Anda di halaman 1dari 2

Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan peradaban

bangsa dan negara melanda golongan remaja. Akhir-akhir ini, berita mengenai golongan remaja
terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang di dada akhbar. Masalah sosial adalah suatu
ketidaksesuaian antara unsur-unsur kebudayaan atau masyarakat, yang membahayakan
kehidupan kelompok sosial. Daripada kes bohsia, hamil luar nikah yang diikuti dengan
pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol,
sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit. Keutuhan institusi keluarga
begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga institusi keluarga diibaratkan
seperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Malah, institusi keluarga begitu penting dalam
usaha menangani gejala sosial sehingga kempen Rumahku Syurgaku yang menekankan
kepentingan rumah diibaratkan sebagai syurga untuk memastikan keutuhan institusi keluarga
diadakan secara besar-besaran. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut cabaran bagi menghalang
golongan remaja daripada terjebak dalam gejala sosial.

Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka
dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu menganggap
anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh
kasih sayang dan kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta
kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan dan
materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan kerja
mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Contohnya, pada hujung minggu, ibu bapa
perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama-sama anak-
anak mereka. Ibu bapa bolehlah membawa remaja makan angin di destinasi-destinasi yang
menarik di negara kita. Hadis ada menyatakan bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih,
ibu bapalah yang mencorakkannya. Sememangnya, ibu bapa perlu mampu mengimbangi
kepentingan keluarga dan kerjaya mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan kasih
sayang seorang ayah dan ibu.

Peranan utama ibu bapa untuk mengatasi masalah remaja ialah memberi didikan agama kepada
anak-anak. Agama merupakan senjata ampuh yang mampu membantu mereka menangkis
segala anasir yang bersifat negatif. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memberikan
didikan agama kepada anak-anak sejak dari kecil ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Kendatipun, ibu bapa yang memberi anak-anak dengan cahaya keimanan yang cukup akan
melahirkan adiwangsa yang soleh dan solehah. Di samping itu, ada juga keluarga yang makmur
dari segi ekonomi tetapi muflis nilai kerohanian. Menurut pakar motivasi, Dato Dr. Fadzillah
Kamsah mengatakan bahawa ibu bapa haruslah mencurahkan ilmu agama kepada putera puteri
mereka kerana itu merupakan benteng untuk mereka menempuh arus modenisasi kini.
Tuntasnya, ibu bapa hendaklah membuka fikiran seluas padang pasir dan agar hati seputih salju
bahawa agama merupakan senjata ampuh untuk mengelakkan modal insan terjerumus ke dalam
kancah masalah sosial pada masa kini.

Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak
mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Dari semasa
kesemasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah untuk
mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Sebagai contohnya, ibu
bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan
ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk
membantu remaja yang bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa
perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka
tidaklah Bagai mencurahkan air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah
remaja perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Ibubapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan
meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan wang ringgit.

Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepada anak-anak mereka . Ibu bapa
sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala
perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Malah, segala tingkah laku ibu
bapa akan ditiru oleh anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk
seperti merokok perlulah bertaubat dan berhenti merokok kerana anak-anak mereka
berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya merokok. Ibu bapa perlulah mengatasi
apa-apa kelemahan yang ada pada diri mereka agar perbuatan mereka tidak akan
menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Ibu bapa tidak
harus bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini, golongan remaja
tidak akan terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan
melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan mereka.

Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik
anak-anak Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan.
Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan
kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, sebelum padi di tangan menjadi lalang dan
ayam ditambat disambar helang, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak
tercinta.

Anda mungkin juga menyukai