Anda di halaman 1dari 3

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI BULI

Buli adalah salah satu gejala yang boleh meninggalkan kesan yang buruk
kepada fizikal dan juga mental mangsa-mangsanya. Acapkali kita melihat
laporan berita dan perkongsian di media tentang kes-kes buli yang berlaku
dalam kalangan pelajar di sekolah. Hal ini demikian kerana pembuli-
pembuli ini dipengaruhi oleh aksi-aksi gangsterisme yang berlaku di
persekitaran mereka atau dipertontonkan di media masa. Terdapat juga
kes pembuli yang membuli kerana mereka adalah mangsa-mangsa buli
terlebih dahulu dan ingin melakukan perkara yang sama kepada orang lain.
Mutakhir ini, timbul perkataan buli siber yang semakin popular kerana
berlaku pembulian di alam siber yang banyak memberi kesan kepada
mangsa terutamanya anak-anak muda di negara kita. Bagi menyelesaikan
polemik yang kian membelenggu ini, kita hendaklah membincangkan
apakah tindakan-tindakan yang boleh dilakukan oleh setiap pihak. Ibarat
kata peribahasa, mencabut harus dengan akar-akarnya. Oleh itu, mari kita
huraikan langkah-langkah mengatasi gejala buli di sekolah.

Sebagai warganegara yang ingin melihat masyarakat kita


berkembang menjadi masyarakat berminda kelas pertama, kita seharusnya
memupuk sikap toleransi dan hormat-menghormati dalam setiap individu.
Usaha ini pastinya dapat mengelakkan daripada gejala buli berlaku dalam
kalangan pelajar di sekolah. Melihat kepada pembentukan negara
Malaysia, kita didirikan atas sifat hormat-menghormati serta toleransi
antara satu sama lain. NIlai murni ini jika berjaya dipupuk dalam diri pelajar
di sekolah, pastinya masalah buli dapat diatasi kerana mereka mempunyai
belas ihsan serta mampu menyelesaikan sebarang pertikaian dengan
rasional. Untuk memastikan nilai ini dipupuk dalam kalangan pelajar, ini
bergantung kepada persekitaran mereka daripada keluarga, guru-guru,
masyarakat dan media massa yang memainkan peranan masing-masing.
Intihanya, gejala buli-membuli dapat dibendung jika pelajar mengamalkan
nilai toleransi dan hormat-menghormati.
Langkah seterusnya dalam mengatasi masalah buli di institusi
pendidikan adalah dengan menyediakan saluran untuk pelajar mengadu
masalah. Tidak dinafikan kita mempunyai guru kaunseling dan juga
pembimbing rakan sebaya, tetapi entiti ini seringkali dilihat sebagai
pembocor rahsia di sekolah. Pelajar yang dibuli lebih selesa untuk
mendiamkan diri daripada dimalukan dengan masalah yang dihadapi.
Sebaliknya, setiap guru, pelajar dan juga kakitangan sekolah berperanan
menjadi mata-mata kepada guru yang bertanggungjawab terhadap disiplin
pelajar. Sebagai contoh, apabila terserempak dengan perlakuan buli, anda
perlu melaporkan terus kepada guru disiplin supaya tindakan diambil dan
pastikan mangsa serta pembuli diberikan ruang untuk mengadu masalah
masing-masing. Setelah masalah tersebut didengari, elakkanlah menjaja
cerita tersebut kepada rakan guru atau sesiapa sahaja yang tidak
berkenaan kerana ia akan menimbulkan cerita yang tidak benar dan
ditokok tambah. Tegasnya, memastikan pelajar diberikan ruang yang
selamat untuk mengadu masalah di sekolah dapat membendung masalah
buli.
Dari sudut pandang yang berlainan, usaha untuk mengelakkan gejala
buli berlaku di sekolah adalah dengan memastikan pelajar bebas daripada
sebarang pengaruh-pengaruh buruk. Pada zaman modenisasi dan
globalisasi ini, hampir kebanyakan pelajar memiliki peranti pintar serta
mendapat akses tanpa had terhadap informasi melalui Internet. Norma
yang berbeza dengan zaman ibu dan bapa dahulu hendaklah difahami dan
memastikan pelajar tidak terjerumus ke dalam perkara yang tidak kita
ingini. Misalnya, permainan video yang menunjukkan aksi-aksi
gangsterisme hendaklah dihalang supaya mereka tidak terpengaruh untuk
melakukannya terhadap rakan di sekolah. Persis peribahasa
Melayu, buang yang keruh, ambil yang jernih. Izharnya, setiap pihak perlu
memainkan peranan supaya pelajar tidak terdedah kepada pengaruh-
pengaruh yang boleh menyebabkan mereka menjadi pembuli di sekolah
mahupun di mana sahaja.
Ikhtiar lain yang seharusnya dilakukan bukan sahaja untuk
mengatasi masalah buli tetapi juga membentuk keperibadian pelajar di
sekolah adalah dengan menjadi contoh teladan terbaik kepada mereka.
Tanggungjawab ini sering dipandang enteng kerana ibu dan bapa sibuk
bekerja lalu mengharapkan guru mengajar anak-anak mereka teladan yang
baik dan begitu juga sebaliknya harapan guru kepada ibu dan bapa.  Cuba
kita fikirkan, siapa yang anak-anak lihat sepanjang mereka membesar
sebelum masuk ke sekolah kalau bukan ibu dan bapa mereka. Tambahan
pula, waktu persekolahan hanyalah beberapa jam sahaja jika dibandingkan
dengan waktu mereka bersama ibu dan bapa di rumah. Sebenarnya
semua orang yang berada disekitar kehidupan pelajar perlu menunjukkan
teladan yang baik supaya dicontohi oleh mereka dalam kehidupan
seharian. Kelak, anak-anak muda ini yang akan menjadi pemimpin negara.
Oleh sebab itu, kita semua hendaklah membimbing mereka bagai
menatang minyak yang penuh untuk kemaslahatan bersama.
Sudah terang lagi bersuluh, gejala buli di sekolah dalam kalangan
pelajar boleh diatasi dengan langkah-langkah yang telah dihuraikan.
Sekiranya kita ingin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan
negara maju yang lain, isu ini hendaklah diselesaikan serta tidak timbul lagi
pada masa hadapan. Modal insan yang mempunyai jati diri yang kuat serta
berketrampilan tinggi perlu dihasilkan dalam diri setiap ahli masyarakat.
Pelbagai rintangan dan cabaran yang bakal dihadapi oleh generasi akan
datang, jika kita tidak mempersiapkan mereka menjadi insan yang boleh
memikul tanggungjawab apalah nasib yang bakal kita hadapi. maka,
sebaiknya kita menurut peribahasa, hidup dikandung adat, mati dikandung
tanah. Nenek dan moyang kita telah buktikan mereka mampu mengecapi
kejayaan dengan adat serta budaya mereka, kita hanya perlu
mengadaptasinya berdasarkan kehidupan masa kini untuk terus melakar
kejayaan.

Anda mungkin juga menyukai