Anda di halaman 1dari 3

TAJUK - Peranan yang dapat dimainkan oleh setiap ahli keluarga dalam membantu

anak-anak ketika menghadapi sesuatu masalah


Dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, proses globalisasi telah
menjadi suatu fenomena yang dapat dirasai oleh masyarakat seluruh pelosok dunia.
Kejadian dunia tanpa sempadan ini didakwa sangat penting. Hal ini demikian kerana
proses globalisasi dapat membangun dan memajukan negara kita di samping
menaikkan taraf hidup kita. Namun demikian, masyarakat yang materialistik turut
diwujudkan akibat proses tersebut. Kita sentiasa sibuk bersaing walau dalam tempat
kerja ataupun di sekolah hanya kerana ingin mengejar kemewahan. Lantaran itu, tahap
stres dalam kalangan rakyat negara kita semakin meningkat. Kalangan belia juga tidak
dikecualikan. Mereka sentiasa menghidapi tekanan kerana tidak ingin mengecewakan
harapan ibu bapa serta guru terhadap mereka yang setinggi langit dan seterusnya
mengalami tekanan jiwa dan kecelaruan mental. Bagi mengatasi masalah ini, institusi
keluarga merupakan pihak yang penting dalam proses membantu anak-anak
menghadapi sesuatu masalah sehingga diibaratkan seperti batu-bata dalam sesebuah
bangunan. Terdapat beberapa peranan yang dapat dimainkan oleh setiap ahli keluarga
dalam membantu anak-anak ketika menghadapi masalah.
Ahli keluarga mempunyai tanggungjawab untuk menyalurkan pendidikan agama
kepada anak-anak. Anggota keluarga seharusnya memperlihatkan pendidikan agama
dari awal lagi. Perkara-perkara asas tentang agama perlu didedahkan kepada anakanak sejak mereka masih kecil lagi seperti pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Tanggungjawab ini penting supaya anak-anak mendekatkan diri dengan
Tuhan dan mempunyai perkembangan emosi dan rohani yang seimbang. Dengan ini,
mereka akan dapat menangani segala masalah dengan tenang dan rasional. Melalui
pendidikan keagamaan juga, anak-anak akan reda dengan masalah yang dihadapi
kerana memahami bahawa setiap ujian-Nya pasti ada hikmahnya yang tersendiri.
Mereka juga akan bersikap lebih matang ketika membuat pilihan kerana mematuhi
peraturan agama yang mempunyai batas-batas tertentu. Segala yang negatif pula
dielakkan. Jelaslah bahawa ahli keluarga memainkan peranan yang penting untuk
memberikan pendidikan keagamaan kepada anak-anak untuk membantu mereka ketika
menghadapi sesuatu masalah.
Selain daripada pendidikan keagamaan, ahli keluarga memegang tugas untuk
menyediakan persekitaran yang positif untuk anak-anak. Ahli keluarga wajarlah saling
menyayangi dan memastikan bahawa anak-anak membesar dalam suasana yang
penuh dengan kasih sayang. Anak-anak juga harus dijaga dengan sebaiknya bagai
menatang minyak yang penuh. Hal ini demikian kerana anak-anak sangat memerlukan
kasih sayang yang sempurna dan kamil untuk perkembangan yang seimbang.
Sebaliknya, keluarga yang dingin ataupun porak-peranda hanya akan meningkatkan

tahap stres anak-anak yang sedang menghadapi masalah. Ahli keluarga juga harus
berusaha untuk meluangkan masa bersama-sama pada masa senggang untuk
menjalinkan hubungan yang erat antara satu sama lain. Dengan ini, anak-anak akan
berasa gembira gembira dan seronok ketika berada di rumah. Keadaan harmoni
tersebut mampu menenangkan fikiran mereka dan mengurangkan beban mereka.
Hakikatnya, persekitaran positif di rumah perlu disediakan oleh ahli keluarga kerana
suasana ini berdominan untuk membantu anak-anak ketika menangani sesuatu
masalah.
Ahli keluarga juga perlu memikul amanah untuk memberi bimbingan dan
sokongan kepada anak-anak yang sedang menghadapi masalah. Ketika berhadapan
dengan masalah, fikiran kita mudah menjadi bercelaru ekoran daripada tekanan yang
dihadapi.Dalam keadaan tersebut, kita tidak berupaya membuat pilihan yang rasional.
Oleh yang demikian, ahli keluarga wajiblah membimbing anak-anak yang sedang
menghadapi masalah untuk membuat pilihan yang betul. Ahli keluarga juga perlu
memberi sokongan kepada anak-anak untuk melegakan mereka. Sebagai contoh, ahli
keluarga sewajarnya membelai dan mengucapkan kata-kata sayang kepada anak-anak.
Kata-kata perangsang juga harus diucapkan kepada anak-anak untuk memberi motivasi
serta keyakinan. Greg S. Reid pernah berkata, Keyakinan adalah segalanya. Besarnya
keyakinan atau ketiadaannya menentukan kejayaan atau kegagalan.' Sesungguhnya,
bimbingan dan sokongan untuk anak-anak yang sedang menghadapi merupakan salah
satu tugas anggota keluarga.
Di samping itu, ahli keluarga juga mempunyai kewajipan untuk berkongsi
masalah dengan anak-anak. Dalam konteks ini, ahli keluarga mestilah bersikap prihatin
terhadap hal ehwal anak-anak. Mereka seharusnya mengambil berat akan segala
masalah dan kerunsingan anak-anak dalam keluarga. Sikap bagai enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing pula perlu dielakkan. Melalui cara ini, anak-anak
lebih cenderung untuk meluahkan isi hati ketika menghadapi kemusykilan. Hal ini
demikian kerana ahli keluarga sanggup mendengar rintihan jiwa mereka. Langkah ini
sangat penting agar anak-anak tidak perlu memendam perasaan dan dapat
mengurangkan beban emosi sendiri. Mereka juga dapat menghadapi masalah dengan
lebih berani dan sabar. Nyatalah bahawa ahli keluarga memainkan watak yang penting
sebagai tempat aduan bagi anak-anak untuk membantu mereka menghadapi masalah.
Seterusnya, ahli keluarga berperanan untuk menyemai nilai-nilai yang murni
dalam jiwa anak-anak. Nilai seperti bertanggungjawab, hemah tinggi dan berdisiplin
merupakan amalan-amalan yang sewajarnya dipraktikkan oleh anak-anak. Dengan
adanya nilai-nilai tersebut, anak-anak akan dapat menghadapi masalah dengan penuh
keyakinan. Dalam aspek yang berlainan, anak -anak yang telah melakukan kesalahan
atau menimbulkan sebarang masalah juga akan insaf dan mengakui kesalahan diri.

Mereka tidak akan melari daripada tanggungjawab untuk menghadapi masalah. Hal ini
demikian kerana nilai yang murni mampu membentuk sahsiah yang terpuji. Hadis Nabi
Muhammad SAW ada menyebut, Sesungguhnya aku diutus untuk meyempurnakan
budi pekerti yang mulia. Oleh yang demikian, ahli keluarga perlulah mengambil alih
tanggungjawab tersebut untuk menanam akhlak yang mulia dalam diri anak-anak
mereka untuk membantu mereka menyelesaikan masalah. Terbukti bahawa ahli
keluarga harus menyemai nilai murni dalam diri anak untuk membantu mereka
menghadapi masalah dengan penuh keberanian.
Kesimpulannya, ahli keluarga merupakan kontributor yang besar dalam proses
membantu anak-anak menghadapi masalah. Ahli keluarga merupakan orang yang
paling rapat dengan anak-anak dalam masyarakat negara kita. Oleh yang demikian,
mereka perlulah menggembleng tenaga beagai aur dengan tebing dalam usaha
membantu anak-anak menyelesaikan masalah. Dengan ini, anak-anak tidak akan
berasa terpinggir ketika menghadapi cabaran dalam kehidupan. Mereka juga akan
mempunyai perkembangan yang seimbang lalu menjadi individu yang mampu
menghadapi kesusahan dengan penuh keberanian. Keadaan tersebut penting untuk
menjamin generasi muda yang berminda kelas pertama untuk memacu nusa yang
tercinta kita ke arah kejayaan. Dengan ini, negara kita bolehlah mencapai visi Wawasan
2020 serta berduduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara yang lain. Untuk
mencapai visi tersebut, slogan Keluargaku, syurgaku, dan Semakin hari semakin
sayang patut dihayati oleh seisi komuniti kita supaya melahirkan masyarakat madani
dan sakinat.

Anda mungkin juga menyukai