Peranan utama ibu bapa untuk mengatasi masalah remaja ialah memberi didikan agama kepada
anak-anak. Agama merupakan senjata ampuh yang mampu membantu mereka menangkis
segala anasir yang bersifat negatif. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memberikan
didikan agama kepada anak-anak sejak dari kecil ibarat “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Kendatipun, ibu bapa yang memberi anak-anak dengan cahaya keimanan yang cukup akan
melahirkan adiwangsa yang soleh dan solehah. Di samping itu, ada juga keluarga yang makmur
dari segi ekonomi tetapi muflis nilai kerohanian. Menurut pakar motivasi, Dato’ Dr. Fadzillah
Kamsah mengatakan bahawa ibu bapa haruslah mencurahkan ilmu agama kepada putera puteri
mereka kerana itu merupakan benteng untuk mereka menempuh arus modenisasi kini.
Tuntasnya, ibu bapa hendaklah membuka fikiran seluas padang pasir dan agar hati seputih salju
bahawa agama merupakan senjata ampuh untuk mengelakkan modal insan terjerumus ke dalam
kancah masalah sosial pada masa kini.
Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak
mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Dari semasa
kesemasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah untuk
mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Sebagai contohnya, ibu
bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan
ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk
membantu remaja yang bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa
perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka
tidaklah Bagai me ncurahkan air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah
remaja perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Ibubapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan
meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan wang ringgit.
Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepada anak-anak mereka . Ibu bapa
sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala
perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Malah, segala tingkah laku ibu
bapa akan ditiru oleh anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk
seperti merokok perlulah bertaubat dan berhenti merokok kerana anak-anak mereka
berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya merokok. Ibu bapa perlulah mengatasi
apa-apa kelemahan yang ada pada diri mereka agar perbuatan mereka tidak akan
menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Ibu bapa tidak
harus bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini, golongan remaja
tidak akan terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan
melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan mereka.
Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik
anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya
berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya
dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup
syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, “sebelum
padi di tangan menjadi lalang” dan “ayam ditambat disambar helang”, ayuhlah ibu bapa,
berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.