Anda di halaman 1dari 7

CABARAN KE ARAH MENUJU PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA.

Dalam Malaysia kearah menuju pendidikan bertaraf dunia, kita tidak dapat lari daripada cabaran-
cabaran yang boleh memberi kesan kepada dunia pendidikan. Di antara cabaran-cabaran tersebut ialah :

1. Penghijrahan pensyarah (brain drain)

Penghijrahan pensyarah institusi pengajian tinggi awam bukanlah satu fenomena yang baru. Ia telah
lama berlaku. Menurut Encik Wan Mokhtar Wan Yusuf ( Y.D.P. Persatuan Kakitangan Akademik UKM),
penghijrahan ini merupakan satu fenomena biasa yang sering berlaku dalam mana-mana sektor.
Penghijrahan ini sepatutnya dilihat sebagai tuntutan kepada keperluan tenaga pengajar yang bertambah
dalam sektor pendidikan swasta sejajar dengan perkembangan pendidikan negara ini.

Persoalannya apakah penghijrahan pensyarah menjadi satu ancaman kepada pendidikan di negara ini ?
Sudah tentu pasti kerana untuk menghasilkan seorang pensyarah bukannya satu perkara yang mudah.
Institusi pengajian tinggi awam menghadapi saingan untuk memikat graduan ijazah pertama sewaktu
mereka menamatkan pengajian. Memang tidak dapat dinafikan sektor swasta menawarkan skim gaji
dan beberapa kemudahan yang menarik berbanding dengan apa yang disediakan oleh institusi
pengajian tinggi awam.

Dilihat dari sudut yang lain, kestabilan politik dan kemantapan ekonomi memberi ruang kepada
pensyarah institusi pengajian tinggi awam memilih haluan karier masing-masing dan tidak bergantung
sepenuhnya kepada agensi-agensi yang berada di bawah naungan Kementerian Pendidikan.
Penghijrahan pensyarah bukan sahaja disebabkan oleh gaji pensyarah yang kecil tetapi juga harus dilihat
dari pelbagai sudut sama ada ia berbentuk peribadi atau sebaliknya. Banyak lagi faktor lain yang dapat
dikaitkan seperti tidak mendapat pengiktirafan pada masa yang diharapkan, rasa terkongkong dan
sebagainya. Penghijrahan pensyarah sebenarnya tidak hanya tertumpu kepada institusi pengajian tinggi
swasta sahaja, malahan ia juga melibatkan sektor yang lain seperti sektor swasta, sektor kerajaan atau
bekerja sendiri.

2. Dominasi Jantina Dalam Profesyen Perguruan

Keunggulan idealisme perguruan di negara ini menjadi semakin malap apabila profesyen perguruan ini
dimonopoli oleh kaum wanita. Trend yang berlaku sekarang menunjukkan profesyen perguruan pada
masa kini dan menjelang pada abad 21 akan terus dimonopoli oleh wanita. Salah satu implikasi negatif
pendominasian gender, khususnya kaum wanita dalam profesyen ini ialah meluasnya pelbagai
perkembangan yang tidak sihat seperti kenakalan remaja, keruntuhan moral, masalah disiplin, jenayah
berat yang semakin meluas berlaku disebabkan komitmen yang rendah dan ketidakmampuan guru
wanita menangani masalah sosial yang semakin mencabar.

Kekurangan peranan bapa di sekolah serta corak sosialisasi yang lemah sekaligus menunjukkan
profesyen perguruan tidak berkemampuan dalam menangani masalah asas pendidikan yang dihadapi
oleh masyarakat pada masa ini dan menjelang abad ke-21. Perasaan ketidakpuasan hati di kalangan
guru dalam profesyen perguruan kebelakangan ini telah meningkat dengan begitu tinggi.
Ini disebabkan meningkatnya beban kerja dan jangkaan yang pelbagai yang dilakukan oleh guru.
Fenomena ini juga mendorong ramai bilangan guru ingin berhenti dan memohon untuk pilihan bersara
daripada profesyen ini. Selain itu, kaum guru tidak dapat melarikan diri daripada menjadi sasaran
kritikan kerana pendidikan adalah sentiasa terbuka kepada penilaian dan akauntabiliti pelbagai pihak.

Banyak pekembangan terbaru yang berlaku yang memerlukan golongan pendidik di negara ini lebih
bersifat profesional dalam melaksanakan tugas dan menangani masalah rumit yang berkembang dalam
masyarakat sekarang. Kemalangan yang berlaku dari masa ke semasa mendedahkan golongan pendidik
di negara ini dengan pelbagai tekanan psikologi dan mental yang memerlukan semangat kental dan
kesabaran kaum guru.

3. Peperiksaan Mengikut Keupayaan.

Konsep baru peperiksaan yang akan diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan yang memberi peluang
kepada pelajar-pelajar mengambil peperiksaan mengikut keupayaan, dikira akan memberi kesan yang
luas kepada sistem penilaian dan sistem pelajaran di sekolah.

Konsep yang dicadangkan oleh Menteri Pendidikan, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak ini, sudah tentu
mempunyai implikasi sosial dan moral yang luas kepada perkembangan pelajar. Murid-murid
sememangnya berbeza dari segi kebolehan dan kecerdasan mereka. Ini menyebabkan sebilangan murid
didapati lebih mudah dan cepat menguasai sesuatu pelajaran dan kemahiran berbanding dengan
segolongan lagi murid yang lemah dan lembab.

Banyak faktor yang menyebabkan mengapa perbezaan ini wujud dan memberi kesan pada pencapaian
individu murid. Dari kajian-kajian yang telah dilakukan menunjukkan faktor sosioekonomi khususnya
latar belakang keluarga seperti pekerjaan, pendapatan dan pendidikan ibu-bapa mempunyai kesan yang
amat besar kepada pencapaian murid-murid. Konsep peperiksaan yang memberi peluang pelajar
mengambil peperiksaan mengikut keupayaan yang dicadangkan ini adalah bertujuan menggalakkan
pelajar yang pintar dan cerdik atau murid-murid yang telah pun bersedia boleh mengambil peperiksaan
lebih awal bagi tahap-tahap tertentu.

Isu kritikal di sebalik perlaksanaan sistem peperiksaan ini ialah ia boleh menggoncangkan sistem
persekolahan kerana ia boleh menjadi alat untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh golongan elit
dan golongan berada mendapat pengiktirafan memihak kepada kepentingan mereka berbanding anak-
anak golongan kurang berada dan golongan miskin.

Liberalisme konsep peperiksaan mengikut keupayaan bagaimanapun dikira akan memberi peluang
kepada pelajar lemah menangguhkan peperiksaan yang sepatutnya mereka duduki mengikut sistem
peperiksaan berjadual sehingga mereka benar-benar yakin dan bersedia. Soalnya, sehingga bilakah
pelajar yang lemah boleh membina keyakinan mereka untuk menduduki peperiksaan dan adakah
mereka yakin mereka akan berjaya dalam peperiksaan.

Peratusan dan bilangan besar pelajar lemah di sekolah didapati tidak mempunyai keyakinan dan
harapan yang mereka akan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan. Sistem peperiksaan yang
diujudkan juga lebih cenderung untuk mengukur kebolehan dan kecerdasan yang mirip kepada pelajar
berkebolehan tinggi di samping ia mengiktiraf kegagalan pelajar lemah dan kurang kebolehan dari segi
akademik.

Sistem peperiksaan yang dikira liberal ini juga tidak menjadikan sesuatu perubahan kepada yang
berkebolehan rendah. Meliberalisasikan konsep peperiksaan tanpa mengubah rancangan dan program
pendidikan untuk memperbaiki kelemahan akademik golongan berkebolehan rendah sudah tentu tidak
memberi apa-apa makna ke arah merintis masa depan yang cerah kepada golongan yang berkebolehan
rendah.

Selain itu, boleh ditimbulkan satu persoalan disini, apakah falsafah dan rangka ideologi yang mendasari
konsep peperiksaan mengikut keupayaan yang dicadangkan ini ? Adakah ia boleh dikira satu perubahan
yang penting ke arah menyumbang reformasi sistem peperiksaan yang sedia ada ? Setakat manakah
falsafah dan konsep peperiksaan mengikut keupayaan ini memberi faedah dan mendukung wawasan
pendidikan untuk melahirkan warga negara yang seimbang serta berketrampilan ?

Cadangan dikemukakan bagi menjadikan sistem peperiksaan dan persekolahan dan pengajian tinggi di
negara kita lebih fleksible dengan cara membenarkan pelajar merujuk buku dan bahan-bahan yang
dikirakan penting semasa di bilik peperiksaan. Bagaimanapun ia dianggap tidak praktikal dari segi
keboleh percayaan dan validitinya sesuatu peperiksaan. Idea ini juga dikira mempunyai kecenderungan
mengalakkan pelajar meniru dalam peperiksaan yang sukar dikesan.

Salah satu amalan negatif peperiksaan mengikut keupayaan ialah menkelaskan pelajar mengikut kelas
dan kriteria baik, sederhana baik, lemah dan sebagainya. Amalan ini juga dikenali sebagai "streaming"
atau pengaliran. Pengaliran biasanya dibuat oleh pihak sekolah mengikut pencapaian keseluruhan
pelajar, dan kedudukannya yang bersiri di kalangan pelajar di tahap yang sama.

Konsep peperiksaan seperti ini mengalakkan lebih banyak pertumbuhan pusat-pusat tuisyen yang
memberi keuntungan yang lumayan di samping mengekspoitasi murid dan ibu bapa demi mendapatkan
kelulusan yang baik di dalam peperiksaan yang diadakan. Pertumbuhan pusat-pusat tuisyen adalah satu
fenomena yang tidak sihat dan ia mencerminkan kegagalan sistem pendidikan dan sistem persekolahan
di negara ini yang kurang cekap menjamin kejayaan yang baik di dalam peperiksaan. Selain itu
peperiksaan akan mempengaruhi ibu bapa sehingga boleh memberi tekanan mental dan psikologi
kepada anak-anak mereka semata-mata didorong oleh desakan untuk mencapai kejayaan yanga
cemerlang.

Kejayaan di dalam peperiksaan dikira merupakan satu tiket untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang
lebih baik di samping untuk mendapatkan tempat memasuki institusi pengajian tinggi yang begitu
berpegang teguh kepada merit dan prinsip kecemerlangan pencapaian akademik seseorang pelajar.

Dilihat dari perspektif sosiologi, radikal, konsep peperiksaan yang dicadangkan ini akan mendorongkan
kepada satu corak "class struggle" yang lebih ketara yang mencerminkan realiti keadaan persaingan dan
pergelutan masyarakat di luar sekolah. Keseluruhan falsafah, prinsip, dan proses pendidikan akan
terjejas sekiranya sistem peperiksaan yang mendasari wawasan pendidikan itu menyimpang dari
matlamat-matlamat unggul pendidikan untuk membentuk dan melahirkan insan yangg seimbang dan
sempurna yang perlu dilaksanakan melalui sistem dan proses persekolahan yang progresif dan dinamis.

CADANGAN MENANGANI CABARAN KEARAH MERIALISASI PENCAPAIAN MATLAMAT PENDIDIKAN


BERTARAF DUNIA.

Meningkatkan profesionalisme perguruan

Adalah amat mustahak diingat golongan pendidik di negara ini perlu sentiasa menghidupkan motivasi
diri dengan menguatkan keazaman dan sedia menghadapi cabaran-cabaran baru, disamping
meningkatkan kewibawaan keilmuan mereka sebagai golongan pendidik yang dihormati dan disanjungi
oleh murid, ibubapa dan masyarakat.

Budaya mengajar yang masih bersifat usang, tradisional dan kurang berkesan menangani masalah asas
pendidikan seperti buta huruf, buta budaya, buta ilmu adalah di antara krisis pendidikan yang
mencerminkan krisis profesionalisme perguruan di negara-negara membangun khususnya di Malaysia
memerlukan resolusi yang lebih redikal dilakukan. Profesyen perguruan boleh dikatakan tidak banyak
mengalami perubahan dari segi inovasi dari segi teknologi walaupun perkembangan teknologi maklumat
berlaku dengan pesatnya dan dalam sektor-sektor lain.

Selaras dengan perubahan era multimedia dan teknologi maklumat profesyen di negara ini perlu di
reformasikan supaya ia benar-benar mampu menjadi agen perubahan kepada budaya literasi teknologi,
khususnya bagi melahirkan masyarakat yang celik komputer dan bersikap terbuka bagi mengembangkan
budaya saintifik.

Pendidikan guru perlu di reformasikan bagi menyediakan guru-guru yang berwibawa dengan ilmu
pengetahuan, mengamalkan sikap nilai dan falsafah pendidikan yang progresif, dapat mengembangkan
profesionalisme perguruan yang idealistik untuk membangunkan generasi muda yang celik budaya,
mempunyai kualiti sosial dan moral yang tinggi, bersifat futuristik dan positif untuk mencapai kemajuan
dan perubahan. Peranan profesyen perguruan dalam masyarakat membangun seperti Malaysia
menjelang abad ke 21 tidak seharusnya di bataskan di atas andaian dan pandangan yang sempit.
Sebarang langkah bagi mengongkong dan menyempitkan peranan golongan guru sudah tentu akan
merugikan masyarakat dan negara.

Profesyen perguruan harus berkembang dengan lebih pantas dan progresif bagi mencorakkan
perkembangan individu, masyarakat dan negara. Dari satu segi yang lain, profession perguruan yang
menjadi agen perubahan sosial harus menjadi penyelamat kepada krisis kemelut sosial yang dihadapi
oleh masyarakat yang sedang bergelut dengan tuntutan kemajuan dan perubahan. Profesyen perguruan
perlu diberi ruang yang lebih terbuka supaya konsep memasyarakatkan sekolah, murid, pendidikan dan
guru boleh memberi faedah yang besar kepada pembangunan masyarakat setempat.

Pendidikan sebagai asas pembinaan masa depan bangsa dan negara bergantung kepada profesyen
perguruan yang berkembang secara dinamik dan progresif. Profesyen perguruan yang dinamis perlu
melahirkan kepimpinan guru yang berkualiti, sentiasa memperbaiki dan mempertahankan etika
profesionalisme pendidikan, berbanding dengan tugas yang mengabdikan diri sebagai golongan
pendidikan yang berwibawa dan dapat menjadikan diri sendiri lebih berketrampilan dengan mendokong
belajar seumur hidup (life long learning), belajar untuk mengubah dan belajar untuk berubah.

Usaha-usaha lain sepearti melatih pensyarah bagaimana mengajar di institusi pengajian tinggi. Langkah
ini turut mencadngkan supaya pensyarah-pensyarah universiti mestilah memiliki diploma pendidikan
bagi membolehkan mereka melayakkan diri untuk mengajar. Walaupun mendapat reaksi yang "panas
dan sinis" daripada pensyarah dan professor, cadangan ini bagaimanapun perlu dianggaap sebagai satu
cadangan yang positif bagi meningkatkan kualiti pengajaran pensyarah dan profesor di universiti
khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan pedagogi dan asas kaedah pengajaran.

Mengatasi masalah "Brain Drain" di kalangan pensyarah

Kebanyakkan pensyarah yang memilih kerjaya ini adalah kerana komited dengan apa yang dilakukan.
Penyelidikan menjadikan visi hidup mereka. Kerjaya sebagai pensyarah mempunyai banyak insrintik
yang terus menambat hati pensyarah agar terus kekal di institusi pengajian tinggi.

Namun apa yang menyebabkan wujudnya masalah 'brain drain' antaranya ialah layanan yang mereka
terima berbanding dengan pensyarah yang berrkhidmat di luar negara. Wan Mokhtar mempersoalkan
apakah adil hanya menggangapkan pensyrah yang berkhidmat di luar negara ditawarkan dengan gaji
yang berlipat ganda apabila kembali ke Malaysia, sedangkan antara keduanya mempunyai kemahiran
dan pendedahan yang sama.

Dalam menangani isu ini, ia melibatkan banyak pihak. Namun begitu ia bukanlah sesuatu perkara yang
sukar. Kerajaan sebagai tunggak, hendaklah peka dengan keperluan dan tuntutan semasa institusi
pengajian tinggi awam agar penghijrahan keluar pensyarah dapat di atasi. Jangan biarkan pensyarah
meminta-minta hak mereka kerana martabat pensyarah amat tinggi kedudukannya.

Memperbaiki Kualiti Sistem Peperiksaan

Adalah penting langkah dan strategi pembaharuan dilakukan oleh Kementerian Pendidikan bagi
memperbaiki dan meningkatkan kualiti sistem peperiksaan. Sistem peperiksaan yang dibentuk bukan
sahaja perlu menguji kebolehan akademik semata-mata tetapi keseluruhan aspek perkembangan dan
kualiti serta potensi individu sejajar dengan falsafah pendidikan negara.

Peperiksaan yang menekankan kepada kecemerlangan akademik semata-mata tidak memberi gambaran
menyeluruh terhadap perkembangan pelajar. Selain itu, langkah-langkah perrlu dibuat bagi
memperbaiki kualiti dengan menekankan aspek-aspek kognitif dengan menguji kebolehan pelajar dari
segi pemikiran kritis, rasionaliti, logik, pertimbangan dan nilai, ketepatan fakta, penyelaisaian masalah,
aplikasi, membuat penilaian dan sebagainya.
Konsep peperiksaan berterusan dalam konteks sekolah perlu di ambil kira sebagai kriteria keseluruhan
mengukur perkembangan masyarakat yang sihat, berdaya maju dan cemerlang di samping memberi
peluang kepada kepada setiap orang untuk mencapai rasa kejayaan dan penghargaan diri.

Perubahan asas dalam sistem pendidikan perlu dibuat. Perubahan ini bukan bersifat kosmetik tepi
perubahan substantif supaya kurang berorientasikan peperiksaan. Antaranya cadangan supaya tiga
peperiksaan sekolah menengah dikurangkan kepada dua. Ini akan mengurangkan tekanan.

Antara perubahan tersebut ialah membolehkan kegiatan ko-kurikulum diambil kira untuk memasuki
universiti. Ketika ini sepuluh peratus daripada nilai markah kemasukan universiti datangnya daripada
aktiviti ko-kurikulum. Apabila kita berubah kepada sekolah bestari nanti, penekanan akan diberikan
kepada soal penguasaan ilmu dan kemampuan pelajar mengikut kemampuan sendiri iaitu konsep
kendiri.

KETERSEDIAAN PENDIDIK MENGHADAPI REFORMASI PENDIDIKAN

Golongan pendidik adalah murabi dan ahli ilmu yang membimbing manusia kejalan yang betul dalam
pegangan hidup, kerohanian, akhlak dan bidang ilmu yang berfaedah. Mereka bertanggungjawab
mendidik pelajar mengenal dan menghayati nilai kebenaran, keindahan dan keadilan dengan
spektrumnya yang seimbang dan benar, sesuai dengan potensinya sebagai khalifah Allah dan hambanya.
Dalam menuju alaf baru pendidikan bertaraf dunia paradigma pendidikan perlukan anjakan yang dapat
mendorong para pendidik memainkan peranan mereka dengan lebih agresif dan progresif. Paradigma
pendidikan perlu diubah daripada menerima kepada mencipta atau mencari, daripada ketaatan kepada
komitmen , daripada individu kepada perkongsian, daripada rutin kepada inovatif dan kretif, daripada
reaktif kepada proaktif dan daripada pasif kepada progresif.

Sebelum perlaksanaan reformasi dibuat secara total ke atas sistem pendidikan negara, apakah semua
yang akan terlibat dalam mendokong dan melaksanakannya telah tersedia? Kementerian Pendidikan
perlu terlebih dahulu memastikan semua dalam keadaan bersedia bagi mendokong semua dasar atau
sistem baru yang lebih futuristik.

Janganlah semua kesilapan seperti pengenalan kurikulum baru sekolah rendah (KBSR), subjek alam dan
manusia (ADM), dasar disiplin dan sistem kenaikan pangkat baru berdasarkan kepada kelayakan
akademik berulang lagi - kasihan generasi remaja kita yang menjadi mangsa kerana impak dari kesilapan
penghitungan dalam menanam modal dalam"komoditi pendidikan", ia akan memberi impak jangka
panjang. Sebagai contoh, hasil daripada kegagalan KBSR dan subjek ADM yang dilaksanakan 10 tahun
dahulu, bahangnya kita dapat rasai kini dengan kurangnya pelajar kita (melayu khususnya) yang
berminat unutk memilih sains sebagai bidang pilihan mereka di IPT.

Pendidikan telah mempunyai agendanya untuk menubuhkan Sekolah Bestari, Pendidikan Bertaraf
Dunia, Guru Bertaraf Dunia dan berbagai lagi yang akan bertaraf dunia. Persoalannya, apakah semua
kominiti guru telah bersedia untuk mengikut arus reformasi yang akan mendatang dalam era pasca
Teknologi Maklumat masa kini ? Ada baiknya fenomena ini dibetulkan terlebih dahulu sebelum
memikirkan reformasi pendidikan secara total. Janganlah anjakan paradigma itu dibuat berkelompok-
kelompok, biar ia menyeluruh kepada semua golongan pendidik. Kerana mereka inilah yang akan
membina asas-asas yang mantap dan teguh.

Kesimpulan

Dalam menuju ke arah pendidik dan pendidikan bertaraf dunia setiap lapisan masyarakat mahupun
individu haruslah memainkan peranan masing-masing. Kita perlu bekerjasama dan berganding bahu
dalam melaksanakan dan merealisasikan wawasan negara demi untuk melahirkan insan yang berilmu
pengetahuan, bertanggungjawab, inovatif, kreatif, progresif dan berakhlak mulia selaras dengan falsafah
pendidikan negara. Sebagai golongan bukan pendidik, kita janganlah meletakkan seluruh tanggungjawab
ini hanya kepada golongan pendidik sahaja, tetapi haruslah memberikan komitmen yang menyeluruh
dan bersepadu.

http://sarjana.tripod.com/taraf1.html

Anda mungkin juga menyukai