Anda di halaman 1dari 5

Karangan 5

Hadirin yang dihormati sekalian,


Menurut Kamus Dewan, gejala buli membawa maksud masalah
yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek,
menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang
terhadap pemangsanya.Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin
meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin
serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok
bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai
puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai
penyumbang kepada masalah kes buli ini.

Sebenarnya, antara punca berlakunya gejala buli ialah


kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang
terlibat. Agama Islam contohnya, menggariskan nilai-nilai murni dan
akhlak mulia yang selaras dengan tuntutan agama. Umpamanya, nilai
hormat-menghormati sesama manusia, kasih-sayang, belas kasihan,
amanah, bertanggungjawab dan sebagainya. Namun, mereka yang
terlibat dalam gejala buli ini tidak lagi menghayati dan mengamalkan
suruhan agama. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk
mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya
kepada orang lain. Ringkasnya, ketandusan nilai keagamaan dalam diri
mereka menyebabkan gejala buli ini semakin berleluasa.

Selain itu, ibu bapa juga menjadi punca berlakunya gejala buli ini.
Pada zaman yang serba moden inil kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk
dengan kerjaya masing-masing untuk meningkatkan taraf kehidupan
mereka. Hal ini menyebabkan mereka kurang memberikan belaian
kasih sayang, kemesraan dan prihatian kapada anak-anak
mereka. Contohnya, terdapat segelintir Ibu bapa yang keluar bekerja
seawal 6.30 pagi dan pulang lewat malam. Mereka tidak ada masa
untuk mengambil tahu perkembangan anak-anak terutama yang remaja.
Tugas dan tanggungjawab menjaga anak-anak diserahkan bulat-bulat
kepada pembantu rumah. Justeru, kekurangan perhatian daripada ibu
bapa turut menjadi punca gejala buli ini.
. Di samping itu, pengaruh rakan sebaya di sekolah juga
merupakan salah satu punca yang penting menyebabkan pelajar terlibat
dalam kegiatan membuli ini. Para pelajar yang masih terlalu muda,
dikatakan berumur setahun jagung dan berdarah setampuk
pinang sebahagian besarnya masih belum boleh berfikir dengan
matang. Contohnya, mereka amat mudah terpengaruh dengan
tindakan rakan sebaya dan tidak dapat berfikir tentang baik buruknya
tindakan mereka itu. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar
tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat
diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Jelaslah, rakan sebaya yang
menjadi orang penting dalam kehidupan remaja selain ibu bapa menjadi
punca gejala buli ini.

Bagaimana dengan pihak media massa? Seperti yang kita ketahui,


media masa terutamanya televisyen sering menayangkan filem-filem
yang berunsur keganasan, pergaduhan dan sebagainya. Filem dan
rancangan terutamanya dari barat dan Hong Kong jelas memaparkan
unsur keganasan seperti rancangan gusti, filem-filem aksi pertarungan
dan pembunuhan jelas membewa pengaruh buruk kepada remaja kita.
Pelajar meniru aksi yang disaksikan di televisyen untuk membuli rakan-
rakan mereka yang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan serta rakan seperjuangan sekalian,

Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.


Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk
membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak
kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus
menitikberatkan isu kes buli ini dalam kurikulum di sekolah.
Contohnya, melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Moral,
Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya, ilmu tentang gejala-
gejala negatif terutamanya buli dan kesan-kesan buruknya perlu
dimasukkan dalam sukatan. Dengan itu, pelajar akan menyedari
bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan yang boleh
menggelapkan masa hadapan meeka. Pelajar juga didedahkan dengan
pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli
dan cara-cara mengelakkan mereka daripada terbabit dalam kes buli ini.

Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli


juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke
semasa bagi menyedarkan para pelajar agar menjauhi diri daripada
gejala buli. Pihak luar seperti NGO boleh dipanggil untuk mengadakan
pameran dan ceramah tentang gejala buli ini. Selain itu pihak sekolah
sendiri boleh menganjurkan aktiviti seperti kuiz, pidato dan sebagainya
tentang kes buli dan juga boleh menggalakkan para pelajar supaya
menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini
kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan
tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi
pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan
informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua
pelajar tahu akannya.

Seterusnya , yang paling penting ialah diri pelajar itu sendiri.


Para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana kawan yang baik
akan membawa mereka ke arah kebaikan dan begitulah sebaliknya.
Umpama berkawan dengan penjual minyak wangi, secara tidak
langsung badan kita juga akan sentiasa wangi. Contohnya, jika
berkawan dengan orang yang minat membaca buku, maka pelajar
tersebut juga akan dipengaruhi dan gemar membaca bersama-sama.
Oleh itu, jika pelajar mesti bijak memilih kawan, supaya tidak terjebak
dalam gejala buli di sekolah.
Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu
dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para
pelajar boleh menjadi mata dan telinga kepada para guru di sekolah.
Contohnya jika para pelajar ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi
mangsa pembuli, mereka harus memberanikan diri untuk melaporkan
kepada guru disiplin atau pihak sekolah dengan segera agar masalah itu
dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

Hadirin yang dihormati sekalian,

. Memang tidak dapat dinafikan lagi, pihak sekolah turut memainkan


peranan penting untuk menangani gejala buli ini. Setiap laporan yang
diterima daripada guru atau pelajar mesti diambil tindakan dengan
segara. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki
melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk
membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan
mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah tidak harus berkompromi
dengan kes buli malah harus mengenakan hukuman yang setimpal
kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan
juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

Tidak syak lagi, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting
dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah
menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak
akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka. . Ibu bapa juga perlu
menunjukkan tingkah laku yang baik, contohnya tidak bertengkar atau
bergaduh di hadapan anak-anak , bergaul dengan baik dan mesra ketika
berurusan dengan jiran tetangga dan orang lain. Bak kata bidalan,
bagaimana acuan , begitulah kuihnya. Ibu bapa yang baik akan
melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.

. Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam


kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus meluangkan masa
dengan anak-anak dan sentiasa mengambil berat tentang keadaan anak
mereka semasa di sekolah. Contohnya, pada hujung minggu atau cuti,
ibu bapa boleh membawa anak-anak bercuti untuk mempererat
kemesraan keluarga. Perhatian dan belaian kasih sayang yang
sepenuhnya kepada mereka akan menyebabkan mereka tidak berasa
sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk nilai-nilai murni
dalam sanubari anak-anak mereka sejak kecil lagi seperti
pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ini anak-
anak akan menyayangi ibu bapa dan sentiasa sudi meluahkan isi hati
dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya
bersama-sama.

Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara


kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan
berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita
yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-
angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar
merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini
pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir
semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini
walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak
duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan
generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat
martabat bangsa dipersada dunia.

Hadirin yang dikasihi sekalian,


Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun jari sepuluh dan
memohon kemaafan jika ada kesilapan tutur kata semasa
menyampaikan syarahan saya tadi. Semoga apa yang telah saya
sampaikan sebentar tadi dapat memberi manfaat kepada kita semua.

Anda mungkin juga menyukai