Anda di halaman 1dari 13

NILAI DAN KEPERCAYAAN MASYARAKAT BAJAU 1.

KELAHIRAN Sewaktu mengandung Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat Bajau ketika seseorang wanita itu mengandung, antaranya ialah berpantang, menempah seorang bidan, menyediakan kelapa tua sebagai tanda kelahiran dan melakukan upacara melenggang perut. Berpantang Untuk mengelakkan bahaya sewaktu mengandung, wanita tersebut perlu menjalani beberapa pantang larang tertentu. Ia bertujuan untuk menjaga keselamatan dirinya serta kandungan, di samping memudahkan proses kelahiran kelak. Antara pantang larang tersebut termasuklah Wanita hamil tidak boleh berjalan malam kerana dikhuatiri akan diganggu

oleh makhluk halus. Wanita hamil tidak boleh memakan semua jenis sotong kerana akan menyukarkan proses kelahiran kelak. Wanita hamil tidak boleh meminum atau mandi menggunakan air hujan

yang jatuh dari bumbung kerana dibimbangi tembuni akan terus mati terutama bagi mereka yang mengandung sulung. Wanita hamil juga tidak boleh mengunjungi tempat yang ada berlakunya

kematian kerana dikhuatiri anak dalam kandungan menjadi lemah dan terkena penyakit ketimbaluan (keteguran). Menempah bidan Dalam masyarakat Bajau, bidan juga dikenali sebagai pengulin atau pandai. Setelah tujuh bulan hamil, wanita berkenaan akan menempah bidan dan satu majlis doa selamat akan diuruskan oleh bidan tersebut. Terdapat barangan tertentu yang perlu dihadiahkan kepada bidan dan mulai hari itu hingga hari ke-44 selepas kelahiran bayi, secara rasminya bidan bertanggungjawab menjaga wanita hamil tersebut.

Tanda Kelahiran Apabila sudah genap tujuh bulan mengandung, suatu tanda kelahiran akan disediakan iaitu sebiji kelapa tua yang baru tumbuh tunasnya dibalut dengan kain putih dan diletakkan ke dalam sebuah pasu tembaga. Kemudian pasu tembaga berserta kandungannya sekali diletakkan di atas talam yang telah diisikan segantang padi. Kadang kala diletakkan seutas rantai emas di atas kelapa tua itu yang akan menjadi milik anak yang akan dilahirkan. Talam tersebut akan diletakkan di bahagian kepala tempat tidur orang yang hamil itu sehingga bayinya lahir. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, kelapa tua itu akan ditanam bersama-sama uri tembuni si bayi sebagai tanda kelahiran bayi yang berkenaan, sementara padi pula akan dimasak untuk menjamu si ibu dan para jemputan. Secara simboliknya, kelapa tua bertunas tersebut melambangkan bayi yang sedang berada dalam kandungan ibunya, sementara padi dan rantai emas pula melambangkan tenaga dan cahaya yang dapat menyuburkan tunas kelapa tersebut. Lazimnya tanda kelahiran ini diadakan untuk menyambut anak pertama. Melenggang perut Selain dari pantang larang dan adat-adat seperti di atas, wanita Bajau juga perlu melalui upacara melenggang perut atau dikenali sebagai maglenggang dalam kalangan masyarakat Bajau. Ia diadakan hanya jika seseorang wanita itu mengandung anak pertama dan upacara dijalankan ketika kandungan berusia tujuh bulan. Cara adat ini dijalankan hampir-hampir sama dengan upacara melenggang perut yang dijalankan oleh masyarakat Melayu Semenanjung. Semasa Bersalin Apabila sudah tiba masanya untuk bersalin, bidan akan segera dipanggil dan beberapa peralatan tertentu disediakan. Adakalanya di bawah rumah tersebut, duri dan benda-benda tajam seperti besi atau parang diletakkan untuk mengelakkan atau menjauhkan gangguan makhluk halus terhadap si ibu dan bayi. Di samping itu terdapat beberapa adat lain yang dilakukan semasa menyambut kelahiran bayi tersebut iaitu adat potong tali pusat, azan, dan menanam tembuni.

Potong tali pusat Sewaktu hendak melahirkan anak, si ibu akan dibaringkan di atas tikar sementara bidan pula akan mengurut badannya serta membaca doa selamat agar proses kelahiran itu tidak mengalami sebarang kesulitan. Apabila bayi sudah dilahirkan, bidan akan memotong tali pusat bayi dan setelah itu mengikat pusat bayi dengan benang. Pemotongan tali pusat itu harus disertakan dengan saksinya yang terdiri daripada segantang beras, emas dan lilin yang akan dipasangkan. Bahan-bahan tersebut berserta sedikit wang dan kain putih sepanjang tujuh hasta akan diberi kepada bidan. Menanam Tembuni Pada hari kelahiran itu juga, tembuni ibu dicuci, dibungkus dengan kain putih dan diletakkan ke dalam tempurung. Tempurung itu pula akan ditanam bersama-sama kelapa tua yang telah disediakan di suatu tempat berdekatan dengan rumah si ibu untuk menandakan kelahiran anaknya. Penanaman tembuni lazimnya dilakukan oleh bidan sendiri. Beras yang telah disediakan bersama-sama kelapa tua ditumbuk sederhana halus dan dimasak untuk menjamu si ibu dan tetamunya. Di samping itu, tujuh biji telur direbus dan dimakan dengan nasi tadi. Selepas kelahiran si ibu akan sekali lagi menjalani beberapa pantang larang dan adat-adat tertentu. Bagi bayi tersebut pula, terdapat beberapa upacara akan dijalankan mulai dari detik kelahirannya sehinggalah dia membesar. Berpantang Terdapat beberapa pantang larang yang perlu diamalkan oleh seseorang wanita yang baru lepas bersalin. Antaranya ialah : Si ibu perlu berpantang dari segi pemakanannya. Selain bubur atau nasi tanpa lauk, si ibu perlu mengambil ubat yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan. Selama tujuh hari selepas bersalin, si ibu juga tidak boleh minum air biasa. Air ubat yang dibuat daripada ramuan akar-akar kayu, dan herba akan diminum oleh si ibu untuk memulihkan kesihatan selepasa bersalin. Si ibu harus memakai sarung yang bewarna gelap, biasanya hitam, kerana warna yang terang tidak baik untuk kesihatan mata bayinya. Si ibu tidak boleh keluar bersiar-siar sebelum hari ke-44 supaya dia tidak diserang angin sejuk. Dia juga perlu memakai bedak paus,

iaitu sejenis bedak bewarna hitam atau putih yang disapukan di kedua-dua belah tangan dan kakinya untuk mengelakkan kesejukan. Naik Buai Oleh sebab kelahiran anak pertama dianggap sebagai peristiwa istimewa, maka ibu bapa akan mengadakan kenduri tambahan. Selepas kenduri, doa selamat dibacakan oleh bidan dan sebagai upah, bidan akan diberi tiga ela kain putih dan lima biji kelapa tua. Selain kenduri, ada kalanya pada hari yang sama diadakan juga upacara naik buai atau dipanggil pesakat nirundangan dalam kalangan masyarakat Bajau, di mana bayi berkenaan akan dinaikkan ke dalam buaiannya buat pertama kali. Upacara ini dijalankan secara besar-besaran dan dijalankan menyerupai upacara melenggang perut. Semasa upacara naik buai berlangsung, upacara berzanji diadakan selama satu setengah jam dan apabila tiba pada ayat-ayat tertentu yang menandakan masanya untuk menggunting rambut bayi, bayi akan didukung dan rambutnya akan digunting oleh mereka yang berzanji secara bergilir-gilir. Upacara ini biasanya diakhiri dengan jamuan makan yang dihadiri oleh sanak saudara dan jiran tetangga. Selain jamuan, tuan rumah juga akan memberi sedekah yang lazimnya berbentuk bunga telur yang dilekatkan dengan wang kepada tetamu yang hadir di majlis tersebut. Menimbang bayi bulan safar Umumnya, orang Bajau amat teliti tentang masa kelahiran anak mereka. Bayi yang dilahirkan pada bulan Safar dianggap kurang baik nasibnya kerana bulan Safar dianggap sebagai bulan yang tidak baik. Untuk mengelakkan kecelakaan dari menimpa si bayi, pada masa menyambut Maulud nabi, bayi akan dibawa ke masjid untuk ditimbang. Penimbangan bayi itu bukanlah bertujuan untuk mengetahui berat bayi sebaliknya merupakan satu usaha untuk meminta pertimbangan daripada Tuhan agar tidak diburukkan nasib bayi tersebut. Terdapat barangan tertentu yang digunakan untuk upacara ini, antaranya ialah: Sebatang penumbuk padi yang dijadikan batang penimbang. Batang

penimbang itu akan dibalut dengan tujuh hasta kain putih. Batu-batu timbang yang terdiri daripada benda-benda berikut; sebekas kecil air, seikat kayu yang sederhana besarnya, seperiuk nasi dan tujuh biji kelapa muda.

Bahagian batang penimbang itu akan diikatkan dengan tali kasar yang disangkutkan pada alang bumbung masjid supaya batang berada dalam keadaan tergantung. Pada satu hujung batang penimbang itu akan

dipasangkan ayunan kanak-kanak yang hendak ditimbang sementara pada hujung yang satu lagi akan digantungkan batu-batu timbang. Batu-batu timbang yang terdiri daripada sebekas air, seperiuk nasi dan seikat kayu wajib digunakan. Hanya kelapa muda sahaja yang boleh ditambah atau dikurangkan bilangannya mengikut berat bayi itu. Apabila batu-batu timbang sudah seimbang beratnya dengan berat bayi, batang penimbang serta segala muatannya akan dipusingkan dan kemudian dilepaskan supaya ia berputar pada keadaan asalnya. Dengan itu tamatlah upacara penimbangan dan bayi itu akan digunating rambutnya.

2. KEMATIAN Antara masyarakat Bajau dengan masyarakat Islam yang lain memang tidak banyak perbezaan dari segi menguruskan pengebumian kerana mereka sama-sama mengikuti peraturan agama Islam walaupun terdapat sedikit sebanyak pengaruh adat tempatan. Orang Bajau percaya bahawa seseorang yang telah meninggalkan dunia akan meneruskan hidupnya di alam baqa dan sekiranya tidak dikebumikan dengan betul, maka keluarga dan saudara mara telah berdosa kerana melupakan tanggungjawab mereka. Upacara kematian mereka dilakukan secara teliti, tetapi bersandarkan kepada keperluan agama dan adat kerana melalui upacara inilah si mati dipercayai dapat menyesuaikan diri dengan keadaan hidup baru di akhirat.

Selepas Kematian Apabila seseorang itu meninggal dunia, doa akan dibaca dan mayatnya akan ditutup dengan kain. Pada masa itu, tawak-tawak patai atau pukulan gong akan dibunyikan sebagai tanda seseorang itu telah meninggal dunia. Mengikut adat Bajau, mereka mesti menangisi kematian tersebut kerana ia melambangkan kesedihan

mereka. Seterusnya mayat tersebut akan diuruskan sepenuhnya mengikut peraturan agama Islam, seperti dimandi, dikafan dan disembahyangkan. Adat mengawal kubur Masyarakat Bajau yang asalnya berfahaman animisme, kini telah banyak memeluk agama Islam. Namun demikian, beberapa adat, budaya dan kepercayaan masih dipegang kuat kerana telah diamalkan turun temurun. Adat paling menarik dalam budaya masyarakat Bajau ialah adat mengawal kubur. Kawalan kubur

selama tujuh hari dimestikan kerana masyarakat Bajau percaya mayat akan didatangi balan-balan dalam tempoh tersebut. Masyarakat Melayu secara amnya percaya, akan musnah semua organ dalam tubuh mayat dalam masa tujuh hari kerana perut yang semakin menggelembung akan bocor. Sememangnya dalam kajian saintifik juga, mayat manusia akan reput sepenuhnya dalam masa tujuh hari. Masyarakat Bajau percaya Balan-balan merupakan sejenis lembaga yang berasal daripada manusia. Menurut cerita orang tua-tua Bajau, Balan-balan terjadi apabila manusia itu salah menuntut dan mengamalkan ilmu kebatinan. Tujuan ilmu ini adalah supaya sentiasa muda, cantik dan boleh hidup lama. Manusia yang ingin mengamalkan ilmu ini hendaklah mengamalkan jampi mantera ilmu balan-balan selama 40 hari empat 40 malam berturut-turut. Kemudian, badan pengamal ilmu syaitan ini akan terasa panas dan miang. Pada saat itulah, kepalanya akan tercabut dan terpisah dari tubuh badan sambil membawa keluar segala isi tubuh dan perut. Balan-balan kelihatan sama seperti hantu penanggalan atau Tenggelong yang dikenali oleh kebanyakan orang Melayu. Namun bezanya, tidak pernah ada kisah penanggalan atau Tenggelong menyerang mayat untuk mendapatkan makanan. Dikatakan, sebenarnya balan-balan suka menjilat darah pada uri

perempuan bersalin. Namun sekiranya balan-balan gagal mendapatkannya, balanbalan akan menyerang dan menghisap darah manusia. Sekiranya masih gagal menghisap darah manusia, balan-balan akan menyerang mayat manusia dan memakan segala organ dalam tubuh mayat itu, terutama hati. Berbalik pada adat mengawal kubur masyarakat Bajau, adat yang sepatutnya menyeramkan ini sudah menjadi seperti budaya masyarakat yang ditunggu-tunggu dan membawa keceriaan. Lelaki Bajau yang terdiri daripada saudara mara si mati

akan mengawal kubur sepanjang malam selama tujuh hari. Kaum wanita dan kanakkanak pula akan berjaga di rumah si mati. Adat mengawal kubur ini menjadi semacam hiburan pula apabila para penjaga kubur mengadakan permainan untuk mengelakkan rasa mengantuk atau rasa takut. Antara permainan yang biasa dilakukan semasa mengawal kubur adalah pasang, congkak, daun terup dan sebagainya. Bagi orang-orang tua Bajau, permainan-permainan ini sudah menjadi semacam ritual magis untuk menyingkirkan kuasa-kuasa luar biasa. Orang luar pastinya berasa hairan apabila melihat adat mengawal kubur ini meriah dan ceria dengan jerit pekik dan tawa para pengawal kubur. Mereka bergurau senda dan berhibur sepanjang malam. Namun setiap kebiasaan sesuatu masyarakat memang lazimnya dianggap luar biasa oleh masyarakat lain. Itulah yang menonjolkan keunikan dan warna warni budaya masyarakat Malaysia yang rencam.

3. PERKAHWINAN Merisik Adatnya tidak banyak bezanya daripada adat masyarakat Melayu. Sebelum perkahwinan berlangsung, upacara merisik terlebih dahulu dilakukan terhadap gadis yang menjadi calon. Caranya hampir sama dengan cara yang diamalkan oleh suku kaum yang lain iaitu dengan melantik wakil bagi menemui keluarga gadis. Setelah mendapat kepastian bahawa gadis itu belum ada ikatan apa-apa dan secocok dengan keinginan pihak lelaki tentang rupa paras, budi bahasa serta martabat keluarganya, barulah diikuti dengan upacara seruan yakni menyimpul tali pertunangan. Meminang Upacara meminang dilakukan dalam satu majlis yang dinamakan seruan. Dalam majlis itu, pihak lelaki membawa sebentuk cincin, sepersalinan pakaian dan wang tunai sebanyak RM100.00 sebagai pengikat tali pertunangan. Masa pertunangan biasanya berlangsung selama setahun untuk membolehkan pihak lelaki membuat persediaan. Apabila tempoh yang ditentukan tiba, pihak lelaki menghantar semua

barang yang dijanjikan dalam majlis seruan itu kepada pihak perempuan. Dalam majlis penyerahan barang-barang tersebut, tarikh perkahwinan ditentukan. Pihak keluarga perempuan menentukan jumlah kerbau yang akan dihadiahkan untuk majlis perkahwinan. Tujuh ekor bagi keluarga yang berada, tiga ekor bagi keluarga yang sederhana dan seekor bagi keluarga biasa. Mas kahwin dan hadiah lain seperti sepersalinan pakaian yang lengkap, sirih pinang, alat persolekan dan sebagainya akan diberikan dalam majlis perkahwinan nanti. Majlis Perkahwinan Pengantin Bajau

Majlis perkahwinan dibuat sebelum hari perkahwinan. Keluarga yang berada mengadakan majlis tujuh hari sebelumnya, tiga hari bagi keluarga sederhana dan sehari bagi keluarga miskin. Sepanjang hari tersebut, pada sebelah malamnya majlis titik diadakan yakni memainkan alat muzik yang terdiri daripada kulintangan, gong, bebandil dan gendang di tempat kediaman kedua-dua belah pihak. Kumpulan muzik ini mengandungi enam orang pemain yang diketuai oleh seorang wanita yang memainkan kulintangan, dua orang pemukul gendang, dua orang pemain gong dan seorang pemain bebandil. Majlis ini mungkin berlangsung hingga larut malam, kemudian diikuti dengan tarian tradisional yang dikenal sebagai runsai. Tarian ini memerlukan antara enam hingga lapan onang penari termasuk dua orang wanita. Tarian ini menjadi bertambah meriah apabila diserikan dengan kalang iaitu pantun dua kerat yang dijual dan dibeli oleh penari lelalki dan perempuan. Sehari sebelum hari perkahwinan, bakal pengantin lelaki dan perempuan akan didandan oleh beberapa orang mak andam. Dandanan ini termasuklah mandi bedak dengan ramuan bedak tepung beras yang bercampur bunga-bungaan pada sebelah malam. Pada hari perkahwinan, pengantin dihias dengan pakaian yang baru, selalunya berwarna kuning dan hijau yang diperbuat daripada sutera. Rambut pengantin perempuan dihiasi dengan serempak iaitu sejenis mahkota. Pengantin lelaki yang berpakaian serba kuning lengkap dengan tanjak dan bersenjatakan sebilah keris diusung dengan tandu oleh beberapa orang ahli keluarganya, atau menunggang kuda ketika menuju ke ke diaman pengantin perempuan dengan diiringi

pukulan gong berirama tigad-tigad semasa melalui jalan yang dihias dengan bendera yang berwarna-warni.

Beberapa das tembakan dilepaskan sebagai tanda hormat dan alu-aluan akan ketibaan rombongan pengantin lelaki di halaman rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki yang turun dari tandu atau kudanya dijulang di atas bahu anggota rombongan atau didukung masuk ke rumah pengantin perempuan. Dia kemudiannya dipersilakan duduk di tempat yang dikhaskan untuknya dan bunyi gong pun diberhentikan.

4. PERAYAAN Perayaan Regatta Lepa Masyarakat Bajau Laut di Semporna Sabah terkenal dengan kehebatan mereka sebagai pelaut yang disegani. Bagi mereka, laut bukan sahaja sebagai sumber rezeki tetapi turut memberikan pelbagai inspirasi dan pengaruh tersendiri kepada kehidupan. Hakikatnya, laut adalah dunia mereka. Buktinya mereka bukan sahaja menetap di tepi laut tetapi juga tinggal 'di atas laut' dengan menjadikan lepa sebagai kediaman rasmi atau sebagai rumah mereka. Mereka hidup di atas lepa dan menjalani sebahagian besar hidup di laut dan hanya naik ke darat untuk mendapatkan bekalan air, kayu api dan upacara pengebumian. Bajau Laut memang sinonim dengan lepa. Biasanya sebuah lepa didiami oleh sebuah keluarga yang dianggotai lima hingga enam orang. Setiap lepa yang didiami sesebuah keluarga Bajau menampilkan seni ukiran dan saiz yang berbeza di mana ia menggambarkan status keluarga tersebut. Lepa dalam bahasa kaum Bajau Pantai Timur Sabah bermaksud perahu atau bot. Biasanya Lepa diperbuat daripada kayu jenis Ubar Suluk ataupun Seraya Merah. Lazimnya, lepa berukuran lapan meter panjang dan dua meter lebar serta menampilkan pelbagai jenis ukiran dan warna. Lepa merupakan peninggalan budaya yang diwarisi sejak zaman-berzaman oleh suku kaum Bajau Semporna. Sejak kurun ke-14, ia merupakan pengangkutan utama untuk membawa muatan pedagangpedagang tempatan dari Semporna ke Kepulauan Sulu, Borneo, Kalimantan.

Catatan sejarah juga menunjukkan lepa telah digunakan oleh para pendakwah untuk menyebarkan agama Islam di rantau Asia Tenggara pada awal kurun ke-15. Perayaan Regatta Lepa disambut pada bulan April setiap tahun di daerah Semporna, Sabah. Ia menjadi perayaan yang penting dalam kalendar masyarakat Bajau Semporna dan boleh dianggap sebagai hari raya mereka. Pada tahun 1994, perayaan Regatta Lepa mula diperkenalkan sebagai perayaan di peringkat daerah dan kemudiannya diiktiraf menjadi perayaan di peringkat negeri Sabah. Seterusnya pada tahun 2003, Perayaan Regatta Lepa telah dimasukkan ke dalam kalendar 'Pesta Air Malaysia' dan kini ia merupakan salah satu acara tahunan di Malaysia. Setiap tahun pengunjung berpeluang melihat sendiri keunikan lepa yang cantik. Lepa-lepa tersebut diukir dengan motif bertemakan laut seperti ikan, duyung dan kuda laut. Ia juga turut dihiasi dengan corak awan larat dan tulisan khat. Hiasan ukiran tersebut merangkumi keseluruhan bahagian lepa beserta tiang selain turut dihiasi dengan layar dan bendera tiga segi kecil. Setiap satu lepa juga akan membawa penari-penari dan ahli muzik yang lengkap dengan pakaian tradisional masyarakat Bajau Laut. Menjadi tradisi kepada sambutan Regatta Lepa, sebanyak lebih 50 buah perahu akan menyertai Pertandingan Sambulayang atau juga dikenali sebagai pertandingan layar dan perahu tercantik. Usaha menghasilkan sebuah lepa yang cantik boleh memakan masa sehingga empat bulan dan kosnya boleh mencecah hingga ribuan ringgit. Lepa yang paling cantik dan kreatif akan dinobatkan sebagai pemenang Lepa Tercantik yang merupakan hadiah utama dalam perayaan ini. Beberapa acara sukan melibatkan perahu seperti lumba perahu, tarik perahu secara berpasangan, renang dan persembahan kesenian dan kebudayaan turut diadakan untuk memeriahkan lagi perayaan ini. Selain itu, pada perayaan ini turut dipamerkan pelbagai jenis kraftangan masyarakat Bajau seperti aksesori wanita, pakaian tradisional, alat-alat tradisioanl dan lain-lain lagi. Di sebalik perayaan dan kisah sejarah lepa yang panjang ini sebenarnya terselit mesej kepada masyarakat supaya kuat dari aspek mental dan fizikal umpama sebuah lepa yang kuat serta gah belayar di lautan. Hakikatnya, usaha memartabatkan dan memelihara warisan budaya bangsa perlu digerakkan dengan

lebih proaktif selaras dengan perkembangan dunia sekarang yang semakin mencabar agar ianya tidak ditelan zaman.

ASPEK OBJEK 1. PAKAIAN Berdasarkan gambar, wanita menggayakan blaus baldu sampit dan kain sarung olos berangkit, perhiasan leher mandapun dan perhiasan kepala sarempak. Lelaki Bajau menggayakan baju potongan Cekak Musang, seluar, samping dan destar. Manakala, pasangan suku kaum Bajau menggayakan pakaian adat perkahwinan dan kebesaran. Pakaian lelaki dari kain satin berhias renda dan pakaian wanita juga dari satin yang dilengkapi dengan mandapun dan tali pinggang.

2. MAKANAN TRADISIONAL Antaranya ialah kima, putu, dan Tompe atau tinompeh. Makanan tradisional kima adalah nama sejenis kerang laut dan terdapat dalam beberapa spesies, antaranya lapiran, kima bohe dan sollot-sollot iaitu bersaiz kecil dan menyelit di celah-celah permukaan batu. Kima di jadikan lauk dalam makanan tradisi Orang Bajau. Kima ini boleh dimakan mentah-mentah setelah dihiris atau di potong kecil-kecil dan dicampur dengan air limau dan lada serta rempah ratus yang lain mengikut selera seseorang. Ia juga boleh di makan bersama sayur. Selain itu, makanan tradisional putu pula adalah makanan yang berupa ubi kayu yang diparut dan telah diperah airnya lalu dimasak secara stim. Manakala makanan tradisional Tompe atau Tinompeh juga adalah makanan yang berupa ubi kayu yang diparut dan telah diperah airnya. Ia kemudiannya digoreng tanpa minyak di dalam kuali, sehingga warna kekuningkuningan. Makanan Kima Kima adalah nama sejenis kerang laut dan terdapat dalam beberapa spesis, antaranya lapiran, kima bohe' dan sollot-sollot (bersaiz kecil dan menyelit di celahcelah permukaan batu). Kima dijadikan lauk dalam makanan tradisi Orang Bajau. Kima ini boleh dimakan mentah-mentah (inta') setelah dihiris atau dipotong kecil-kecil

dan dicampur dengan air limau dan lada serta rempah-ratus yang lain mengikut selera orang yang hendak makan. Ia juga boleh dimasak bersama sayur. Ada juga kima yang dikeringkan di bawah sinar matahari dan biasanya ia dimasak bersama sayur. Sagol/ Senagol Sagol/ enagol bermaksud mencampuradukkan. Secara khusus ia merujuk kepada sejenis masakan tradisional yang menggunakan isi ikan (biasanya ikan pari, ikan yu dan ikan buntal, secara umumnya ikan yang mempunyai hati yang besar) yang dicincang-cincang dan dimasak dengan kunyit. Untuk membuat sagol, ikan yu, pari atau buntal dicelur dahulu sehingga mudah membersihkan 'langnges' iaitu lapisan kasar pada kulit yu dan pari, atau 'iting' iaitu 'duri' pada ikan buntal. Mencelur (masak separuh masak) ini juga dilakukan untuk memudahkan isi ikan dihancurkan dan dicampur dengan kunyit yang telah dipipis. Ada dua jenis masakan sagol/ enagol iaitu sagol/ enagol kering (tiada kuah) dan sagol/ enagol basah (berkuah). Untuk mendapatkan rasa sebenar sagol/ senagol, biasanya tidak menggunakan minyak makan tetapi menggunakan minyak hati ikan yang disagol itu, iaitu sama ada minyak hati ikan pari, atau minyak hati ikan yu atau minyak hati ikan buntal. Putu Makanan yang berupa ubi kayu yang diparut dan telah diperah airnya lalu dimasak secara stim. Lazimnya, Putu dimakan bersama Sagol, Kima, Tehek-tehek,ayum dan beberapa makanan Tradisional Bajau yang lain (selalunya makanan laut). Tompeh Makanan yang berupa ubi kayu yang diparut dan telah diperah airnya. Ia kemudiannya digoreng tanpa minyak di dalam kuali, sehingga berwarna kekuningkuningan.

Anda mungkin juga menyukai