Anda di halaman 1dari 2

Tingkah laku vandalisme semakin hangat dibincangkan dan membimbangkan semua

pihak. Isu ini perlu segera ditangani agar tidak terus berleluasa. Mengapakah fenomena
ini berlaku dan langkah – langkah untuk mengatasinya ?

Vandalisme boleh didefinisikan sebagai perilaku membinasakan harta benda awam atau
orang lain. Vandalisme seringkali dirujuk kepada perbuatan merosakkan harta benda awam
seperti kerusi, telefon dan tandas awam. Kelakuan ini biasanya dilakukan oleh remaja yang
terlibat dalam budaya lepak dan dianggap sebagai satu cara untuk melepaskan geram atau
kebosanan semata–mata. Salah satu vandalisme yang merosakkan harta benda awam bukan
sahaja merugikan pelbagai pihak malah memburukkan imej masyarakat dan juga negara
terhadap sikap golongan remaja. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan tingkah laku
vandelisme semakin meningkat dan langkah-langkah untuk mengatasinya.

Faktor–faktor berlakunya vandalisme ialah pengaruh rakan sebaya. Seperti yang


diketahui umum, rakan sebaya mampu mencorakkan nilai–nilai sama ada positif atau
negatif dalam diri remaja. Remaja yang gagal memilih rakan yang baik akan terikut dengan
perilaku negatif rakan mereka dan salah satu daripada perilaku tersebut adalah kegiatan
vandalisme. Secara kebiasaannya, remaja yang melakukan kegiatan vandalisme merupakan
golongan remaja dalam kumpulan. Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul
maka timbullah pelbagai idea negatif termasuklah menconteng dan merosakkan harta
benda awam.

Selain itu, tekanan yang dihadapi dalam hidup seseorang. Dalam dunia yang penuh
dengan cabaran ini, kebanyakan individu berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuklah
golongan pelajar. Ramai pelajar kini berasa amat tertekan dengan harapan diri sendiri, ibu
bapa dan pihak sekolah untuk memperoleh kejayaan cemerlang dalam menjadi ukuran
pencapaian kejayaan seseorang. Bagi pelajar yang lemah, ini akan memungkinkan mereka
mengalih pandangan terhadap kegiatan yang negatif seperti vandalism di dalam sekolah.
Hasil daripada keadaan tersebut menyebabkan berlaku peningkatan kegiatan tersebut
dalam kalangan pelajar sekolah. Jelaslah bahawa tekanan yang dihadapi dalam hidup juga
mempengaruhi peningkatan vandalisme.

Seterusnya, sikap tidak peduli masyarakat. Sikap tidak peduli masyarakat turut
menyebabkan masalah vandalisme semakin meningkat. Masyarakat secara umumnya
memainkan peranan penting dalam sesebuah komuniti. Setiap individu dalam sesebuah
masyarakat mempunyai peranan penting dalam membentuk komuniti yang sihat.
Malangnya perkara yang berlaku dewasa ini amat mendukacitakan. Sikap masyarakat yang
hanya mementingkan material semata–mata menyebabkan perkara yang berlaku di
sekeliling sudah tidak diambil peduli. Kerosakan harta benda awam yang berlaku di
persekitaran mereka sudah tidak lagi menjadi masalah mereka. Hal ini menyebabkan remaja
yang melakukan kegiatan vandalisme merasakan bahawa diri mereka bebas untuk
melakukan perkara tersebut.

Terdapat beberapa langkah untuk mengatasi masalah vandalisme ini yang dapat
dilaksanakan iaitu pihak kerajaan yang boleh mengadakan kempen kesedaran. Salah satu
Langkah yang dapat dilaksanakan oleh kerajaan adalah dengan mengadakan pelbagai
kempen kesedaran. Melalui kempen sebegini, seluruh golongan rakyat perlu mengubah
sikap dan pemikiran seterusnya bersatu membentuk satu masyarakat yang tinggi tahap
ketamadunannya. Seluruh rakyat Malaysia perlu berusaha menanam kesedaran dalam diri
agar sentiasa bersyukur atas segala kemudahan dan prasarana yang disediakan oleh pihak
kerajaan. Seterusnya memainkan peranan dan tanggungjawab untuk memastikan segala
kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk kegunaan rakyat sejagat, sentiasa dalam
keadaan yang terpelihara dan mudah guna.

Sehubungan dengan itu, keburukan gejala sosial seperti vandalisme perlu diterapkan
dalam pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah. Contohnya melalui mata
pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral, setiap pelajar akan
menyuburkan perasaan kasih sayang mereka kepada tanah air. Setiap warganegara
Malaysia yang patriotik pastinya tidak akan melakukan apa – apa sahaja perbuatan yang
akan mencacatkan imej negara tercinta. Jelaslah bahawa penerapan gejala sosial seperti
vandalisme dalam pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah mampu mengatasi
masalah tersebut.

Disingkap dari perspektif lain, ibu bapa juga memainkan peranan yang tidak kurang
pentingnya. Dalam usaha memburu kejayaan dan mengumpulkan kekayaan, ibu bapa tidak
wajar melupakan tanggungjawab dalam membentuk anak–anak menjadi insan yang berbudi
luhur dan berdisiplin. Ibu bapa yang sedar akan tanggungjawab mereka itu perlu
memastikan bahawa anak–anak akan menjauhi kancah sosial seperti vandalisme. Bukan itu
sahaja, ibu bapa juga perlu memberi didikan agama yang sempurna kerana insan yang
bertakwa kepada tuhan akan menjauhi aktiviti yang membawa kesan buruk kepada diri.

Konklusinya, pelbagai langkah boleh dilaksanakan untuk memastikan masalah vandalisme


dalam kalangan remaja dapat diatasi. Ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam
mendidik anak–anak ke arah kebaikan kerana hanya jauhari yang mengenal manikam.
Pastinya dengan bimbingan, kata–kata nasihat serta kasih sayang yang diberikan oleh ibu
bapa dapat melahirkan anak–anak yang mendengar kata dan bersifat baik. Justeru, setiap
pihak perlu menjalankan peranan masing–masing dalam membantu golongan remaja
menghadapi badai kehidupan mereka dan seterusnya membimbing mereka ke arah
kejayaan yang memberikan manfaat kepada manusia sejagat.

Anda mungkin juga menyukai