Anda di halaman 1dari 5

Teknik FACLK (Fokus, Akibat, Contoh, Langkah, Kepentingannya) Teknik ini memerlukan murid-murid membina ayat pertama dengan

merujuk kepada fokus penyataan (F) dalam soalan. Kemudian, ayat kedua iaitu akibat (A) daripada ayat pertama tadi. Selepas itu, bina pula ayat ketiga iaitu contoh (C) yang boleh dikaitkan dengan penyataan soalan. Seterusnya, murid-murid perlu membina ayat keempat, iaitu langkah (L) dan ayat kelima ialah kepentingannya (K) berdasarkan langkah yang telah diambil tadi. Kemudian, masukkan peribahasa atau gunakan ungkapan menarik, yang dirasakan sesuai dalam mana-mana ayat pendahuluan itu tadi. Jika murid-murid dapat menulis ayat yang ada pertalian rapat antara satu ayat dengan ayat yang lain, sudah pasti pendahuluan itu menjadi satu pendahuluan yang menarik dan mantap serta menepati kehendak skema pemeriksa. Soalan Contoh 1 Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud. Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung? Perenggan Pendahuluan Contoh 1 Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (F) Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (A) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, contohnya jika seseorang pegawai menawarkan rasuah untuk menutup kesalahan dirinya daripada landasan undang-undang, jelaslah betapa rendahnya akhlak dan maruah dirinya. (C) Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah agar masyarakat Malaysia yang amanah dan berintegriti dapat dilahirkan. (L) Hal ini perlu dititikberatkan kerana rasuah perlu dibanteras dari awal iaitu, mencegah lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit. (K)

Soalan Contoh 2 Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi. Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut. Perenggan Pendahuluan Contoh 2 Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan memang banyak terdapat di negara kita yang perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi. (F) Bangunan tersebut boleh dijadikan fakta sejarah yang menarik pelancong asing ke negara kita. (A) Oleh itu, Pulau Pinang dan Melaka yang telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO baru-baru ini masih banyak memiliki bangunan bersejarah seperti di Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan Stadhuyst di Melaka. (C) Jadi, kerajaan kedua-dua buah negeri tersebut perlulah mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah tersebut

jika tidak mahu perisyhtiharan itu ditarik balik. (L) Oleh itu, langkah yang diambil oleh UNESCO itu perlu disokong kerana hal ini pasti meningkatkan imej negara. (K) Murid-murid harus menyedari bahawa perenggan pendahuluan sama pentingnya dengan perenggan isi dan perenggan penutup. Perenggan pendahuluan juga akan memberikan gambaran atau impression awal tentang keseluruhan karangan murid-murid. Oleh hal yang demikian, cubalah berlatih untuk menulis pendahuluan karangan dengan menggunakan teknik ini. Sebenarnya, banyak cara lagi untuk menulis pendahuluan karangan dan cikgu mendangkan satu lagi teknik tambahan kepada murid-murid. Jadi, murid-murid mempunyai banyak cara yang boleh dipilih untuk menulis perenggan pendahuluan. Bagi calon-calon STPM, biasakan diri dengan menulis perenggan pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 90 hingga 100 perkataan. Bagi calon-calon SPM pula, biasakan diri dengan menulis pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 50 hingga 60 perkataan. Bagi calon-calon STPM, ingatlah bahawa markah perenggan pendahuluan sudah ditetapkan sebanyak 3 markah, dan kelemahan perenggan pendahuluan sudah pasti akan menjejaskan markah aspek relevan (R) dan juga mempengaruhi markah pengolahan (P).

Strategi Penulisan karangan PMR


Untuk memastikan pelajar dapat mentakrif soalan dengan tepat, pelajar mestilah mempunyai strategi tertentu. Strategi yang dicadangkan ialah T, K, F. Maksudnya ialah calon dikehendaki meneliti soalan karangan daripada tiga perkara, iaitu Tema (T), Kata kunci soalan (K) dan Format (F). Lihat soalan karangan contoh di bawah ini: Soalan Contoh: Anda ingin menulis rencana tentang faktor-faktor yang menarik kehadiran pelancong ke negara kita untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Tulis rencana tersebut selengkapnya. Ulasan: Sebelum menjawab soalan karangan ini, pelajar mestilah menentukan tema karangan tersebut. Karangan ini bertemakan peperangan (T= Pelancongan). Kata kunci soalan karangan ini ialah faktor (K= Faktor), manakala format karangan ini ialah berformat umum, iaitu karangan jenis pendapat yang memerlukan perenggan pengenalan, perenggan isi dan penutup. (F= Rencana). Ringkasnya: Tema: Pelancongan Kata Kunci : Faktor Format: Rencana Selepas aspek ini ditentukan, barulah calon menulis rangka karangan tersebut seperti yang di bawah ini: Isi: 1. memiliki pantai yang bersih dan cantik. 2. banyak mempunyai tempat yang menarik 3. mempunyai makanan tradisi yang enak dan lazat 4. negara kita yang aman dan damai Perenggan Pengenalan Perenggan pengenalan hendaklah mempunyai dua jenis ayat, iaitu ayat rangsangan (AR) dan Ayat Arahan (AA). Ayat rangsangan(AR) ialah ayat yang berkaitan dengan tema, manakala ayat arahan (AA) ialah ayat yang menjawab soalan atau kata kunci karangan. Contoh: (AR) Akhir-akhir ini, negara kita menjadi tumpuan pelancong dari seantero dunia. (AR) Hal ini menyebabkan sektor pelancongan memberikan sumbangan yang besar kepada pendapatan negara. (AR) Selain itu, industri pelancongan telah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. (AA) Sebenarnya, terdapat banyak faktor yang menyebabkan pelancong menjadikan negara kita sebagai destinasi mereka.

Perenggan Isi Secara keseluruhan, perenggan isi hendaklah sekurang-kurangnya mengandungi empat ayat dalam setiap perenggan, iaitu Ayat Judul (AJ), Ayat Huraian (AH), Ayat Contoh (AC), dan Ayat Penegas (AP). Ayat Judul ialah ayat yang mengandungi kata kunci jawapan yang menjawab pokok persoalan karangan. Ayat judul ini boleh diletakkan pada bahagian awal, di tengah atau di hujung sesuatu perenggan. Ayat Huraian pula ialah huraian lanjut tentang isi utama yang dikemukakan yang bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama. Ayat Contoh pula ialah ayat-ayat yang mengandungi bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi yang diperkatakan yang bertujuan untuk memperkuat hujah. Ayat Penegas ialah ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian yang dikemukakan. Ayat ini biasanya mempunyai penanda wacana seperti tegasnya, oleh itu, sehubungan dengan itu, dan sebagainya. Jawapan Contoh untuk Perenggan Isi (AJ) Satu daripada faktornya ialah negara kita memiliki pantai yang bersih dan cantik. (AH) Kebanyakan pantai di negara kita sesuai untuk ahli keluarga berehat dan bersiar-siar. (AC) Sebagai contohnya, pantai yang selalu menjadi tumpuan pelancong ialah Pantai Port Dickson di Negeri Sembilan dan juga pantai Tanjung Bidara di Melaka. (AP) Dengan adanya pantai yang seperti ini, mereka akan datang ke negara kita untuk bersantai bersama ahli keluarga. Perenggan Penutup Ayat dalam perenggan penutup ini terdiri daripada ayat kesimpulan (AK) , ayat cadangan (A.Cdgn), ayat pendapat (A.Pdpt), ayat Harapan, (A.Hrpn), Ayat Penutup (Apntp), dan sebagainya. Contoh: Sebagai kesimpulannya, (AK) sektor pelancongan di negara kita mempunyai masa depan yang cerah untuk berkembang maju disebabkan negara kita mempunyai pelbagai kelebihan. (A Cdgn) Oleh itu, kita mestilah mengeksploitasikan segala kelebihan yang ada untuk menarik kehadiran pelancong ke negara kita. (A Cdgn) Oleh itu, kita mestilah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memajukan sektor pelancongan kita. Dari segi ayat dalam perenggan, terdapat perbezaan antara ayat dalam karangan berformat umum dengan jenis ayat dalam karangan berformat khusus. Dalam karangan berformat khusus pula, selain ayat rangsangan (AR), terdapat juga Ayat Format (AF). Ayat ini dinamakan ayat format (AF) kerana bentuk-bentuk ayat tersebut perlu ada dalam karangan

yang berformat khusus. Contoh ayat format adalah seperti yang berikut: 1. Menemui sahabatku yang kini berada di Pulau Pinang semoga berada dalam keadaan sihat dan sejahtera. (Surat Kiriman Tidak Rasmi) 2. Merujuk kepada perkara di atas (Surat Kiriman Rasmi) 3. Sekian, terima kasih. (Surat Kiriman Rasmi) 4. Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis.(Syarahan) 5. Selamat pagi, Tuan Haji Zainudin. (Wawancara) Selain itu, perenggan bagi karangan yang berformat berita dan laporan tidak memerlukan ayat judul, ayat huraian, ayat contoh dan ayat penegas. Ayat dalam perenggan jenis karangan ini memerlukan isi tentang apa, siapa, mengapa, di mana, bila dan bagaimana (5W1H). Oleh hal yang demikian, ayat-ayat yang terdapat dalam karangan jenis ini merupakan ayat yang berbentuk fakta dan huraian lanjut. Bagi karangan yang berbentuk keperihalan, gambaran, pengalaman atau cerita, perenggan yang dibina mestilah terdiri daripada beberapa peringkat. Sebagai contohnya, karangan berbentuk keperihalan atau gambaran memerlukan penceritaan pada peringkat sebelum, semasa dan selepas. Karangan yang berbentuk cerita pula hendaklah mempunyai bahagian permulaan, perkembangan, puncak, ketegangan dan peleraian. Sebagai kesimpulannya, terdapat sedikit perbezaan dari segi jenis ayat dalam perenggan karangan berformat umum dengan perenggan karangan yang berformat khusus. Yang penting ialah setiap isi mesti mempunyai huraian, contoh, dan penegasan atau kesimpulan kecil. Untuk melihat perbezaan jenis ayat dalam setiap perenggan tersebut, setiap ayat ditandai dengan jenis ayat seperti Ayat Format (AF), Ayat Rangsangan (AR), Ayat Arahan (AA), Ayat Judul (AJ), Ayat Huraian (AH), Ayat Contoh (AC), Ayat Penegas (AP), Ayat Kesimpulan (A Kspln), Ayat Cadangan (A Cdgn), Ayat Penilaian ( A Pnln), Ayat Komen (A Kmn), Ayat Pendapat (A Pndpt), Ayat Harapan (A Hrpn), Ayat Penutup (A Pntp), dan sebagainya.

Anda mungkin juga menyukai