Anda di halaman 1dari 3

Kejadian Buli Dalam Kalangan Remaja

Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin
gusar. Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.
(ubah suai karangan isi agar sesuai dengan SPM)

............Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti
memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh
seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli
yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap
yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa,
kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

............Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam
kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok
bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat
beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

............Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang
sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk
mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain.
Ringkasnya, mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.

............Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada
anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit
dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

............Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk
pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya
merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat
diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi
puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian
mereka terhadap pelajar lain.

............Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah
drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah
pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu
kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan
Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari
bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan
pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara
mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.

............Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara
berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi
diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai
salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

............Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di
setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah
yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai
keinginan untuk membuli mangsanya.

............Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah
Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak
pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa
dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada
rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

............Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para
pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika
kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca
bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes
buli di sekolah.

............Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam
usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau
menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah
dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan
sekolah.

............Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus
berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan
menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli
akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.

.............Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes
buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut
dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal
kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai
iktibar kepada pelajar yang lain.

............Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk
membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak
mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak
mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan
baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan
sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan
lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.

............Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja,
ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di
sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka
tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi
seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah
yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.

............Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin
melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan
sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-
angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang
penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan
sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi
liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat
melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa
dipersada dunia.

Anda mungkin juga menyukai