Anda di halaman 1dari 13

SUBJEK :

IDI3153

METODOLOGI DAKWAH MASYARAKAT MAJMUK

TAJUK TUGASAN :

SUKU KAUM BAJAU SAMAH

NAMA PENSYARAH :

USTAZ AINUDDIN BIN KAMARUDDIN

NAMA PELAJAR :

NUR WAHIDAH SURYANI BINTI ABDUL SHUKUR

NO.MATRIK :

PIB20086

IJAZAH SARJANA MUDA DAKWAH ISLAMIAH

FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

SEMESTER 1, SESI 2021/2022


1.0 LATAR BELAKANG

Kebudayaan adalah tatacara hidup dalam sesebuah masyarakat. Kebudayaan dan masyarakat
tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain kerana jika tidak wujudnya masyarakat maka
kebudayaan tidak akan ada. Kebudayan memperkenalkan identiti sesuatu bangsa tertentu
terutamanya kebudayaan masyarakat yang ada di Malaysia. Ini kerana negara kita merupakan
sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan tinggal bersama dalam
sebuah negara secara bersatu. Sesuatu masyarakat tidak akan berfungsi jika tidak ada
kebudayaan yang mengatur, menyusun dan mengarah sesebuah masyarakat. Keunggulan sesuatu
bangsa terhasil dari nilai-nilai budaya kerana ia mencerminkan keunikan dan keistimewaan
sesuatu bangsa. Inilah yang menjadikan Malaysia sebagai negara yang unik dan istimewa
sehingga sekarang.

Suku kaum Bajau merupakan salah satu etnik yang terawal mendiami kawasan Sabah dan
diiktiraf sebagai penduduk asli. Secara amnya suku kaum Bajau dibahagikan kepada dua
kelompok iaitu kelompok Bajau Samah atau lebih dikenali sebagai Bajau Darat dan juga
kelompok Bajau Pantai Timur ataupun Bajau Laut. Bajau Samah atau Bajau Darat, merupakan
kelompok etnik daripada suku Kaum Bajau yang menetap di kawasan Pantai Barat Sabah seperti
di Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu dan Papar. Pekerjaan mereka selalunya adalah petani dan
juga nelayan di persisiran pantai. Bajau Samah ini juga dikenali sebagai “cowboy of the east”
yang bermaksud “koboi timur” kerana kepakaran mereka dalam menunggang kuda. Selain
daripada itu, Bajau Samah juga terkenal dalam menghasilkan senjata khusunya pedang samurai
yang bukan sahaja digunakan sebagai senjata tetapi juga sebagai salah satu tarikan dan
cenderamata oleh pelancong dari luar ataupun dalam negara.

Bajau pantai timur pula dikenali sebagai Bajau Laut kerana kehidupan mereka berkisarkan
laut. Jika Bajau Darat dikenali sebagai “cowboy of east”, maka Bajau Laut dikenali sebagai “sea
gypsies” kerana tinggal secara nomad di laut. Meskipun kedua-dua suku kaum ini berasal dari
susur galur yang sama, namun terdapat perbezaan yang ketara dari segi pakaian, bahasa,
pemakanan, adat resam dan juga budaya. Di Sabah, enam bahasa Bajau digunakan dan semuanya
berasal dari keluarga Sama-Bajau. Bagi kaum Bajau pantai timur, bahasa mereka dipinjam
daripada Suluk iaitu bahasa perdagangan di Laut Sulu. Manakala, Bajau Pantai Barat pula,
mengadaptasikan bahasa mereka daripada bahasa melayu.

2
2.0 OBJEKTIF KAJIAN

Saya menjalankan kajian ini adalah untuk mengkaji tentang salah satu etnik yang ada di
Malaysia, melalui kajian ini saya dapat memenuhi objektif yang berikut. Pertama, bagi
mengenalpasti, mencari dan merungkai rumusan sumber-sumber sejarah yang berkaitan dengan
etnik Bajau. Malah secara tidak langsung ini akan dapat memberikan pemahaman dan melatih
diri saya dalam membuatkan satu kajian yang bersifat ilmiah. Selain daripada itu, dapat mengajar
dan meyedarkan bahawa anak muda harus bertanggungjawab memelihara dan memulihara
warisan sejarah agar tidak ditelan zaman. Seterusnya, kajian ini dapat menambahkan lagi
pengetahuan saya tentang sejarah awal, asal usul, adat resam, budaya pertuturan dan lain-lain
yang berkaitan dengan etnik Bajau Sama yang ada khususnya di Pantai Barat Sabah. Ini juga
memberi saya pendedahan untuk mengenali dan memahami lagi tentang etnik Bajau Sama.
Akhir sekali, kajian ini juga dapat menjadikan teladan dan iktibar malah menyedarkan rakyat
terutamanya di Malaysia untuk lebih mengetahui dan menghormati budaya dan adat kaum lain.
Ianya melambangkan setiap kaum mempunyai adat dan budaya tersendiri yang perlu kita hormati
untuk mendapatkan keamanan bersama. Menghargai dan menghormati kepalbagaian budaya dan
agama kerana ia adalah aset atau kelebihan penting yang patut dibanggakan dan dipertahankan.

3.0 SUKU KAUM BAJAU SAMAH

3.1 ASAL NAMA BAJAU

Etnik Bajau Asia Tenggara didapati kurang gemar memperkenalkan diri mereka sebagai Bajau
tapi sebaliknya memilih untuk memperkenalkan identiti mereka sebagai Samah. Bagi masyarakat
Bajau itu sendiri mereka menamakan bangsa mereka sebagai bangsa Samah dan daripada
perkataan Samah itulah terbit nama bahasa mereka iaitu Sinamah. Namun belum ada sumber
atau rumusan bagaimana bangsa ini mendapat namanya sebagai Bajau, ia masih kabur.
Kekaburan ini yang menyebabkan perbahasan di kalangan segelintir individu sehingga ada yang
mengklasifikasikannya mengikut logik masing-masing.

3
3.2 SEJARAH AWAL

Asal usul Bajau sehingga kini masih belum ada penamat atau satu rumusan yang tepat
mengenainya kerana tidak mudah mengurai apatah lagi menentukan asal usul sebenar suku etnik
Bajau. Ini berikutan dengan wujudnya begitu banyak cerita dan sumber sejarah yang berbeza
sedangkan pada masa yang sama tidak dapat dipastikan keaslian serta kebenarannya yang
menyebabkan wujudnya kepelbagaian sumber lain. Kepelbagaian ini dikaitkan sebagai gambaran
kehidupan etnik Bajau yang asalnya berkelana di laut dan kesudahannya perlu membuat
keputusan untuk berterusan begitu atau sebaliknya beralih ke daratan membina suatu bentuk
kehidupan baharu. Seterusnya, penempatan Bajau yang tersebar di pelbagai wilayah dikatakan
sudah cukup untuk membuktikan bahawa etnik ini lebih gembira menentukan arah hidup mereka
berdasarkan keselesaan berkelompok.

Walau bagaimanapun, terdapat dua pandangan utama yang boleh diambil kira. Pendapat
pertama mendakwa Bajau berasal dari Zamboanga di selatan Filipina, manakala pendapat kedua
pula menyebut bahawa etnik ini sebenarnya berasal dari Johor. Kedua-dua pendapat yang
dikemukakan menerusi kajian ini disokong oleh sumber linguistik, demografi, geografi, budaya
dan tradisi lisan. Etnik Bajau hakikatnya telah banyak tersebar di sekitar Asia Tenggara iaitu dari
Teluk Martaban di Burma hinggalah ke Indonesia, Australia, Malaysia dan Filipina. Banyak
persamaan turut dikenal pasti, baik dari aspek bahasa mahupun budaya, khususnya antara
masyarakat ini di Johor-Riau dengan etnik Bajau Kalimantan, Laut Celebes dan Kepulauan Aru.

Selain daripada itu, bukti geografi juga dikesan di Singapura berdasarkan penemuan sebatang
sungai yang dikenali sebagai Sungai Bajau yang merujuk kepada etnik ini dan dikatakan telah
wujud sejak zaman tradisional. Bukti lisan turut menyokong perkara ini, malah kebanyakan
masyarakat Bajau di Filipina, Sabah serta Indonesia juga turut menyebut Johor sebagai wilayah
asal mereka. Terdapat beberapa mitos serta cerita mengikut daerah dan negara tertentu yang
dikaitkan dengan asal usul masyarakat ini. Dan berdasarkan keterangan serta semua cerita yang
dikemukakan, kebanyakannya menjelaskan bahawa etnik Bajau ialah pelaut yang suatu ketika
dahulu berasal dari Johor. Fenomena berbeza telah menyebabkan mereka tersebar ke Sabah,
Indonesia dan Filipina.

4
3.3 BUDAYA & ADAT RESAM BAJAU SAMAH
a) ADAT PERKAHWINAN
Kaum Bajau mempunyai adat istiadat perkahwinan yang tersendiri. Walau
bagaimanapun, adat resam perkahwinan etnik Bajau mempunyai sedikit persamaan
dengan adat istiadat perkahwinan kaum Melayu. Masyarakat Bajau amat teliti dengan
pelaksanaan sesuatu majlis perkahwinan dan harus dilaksanakan selaras dengan tuntutan
adat dan agama. Suatu ketika dahulu, majlis perkahwinan Bajau berlangsung selama satu
hari, satu malam. Namun pada ketika ini, majlis hanya berlangsung selama dua hari satu
malam. Pada peringkat pertama iaitu adat tilau-tilau idaan (merisik) dan mendo
(meminang), ibu bapa yang ingin mengahwinkan anak lelaki mereka akan memilih
seorang gadis untuk dijadikan menantu. Jika gadis tersebut sesuai, persiapan bagi tilau-
tilau idaan (merisik) akan segera diatur. Ibu bapa lelaki akan menghantar saudara terdekat
untuk tilau-tilau idaan si gadis. Proses ini bertujuan untuk mengetahui jika si gadis yang
ingin dipinang itu sudah bertunang atau juga sedang dirisik orang lain. Jika sudah
bertunang, proses merisik akan ditamatkan, tetapi jika sebaliknya, itu bermakna si gadis
masih berpeluang untuk disunting.
Sebaik selesai risikan, rombongan pihak lelaki akan datang sekali lagi untuk
menyampaikan hajat mereka. Proses ini dikenali sebagai mendo atau peringkat awal ke
arah perkahwinan. Seterusnya majlis seruan atau dikenali sebagai bertunang diadakan di
rumah pihak perempuan dan tempoh bertunang serta tarikh perkahwinan akan
dibincangkan. Selepas seruan, adalah upacara norong dan malad, iaitu majlis menghantar
berian (hantaran) daripada pihak lelaki kepada pihak perempuan. Ketika upacara ini,
kaum keluarga yang terdekat pihak lelaki akan membawa hantaran yang dipersetujui ke
rumah pihak perempuan dan seterusnya menetapkan tarikh perkahwinan. Sebelum akad
nikah dan majlis bersanding diadakan, beberapa upacara adat yang menjadi kebiasaan
generasi lama Bajau akan dilaksanakan terlebih dahulu termasuklah acara madak (mandi
badak atau malam berinai). Satu ketika dahulu, mandi badak dibuat dengan beberapa
tujuan, antaranya bagi membangkitkan pemanis pada wajah pengantin (naik seri) dan
sebagai penetap hati kepada pengantin (agar tidak berdebar ketika bersanding).
Masyarakat Bajau kebiasaannya akan mengadakan acara betitik pada majlis
perkahwinan dan ia berfungsi sebagai medium komunikasi untuk menyampaikan khabar

5
bahawa majlis perkahwinan bakal berlangsung. Acara ini hanya akan dibuat jika tiada
sebarang kematian berlaku dalam kalangan ahli keluarga atau masyarakat kampung yang
tinggal berhampiran ketika perkahwinan berlangsung. Selain daripada itu, akad nikah
akan diadakan pada hari bersanding. Pengantin yang berketurunan datu akan diarak
menggunakan usungan, manakala orang biasa atau miskin sebaliknya diarak di atas kuda.
Majlis perkahwinan Bajau tidak berakhir begitu sahaja, sebaliknya wujud upacara ngendo
dan ngedede (menjemput pengantin perempuan ke rumah keluarga pihak lelaki). Upacara
ngendo dan ngedede dibuat tiga hari selepas selesainya majlis perkahwinan. Selepas
beberapa hari di rumah pihak lelaki, acara ngedede pula dilakukan iaitu menghantar
semula kedua-dua pengantin ke rumah pihak perempuan. Jika dahulu pengantin lelaki
Bajau dikehendaki membawa bersamanya seekor kerbau sebagai tekok penongot (mas
kahwin) untuk diserahkan kepada mertuanya. Namun pada masa kini, tekok penongot
digantikan dengan nilai adat dalam bentuk wang tunai.

 KELENGKAPAN DAN ACARA TAMBAHAN DALAM MAJLIS


PERKAHWINAN BAJAU SAMAH
Perkahwinan tradisi etnik Bajau dilengkapi beberapa peralatan budaya benda dan aktiviti
tradisi yang berfungsi memeriahkan majlis dan antaranya ialah sambulayang, damak,
usungan dan acara sipak manggis.
i. Sambulayang ialah bendera yang dipacakkan pada sepanjang laluan sebagai
penunjuk tanda ke rumah pengantin perempuan.
ii. Damak ialah buah tangan yang dibawa rombongan pengantin lelaki untuk
pengantin perempuan, Jika mengikut adat, pihak lelaki perlu membawa tujuk
damak untuk dipersembahkan kepada pihak pengantin perempuan dan ia
merangkumi sirih pinang, sigup, penyaram dan kuih sinsim.
iii. Usungan diibaratkan sebagai kenderaan untuk membawa pengantin lelaki ke
rumah pengantin perempuan. Namun ianya hanya boleh dinaiki oleh pengantin
berketurunan Datu.
iv. Sipak manggis adalah permainan tradisi bagi memeriahkan majlis. Hadiah yang
digantung kebiasaannya adalah wang ringgit dalam pelbagai jumlah dan sesiapa
yang berjaya menyepaknya sihingga jatuh akan menjadi pemiliknya.

6
PAKAIAN TRADISI
Pakaian tradisi etnik ini kebiasaannya dipakai semasa majlis perkahwinan,
meraikan lawatan para pemimpin, acara-acara adat dan lain-lain. Etnik Bajau
mengemari warna garang seperti, warna merah dan juga jenis yang terang seperti
hijau dan kuning. Namun warna gelap seperti hitam dan biru juga digunakan.

Berdasarkan gambar, wanita menggayakan blaus badu sampit dan kain sarung
olos berangkit, perhiasan leher mandapun dan perhiasan kepala sarempak. Lelaki
Bajau menggayakan baju potongan cekak musang, seluar, smaping dan destar.
Pakaian lelaki dari kain satin berhias renda dan pakaian wanita juga dari satin
yang dilengkapi mandapun dan tali pinggang.

b) ADAT KELAHIRAN BAJAU


Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat Bajau ketika seseorang wanita
itu mengandung. Antaranya ialah adat ngurut (melenggang perut), adat nganak
(bersalin), ngubur tembuni (menanam uri), adat gunting (cukur rambut/jambul), adat
semasa berpantang, adat sunat (berkhatan), adat nimbang (menimbang) dan adat nitikan
anak. Apabila kandungan mencapai tiga dan enam bulan, Wanita bajau yang
mengandung akan mula diurut oleh penguling (bidan). Amalan berurut bertujuan

7
menghilangkan angin dalam badan selain membantu proses bersalin. Sepanjang tempoh
kehamilan terdapat beberapa pantang larang yang harus dipatuhi oleh si ibu demi
kesejahteraan beliau dan bayi dalam kandungannya. Sebaik cukup tempoh hamil, si ibu
akan melalui proses melahirkan yang mana ianya mempunyai tatacara tertentu yang
bertujuan menjamin kesihatan si ibu serta bayi yang dilahirkan.
Selepas melahirkan, si ibu berpantang selama 44 hingga 100 hari untuk
mengembalikan serta memulihkan kesihatan dalaman dan luaran. Seterusnya, adat
ngubur tembuni atau menanam uri sangat dititkberatkan masyarakat Bajau kerana
mereka percaya ia akan mempengaruhi personaliti serta kehidupan bayi pada kemudian
hari. Apabila usia bayi mencecah tujuh hari atau sebaik sahaja pusatnya jatuh, majlis
gunting atau cukur rambut akan diadakan. Adat gunting ini banyak diadaptasi daripada
amalan masyarakat Melayu dan ia dipercayai mampu menjamin kesihatan bayi selain
meransang rambutnya tumbuh dengan lebat. Seterusnya, anak perempuan akan disunat
sebaik sahaja dua batang gigi atas dan bawahnya mulai tumbuh. Selain daripada itu, adat
nimbang (menimbang). Masyarakat Bajau mempunyai kepercayaan bahawa melahirkan
anak dalam bulan safar perlu dielakkan kerana bulan ini dipercayai bersifat panas. Jika
ia masih berlaku, adat atau upacara timbang akan dilaksanakan bagi mengelakkan
kejadian buruk kepada si ibu serta bayi. Dan akhir sekali, adat nitikan anak. Adat ini
awalnya diamalkan pasangan Bajau untuk membayar nazar kerana dikurniakan anak.
Upacara betitik akan dilaksanakan sebagai tujuan meraikan kelahiran.

c) ADAT KEMATIAN BAJAU


Bagi masyarakat Bajau, adat menguruskan jenazah hampir menyamai adat masyarakat
Melayu yang membabitkan enam peringkat. Secara ringkasnya ianya terbahagi kepada
dua iaitu upacara sebelum dan semasa membabitkan adat memandikan jenazah,
mengkafan, menyembahyangkan dan mengebumikannya. Manakala upacara selepas
pengebumian pula merangkumi ritual tertentu seperti majlis berjaga di kawasan
perkuburan serta kenduri kecil dan besar. Adat balu-balu merupakan upacara
pemberitahuan kepada orang ramai tentang berlakunya kematian. Gong akan dibunyikan
sebanyak tujuh kali dengan kaedah yang berbeza untuk memberi makna bahawa si mati
lelaki, perempuan atau kanak-kanak.

8
Seterusnya proses penghantaran jenazah ke tanah perkuburan akan dilakukan apabila
mayat telah dimandi dan dikafankan. Penghantaran jenazah yang dilakukan akan diiringi
oleh ahli keluarga si mati, saudara mara serta sahabat handai. Mengikut adat kematian
Bajau, semasa dalam perjalanan penghantaran jenazah ke tanah perkuburan, paluan
balu-balu atau gong akan dilakukan bagi menandakan berlakunya kematian. Selepas
proses penghantaran dan pengebumian jenazah selesai, bermula lah adat berjogo
(berjaga). Adat berjogo ini selalunya dibuat selepas melahirkan anak, sewaktu sakit tenat
atau meninggal dunia. Tujuan bejogo adalah untuk mengelakkan bayi, si sakit tenat dan
si mati tidak diganggu oleh balan-balan (penanggal) iaitu sejenis makhluk yang
menyerupai syaitan jadian.
Akhir sekali, kenduri arwah (mangan bangi) dan adat duang Bajau. Kebiasaanya
kenduri arwah ini diadakan sama ada pada hari kematian, hari kedua, ketiga, ketujuh
keempat puluh, ke seratus, setahun dan lebih dari itu. Terdapat juga kenduri-kenduri
kecil yang akan dibuat oleh keluarga si mati iaitu pada hari ke 10, 20,30, 50, 60, 70, 80
dan 90 hari kematian. Selain daripada kenduri hari ketujuh, masyarakat Bajau akan
menyediakan “duang” iaitu sebungkus barangan yang kebiasaannya adalah makanan
kepada penduduk yang hadir, duang merupakan sedekah si mati dan ahli keluarga
kepada jemputan yang hadir pada sesebuah kenduri. Penyedian duang tergantung kepada
kemampuan ahli keluarga si mati. Duang terbahagi kepada dua, iaitu duang rumah dan
duang tampu. Penyediaan duang rumah biasanya disediakan secara ala kadar yang
mengandungi bahan-bahan makanan asas. Duang tampu pula bersifat agak mewah
kerana individu yang bersedekah kebiasannya menyediakan sebakul atau dua bakul
duang yang agak besar untuk diberikan kepada jemputan yang hadir.

3.4 BAHASA BAJAU SAMAH

Bahasa Bajau yang dituturkan di Sabah boleh dibahagikan kepada dua pecahan dialek. Satu
dituturkan di kawasan Pantai Timur manakala yang satu laginya di kawasan Pantai Barat. Etnik
Bajau Pantai Barat Sabah dikenali sebagai Bajau Darat/Samah atau Bajau (diikuti nama daerah
kediaman mereka), contohnya Bajau Tuaran. Bagaimanapun kesan petempatan dan kegiatan
ekonomi berlainan, dialek kumpulan Bajau Pantai Barat ini jadi agak berbeza dibandingkan
dialek Bajau Pantai Timur. Bahasa Bajau Pantai Barat ialah satu entiti tersendiri dalam keluarga

9
bahasa Bajau. Dalam Bahasa ini terdapat tiga subdialek, iaitu subdialek utama yang besar dan
dituturkan di sepanjang Pantai Barat Sabah, subdialek yang digunakan di daerah Pitas dan
subdialek di daerah Sandakan. Variasi dalam bahasa Bajau berlaku disebabkan etnik ini tinggal
di dua kawasan yang berbeza, iaitu di Pantai Barat dan Pantai Timur negeri Sabah. Variasi ini
tidak begitu ketara dan kedua-dua kelompok penutur masih boleh berkomunikasi antara satu
sama lain. Uniknya bahasa Bajau ialah keupayaannya berfungsi sebagai cermin kepada
keseluruhan budaya etnik ini. Pengalaman serta cara hidup masyarakat Bajau masa lalu ialah
elemen penting yang bertanggungjawab membentuk keperibadian generasi pada hari ini. Penutur
bahasa Bajau tersebar di banyak kawasan dalam wilayah Nusantara.

3.5 ANUTAN AGAMA

Majoriti masyarakat Bajau Samah di Sabah adalah beragama Islam. Agama Islam berperanan
penting dalam membentuk pemikiran etnik Bajau pada hari ini. Walaupun ajaran islam dijadikan
sebagai tunjang asas dan panduan hidup, namun dalam penyelenggaraan sesuatu adat, terdapat
unsur-unsur pra-islam yang dipercayai mempengaruhi kehidupan orang Bajau dan animisme
serta Hindu-Buddha masih lagi berbaki. Contohnya ialah kepercayaan kepada kuasa ghaib yang
menjadi input besar terhadap arah serta corak pemikiran masyarakat, khususnya dalam kalangan
generasi tua Bajau. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama usaha turut dibuat untuk
mengubah suai dan menyesuai beberapa amalan budaya yang boleh mendatangkan khurafat
dengan amalan yang dibenarkan islam, khususnya berkaitan kelahiran dan kematian.

3.6 KESENIAN DAN KEBUDAYAAN

Setiap bangsa mempunyai hasil karya dan seni budaya yang menjadi amalan serta hiburan.
Setiap karya dan seni budaya ini pastinya kemungkinan dapat diwariskan kepada generasi
berikutnya.

a) MUZIK TRADISI
Muzik betitik merupakan satu genre instrumental yang sangat popular dalam kalangan
masyarakat Bajau Sabah dan selalunya dimainkan ketika acara berbentuk keramaian

10
seperti majlis perkahwinan. Betitik berfungsi untuk membangkitkan kemeriahan dan
kebiasaannyaakan dimainkan seminggu sebelum bersanding. Muzik betitik dilengkapi
beberapa alat muzik penting termasuklah kulintangan yang mengandungi tujuh idiophone
bentuk cembung, dua bebandil, dua gong dan dua gendang yang dilagukan sekumpulan
tujuh pemain. Musik betitik mempunyai dua rentak yang dinamakan ayas serta titik.
Walau bagaimanapun, ayas lebih diminati kerana berentak rancak dan seronok
dimainkan. Nadanya meninggi dan kemudian menurun sebelum tinggi dan turun semula.

b) TARIAN RUNSAI
Runsai adalah satu bentuk tarian tradisi Bajau yang masih dikekalkan dalam majlis
perkahwinan Bajau. Walau bagaimanapun, ia tidak diiringi bunyian daripada sebarang
peralatan muzik, sebaliknya hanya berpandukan kepada hentakan kaki penari sebagai
iramanya. Runsai biasanya ditarikan pada waktu malam sahaja, khususnya ketika majlis
perkahwinan atau di majlis yang dibuat untuk meraikan kelahiran bayi dan tarian ini
selalunya akan ditarikan di atas lantai papan supaya hentakan kaki terutamanya penari
lelaki dapat menghasilkan bunyi kuat. Penari akan membuat satu barisan yang
membentuk bulatan kecil sambil berpegangan tangan. Mereka akan berjalan perlahan ke
hadapan dan ke belakang sambil melagukan kalang dalam bahasa Bajau.

c) TARIAN LIMBAI
Limbai ialah tarian asli yang popular dalam kalangan masyarakat Bajau dan
kebiasaannya ditarikan dalam pesta keramaian atau ketika menyambut ketibaan
pengantin lelaki yang diarak ke rumah keluarga perempuan. Simbolik tarian ini ialah
sebagai isyarat menjemput pengantin naik ke rumah untuk meneruskan ijab kabul atau
akad nikah. Ditarikan oleh tiga hingga empat pasangan, ciri utama tarian ini ialah
pergerakan lemah-lembut dan lenggok tangan gemalai.

d) TARIAN KUDA PASU


Kuda pasu ialah tarian yang asalnya ditarikan penunggang kuda mahir untuk tujuan
menyambut atau mengiringi rombongan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan.

11
Ia turut disertai penari Wanita yang akan memegang sapu tangan sebagai simbolik
mengalu-alukan kedatangan pengantin lelaki beserta rombongannya.

KESIMPULAN

Kepelbagaian budaya sememangnya tidak dinafikan terutama sekali di negara kita yang
mempunyai kepelbagaian etnik. Setiap kelompok manusia mempunyai keupayaan untuk
membentuk kehidupan menggunakan acuan daripada lingkungan masing-masing termasuklah
pengalaman, pengetahuan dan seluruh khazanah kebudayaan. Keseluruhan ruang lingkup
kehidupan masyarakat Bajau dapat diperhatikan menerusi perkembangan bahasa dan budayanya.
Kandungan bahasa mereka membawa gambaran bahawa kebudayaan Bajau memiliki khazanah
yang terbentuk melalui perjalanan sejarahnya. Dan inilah yang dapat dilihat dalam masyarakat
bajau apabila mewarisi budaya nenek moyang mereka sebelum disesuaikan dengan keperluan
masa kini. Namun pada hari ini, kebanyakan amalan tradisional yang dilakukan dahulu terpaksa
diubah atau berkemungkinan ditinggalkan oleh generasi muda. Banyak faktor yang menyumbang
keadaan itu berlaku dan peredaran masa ialah elemen yang paling ketara. Kesan pendidikan
moden juga dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada kepupusan adat.
Meskipun kebanyakan mereka telah mendapat pendidikan formal cara moden, namun sisa
kekangan masih lagi wujud dan sedikit sebanyak masih lagi mengikat mereka padanya. Oleh
sebab itu, unsur budaya, alam sekitar, sejarah dan agama terbukti berperanan menyumbang
kepada hala tuju corak serta arah pemikiran masyarakat Bajau pada hari ini.

RUJUKAN

Institut Terjemahan & Buku Malaysia (2012), Bajau Pantai Barat, Saidatul Nornis Hj.Mahali,
No.2 Jalan 2/27E Seksyen 10, Wangsa Maju, 53300, Kuala Lumpur, Malaysia.

Saidatul nornis hj. Mahali. 2010. Adat dan Ritual Kematian di Sabah. Sabah: Utusan kinabalu
Co. Sdn. Bhd.
Siti Zainon Ismail, 1984. “Laporan Penyelidikan: Peralatan Seni atau Budaya Etnografi Bajau
Darat”, Residensi Pantai Barat Sabah. Jabatan Persuratan Melayu: Universiti Kebangsaan
Malaysia.

12
https://pemetaanbudaya.my/culture/dis/406
https://dokumen.tips/documents/masyarakat-bajau.html

13

Anda mungkin juga menyukai