Anda di halaman 1dari 2

Langkah mengatasi masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar

Dalam mendepani arus modenisasi hari ini, kita sering dikejutkan di televisyen dan dada akhbar
akan gejala sosial yang berlaku dalam kalangan generasi muda. Antaranya adalah gejala ponteng
sekolah yang akan merugikan masa pelajar yang terlibat melakukan aktiviti yang tidak sihat ini. Isu ini
telah menjadi  satu induktor penanda aras kelemahan sistem pendidikan di Malaysia yang
diimplementasikan melalui Dasar Pendidikan Negara (DPN). Adakah pelajar bosan dengan proses
pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan? Persoalan ini sering menjadi perbincangan ahli
masyarakat yang mempersoalkan kenapa pelajar ingin melakukan gejala ini sebaliknya duduk dan
mempelajari sesuatu di sekolah dengan penuh disiplin. Oleh itu, wajar untuk dibincangkan apakah
langkah yang perlu diambil bagi membanteras gejala ponteng dalam klangan pelajar.

Inisiatif utama yang boleh dilaksanakan adalah menetapkan undang-undang yang lebih berkesan
di sekolah. Sekolah merupakan institusi pengajian yang sepatutnya dihormati dan dinikmati oleh setiap
individu yang menggunakan infrastruktur tersebut. Namun begitu, kesan daripada gagal membuat
keputusan dan membezakan di antara perkara baik dan buruk telah menyebabkan beberapa pelajar
sanggup memonteng sekolah. Banyak faktor yang mempengaruhi perilaku seseorang pelajar yang
bermasalah. Sebagai pihak sekolah, peranan yang boleh diambil adalah mengetatkan peraturan seperti
memberikan khidmat kaunseling, menghantar pelajar ke program sukarelawan dan melaporkan kepada
polis jika kesalahan pelajar melebihi had yang ditetapkan sekolah. Tambahan pula, pihak sekolah juga
boleh menganjurkan aktiviti berbentuk motivasi dan kesedaran murid tentang seronoknya persekolahan
berbanding membuang masa memonteng dan melepak di tempat-tempat awam.

Langkah seterusnya adalah terletak kepada peranan ibu bapa pelajar dalam memberi perhatian
dan mendidik mereka. Sebenarnya, adab dan tingkah laku anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa
dalam membentuknya menjadi seorang individu yang berfikiran waras dan penuh sopan dan santun.
Guru di sekolah hanya memberikan didikan berbentuk fakta dan pengetahuan yang memberi manfaat
untuk masa hadapan pelajar. Gejala ponteng dalam kalangan pelajar mungkin berlaku kerana kurang
mendapat perhatian daripada ibu bapa yang sibuk bekerja atau menghadapi krisis dalam rumahtangga.
Dalam situasi ini, pelajar tidak boleh disalahkan sebaliknya ibu bapa yang bertanggungjawab memastikan
anak-anak mereka bersedia dan selesa dengan keadaan keluarga masing-masing supaya mampu
memberikan fokus kepada pembelajaran di sekolah. Ingatlah, “segala-galanya bermula di rumah”.
Begitulah ungkapan kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D Franklin, Maka ibu bapalah yang bertindak
sebagai agen pencorak utama membentuk karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan gejala
yang tidak memberi manfaat pada hari akan datang.

Di samping itu, masyarakat juga wajar memainkan peranan bagi menangani masalah ponteng
dalam kalangan pelajar. Sebagai anggota masyarakat, kita hendaklah bersikap prihatin dengan menegur
dan bertanya kepada pelajar jika kita terserempak dengan mereka di luar sekolah pada waktu
persekolahan berlangsung. Tetapi, kita perlu menggunakan pendekatan yang berbeza untuk mendekati
atau memberikan nasihat kepada pelajar yang memonteng. Hal ini kerana, golongan muda dewasa ini
tidak termakan dengan ugutan dan tengkingan yang kononnya menakut-nakutkan mereka akan akibat
perbuatan mereka. Sebaliknya, kita boleh menasihati mereka dengan bertanya kenapa mereka
memonteng sekolah dan terbuka dengan pendapat daripada mereka. Selepas mendengar alasan yang
diberikan oleh mereka, kita boleh mencadangkan solusi kepada mereka yang mungkin mempunyai
masalah dalam pembelajaran. Sebagai contoh, menasihati mereka untuk menyertai aktiviti sukan yang
membolehkan mereka tidak tertumpu kepada pengajian di kelas sahaja. Tambahan pula, sukan mampu
menjadi karier yang mempunyai permintaan dalam negara ini.

Selain itu, pihak yang mampu memainkan peranan penting dalam membanteras gejala ponteng
dalam kalangan pelajar adalah media massa. Tahap keberkesanan media massa dalam memberikan
informasi kepada masyarakat mampu menjadi sandaran kepada pembentukan masyarakat yang lebih
baik. Media massa haruslah memainkan peranan untuk menyebarkan iklan-iklan nasihat dengan
penerapan nilai-nilai moral supaya dapat member pengajaran kepada semua pihak. Penanyangan cerita-
cerita, program atau iklan-iklan yang bersifat negatif seperti cerita berunsur gengster hendaklah disekat.
Hal ini demikian kerana ia akan mendorong remaja terutamanya para pelajar untuk meniru aksi-aksi
tersebut seperti merokok, menghisap dadah, gam, berlumba haram dan secara tidak langsung akan
terlibat dengan gejala ponteng sekolah. Oleh itu, media massa banyak member peranan dalam usaha
untuk membentuk akhlak masyarakat dan menangani gejala sosial khususnya ponteng sekolah.

Tuntasnya, banyak inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi membanteras gejala ponteng dalam
kalangan pelajar. KIta juga boleh simpulkan bahawa segala inisiatif memerlukan kerjasama daripada
semua pihak agar generasi muda kita mampu menjadi generasi yang lebih baik berbanding generasi
terdahulu. Dengan membentuk golongan muda yang berdisiplin dan mementingkan pembelajaran,
nescaya masa hadapan negara akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara
maju yang lain. Sesungguhnya pentarbiahan yang sempurna menjamin keterjelmaan negara seiring
dengan wawasan kemakmuran bersama yang diwara-warkan oleh kerajaan hari ini.

Anda mungkin juga menyukai