Anda di halaman 1dari 3

Apakah itu kes buli?

Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras
ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang
terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di
sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat
merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan,
masyarakat dan lain-lain lagi.

Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar
dan semakin serius masalahnya. Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang. Oleh itu,
setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah
dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup
melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan
perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Mereka semakin ketandusan
nilai kemanusiaan.

Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga
menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap
materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini
mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli,
pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli
kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi
peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.

Bak kata pepatah tiada penyakit yang tiada penyembuhnya.Terdapat pelbagai langkah drastik yang
boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.Antaranya ialah pihak kerajaan
seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam
pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan
Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli
ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan
buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli
ini.

Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu
bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat
negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin
semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan
menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha
menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan
onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang
dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.

Anda mungkin juga menyukai