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat
sumber yang sistematik kerana para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan
pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah, sistem pinjaman yang sistematik dan efektif adalah
penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.

Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber


pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang
bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang pada pelajar sendiri sama
ada mahu menggunakan atau sebaliknya, tepuk dada tanyalah minda. Semua pihak perlulah
berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak kata
peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
DASAR 1 MURID 1 SUKAN

PENDAHULUAN:

Dasar 1Murid 1Sukan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di
sekolah sepanjang masa persekolahannya, selaras dengan Dasar Sukan Negara yang bermatlamat
untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat.

Dasar Sukan Negara bertitik tolak di sekolah melalui dua strategi, iaitu Sukan untuk Semua dan
Sukan untuk Kecemerlangan.

IDEA-IDEA UTAMA:
(Faedah-faedah Dasar 1M 1S)

Mampu membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dalam kalangan murid -
melahirkan murid yang bersahsiah mapan, jati diri yang utuh, dan memiliki nilai-nilai murni.

Menjadikan aktiviti bersukan sebagai budaya dalam kalangan murid - mengamalkan gaya hidup
sihat, mengelakkan diri terjebak dalam kegiatan kurang sihat.

Menanamkan semangat perpaduan dalam kalangan murid - semangat kerjasama dan bertoleransi
penting dalam menjayakan aktiviti sukan - perpaduan yang terbentuk dalam sesebuah pasukan
menjaminkan kemenangan dan kecemerlangan sukan yang diceburi.

Meningkatkan tahap kesihatan - murid yang terlibat secara aktif dalam aktiviti sukan akan memiliki
tahap kesihatan yang tinggi - otak cerdas datangnya daripada badan yang cergas. - mengurangkan
risiko penyakit kronik.

Melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi,rohani dan intelek (JERI). Insan yang
mempunyai kesimbangan JERI akan mudah bersaing di pentas global pada suatu hari nanti.

Meningkatkan peluang murid melanjutkan pelajaran ke peringkat IPTA dan IPTS. Setiap institusi
pengajian tinggi meletakkan syarat tertentu penglibatan murid dalam bidang kokurikulum untuk
kemasukan murid ke institusi mereka.

Melahirkan atlet-atlet berbakat yang seterusnya dapat mewakili negara dan menaikkan nama negara
di pentas antarabangsa.

Mengcungkil bakat-bakat baharu seterusnya digilap kebolehan semula jadi mereka - peluang
menceburkan diri dalam kerjaya sukan yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.

PENUTUP:

Dasar 1Murid 1Sukan banyak memberikan faedah kepada murid-murid. Semua pihak wajar
memberikan galakan dan sokongan kepada murid-murid untuk menyertai aktiviti sukan. Pihak
sekolah mestilah melaksanakan dasar ini dengan sempurna agar matlamat murni yang ditetapkan
dapat dicapai.
Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.
Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan permainan tradisional di
negara kita.
Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang
menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan oleh
masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah merujuk kepada permainan
budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat untuk satu tempoh yang tertentu
sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional
yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara jenis permainan tradisional tersebut
termasuklah congkak, wau, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga,
konda-kondi dan sebagainya. Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh
generasi muda. Hal ini membayangkan bahawa permainan tradisional berkenaan akan lenyap
ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak
ramai khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya
mainkan dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita?
Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah
dengan memupuk minat diri sendiri terhadap permainan tradisional. Remaja pada masa
ini banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka sering
menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh itu,
sebagai generasi muda, saya harus sedar bahawa saya berperanan memartabatkan permainan
tradisional. Hal ini boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi
berkaitan dengan permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang permainan
tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan tradisional yang ada di
negara kita. Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenan
pelbagai permainan tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud
kesedaran dalam diri sendiri untuk memartabatkan permainan tradisional di negara ini bagi
menyaingi permainan moden yang semakin popular dalam kalangan remaja.
Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan permainan tradisional
sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan sebaya pada waktu
petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta
tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-cara permainan tradisional tersebut
bagi membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif ini
bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk semangat
setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai
remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh rakan-rakan
dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya lebih baik mengisi masa dengan bermain
permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah
permainan tradisional mendatangkan banyak kebaikan kepada generasi muda masa ini.
Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional, saya sebagai pelajar sekolah
haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan tradisional menjadi
salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya akan menulis surat kepada pihak
sekolah menerusi persatuan agar memasukkan permainan tradisional menjadi sebahagian
daripada aktiviti kokurikulum di sekolah. Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan
permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya juga akan menyertai permainan tradisional
yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan
akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan
bermain congkak dan demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman
bagi menarik minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional
dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah,
tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan
pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam secara semula
jadi. Maka para pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan
tradisional.
Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan
budaya terutama permainan tradisional. Hal ini adalah kerana, permainan tradisional
merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar
dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam
diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya
telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan
memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada
awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga
yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula
menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan
tradisional terpelihara megah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan
terhadap permainan tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara

Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar


permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia
umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan
meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan
diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama
sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan
menggunakan pelbagai pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ
ada jalan.
GAYA HIDUP SIHAT
Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup sihat.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.
Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan pelbagai risiko
penyakit pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan
berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia
mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang
mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu,
untuk mengurangkan risiko obesiti serta penyakit berbahaya seperti sakit jantung, darah tinggi,
kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara
umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan
anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan
keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
Sudah terang lagi bersuluh peri pentingnya peranan ibu bapa dalam memupuk amalan
gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan
gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan memastikan anak-anak
mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang bermaksud pemakanan
yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat,
protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan
makanan yang berzat serta bernutrien kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan
untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang
jalan yang makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam
dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila
dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh
anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi
kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus
buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan
pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-
anak. Aktiviti ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa
dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup
sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama
toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap
serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan
tiga kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal,
berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini
boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari
kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mereka dapat meningkatkan kesihatan diri
dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa
perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup
sihat dapat dipupuk.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan
kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk
membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali
ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan
sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan
dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.
Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan
mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati
anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan
doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu
sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat
pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak
akan memupuk amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan
diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan
asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga
perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit,
mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan
seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar
tidak dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu
selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh
membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-
anak agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa juga
seyogia mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka.
Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada
sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong
di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga.
Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman
perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka
sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit
seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau
di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap
dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang
positif dalam diri anak-anak mereka sekali gus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada
pelbagai penyakit.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka
yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih
bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan
masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan
keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan
komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang
berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan.
Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup
yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi berkesan dengan ahli
keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta mengamalkan ibadat mengikut agama masing-
masing akan memberi impak psikologi yang positif.
Pada masa yang sama memiliki sikap atau mentaliti positif penting untuk menangani
tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu
mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa
tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat, kekangan
di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa
perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada
pakar motivasi ataupun rakan-rakan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang
dialami boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah
atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu
maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak.
Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah positif
menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka
dewasa.
Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa
perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga
ataupun rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu
bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat
demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan
bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu
amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi orang yang sakit, secara tidak langsung kehadiran
kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri
pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggung. Perbuatan menziarahi orang yang sakit
akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang
sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita
menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan
dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata
memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit
oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar
anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu
direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan
mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-
kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada
masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari
persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak
bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka
dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa
adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi
dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu
memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.

Jika mendaki menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Kemelut yang
bersangkut isu peranan ibu bapa telah dikupas dengan mendalam. Berdasarkan perbincangan
di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk
amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk
dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh
itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi
akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat
Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, darah
tinggi, sakit jantung, masalah obesiti dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa
yang panjang ini. Dengan kata lain, segala kelemahan perlu ditangani sebelum padi di sawah
menjadi lalang, sebelum ayam di reban disambar helang. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan
di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang sihat bak kata
pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
DEFINISI:-

Teknologi maklumat merupakan jaringan maklumat yang boleh diakses penggunaan talian secara
terus daripada pelbagai sumber dari merata-rata tempat di seluruh dunia.

Maklumat diperoleh melalui rangkaian LAN (Local Area Network) atau rangkaian kawasan setempat.
Komunikasi dilakukan secara e-mel, berkongsi pangkalan data dan menerusi laman sosial serta
rangkaian Internet.

KEPENTINGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT:-

Dapat mengikuti arus perkembangan dunia:

Mengetahui perkembangan terkini tentang negara luar - tentang penciptaan moden seperti kereta
terbang, robot Asimo dan lain-lain.

Maklumat ini boleh didapati melalui Internet - melalui laman sosial seperti Facebook, Twitter,
Google, Instagram, Yahoo Messenger dan lain-lain.

Mengetahui berita mutakhir di dalam dan di luar negera melalui Internet - contoh berita peperangan
di Syria.

ICT sebagai jaringan maklumat:

Memperoleh maklumat dengan lebih cepat - memudahkan kerja rumah yang ditugaskan oleh guru.

Berkongsi maklumat dengan sekolah dan pelajar - mendapatkan nota yang lebih efektif dari sekolah-
sekolah terkemuka dan dari blog-blog guru pakar setiap mata pelajaran.

Perkongsian kepakaran antara sekolah mahupun pelajar - Guru ataupun pelajar boleh merakam
video PdP, latihan amali dan kursus dan lain-lain untuk perkongsian.

Mengasah bakat pelajar dalam bidang telekomunikasi, seni persembahan dan pembikinan video dan
rakaman.

Dapat menarit minat masyarakat:

Menarik minat pelajar mendalami ilmu pengetahuan - pelajar yang kurang minat membaca boleh
menggunakan ICT sebagai alternatif untuk mendapat ilmu pengetahuan.

Pemaparan animasi canggih yang melibatkan audio dan visual berjaya menarik minat pelajar.

Membantu memudahkan pengajaran dan pembelajaran guru dan murid.

Pembelajaran lebih seronok dan ceria:

Pelajar seronok belajar menggunakan ICT.

Animasi dan teknik penerangan yang inovasi membantu pelajar mudah memahami satu-satu tajuk
dengan lebih mendalam.
MANFAAT BERBELANJA SECARA BERHEMAH

PENDAHULUAN:-

Dewasa ini isu-isu kenaikan harga barangan keperluan semakin diperkatakan.

Kenaikan harga barangan keperluan ini mempunyai perkaitan dengan kadar permintaan yang tinggi
berbanding dengan penawaran sesetengah barangan keperluan yang terhad.

Hal ini demikian juga ada kaitan dengan peningkatan kos pengangkutan, cukai yang semakin naik
dan musim perayaan.

Lebih membimbangkan lagi, sesetengah peniaga sengaja memanipulasi harga sesuka hati tanpa
memikirkan kebajikan pengguna.

Justeru, para pengguna sewajarnya bijak berbelanja dengan membeli barangan mengikut keperluan
dan elakkan daripada sikap boros dan membazir.

Kita perlulah berbelanja dengan cara lebih berhemah.

Banyak manfaat apabila kita berbelanja secara berhemah.

IDEA-IDEA PENTING:-

Dapat menjimatkan wang perbelanjaan kita. - Dalam konteks ini, kita hendaklah membuat
perancangan teliti terlebih dahulu sebelum berbelanja. Kita perlulah berbelanja mengikut
kemampuan dan membeli barangan yang perlu sahaja. Wang yang dapat dijimatkan boleh disimpan
untuk perbelanjaan lain atau disimpan untuk keperluan masa depan. Sediakan payung sebelum
hujan.

Berbelanja secara berhemah dapat mengelakkan pembaziran. - Membazir amalan syaitan.


Perbuatan membazir merupakan perbuatan yang merugikan diri kita. Dalam hal ini, jika kita membeli
makanan untuk makan tengah hari, kita hendaklah membeli mengikut keperluan, bukannya membeli
mengikut nafsu dan keinginan semata-mata. Makanan yang dibeli secara berlebihan pasti akan
dibuang, dan dengan ini berlakulah pembaziran.

Berhemah ketika berbelanja juga dapat mengelakkan kita daripada dibelenggu oleh masalah hutang.
- Belakangan ini ramai dalam kalangan kita yang terperangkap oleh belenggu hutang kerana sikap
buruk ketika berbelanja. Lebih parah lagi apabila kita menggunakan kad kredit tanpa had ketika
berbelanja. 40 peratus eksekutif muda hari ini diisytiharkan bangkrap kerana gagal membayar
hutang kad kredit. Kita hendaklah berbelanja mengikut kemampuan diri bukannya mengikut
perasaan. Ukur baju di badan sendiri.

Meningkatkan kecemerlangan dalam hidup juga merupakan manfaat berbelanja secara berhemah. -
Wang yang dapat dijimatkan ketika berbelanja dapat dijadikan modal perniagaan, membayar yuran
pengajian dan lain-lain. Hal ini demikian semestinya akan membantu kita menjadi manusia yang
lebih berjaya dalam hidup. Ada padi semua jadi, ada beras semua deras.

PENUTUP:-

Kesimpulannya, amalan berbelanja secara berhemah banyak mendatangkan manfaat kepada kita.
Amalan baik ini wajar menjadi budaya hidup masyarakat kita. Ibu bapa merupakan orang yang
terawal menjadi teladan kepada anak-anak agar generasi masa depan lebih peka dan prihatin ketika
berbelanja. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
ACARA MERENTAS DESA

Semua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum semestinya ternanti-nanti tarikh
Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah diumumkan sejak awal tahun lagi. Hal ini berlaku
demikian kerana acara tersebut merupakan medan untuk menunjukkan kehebatan masing-masing
dalam acara larian.Tambahan pula, sekolah aku merupakan sebuah sekolah sukan yang telah
melahirkan ramai jagoan dalam acara ini. Malangnya pada tahun ini kejohanan ini diadakan agak
lewat.

Dua hari yang lepas merupakan hari terakhir aku dan rakan-rakanku menduduki peperiksaan
pertengahan tahun. Pengetua sekolah kami kemudiannya telah mengumumkan tarikh acara yang
kami tunggu-tunggu itu. Sebaik sahaja perkara itu diumumkan, semua pelajar melonjak kegirangan.
Aku hanya mampu tersenyum melihat telatah teman-temanku. Semangat aku semakin membara
untuk menjawab kertas terakhir pada hari itu.

Kini, hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Sesi latihan yang diadakan oleh guru rumah sukan sebelum
hari pertandingan telah memberikan aku keyakinan untuk memenangi pertandingan pada kali ini.
Terdapat beberapa kategori mengikut umur yang dipertandingkan dalam
kejohanan ini.Aku menyertai pertandingan ini dalam kategori lelaki bawah 15 tahun.

Kami semuanya kemudian telah diarahkan berkumpul di padang sekolah. Kemudiannya kami telah
diberikan sedikit taklimat tentang syarat-syarat pertandingan dan jalan-jalan yang terpaksa kami lalui.
Taklimat ini sangat penting supaya tiada berlaku sebarang insiden yang tidak diingini. Pihak sekolah
juga telah meminta bantuan pihak polis dan juga RELA bagi mengawal lalu lintas semasa acara larian
berlangsung. Seterusnya, kami telah diminta untuk memanaskan badan bagi mengelakkan berlakunya
kekejangan otot semasa berlari nanti.

Perasaan aku makin berdebar ketika melihat peserta lelaki bawah 18 tahun dilepaskan oleh Pengetua
kami. Kemudiannya, bunyi tembakan kedengaran di udara menandakan kami telah dilepaskan untuk
memulakan larian. Aku yang berada di barisan hadapan terus meluru laju ke hadapan. Langkah demi
langkah kuatur dengan yakin supaya dapat bersaing dengan kelompok yang berada di
hadapan.Sepanjang laluan yang kami lalui, kami telah diberi sorakan semangat oleh orang ramai yang
berkumpul di tepi jalan untuk menyaksikan kami berlari.

Setelah jalan bandar kami susuri, kami terpaksa pula melalui kawasan ladang sawit. Jalannya agak
curam dan berbukit-bukit. Beberapa orang pelajar terjatuh kerana tergelincir. Nasib mereka baik
kerana tidak mengalami kecederaan yang serius. Aku pun beberapa kali nyaris hendak terjatuh kerana
tersepak batu-batu yang bertaburan di atas jalan. Sepanjang jalan yang kami lalui, terdapat guru-guru
yang mengedarkan getah untuk kami pakai menandakan kami sudah melalui jalan tersebut dan
mengelakkan berlakunya penipuan.

Sejam kemudian, aku dan beberapa orang rakanku telah sampai ke pintu pagar sekolah. Kami
dikehendaki menghabiskan larian sejauh 10 km itu di padang sekolah tempat kami memulakan larian
tadi. Aku makin bersemangat apabila melihat reben direntang di lorong penamat larian itu. Aku
memecut habis-habisan untuk sampai ke garisan penamat. Malangnya keghairahan aku itu
menyebabkan aku telah tersepak kaki aku sendiri dan mengakibatkan aku jatuh tertiarap di atas
padang. Hasrat aku untuk mendapat tempat pertama berkecai. Tetapi aku melihat guru-guruku
bertepuk tangan untuk memberikan aku semangat bagi meneruskan larian.

Dengan kaki yang terhencot-hencot aku sampai ke garisan penamat. Walaupun tidak berjaya
mendapat tempat pertama, aku tetap berbangga kerana berjaya menghabiskan larian dan mendapat
tempat ketiga. Hadiah kemudiannya telah disampaikan oleh Tuan Pengetua selepas semua pelajar
sampai ke garisan penamat. Aku berazam untuk mendapat tempat pertama pada tahun hadapan. Aku
percaya di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
KUALA LUMPUR 30 Ogos – Teruja menyaksikan ribuan penyokong hadir membanjiri
venue luncur ais di Stadium Luncur Ais Kebangsaan (MyNISS) Empire City,
Damansara Perdana merupakan pengalaman paling berharga bagi pemenang tiga
emas Sukan SEA 2017, Anja Chong An Ya.

Ratu luncur ais itu memberitahu, dia agak terkejut dan tidak menyangka ribuan
penyokong akan hadir menyaksikannya walhal sukan tersebut pertama kali
dianjurkan dalam sejarah temasya dwi tahunan berkenaan.

“Saya rasa macam tidak percaya sebab pertama kali sukan ini dianjurkan, tetapi ramai
yang datang memberikan sokongan sehingga saya memperoleh semangat dalam
usaha memenangi ketiga-tiga pingat emas Sukan SEA.

“Terima kasih kepada mereka, sebab mereka antara faktor penyumbang utama
dalam menyuntik tenaga kami untuk beraksi di dalam gelanggang.

“Sukan SEA 2017 sangat istimewa bagi saya.Memang misi saya menyertai temasya ini
adalah untuk membolot semua emas yang saya sertai dan paling utama,
mengharumkan nama negara. Inilah saat-saat yang paling saya nanti-nantikan,”
katanya kepada pemberita.

Atlet berasal dari Kuala Lumpur itu menyapu bersih tiga emas dalam semua acara
yang disertainya menerusi pecut 500 meter (m), 1,000m dan 3,000m berganti-ganti
bersama Ashley Chin, Nor Marissa Alia Ahmad Lokman serta See Wan Ni.

Mengulas langkah seterusnya selepas tamat temasya edisi ke-29 itu, Anja Chong
yang juga pelajar Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Nottingham
memberitahu, dia sedang mengintai peluang untuk ke Sukan Olimpik musim sejuk di
Korea Selatan tahun depan.

“Sukan SEA merupakan medan terbaik saya untuk meraih pengalaman dan motivasi
menjelang kelayakan Olimpik (musim sejuk) pada bulan depan. Saya harap saya
dapat buat yang terbaik kerana ia merupakan destinasi iadaman saya dalam karier
saya sebagai atlet,” katanya.

Anda mungkin juga menyukai