Anda di halaman 1dari 6

PIX3001 U2004358

Soalan ke-2:
Keciciran dalam pendidikan adalah isu global serta berterusan dengan pelbagai faktor serta
implikasinya dan anda akan turut berhadapan dengan isu ini apabila berada di lapangan kelak.
Berdasarkan sumber di atas, bincangkan secara kritikal tiga faktor yang membawa kepada
keciciran murid serta tiga inisiatif yang boleh anda ambil dalam memainkan peranan anda
sebagai (bakal) guru dalam usaha untuk menangani isu berkenaan.

Huraian anda mestilah berdasarkan kerangka perbincangan kursus dengan disokong oleh fakta
serta justifikasi yang jelas dan matang berserta contoh yang sesuai dan relevan.

Jawapan:
Pendidikan adalah antara perkara yang dititikberatkan oleh kerajaan kerana dengan pendidikan,
pelbagai perkara dapat diubah dan diperbetulkan. Pendidikan untuk semua merupakan hasrat
kerajaan secara holistik melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Secara ringkasnya,
kerajaan meletakkan matlamat untuk mengurangkan jurang pendidikan yang wujud dalam
kalangan rakyat Malaysia atas faktor-faktor yang tertentu. Jurang yang dimaksudkan adalah isu
keciciran dalam pendidikan yang semakin hari semakin meningkat dan ini membimbangkan
kerajaan. Hal ini disebabkan kerana sistem pendidikan yang bermutu dipercayai mampu
menghasilkan generasi muda yang berfikiran kritis, berdaya saing dan mampu berinteraksi di
skala global sekaligus membantu dalam pembangunan ekonomi negara. Berbalik kepada definisi
keciciran dalam pendidikan adalah merujuk kepada seseorang yang tidak dapat atau tidak
berkemampuan untuk meneruskan persekolahan pada semua tahap pendidikan. Namun, keciciran
ini terjadi disebabkan oleh beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan seperti faktor
sosioekonomi keluarga, faktor persekitaran dan faktor personaliti pelajar.

Faktor pertama yang mengakibatkan keciciran dalam pendidikan ialah sosioekonomi


keluarga atau juga boleh dilihat sebagai masalah kewangan. Pengaruh latar belakang
sosioekonomi keluarga merangkumi tahap pendidikan, pekerjaan ibu bapa dan pendapatan
sekeluarga. Status sosioekonomi yang rendah menghalang seseorang pelajar untuk memperoleh
peluang pembelajaran yang baik. Sumber kewangan yang terhad juga meletakkan pelajar di
PIX3001 U2004358

keadaan yang tersepit. Perkara ini memberi kesan yang besar terhadap tahap motivasi pelajar
kerana ia menurunkan semangat mereka untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang
seterusnya. Malah, perasaan tertekan, terbeban atau serba salah dengan keadaan keluarga juga
menyebabkan pelajar mudah hilang fokus semasa pembelajaran. Tambahan pula, kos sara hidup
saban hari semakin tinggi dan pelajar juga lebih memilih untuk bekerja di usia yang muda
berbanding meneruskan pengajian.

Jurang pendidikan ini bukan sahaja dihadapi oleh penduduk di kawasan luar bandar
sahaja tetapi juga di kalangan penduduk bandar. Jurang pendidikan di luar bandar lebih kepada
penduduk yang masih menyara kehidupan sekeluarga hasil kegiatan ekonomi berteraskan kaedah
tradisional seperti bertani. Demi meneruskan kelangsungan hidup, penduduk luar bandar lebih
memilih untuk menyara keperluan asas yang lebih penting dengan mengorbankan pelajaran anak.
Berlainan pula bagi penduduk bandar yang menderita dengan isu kemiskinan bandar disebabkan
oleh kos sara hidup yang terlalu tinggi. Hal ini jelas terbukti dengan kajian yang telah dilakukan
di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Putra Ria, Kuala Lumpur di mana sejumlah 86%
penduduk tergolong daripada kumpulan B40 dengan purata pendapatan isi rumah di bawah
RM3,000. Kajian ini juga mencatatkan seramai 80% anak-anak yang mendiami kawasan
perumahan ini hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai tahap tertinggi pendidikan
mereka. Faktor pendapatan keluarga dan kesempitan hidup telah mengakibatkan seseorang
pelajar membatalkan niat untuk menyambung pengajian pada usia yang sepatutnya. Maka,
jelaslah bahawa status sosioekonomi keluarga yang rendah menghalang seseorang pelajar untuk
menerima pendidikan yang sewajarnya.

Faktor yang kedua pula ialah faktor persekitaran. Faktor ini merangkumi budaya dan
desakan sekeliling, pengaruh rakan sebaya serta gaya pengajaran guru. Seperti yang telah
dilampirkan di dalam petikan yang disediakan, terdapat sejumlah besar masyarakat Orang Asli
(OA) yang masih berdepan dengan masalah keciciran belajar. Ini dipercayai disebabkan oleh
budaya dan persekitaran orang asli yang masih berpegang teguh dengan kepercayaan tradisi
nenek moyang mereka. Malah, pelajar orang asli juga dikatakan tidak lagi berminat untuk
mendapatkan pendidikan oleh kerana mereka dikahwinkan pada usia muda. Hal ini dilaporkan
oleh Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Melaka dan Negeri Sembilan pada 2
PIX3001 U2004358

Februari 2023. Tanggungjawab dan komitmen sedia ada membuatkan mereka lebih
mementingkan kehidupan semasa daripada memfokuskan kepada pelajaran.

Selain dipengaruhi dengan adat dan budaya, pelajar juga mudah untuk dihasut atau
terhasut dengan ajakan rakan sebaya. Apa yang dibuat, itu jugalah yang akan ditiru dan
dilakukan. Ini kerana dalam diri setiap seorang pelajar, terselit sifat ingin mencuba dan meneroka
perkara yang mereka tidak tahu. Sifat ingin tahu inilah yang akan memakan diri mereka jika
tidak diberi pemantauan yang baik daripada penjaga mereka sendiri. Faktor persekitaran juga
menjurus kepada gaya pengajaran guru. Segelintir pelajar mulai kurang minat dalam pelajaran
jika gaya pengajaran guru masih kekal tradisional dan tidak divariasikan atau mengikut trend
terkini. Guru yang cemerlang adalah guru yang berkemampuan dalam meningkatkan minat
pelajar untuk mempelajari sesuatu sekaligus mempengaruhi mereka menjadi seorang pelajar
yang seimbang. Oleh itu, para guru perlu mempelbagaikan gaya pengajaran bagi menarik minat
dan menggalakkan pelajar untuk meneroka ilmu.

Faktor yang terakhir adalah faktor peribadi pelajar. Faktor ini dilihat sebagai faktor yang
paling mempengaruhi seseorang sama ada untuk mendapatkan pendidikan ataupun tidak.
Tingkah laku, kecenderungan dan tahap motivasi seseorang pelajar menjadi aspek utama dalam
mempengaruhi keciciran dalam pendidikan. Ini kerana ketiga-tiga aspek ini mempunyai
hubungkait yang erat dengan prestasi atau gred seseorang. Jika pelajar memiliki sikap yang
positif khususnya menyedari bahawa pelajaran itu sangat penting dalam kehidupan mereka,
maka perkara ini akan menjadi penggerak kepada mereka untuk menimba dan mempelajari ilmu
baharu. Kecemerlangan atau kejayaan yang diperolehi adalah ditentukan oleh pelajar itu sendiri.
Proses pembelajaran tidak akan berlaku dengan lancar jika pelajar tidak memiliki aspek-aspek
yang telah disenaraikan. Sebagai contoh, pelajar cenderung untuk hilang fokus terhadap sesuatu
pembelajaran malah lebih memilih untuk bermain dan berangan-angan jika perkara yang diajar
tidak diminati oleh mereka. Perkara ini juga dapat dikaitkan dengan motivasi pelajar tersebut.
Motivasi seseorang juga adalah bergantung kepada diri mereka sama ada mereka ingin berusaha
lebih atau memilih untuk mengabaikan pelajaran tersebut.
PIX3001 U2004358

Oleh itu, sebagai seorang bakal guru, antara inisiatif yang boleh diambil untuk menangani
isu keciciran ini adalah meletakkan lebih banyak usaha dalam meningkatkan kesedaran ibu bapa
terhadap kepentingan pelajaran kepada anak-anak. Melalui pelajaran ini jugalah, anak-anak
mampu mengubah nasib dan takdir keluarga pada masa hadapan. Bagi golongan ibu bapa yang
berpendapatan rendah, saya akan mendedahkan kepada mereka bahawa terdapat pelbagai
bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan atau pihak sekolah seperti bantuan dana pendidikan,
program buku teks percuma, makanan percuma dan perkhidmatan kaunselor dalam membantu
pelajar yang bermasalah. Ini kerana ibu bapa pasti mengalami kebuntuan dan kebimbangan
memikirkan perbelanjaan yang perlu ditanggung.

Unit Bimbingan dan Motivasi dilihat mampu mengurangkan masalah keciciran dari sudut
pembelajaran. Saya mengambil inisiatif untuk menggerakkan unit ini untuk membimbing para
pelajar yang mengalami masalah peribadi. Pelajar yang tertekan dengan pengajaran mungkin
mengalami kecelaruan mental, terhimpit dengan konflik diri serta keluarga. Perkhidmatan ini
tidak akan mengenakan sebarang bayaran kepada pelajar, mengambil kira klien yang masih di
bawah tanggungan ibu bapa. Melalui unit ini, para pelajar dapat menjadikan ia sebagai tempat
luahan perasaan sekaligus dijadikan sebagai sistem sokongan moral buat dirinya. Malah, pelajar
juga akan dapat memperbaiki keadaan dirinya melalui khidmat nasihat dan bimbingan daripada
guru atau kaunselor yang terlibat. Sudah terang lagi bersuluh, pelaksanaan unit ini mampu
membuka mata pelajar untuk memandang masalah daripada perspektif yang berbeza.

Selain itu, dalam usaha meningkatkan motivasi dan minat pelajar, saya akan
mempelbagaikan gaya pengajaran yang lebih informatif seperti memperbanyakkan aktiviti
kreatif berbanding menumpukan pandangan kepada papan hitam sahaja. Aktiviti kreatif ini
melibatkan penggunaan alat bantu mengajar seperti gambar, carta dan grafik model dalam
memberikan gambaran yang lebih jelas akan sesuatu konsep yang ingin disampaikan.
Pembelajaran yang dipelbagaikan sama ada mengajar menggunakan bahan elektronik, bukan
elektronik dan bahan bercorak pengalaman akan membuatkan pelajar lebih tertarik untuk belajar.
Malah, saya sedar bahawa menjadi seorang guru bukanlah perkara yang mudah. Namun begitu,
seorang guru yang baik adalah guru yang sedia membantu pelajar yang ketinggalan atau lemah
dalam suatu pelajaran. Oleh itu, saya mengusulkan program mentoring selepas mengenalpasti
PIX3001 U2004358

masalah seseorang pelajar. Ini untuk menunjukkan sokongan dan kesediaan guru dalam
membantu pelajar yang memerlukan bimbingan atau pemantauan yang lebih. Tahap penerimaan
seseorang berbeza bergantung kepada kemampuan belajar mereka.

Kesimpulannya, keciciran dalam pendidikan sememangnya memberi kesan yang jelas


terhadap pembangunan negara. Pemuda kini dianggap sebagai pemacu kemajuan masa depan
negara. Sekiranya pemuda kini berada di ambang ketandusan ilmu, maka bagaimanalah keadaan
anak cucu kita di masa akan datang. Oleh itu, pendidikan haruslah dipupuk semenjak usia muda
bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Selain usaha kerajaan dan pendidik, ibu
bapa juga perlulah memainkan peranan dalam menangani isu keciciran ini. Kita tidak seharusnya
meletakkan sepenuh tanggungjawab ini di atas pundak kerajaan semata-mata.
PIX3001 U2004358

Rujukan

Mulup, A. (2023, February 1). Kahwin muda antara faktor keciciran pendidikan Orang Asli.
Utusan Malaysia.
https://www.utusan.com.my/nasional/2023/02/kahwin-muda-antara-faktor-keciciran-pend
idikan-orang-asli-2/
Othman, N., Othman, N., & Rosli, H. F. (2021, Mei 1). Keciciran Pelajar di Peringkat
Pendidikan Tinggi: Punca dan Penyelesaiannya. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(1).
https://www.researchgate.net/publication/352834183_Keciciran_Pelajar_Di_Peringkat_P
endidikan_Tinggi_Punca_Dan_Penyelesaiannya_Dropouts_In_Higher_Education_Cause
s_And_Solutions
Zakari, N. A., Abd. Majid, M. Z., & Muhammad Hussin. (2022). Keciciran Murid Sekolah di
Malaysia: Suatu Pemerhatian Awal. Malaysian Journal of Social Sciences and
Humanities (MJSSH), 7(2). https://doi.org/10.47405/mjssh.v7i2.1288

Anda mungkin juga menyukai