Anda di halaman 1dari 4

Masalah Sosial Dalam Kalangan Pelajar

Setelah umat mengorak langkah memasuki alaf baru yang penuh dengan pancaroba hidup, ibu pertiwi kita kini mengalami revolusi gelombang ketiga iatu gelombang teknologi maklumat. Kerajaan telah merangka dan merencana pelbagai formula dan strategi yang pragmatik lagi komprehensif dalam usaha untuk membolehkan negara Malaysia Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi lain dalam era siber ini. Negara kita gagah dan bangga dengan kejayaan yang kita tempa dalam bidang teknologi maklumat.Namun di sebalik tabirnya, kejayaan dalam bidang teknologi maklumat ini turut meninggalkan pelbagai impak negatif yang menyebabkan masalah sosial dalam kalangan pelajar meningkat saban hari.Persoalannya, apakah langkah-langkah proaktif yang dapat dilakukan untuk menangani kemelut ini daripada bertambah parah?

Bertitik tolak daripada manifestasi itu, ibu bapa sebagai saudara yang terdekat kepada anak-anak sememangnya memainkan peranan yang signifikan sebagai nakhoda kapal dalam membentuk peribadi anak-anak mereka. Dalam mengharungi arus pemodenan yang kian deras ini, ibu bapa era ini hendaklah menunjukkan model dan postur yang baik kepada anak -anak mereka supaya tidak digelar bagai Ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul . Ibu bapa sendiri seharusnya menunjukkan teladan yang baik dan tidak melakukan perkara yang negatif di hadapan anak -anak mereka kerana Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Anak-anak kecil ini juga diibaratkan sebagai kain putih yang tidak mengenal apa-apa dan terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkan mereka.Oleh itu, ibu bapa hendaklah memberikan ajaran dan didikan agama yang mantap kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi bak kata pepatah Melayu, Melentur buluh biarlah dari rebungnya .Bagi membendung masalah ini, jalinan kemesraan antara suami isteri juga mesti kukuh, agar segenap perhatian dan kasih sayang dapat diberikan kepada anak -anak yang menempuh alam remaja. Dalam konteks yang sama, ibu bapa sewajarnya menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada anak-anak mereka. Biarlah berkereta sederhana, tetapi tempat tinggal seharusnya diberi keutamaan, agar anak-anak dapat membesar dalam suasana yang selesa dan harmoni.Ibu bapa juga hendaklah sering meninjau dan memantau kelakuan dan kegiatan yang dilakukan oleh anak -anak mereka ketika berada di luar rumah.Memang menjadi lumrah bahawa ibu bapa bertanggungjawab untuk memasang telinga dan tajam hati untuk mengawasi gerak-geri si anak.Permehatian ini bukanlah sekadar bermusim, sebaik-baiknya berterusan.Sehubungan dengan itu, ibu bapa juga mestilah menyemaikan benih-benih nilai murni ke dalam sanubari anak-anak supaya mereka dapat bertindak dengan rasional dengan berpandukan norma-norma masyarakat.Secara tuntasnya, ibu bapa sememangnya memainkan peranan yang dominan dalam mengatasi fenomena yang kian meruncing ini.

Sementelahan itu, sekolah sebagai rumah kedua kepada para pelajar hendaklah memainkan peranan sebagai mata dan telinga dalam membendung masalah ini. Pihak sekolah perlu menyelami dan

memahami apa masalah yang dihadapi oleh para pelajar pada masa kini. Menurut kata Dr.Sun Yat San, Antara pekerjaan yang paling susah ialah memahami dan mengerti. Apabila telah faham dan mengerti, segala pekerjaan mudah sahaja untuk dilaksanakan .Jadi tidak hairanlah dengan memahami masalah yang menempa para pelajar, guru-guru dapat menerangkan kepada para pelajar faktor-faktor berlakunya masalah tersebut dan seterusnya langkah -langkah untuk mengatasinya. Penerangan walaupun tidak mendalam tetapi akan memberi kesan yang mendalam kepada para pendengar. Guru-guru mata pelajaran Pendidikan Moral, Agama Islam, dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan pula hendaklah memberikan didikan moral serta agama kepada parapelajar. Nescaya seseorang yang mempunyai pegangan agama yang kukuh tidak akan goyah untuk melakukan perbuatan yang negatif meskipun diajak dan dipujuk oleh rakan -rakan sebaya mereka. Pihak sekolah juga haruslah mengadakan ceramah untuk mendedahkan kepadapara pelajar tentang implikasi-implikasi buruk apabila terlibat dalam gejala negatif.Pendedahan ini diyakini dapat menyedarkan para pelajar supaya menjauhkan diri daripada anasir-anasir yang negatif.Unit bimbingan dan kaunseling sekolah pula perlu kerap mengadakan sesi kaunseling dengan para pelajar yang mempunyai masalah disiplin untuk membentuk jati diri yang ampuh dalam jiwa mereka.Jika usaha ini tidak berjaya, pihak sekolah perlulah memanggil kedua-dua ibu bapa pelajar terbabit untuk mengatasi masalah ini agar tidak terus menjadi duri dalam daging.Pendek kata, pihak sekolah hendaklah menyumbangkan tenaga dalam usaha untuk mengatasi permasalahan global ini.

Seterusnya, usaha untuk menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar haruslah bermula daripada individu berkenaan.Para pelajar haruslah mempunyai kesedaran diri supaya dapat mengikiskan sikap-sikap negatif yang terdapat dalam diri mereka. Pelajar sendiri juga hendaklah menginsafi kesilapan diri dan beriltizam untuk menjadi insan yang salih dan kamil agar dapat menjadi mentor kepada masyarakat yang lain. Seiringan itu, para pelajar boleh membuat refleksi diri untuk mengetahui kelemahan diri dan berusaha untuk membaikinya.Seseorang pelajar itu juga haruslah berhati-hati dalam pergaulan seharian.Hamka, seorang ahli falsafah pernah berkata, Pergaulan mempengaruhi didikan otak, pergaulan membentuk kepercayaan dan keyakinan.Oleh itu, untuk kebersihan jiwa hendaklah bergaul dengan orang yang berbudi, orang yang kita dapat manfaat daripadanya .Berdasarkan kata hikmat ini, jelaslah bahawa pergaulan penting untuk mempengaruhi akhlak dan peribadi seseorang individu.Sekiranya seseorang pelajar itu tersalah memilih rakan yang rosak akhlak, maka buruklah impaknya. Akibatnya, pelajar itu akan terpengaruh dengan perbuatan rakannya yang tidak baik. Justeru, para pelajar haruslah bijak memilih rakan dan menjauhi kumpulan yang berakhlak buruk, yang dapat mempengaruhi mereka dengan gejala negaitif.Para pelajar juga perlulah mngisikan masa senggang mereka dengan perkara yang berfaedah.Menurut pepatah Arab, Masa itu umpama pedang, jika kamu tidak memancungnya, pasti masa akan memancung kamu .Daripada kata-kata tersebut, jelaslah kepada kita bahawa masa amat berharga dan haruslah kita menggunakan masa yang terluangdengan berfaedah.Hal ini secara tidak langsung dapat menghindari pelajar daripada terjerat dengan kegiatan yang negatif.Tegasnya, kesedaran diri dalam pelajar adalah amat penting, sebagai langkah alternatif untuk membendung gejala sosial daripada menular.

Jika kita menyelak akhbar tahun 1980-an dan sebelum itu, kita tidak akan menemui berita tentang salah laku pelajar yang sanggup merompak, menagih dadah, meragut, berlumba haram, merogol, malah jauh sekali berbunuhan. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, kejadian seperti ini sudah menjadi perkara yang semakin hangat diperdebatkan di seantero ibu pertiwi kita malah telah menjadi tajuk perbualan yang kian hebat dibincangkan, bermulalah dari meja besar syarikat sehinggalah ke meja kedai kopi.Ironinya, di manakah pelajar ini memperoleh idea untuk bertindak?Salah satu sebab yang tidak dapat dinafikan ialah faktor media. Media massa sepatutnya menyiarkan rancangan yang bertemakan kebudayaan dan bukannya rancangan dari barat yang berunsurkan keganasan dan negatif. Dalam hal ini, Lembaga Penapis Filem perlu lebih peka untuk mengelakkan babak yang berunsur negatif disiarkan ke udara. Lantaran itu, media massa elektronik haruslah sentiasa menyiarkan iklan tentang kesan-kesan buruk gejala sosial di televisyan, melalui radio ataupun internet. Media massa bercetak juga boleh memaparkan kemudaratan yang dibawa apabila pelajar terlibat dalam gejala sosial di halaman surat khabar, majalah dan ensiklopedia. Natijahnya, media massa haruslah memainkan peranan sebagai penggerak utama untuk memastikan pelajar berada di landasan yang betul.

Di samping itu, kerajaan juga memainkan watak yang penting dalam menangani fenomena ini.Kerajaan seharusnya bertindak tegas, bukan hangat-hangat tahi ayam dalam usaha untuk menutup pusat-pusat perjudian dan pub-pub haram yang menyumbang gejala sosial kepada pelajar. Pusat-pusat hiburan lain yang masih halal perlulah dibatal lesen perniagaan jika mereka membenarkan pengunjung di bawah umur memasuki premis perniagaan mereka. Ji a alam di k sekolah indah, disambut dengan alam yang menyenangkan di luar, sekurang -kurangnya masalah sosial tidak seruncing sekarang.Selain itu, kerajaan hendaklah menguatkuasakan undang -undang dan mengenakan hukuman yang setimpal ke atas individu yang didapati terlibat dalam gejala sosial yang melanggari Akta Undang-Undang Negara. Pihak polis pula haruslah meningkatkan rondaan dan pemantauan di sekitar bandar dan taman perumahan yang sering dilanda kes gejala sosial. Semuanya bertujuan untuk menggerunkan m asyarakat yang melibatkan diri dalam gejala sosial, sama ada pelajar mahupun belia yang melebihi umur 18 tahun. Kerajaan juga hendaklah melancarkan kempen-kempen kesedaran dan ceramah bergerak sehingga ke seluruh pelosok negara.Kempen-kempen dan ceramah ini haruslah dipertingkat dan diperluas ke kawasan-kawasan pedalaman.Usaha-usaha ini bertujuan untuk membuka mata para pelajar tentang impak-impak negatif apabila melibatkan diri dalam gejala sosial. Jabatan Rukun Tetangga juga perlu diwujudkan di setiap taman perumahan supaya kes-kes sosial dapat dikawal dan keamanan penduduk dapat dijaga. Hal ini secara langsung dapat membanteras gejala-gejala sosial yang berlaku di sekitar taman perumahan. Walau bagaimanapun, masyarakat setempat hendaklah berganding bahu d engan pihak kerajaan seperti kata pepatah, Bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini sepenuhnya.Masyarakat perlulah mengamalkan sikap Menjaga tepi kain orang dengan melaporkan gejala-gejala sosial yang berlaku kepada pihak berkuasa supaya tindakan yang lebih lanjut dapat diambil.Kerjasama antara masyarakat dan kerajaan diyakini dapat membuahkan hasil yang lebih bermakna dan bererti.

Kesimpulannya, masalah sosial dalam kalangan pelajar perlu dipandang serius oleh ibu bapa, masyarakat dan pucuk pimpinan.Dalam usaha untuk menrealisasikan konsep Wawasan 2020, kita tidak mahu generasi pelapis ini, yang bakal mewarisi kepimpinan nagara dipenuhi oleh mereka yang tidak berdisiplin.Oleh itu, semua pihak haruslah menggembleng tenaga untuk menangani kem elut ini sebelum bertambah parah, demi melahirkan pelajar yang berakhlak dan bersahsiah baik.Hal ini adalah kerana, pelajar-pelajar inilah yang bakal menjadi peneraju negara pada masa hadapan bak kata pujangga, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara .

Anda mungkin juga menyukai