Anda di halaman 1dari 1

LANGKAH-LANGKAH MEMBANTU ORANG KELAINAN UPAYA (OKU)

Orang Kelainan Upaya (OKU) merupakan orang yang kurang bernasib baik. Mereka dilahirkan dalam
keadaan cacat. Ada juga yang menjadi cacat akibat mengalami kemalangan yang menjejaskan
anggota badan. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang
dimiliki. Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Terdapat pelbagai pihak yang
perlu memainkan peranan untuk membantu Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak mereka supaya menghormati serta tidak memandang hina
OKU. Hal ini demikian kerana OKU juga mempunyai perasaan mahu dihargai, disayangi dan
dihormati oleh masyarakat. Sebagai contoh, anak-anak diajar supaya tidak memandang sebelah
mata terhadap OKU. Mereka juga dilarang mentertawakan OKU akibat kecacatan yang mereka alami
ketika berhadapan dengan mereka. Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya
menghormati OKU.

Selain itu, pihak kerajaan hendaklah menyediakan pelbagai peluang pendidikan dan memberikan
kemahiran kepada golongan OKU. Hal ini demikian kerana pendidikan dan kemahiran sangat penting
demi masa depan mereka. Langkah pihak kerajaan mewujudkan Kelas Pendidikan Khas amat wajar
diberiakan pujian. Jelaslah bahawa pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam membantu
OKU sebagaimana slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib bin Tun
Abdul Razak ,’Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Di samping itu, pihak swasta juga hendaklah turut sama membantu golongan OKU menjalani
kehidupan yang lebih baik. Mereka tidak seharusnya bersikap lepas tangan dan tidak menganggap
OKU sebagai beban. Sebagai contoh, usaha murni pengusaha pusat beli-belah yang menyediakan
kemudahan untuk golongan OKU seperti lorong khas, tandas dan tempat letak kenderaan amat
dihargai. Sikap pihak swasta yang menunjukkan keperihatinan dan menunaikan tanggungjawab
mereka terhadap golongan yang kurang bernasib baik ini perlu dicontohi.

Seterusnya, pihak media massa boleh memainkan peranan mereka dengan menyebarkan maklumat
tentang peluang pendidikan dan kerjaya bagi OKU. Setiap maklumat mestilah disampaikan dan
disebarkan oleh pihak media massa kepada orang ramai. Kempen Masyarakat Penyayang yang
dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah disampaikan melalui saluran media massa. Maklumat
tersebut boleh disalurkan melalui iklan, kempen dan melalui drama. Kesannya, orang ramai akan
mendapat maklumat tentang OKU secara telus. Jelaslah, nasib OKU akan terbela dengan adanya
peranan media massa.

Setiap individu perlu menunjukkan nilai-nilai murni. Hal ini demikan kerana setiap individu mempunyai
tangungjawab masing-masing. Sebagai contoh, mereka perlu membantu golongan OKU semasa
melintas jalan, menaiki bas atau ketika OKU memerlukan sebarang bantuan. Hal ini bertepatan
dengan maksud peribahasa ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’. Pendek kata, setiap
individu hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni bagi membantu golongan ini.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai pihak perlu memainkan peranan untuk
membantu OKU. Semua pihak perlu berganding bahu, bak kata peribahasa berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing, bagi membela nasib dan masa depan golongan OKU.

WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU PT3 & SPM 2020


E-mail : izzathakim74@gmail.com Blog : www.kkomsas.blogspot.com
Telegram : http://t.me/joinchat/GWYICUlDrYiAiv1FB2Z54A

Anda mungkin juga menyukai